Definisi Keagresifan
Terdapat banyak definisi tentang keagresifan yang diutarakan oleh para
penyelidik untuk menjelaskannya.
- Baron dan Richardson (1994), keagresifan merupakan apa sahaja bentuk tindakan dan perlakuan yang bermatlamat untuk menyebabkan kecederaan ke atas benda hidup yang lain dan bermotivasi untuk mengelakkan diri dari dicederakan. Definisi ini menjelaskan bahawa keagresifan ialah; (i) Perlakuan yang bermatlamat (mempunyai niat). (ii) Menyebabkan atau mendatangkan kecederaan dan kesakitan secara fizikal atau psikologikal. (iii) Ditujukan kepada benda hidup yang bermotivasi untuk mengelakkan diri dari kecederaan.
- Wann (1997), satu tindakan yang bermatlamat untuk mengakibatkan kecederaan secara fizikal, verbal atau psikologikal ke atas seseorang yang bermotivasi untuk mengelakkan diri dari dicederakan dan / atau perbuatan yang mendatangkan kerosakan harta benda yang berpunca dari kemarahan. Berdasarkan definisi ini, terdapat sedikit persamaan dengan definisi yang diutarakan oleh Baron dan Richardson sebelumnya. Kedua-duanya memasukkan unsur niat, perlakuan secara verbal dan psikologikal serta mangsanya bermotivasi untuk mengelakkan diri dari dicederakan. Perbezaan ketara di antara kedua-duanya adalah elemen kerosakan harta benda. Baron dan Richardson tidak mengambil kira kerosakan harta benda sebagai hasil dari tindakan yang agresif.
Jenis-jenis Keagresifan
Apabila diperhatikan perlakuan agresif yang ditunjukkan oleh pemain yang
terlibat dalam sukan, kita akan dapati perlakuan itu didorong oleh beberapa
sebab tertentu. Untuk memudahkan pemahaman terhadap keagresifan, perlulah
dijelaskan jenis-jenis keagresifan yang wujud dalam sukan.
1. Keagresifan Ketara
Silva 1984, menyatakan keagresifan ketara merujuk kepada tindakan agresif yang
berpunca daripada rasa marah dengan matlamat untuk mencederakan individu lain
(ataupun objek) serta dengan niat untuk melihat individu tersebut mengalami
kesakitan dan ganjarannya pula ( kepuasan ) apabila melihat individu tersebut
terseksa dengan kesakitan yang dialaminya. Sebagai contoh, seorang pemain penyerang telah dikasari sepanjang perlawanan
oleh seorang pemain pertahanan pasukan lawan dengan cara yang agak kasar,
tetapi perlakuan kasar tersebut tidak dihukum oleh pengadil. Oleh kerana
terlalu marah, penyerang tadi telah menyiku pemain pertahanan lawan tersebut (mendatangkan
kecederaan) semasa perebutan bola dengan niat untuk membalas dendam
(mengakibatkan kesakitan). Tindakan ini dikategorikan sebagai keagresifan
ketara kerana tindakan yang dibuat oleh penyerang tadi berdasarkan rasa marah
dengan matlamat untuk mencederakan pemain pertahanan. Niatnya pula untuk
mengakibatkan kesakitan kepada pemain pertahanan tersebut dan ganjarannya (
kepuasan ) pula adalah melihat pemain tersebut menanggung derita kesakitan
akibat tindakannya.
Keagresifan instrumental merujuk kepada sesuatu tindakan dengan niat untuk
mencederakan individu lain, bermatlamat untuk mendapatkan faedah atau ganjaran
luaran seperti kemenangan, hadiah atau prestij. Individu yang bertindak agresif
tadi melihat tindakan tersebut sebagai ”instrumental” ( perlu dilakukan ) untuk
mencapai matlamatnya. Sebagai contoh, tindakan agresif seorang pemain pertahanan keatas pemain
penyerang pasukan lawan dengan niat untuk mencederakan pemain tersebut agar
beliau tidak dapat beraksi dengan baik seperti menjaringkan gol atau membuat
hantaran kepada rakannya yang lain. Matlamat utama pemain pertahanan ini ialah
untuk memastikan pasukannya memenangi perlawanan tersebut. Dalam contoh ini, niat untuk mencederakan (penyerang pasukan lawan) masih ada,
tetapi matlamat utama pemain pertahanan tersebut ialah untuk memenangi
perlawanan. Perlu ditegaskan di sini bahawa kedua-dua jenis tindakan agresif di atas
sebenarnya salah serta tidak boleh diterima dalam konteks sukan. Ini kerana
niat untuk mencederakan pemain pasukan lawan masih ada sedangkan tindakan ini
bersalahan dengan peraturan mana-mana jenis sukan. Penggunaan strategi ini
khususnya di peringkat profesional perlu dibenteras kerana tindakan pemain
profesional ini lazimnya akan menjadi ikutan pemain muda.
3. Tindakan Asertif
Jenis tindakan asertif ini sering kali disalahtafsirkan maksudnya kerana jarang
sekali digunakan istilah ini dalam konteks sukan. Tindakan ini merujuk kepada
penggunaan fizikal atau verbal dengan cara yang dibenarkan (mengikut peraturan
permainan) untuk mencapai sesuatu matlamat (kemenangan). Dalam konteks ini,
niat untuk mencederakan individu yang lain tidak timbul sama sekali. Jika tindakan berlaku akibat tindakan asertif, ia tidak boleh dikira sebagai
satu tindakan yang agresif kerana tindakan tersebut dibenarkan mengikut
peraturan-peraturan permainan dan tiadanya niat untuk mengakibatkan kecederaan
kepada pemain lawan. Sebagai contoh, penggunaan tackle untuk menghadkan pergerakan atau merampas
bola dari pemain lawan dalam permainan ragbi dibenarkan serta termaktub dalam
peraturan permainan selagi tackle tadi dilakukan tidak menyalahi peraturan.
Bagaimanapun, jika berlaku kecederaan kepada pemain lawan akibat tackle bersih
yang dilakukan, ia tidak dianggap sebagai tindakan yang agresif kerana ia
dilakukan dengan “bersih” serta mengikut peraturan tanpa ada niat untuk
mencederakan pemain lawan. Dalam situasi pertandingan, tugas untuk memastikan sama ada pelakuan itu
dianggap sebagai perlakuan yang agresif atau asertif terletak ditangan
pengadil. Adalah amat sukar untuk menentukan dan menilai niat seseorang pemain
apabila mereka melakukan sesuatu dalam konteks permainan kerana ia berlaku
dengan pantas khususnya dalam sukan yang bercorak dinamik serta kemahiran
terbuka (open skills).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan