Disclaimer

SainsdanSukan does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.

Ahad, 1 Disember 2019

Keagresifan Di Dalam Sukan




Kita sering menonton dan membaca daripada media massa tentang insiden pergaduhan dan tindakan kasar yang berlaku dalam pertandingan sukan. Fenomena tindakan kasar yang dilakukan oleh pemain atau atlet sering dikaitkan sebagai tingkah laku negatif. Tingkah laku ini dikenali sebagai keagresifan. Menurut Baron dan Richardson (1994), keagresifan adalah apa jua bentuk perlakuan atau tindakan yang berobjektif untuk mencederakan benda hidup dan bermotivasi untuk mengelakkan diri daipada mengalami kecederaan. Wann (1997), pula menyatakan keagresifan sebagai satu tindakan yang bermatlamat untuk mencederakan secara fizikal, verbal atau psikologikal orang lain sebagai langkah untuk mengelakkan diri sendiri daripada dicederakan.

Keagresifan dalam sukan boleh diklasifikasikan kepada tiga iaitu;

KEAGRESIFAN KETARA
Silva (1984), menyatakan keagresifan ketara merujuk kepada tindakan agresif yang berpunca daripada rasa marah dengan matlamat untuk mencederakan individu lain (ataupun objek) serta dengan niat untuk melihat individu tersebut mengalami kesakitan dan ganjarannya pula (kepuasan) apabila melihat individu tersebut terseksa dengan kesakitan yang dialaminya. Jenis keagresifan ini merupakan perlakuan secara sengaja mengasari pihak lawan. Keagresifan ini selalunya didorong oleh rasa marah dan kecewa. Sebagai contoh, seorang pemain bola keranjang telah dikasari oleh pihak lawan tetapi tidak dihukum oleh pengadil. Oleh sebab terlalu marah, pemain tadi telah menyiku dada pemain lawan dengan niat membalas dendam. Tindakan ini dikategorikan sebagai keagresifan ketara kerana mempunyai niat mencederakan akibat daripada perasaan marah. Niatnya pula untuk mengakibatkan kesakitan kepada pemain tersebut dan ganjarannya (kepuasan) pula adalah melihat pemain tersebut menanggung derita kesakitan akibat tindakannya.

KEAGRESIFAN INSTRUMENTAL
Keagresifan instrumental merujuk kepada tindakan mencederakan pihak lawan yang bermatlamat untuk mendapatkan faedah atau ganjaran luaran seperti kemenangan, hadiah atau prestij. Individu yang bertindak agresif tadi melihat tindakan tersebut sebagai ”instrumental” (perlu dilakukan) untuk mencapai matlamatnya.. Sebagai contoh, tindakan agresif seorang pemain pertahanan keatas pemain penyerang pasukan lawan dengan niat untuk mencederakan pemain tersebut agar beliau tidak dapat beraksi dengan baik seperti menjaringkan gol atau membuat hantaran kepada rakannya yang lain. Matlamat utama pemain pertahanan ini ialah untuk memastikan pasukannya memenangi perlawanan tersebut. Dalam contoh ini, niat untuk mencederakan (penyerang pasukan lawan) masih ada, tetapi matlamat utama pemain pertahanan tersebut ialah untuk memenangi perlawanan. Perlu ditegaskan di sini bahawa kedua-dua jenis tindakan agresif di atas sebenarnya salah serta tidak boleh diterima dalam konteks sukan. Ini kerana niat untuk mencederakan pemain pasukan lawan masih ada sedangkan tindakan ini bersalahan dengan peraturan mana-mana jenis sukan. Penggunaan strategi ini khususnya di peringkat profesional perlu dibenteras kerana tindakan pemain profesional ini lazimnya akan menjadi ikutan pemain muda.

KEAGRESIFAN ASERTIF
Keagresifan asertif merujuk kepada penggunaan fizikal atau verbal dengan cara yang dibenarkan mengikut peraturan permainan. Dalam hal ini, mereka yang melakukannya tiada niat langsung untuk mendatangkan kecederaan kepada pihak lawan bagi mencapai kemenangan. Sebagai contoh, dalam permainan bola tampar, seorang pemain melakukan aksi merejam sekuat mungkin ke dalam gelanggang pihak lawan untuk mendapatkan mata sehingga menyebabkan pemain pihak lawan cedera akibat terkena bola. Jika kecederaan berlaku akibat daripada tindakan asertif, ia tidak boleh dikira sebagai satu tindakan yang agresif kerana tindakan tersebut dibenarkan mengikut peraturan-peraturan permainan dan tiadanya niat untuk mengakibatkan kecederaan kepada pemain lawan. Sebagai contoh, penggunaan “tackle” untuk menghadkan pergerakan atau merampas bola dari pemain lawan dalam permainan ragbi dibenarkan serta termaktub dalam peraturan permainan selagi “tackle” tadi dilakukan tidak menyalahi peraturan. Bagaimanapun, jika berlaku kecederaan kepada pemain lawan akibat “tackle” bersih yang dilakukan, ia tidak dianggap sebagai tindakan yang agresif kerana ia dilakukan dengan “bersih” serta mengikut peraturan tanpa ada niat untuk mencederakan pemain lawan. Dalam situasi pertandingan, tugas untuk memastikan sama ada perlakuan itu dianggap sebagai perlakuan yang agresif atau asertif terletak di tangan pengadil. Adalah amat sukar untuk menentukan dan menilai niat seseorang pemain apabila mereka melakukan sesuatu dalam konteks permainan kerana ia berlaku dengan pantas khususnya dalam sukan yang bercorak dinamik serta kemahiran terbuka (open skills).

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEAGRESIFAN
Keagresifan dalam sukan berpunca daripada faktor psikofosiologi dan faktor-faktor semasa.

FAKTOR PSIKOLOGI
Sekiranya seorang atlet atau pemain berasa pihak lawan berniat untuk mencederakannya, atlet tersebut akan menunjukkan respon agresif apabila berhadapan dengan pemain tersebut. Hal ini didorong oleh persepsi atlet tersebut terhadap atlet pasukan lawan yang mempunyai kecenderungan untuk mencederakannya. Unsur-unsur negatif seperti kekecewaan, kemarahan, kemuraman dan perasaan dukacita juga merupakan rangsangan negatif yang boleh mencetuskan perlakuan agresif. Pengaruh lain seperti ganjaran yang ditawarkan dalam sesuatu permainan juga akan menyebabkan atlet untuk cenderung melakukan lakuan agresif bagi menjamin kejayaan pasukannya.

FAKTOR SEMASA
Perlakuan keagresifan juga dipengaruhi oleh faktor-faktor semasa. Antaranya ialah, kebangkitan fisiologi. Kebangkitan fisiologi biasanya berkait rapat dengan suasana persekitaran seperti suhu dan penonton. Keadaan ini akan menyebabkan atlet atau pemain untuk melakukan tindakan agresif kerana suasana yang kurang menyelesakan serta merimaskan yang menyebabkan atlet mudah marah. Menurut Donnerstein dan Watson (1976), suasana yang teramat bising akan merangsang reaksi agresif atlet. Suhu persekitaran juga boleh menyebabkan atlet berasa tidak selesa. Keadaan ini menjadi pencetus kepada tindakan agresif walaupun berlaku kesilapan yang kecil. Tindakan yang diambil oleh atlet tersebut dianggap keterlaluan dan melampau oleh orang lain.

Selain itu, persepsi individu juga salah satu factor keagresifan dalam sukan berlaku. Hal ini berlaku apabila pemain merasakan diri mereka diasak secara kasar oleh pemain lawan yang sekaligus meningkat keagresifan dalam permainan tersebut.

Di samping itu, perbezaan mata atau jaringan. Menurut Cox (1999), semakin besar perbezaan mata atau jaringan, semakin banyak kekasaran atau tindakan agresif yang akan dilakukan oleh pasukan yang ketinggalan. Keadaan ini berbeza jika kedudukan seri atau perbezaan mata atau jaringan yang kecil.Keadaan ini akan mengurangkan perlakuan agresif kerana bimbangkan risiko yang akan dihadapi jika melakukan kekasaran.

Seterusnya, lokasi perlawanan. Hal ini berlaku dimana tindakan atau permainan yang lebih agresif akan ditunjukkan oleh pemain tuan rumah jika mendapat sokongan daripada penonton. Bagaimanapun, menurut Russell (1981), ia juga bergantung kepada corak keagresifan yang ditonjolkan serta jenis sukan yang dipertandingkan. Bagi sukan bola sepak, pasukan yang bermain di tempat lawan biasanya lebih agresif kerana merekan ingin mempertahankan kedudukan mereka. Manakala, bagi hoki ais, ia adalah sama jika bermain di tempat sendiri atau di tempat lawan (Cullen & Cullen, 1975)

Keputusan permainan juga memainkan peranan dalam tingkah laku agresif pemain. Pasukan atau pemain yang merasakan diri mereka akan tewas atau tidak berpeluang untuk memenangi perlawanan akan bertindak lebih agresif mengikut Teori Frustrasi Agresif (Cullen & Cullen, 1975)

Akhir sekali, penggunaan dadah seperti steroid yang mempengaruhi perlakuan agresif seseorang pemain dalam sukan. Hal ini disebabkan oleh tindakan bawah sedar mereka akibat daripada pengaruh dadah tersebut.

KESAN PENDEKATAN AGRESIF TERHADAP INDIVIDU DALAM SUKAN

Menggalakkan sikap agresif dalam sukan atau menjadi “role model” yang negative terhadap orang lain.
Menjadikan sikap agresif sebagai taktikal dalam pasukan bagi setiap kali menghadapi perlawanan.
Akan wujud jurulatih yang menggalakkan sikap agresif diterapkan dalam taktikal permainan.
Liputan media buruk dan berat sebelah.

CARA-CARA UNTUK MENGATASI KEGANASAN DALAM SUKAN

Mendisiplinkan atlet dengan sikap yang betul

Jurulatih perlu mendisiplinkan pemain mereka dan sentiasa mengingat mereka untuk mengawal tingkah laku serta baran dalam setipa perlawanan. Jurulatih juga perlu menerapkan nilai kesukanan seperti adil, hormat terhadap pasukan lawan dan pengwalan tekanan. Jurulatih juga harus menilai perwatakan atlet seperti mendapatkan biodata atlet yang merangkumi latar belakan keluarga, masalah disiplin, rekod kesihatan dan sebagainya.

Ceramah motivasi

Penyampaian ceramah-ceramah motivasi oleh pakar-pakar sukan (psikologi) sebelum dan selepas perlawanan dengan menekankan unsur-unsur “fairplay”. Selain itu, ia juga bertujuan untuk member kata-kata semangat, dorongan dan motivasi kepada pasukan yang bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri atlet.

Membuat pemeriksaan terhadap penonton sebelum memasuki lokasi perlwanan

Hal ini bertujuan untuk mengwal keganasan dari pihak penonton dan penyokong.
Ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan strategi sperti mengharamkan pengambilan alcohol oleh penonton sebelum dan semasa perlawanan. Pemeriksaan boleh dilakukan di pintu-pintu masuk lokasi perlawanan untuk memastikan penonton tidak membawa masuk sebarang objek berbahaya seperti mercun, kayu, senjata api dan benda-benda tajam.

Memisahkan penyokong pasukan

Hal ini adalah untuk mengelakkan sebarang pergaduhan antara penyokong pasukan yang berbeza yang boleh mendatangkan kecederaan dan kematian.

RUMUSAN

Keagresifan dalam sukan merupakan perlakuan yang bertentangan dengan peraturan dan norma permainan. Bagi mengawal keagresifan atlet, disiplin diri dan tahap motivasi yang tinggi harus diterapkan semasa latihan dan permainan. Kesedaran terhadap pentingnya semangat kesukanan di kalangan pemain dan atlet perlu dipupuk. Pemain juga harus disemaikan dengan sikap agar dapat menerima sesuatu keputusan secara rasional. Mereka perlu sentiasa menyedari keupayaan diri sendiri dan menghargai orang lain Kemahiran mengawal kebimbangan dapat dilakukan antaranya melalui terapi, pendekatan kaunseling dan bersenam. Semasa pertandingan, pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung hendaklah mengikut norma dan mematuhi peraturan pertandingan.Hal ini akan mengawal tingkah laku agresif pemain, jurulatih dan penonton.

Tiada ulasan:

Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...