Disclaimer

MatriXwoo2 does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.

Rabu, 3 Januari 2018

KAJIAN TINDAKAN



Persepsi Pelajar Terhadap Makanan Seimbang dan Harga Makanan di Kafetaria Kolej Matrikulasi Labuan Mempengaruhi Amalan Pemakanan.


ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk mengetahui persepsi pelajar terhadap pemakanan seimbang di kafetaria pelajar melalui empat aspek iaitu kepelbagaian menu, tahap pengetahuan, pendedahan pendidikan pelajar dan harga makanan yang dijual. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kepada 47 orang pelajar Kolej Matrikulasi Labuan. Data dianalisis dalam bentuk peratusan. Dapatan kajian menunjukkan harga makanan yang dijual di kafetaria-kafetaria pelajar Kolej Matrikulasi Labuan sangat mahal, seterusnya mempengaruhi pengambilan makanan seimbang majoriti responden walaupun pengetahuan dan pendedahan pendidikan kesihatan  responden berada pada peratusan yang tinggi. Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada pihak-pihak tertentu agar harga dan penyediaan pemakanan seimbang di kafetaria perlu diperbaiki.


PENGENALAN

Pemakanan yang baik merupakan keperluan asas untuk kesihatan tubuh badan. Makanan membekalkan nutrien dan kekurangan nutrien boleh mengubah kelakuan dan menjejaskan pencapaian akademik. Makanan merupakan keperluan yang paling asas bagi manusia. Makanan dikategorikan sebagai keperluan fisiologi yang terletak di peringkat paling rendah dalam piramid hierarki keperluan Maslow. Manusia perlu memenuhi keperluan pada tahap yang rendah ini sebelum mencapai tahap yang lebih tinggi. Oleh itu, makanan adalah sangat penting bagi seseorang  individu supaya dapat menjalankan tugas dengan berkesan.

Fatimah Arshad (1988) menyatakan bahawa makanan seimbang harus mempunyai semua bahan makanan yang diperlukan oleh tubuh untuk berfungsi dengan normal. Makanan-makanan ini terdiri daripada tiga kumpulan yang besar iaitu makanan yang memberi tenaga untuk kita bekerja dan bergerak, makanan yang boleh menjauhkan daripada penyakit serta makanan yang membina sel-sel dan tisu tubuh sama ada untuk proses pertumbuhan atau lain-lain fungsi tubuh yang normal.  Di samping itu,  hidangan yang seimbang  adalah kandungan  makanan daripada kumpulan makanan bijirin atau berkanji, kumpulan makanan tenusu dan kumpulan buah-buahan serta sayuran. Di dalam kumpulan makanan ini, kita perlu mempelbagaikan pilihan dalam pengambilan makanan harian kita sebagai langkah ke arah diet yang sihat.

(Kementerian Kesihatan Malaysia, 1989), Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah menganjurkan satu usahasama pada tahun 1989. Melalui usahasama ini, satu garis panduan untuk menjadikan kantin sekolah sebagai suatu sumber bagi menggalakkan pendidikan pemakanan dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat sekolah menengah telah dihasilkan. Selain itu, kerajaan telah menyediakan cadangan langkah-langkah dan peraturan kebersihan makanan yang perlu dipatuhi. Akta Kerajaan Tempatan 1976, mengesahkan Undang-undang Kecil Pengendalian Makanan (Wilayah Persekutuan) 1979. Tafsiran misalnya makanan iaitu benda yang dijadikan makanan dan minuman termasuk bahan pewarna, bahan perisa, dan rempah ratus. Kebersihan tempat yang digunakan untuk penyediaan dan penjualan makanan hendaklah bersih dan ia mestilah disimpan jauh daripada habuk dan kotoran. Makanan yang disediakan perlulah daripada makanan yang mengandungi nilai-nilai nutrien. Makanan mestilah disediakan dan dihidangkan dengan cara yang bersih. Begitu juga dengan pengusaha kantin, perlu diselia bagi memastikan mereka menjalankan pemeriksaan perubatan yang dijadualkan.

( Alexander dan Yeong, 1990) sekurang-kurangnya 40 nutrien diperlukan dalam badan kita. Jika tidak digunakan dalam jumlah yang cukup, ia akan mempengaruhi kesihatan terutamanya kepada kanak-kanak di mana ia akan memberi kesan ke atas pertumbuhan mental dan fizikal. Selain itu, manusia juga memerlukan sekurang-kurangya 49 nutrien untuk keperluan  metabolisme dalam badan. Kekurangan nutrien akan mengganggu metabolisme dalam badan yang boleh mendatangkan penyakit, masalah kesihatan, melemahkan perkembangan kanak-kanak dan meningkatkan kos ekonomi dalam masyarakat (Branca dan Ferrari, 2002; Golden, 1991; Grantham-McGregor dan Ani, 1999; Ramakrishnan et al.,1999).

  
PERNYATAAN MASALAH

Tanggungjawab untuk menyediakan menu yang seimbang, berkhasiat, berkualiti dan bersih seperti yang disarankan oleh Kementerian kesihatan Malaysia pada kadar harga yang berpatutan adalah terletak kepada pengusaha-pengusaha kafetaria kolej matrikulasi. Pelajar kolej matrikulasi tiada pilihan selain terpaksa membeli apa sahaja tawaran menu yang disediakan oleh pihak kafetaria.

Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh para pelajar, pengusaha-pengusaha kafetaria di Kolej Matrikulasi Labuan gemar mengambil kesempatan kepada pelajar dengan mengaut seberapa banyak keuntungan dengan menyediakan makanan yang mudah dimasak seperti makanan segera dengan harga yang mahal tanpa menghiraukan implikasi yang ditanggung oleh pelajar.

Berdasarkan penyataan masalah tersebut, penyelidik ingin menjalankan satu kajian untuk mengenal pasti persepsi pelajar terhadap pemakanan seimbang dan harga makanan yang dijual di kafetaria-kafetaria Kolej Matrikulasi Labuan.


OBJEKTIF KAJIAN

Objektif yang ditetapkan bagi kajian ini adalah untuk:
  1. Mengenal pasti kepelbagaian menu di kafetaria kolej mempengaruhi pemakanan seimbang dalam kalangan pelajar.
  2. Mengenal pasti tahap pengetahuan pelajar terhadap pemakanan seimbang yang disediakan di kafetaria kolej.
  3. Mengenal pasti pendedahan pendidikan kesihatan yang diberikan oleh pensyarah kokurikulum kepada pelajar tentang kepentingan makanan seimbang.
  4. Mengenal pasti hubungkait harga makanan yang dijual di kafetaria pelajar dengan amalan pemakanan sihat pelajar.

  
KEPENTINGAN KAJIAN 
  1. Pelajar - Melalui kajian ini, diharap dapat menyedarkan pelajar tentang cara mengamalkan pemakanan yang sihat dalam kehidupan seharian.
  2. Pensyarah - Kajian ini juga dapat menyedarkan pensyarah-pensyarah tentang kepentingan dalam memberi pendedahan serta pendidikan kepada pelajar tentang pengambilan makanan yang seimbang dan berkualiti.
  3. Kolej  - Kajian ini juga dapat memberi panduan kepada pihak kolej mengenai tanggungjawab dalam menyediakan pengusaha kafetaria yang berpengetahuan dalam bidang pemakanan dan mengawal selia terhadap harga, kualiti dan kuantiti makanan yang dijual oleh mereka kepada pelajar.

   
METODOLOGI KAJIAN

1. Rekabentuk Kajian

Rekabentuk kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk tinjauan deskriptif dengan menggunakan kaedah kuantitatif iaitu menggunakan instrumen soal selidik yang diedarkan oleh penyelidik kepada pelajar Kolej Matrikulasi Labuan.

2. Sampel kajian

Sampel adalah satu populasi berkadar kecil untuk pemerhatian dan analisis terpilih. Sampel dipilih secara rambang. Seramai 47 sampel dipilih secara rawak daripada kalangan pelajar Kolej Matrikulasi Labuan  semester 2 ambilan sesi 2013/2014.

 3. Instrumen Kajian

Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk borang soal selidik berkaitan menu dan harga makanan yang dijual di kafetaria-kafetaria pelajar Kolej Matrikulasi Labuan.

   
ANALISIS DATA

Analisis bahagian ini bertujuan bagi mengumpul maklumat mengenai persepsi terhadap pemakanan seimbang dan harga makanan di kafetaria-kafetaria Kolej Matrikulasi Labuan mempengaruhi amalan pemakanan sihat pelajar.

Jadual 1.1 : Peratus  sampel lelaki berbanding perempuan.

Jantina
Jumlah
(%)
Lelaki
15
31.91
Perempuan
32
68.09
Jumlah Sampel
47
100.00

Penyelidik telah menjalankan kajian ke atas 47 orang pelajar bagi sesi pengajian 2013/14. Seramai 31.91% responden adalah pelajar lelaki manakala 68.09% responden adalah pelajar perempuan.

Jadual 1.2 : Peratus persepsi pelajar terhadap pendedahan pensyarah kokurikulum berkaitan pemakanan seimbang.

Bil
Item
Ya
(%)
Tidak
(%)
1.

Pendedahan oleh pensyarah kokurikulum berkaitan keperluan pemakanan seimbang dan sihat di dalam kelas-kelas kokurikulum.
41

87.23
6
12.77

87.23% responden mengatakan mereka telah didedahkan berkaitan keperluan pemakanan sihat di kelas-kelas kokurikulum sebaliknya 12.77% responden melaporkan sebaliknya.

Jadual 1.3 : Peratus persepsi pelajar berkaitan pengetahuan tentang makanan seimbang.

Bil
Item
Tepat
(%)
Tidak Tepat/Salah
(%)
1.
Mengelas jenis-jenis makanan di dalam sistem piramid makanan.
38
80.85
9
19.15
2.
Menyatakan sekurang-kurangnya satu kesan amalan pemakanan yang tidak sihat.
43
91.49
4
8.51
3.
Memberi definisi mengenai makanan seimbang.
34
72.34
13
27.66
4.
Menyatakan fungsi 5 jenis nutrien terhadap keperluan sistem tubuh manusia.
42
89.36
5
10.64

80.85% responden dapat mengelas jenis-jenis makanan dengan tepat di dalam sistem piramid makanan sementara 19.15% responden tidak dapat mengelaskan jenis makanan dengan tepat. 91.49% responden pula dapat menyatakan sekurang-kurangnya satu kesan amalan pemakanan yang tidak sihat dan hanya 8.51% sahaja responden yang gagal menyatakannya dengan tepat. 72.34% responden pula dapat memberi definisi tepat mengenai makanan seimbang dan 27.66% responden tidak dapat memberi definisi dengan tepat. Selain itu, 89.36% responden dapat menyatakan dengan tepat fungsi 5 jenis nutrien terhadap keperluan sistem tubuh manusia dan 10.64% responden dapat menyatakannya dengan hampir tepat. Peratusan yang tinggi ini menunujukkan bahawa majoriti pelajar Kolej Matrikulasi Labuan mempunyai tahap pengetahuan yang sangat baik berkenaan pendidikan pemakanan seimbang.

Jadual 1.4 : Peratus persepsi pelajar berkaitan kepelbagaian menu dijual di kafetaria-kafetaria Kolej Matrikulasi Labuan.

Bil
Item
Ya
(%)
Tidak
(%)
1.

Makanan yang dijual di kafetaria terdiri daripada jenis makanan yang pelbagai dan mengikut pelan pemakanan seimbang.
18
38.30
29
61.70
2.
Buah-buahan segar dijual di kafetaria pelajar.

0
0.00
47
100.00
3.
Produk makanan daripada sumber tenusu segar dijual di kafetaria-kafetaria pelajar
2
4.26
45
95.74
4.
Makanan daripada sumber sayur-sayuran segar dijual di kafetaria-kafetaria pelajar
47
100
0
0.00
6.
Makanan segera seperti nugget, sosej, mee segera, burger dan lain-lain ada dijual di kafetaria pelajar.
47
100
0
0.00
7.
Pembelian makanan di kafetaria mengikut seperti apa yang disarankan di dalam piramid makanan.
9
19.15
38
80.85

Majoriti pelajar atau 61.70% responden melaporkan, makanan yang dijual di kafetaria-kafetaria pelajar adalah tidak pelbagai dan tidak mengikut pelan pemakanan yang seimbang dan hanya 38.30% pelajar yang melaporkan sebaliknya. 100.00% laporan dari responden mengatakan, buah-buahan segar tidak dijual sebaliknya 100% laporan dari responden mengatakan makanan daripada sumber sayur-sayuran segar ada dijual di kafetaria-kafetaria pelajar Kolej Matrikulasi Labuan. 95.74% responden pula melaporkan, produk makanan daripada sumber tenusu segar tidak dijual dan hanya 4.26% melaporkan sebaliknya. 100.00% responden juga melaporkan, kafetaria-kafetaria pelajar ada menjual produk makanan segera seperti sosej, nugget, burger dan mee segera kepada pelajar. Seterusnya, 80.85% responden melaporkan, mereka tidak membeli makanan di kafetaria mengikut seperti yang disarankan di dalam piramid makanan, dan hanya 19.15% responden melaporkan sebaliknya.

Jadual 1.5 : Peratus persepsi pelajar berkaitan harga jualan makanan di kafetaria-kafetaria Kolej Matrikulasi Labuan.

Bil
Item
Harga
Murah
(%)
Harga Patut
(%)
Harga
Mahal
(%)
Sangat Mahal
(%)
1.
Harga makanan di kafetaria pelajar Kolej Matrikulasi Labuan berbanding harga makanan di luar kolej.

3

6.38

9

19.15

21

44.68

14

29.79

44.68% responden mengatakan harga makanan yang dijual di kafetaria pelajar Kolej Matrikulasi Labuan adalah mahal, 29.79% responden mengatakan harga makanan yang dijual sangat mahal, 19.15% responden mengatakan, harga makanan yang dijual adalah berpatutan dan 6.38% mengatakan harga makanan yang dijual adalah murah.

Jadual 1.6 : Peratus persepsi pelajar berkaitan kekerapan bilangan mereka membeli makanan di kafetaria-kafetaria Kolej Matrikulasi Labuan.

Bil
Item
1
kali
(%)
1 –2 kali
(%)
2 –3 kali
(%)
Lebih
3
(%)
1.
Purata kekerapan membeli maknan di kafetaria dalam sehari.
13
27.66
26
55.32
7
14.89
1
2.13

Dapatan kaji selidik menunjukkan purata kekerapan bagi 27.66% responden membeli makanan di kafetaria dalam sehari adalah 1 kali sementara kekerapan bagi 55.32% responden membeli makanan di kafetaria di dalam sehari adalah di antara 1 hingga 2 kali sahaja. Hanya 14.89% responden mengatakan, kekerapan mereka membeli makanan di kafetaria di antara 2 hingga 3 kali sehari dan 2.13% sahaja responden mengatakan kekerapan mereka membeli makanan di kafetaria melebihi 3 kali dalam sehari.

Jadual 1.7 : Peratus persepsi pelajar berkaitan kekerapan waktu pelajar membeli makanan di kafetaria-kafetaria Kolej Matrikulasi Labuan.

Bil
Item
6.30 – 10.30 pagi
(%)
11.30 – 2.00 petang
(%)
3.00-4.30 petang
(%)
6.30 – 8.00 malam
(%)
1.
Purata kekerapan waktu membeli makanan di kafetaria dalam sehari.

9


19.15

23

48.94

5

10.64

10

21.28

48.94% atau majoriti responden melaporkan, purata kekerapan mereka membeli makanan di kafetaria dalam sehari adalah di antara pukul 11.30 pagi hingga 2.00 petang, 21.28% di antara pukul 6.30 petang hingga 8.00 malam, 19.15% di antara pukul 6.30 pagi hingga 10.30 pagi dan 10.64% di antara pukul 3.00 petang hingga 4.30 petang.

Jadual 1.8 : Peratus persepsi pelajar berkaitan kekangan pelajar membeli makanan di kafetaria-kafetaria Kolej Matrikulasi Labuan.

Bil
Item
Kekangan
Masa
(%)
Harga Makanan
(%)
Kurang
Menu Pilihan
(%)
Gaya Hidup Sihat
(%)
Lain-lain
(%)
1.
Faktor utama kekangan membeli makanan di kafe

8

17.02

30

63.83

5

10.64

1

2.13

3

6.38

Majoriti responden atau 63.83% melaporkan, faktor kekangan mereka membeli makanan di kafetaria adalah disebabkan harga makanan yang dijual, 17.02% disebabkan kekangan masa, 10.64% disebabkan kurangnya menu pilihan, 6.38% faktor-faktor lain dan 2.13% mengamalkan gaya hidup sihat.


Jadual 1.9 : Peratus persepsi pelajar tentang kos sara hidup di kolej.

Bil
Item
Ya
(%)
Tidak
(%)
1.
Elaun sara hidup bulanan sebanyak RM250.00 sebulan dapat menampung kos sara hidup di kolej matrikulasi.
6
12.77
41
87.23
2.
Ayah, ibu, penjaga, keluarga dan lain-lain menampung kos sara hidup di kolej matrikulasi.
36
76.60
11
23.40

Jadual 1.9: 87.23% responden melaporkan bahawa elaun sara hidup bulanan sebanyak RM250.00 sebulan tidak dapat menampung kos sara kehidupan mereka di kolej matrikulasi sementara 12.77% responden melaporkan sebaliknya. 76.60% responden melaporkan ayah, ibu, penjaga, keluarga serta lain-lain ada menampung kos sara hidup mereka di kolej matrikulasi dan 23.40% responden melaporkan sebaliknya.
  
Jadual 1.10 : Peratus persepsi pelajar berkaitan item paling banyak dibelanjakan di kolej.

Bil
Item
Buku
Ilmiah
(%)
Alatan Belajar
(%)
Makan
(%)
Pakaian
(%)
Lain-lain
(%)
1.
Purata wang paling banyak dibelanjakan di kolej matrikulasi.

3

6.38

10

21.28

19

40.43

6

12.77

9

19.15

Seramai 40.43% responden melaporkan, purata wang paling banyak yang mereka belanjakan di kolej matrikulasi adalah kepada kos pembelian makanan. 21.28% responden melaporkan, mereka membelanjakan purata wang paling banyak dibelanjakan adalah kepada pembelian peralatan pembelajaran. 19.15% responden mengatakan kepada lain-lain pembelian, 12.77% mengatakan perbelanjaan membeli pakaian dan 6.38% kepada pembelian buku-buku ilmiah.


PERBINCANGAN KAJIAN

Hasil kajian yang dijalankan ke atas pelajar Kolej Matrikulasi Labuan menunjukkan beberapa tafsiran dapat dibuat berkaitan dengan persepsi mereka terhadap pemakanan seimbang dan harga makanan di kafe mempengaruhi amalan pemakanan sihat.

Berdasarkan dapatan daripada  peratus berkaitan persepsi di dalam keputusan soal selidik yang dijalankan, majoriti responden melaporkan, mereka telah didedahkan dengan amalan kesihatan berkaitan amalan pemakanan seimbang dan berkhasiat di kelas-kelas kokurikulum oleh pensyarah-pensyarah kokurikulum. 

Walaupun dapatan kajian menunjukkan pelajar mempunyai pengetahuan yang sangat baik tentang amalan pemakanan yang sihat dan seimbang, namun keputusan menunjukkan amalan yang negatif berlaku di dalam pengambilan makanan seharian mereka. Berdasarkan analisa yang dibuat daripada kajian ini, faktor utama yang menyebabkan amalan pengambilan pemakanan negatif tersebut ialah:

1. Kafetaria tidak menyediakan makanan yang seimbang dan berkualiti.

Dapatan daripada kajian ini menunjukkan, makanan yang dijual di kafetaria-kafetaria pelajar adalah tidak pelbagai dan tidak mengikut pelan pemakanan yang seimbang. Pelajar telah didedahkan dengan makanan yang tidak berkhasiat, khususnya makanan segera seperti nugget, sosej, burger, mee segera dan lain-lain. Selain itu, makanan-makanan yang baik dan berkhasiat seperti makanan daripada produk susu segar dan buah-buahan segar tidak dijual.

Keadaan begini menyebabkan tidak banyak pilihan yang boleh dibuat oleh pelajar bagi memperolehi makanan yang lebih berkhasiat dan berkualiti di dalam diet seharian mereka. Akibat daripada permasalahan ini, majoriti pelajar telah melaporkan bahawa mereka tidak membeli makanan di kafetaria mengikut seperti yang disarankan di dalam pemakanan seimbang. 


2. Harga makanan yang dijual di kafetaria mahal menyebabkan pengambilan makanan pelajar tidak teratur. 

Daripada dapatan kajian ini menunjukkan, pola pengambilan makanan majoriti pelajar adalah tidak teratur. Kekerapan majoriti pelajar membeli makanan di kafetaria adalah di antara 1 hingga 2 kali di dalam sehari dan kekerapan waktu majoriti pelajar membeli makanan pula adalah di antara pukul 11.30 pagi hingga 2.00 petang dan antara pukul 6.30 malam hingga 8.00 malam. Selain itu, majoriti pelajar telah mengabaikan pengambilan sarapan pagi. Situasi ini merupakan amalan pemakanan yang tidak sihat dalam kalangan pelajar.

Situasi ini berlaku disebabkan pelajar terpaksa berjimat-cermat dengan menghadkan pembelian makanan di kafetaria disebabkan harga makanan yang dijual adalah mahal. Keadaan ini disokong dengan dapatan kajian ini di mana kebanyakan perbelanjaan adalah pada makanan berbanding perbelanjaan lain. Selain itu, terdapat segelintir pelajar yang hanya bergantung 100% kepada elaun sebanyak RM250.00 yang mereka perolehi setiap bulan.


RUMUSAN

Dapatan daripada kajian ini membuktikan, pengusaha-pengusaha kafetaria telah gagal memenuhi kriteria pemakanan seimbang dalam menu yang ditawarkan kepada pelajar. Di samping itu, harga makanan yang dijual di kafetaria-kafetaria kolej adalah terlalu mahal dan amat membebankan pelajar. Kedua-dua faktor tersebut telah banyak mempengaruhi amalan pemakanan tidak sihat pelajar di Kolej Matrikulasi Labuan.

  
CADANGAN

Berdasarkan dapatan kajian tersebut, penyelidik mengutarakan beberapa cadangan untuk diberi perhatian sewajarnya oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab, antaranya:

1. Pihak Kolej
  • Menyediakan platform kepada pengusaha-pengusaha kafetaria bagi meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang pemakanan agar mereka dapat menyediakan  makanan yang sihat dan berkualiti kepada pelajar.
  • Memantau secara berkala terhadap aspek-aspek kebersihan, penyediaan makanan berkhasiat dan harga makanan yang ditawarkan.
  • Sentiasa menanamkan kesedaran tentang tanggungjawab sosial kepada pengusaha-pengusaha kafetaria terhadap pelajar
  • Sentiasa mendekati pelajar bagi menyelami permasalahan yang mereka hadapi.
  • Membaik pulih sinki, kerusi, meja dan tandas yang rosak di kafetaria-kafetaria kolej.

2. Pengusaha Kafetaria
  • Meningkatkan pengetahuan di dalam bidang pemakanan.
  • Mempamerkan senarai harga makanan yang dijual di premis-premis perniagaan.
  • Mempelbagaikan menu makanan yang berkhasiat dan berkualiti tinggi.
  • Memastikan kebersihan sentiasa dititikberatkan dan menjadi keutamaan.


3. Pensyarah
  • Memberikan pendedahan pendidikan kesihatan kepada pelajar tentang kepentingan makanan seimbang.
  • Memberi pendedahan berkaitan hak-hak pengguna kepada pelajar.


  4. Pelajar
  • Berani memperjuangkan hak-hak mereka sebagai pengguna.
  • Melaporkan salah laku pengusaha-pengusaha kafetaria kepada pihak kolej.
  • Memberi kaunsling dan amaran kepada pengusaha kafetaria yang sentiasa mengambil kesempatan menjual makanan yang tidak bermutu dan menjual dengan harga yang mahal.


   
BIBLIOGRAFI 

Alexander, L. and Yeong, Boon Yee (1990). “The first nutrition guide for Asian Parents Feed Your Child Right”. Times Books International. Singapore.

Dr.Fatimah Arshad (1988). Makanlah Sayang. Times Edition Pte.LTD. Selangor.

Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (1989),“Garis Panduan Kantin Sekolah.” Kuala Lumpur: DBP.

Norulaida Ibrahim (2007), Persepsi Guru Terhadap Perkhidmatan Makanan Di Kantin Sekolah Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, Johor” : Universiti Teknologi Malaysia.


Oleh : 
Mohd Fuad Salihin
Unit Kokurikulum, 
Jabatan Pengurusan Pelajar,
Kolej Matrikulasi Labuan.
2014


Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...