Apabila bercakap mengenai
jurulatih dan tanggungjawabnya, pandangan ramai kebiasaannya akan tertumpu pada
sesi-sesi latihan yang dikendalikan oleh jurulatih berkenaan. Bagaimanapun,
kajian dan pemerhatian lebih mendalam akan memberikan gambaran yang lebih besar
dan menyeluruh tentang perkara ini.
Berikut adalah antara gambar
jurulatih-jurulatih kebangsaan negara dalam pelbagai sukan:
Terdapat perbezaan antara peranan
dan tanggungjawab. Peranan jurulatih bermakna tugasnya secara umum sama ada
dalam konteks sesebuah organisasi atau secara bersendirian. Manakala
tanggungjawab pula memperkatakan tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh
seseorang jurulatih.
Peranan jurulatih
Dr Nanette Miner, seorang pengarang dan
perunding yang terkenal dalam bidang pembelajaran di tempat kerja berpendapat,
peranan jurulatih terbahagi kepada dua bahagian iaitu peranan global dan
peranan berkaitan tugasan. . Peranan global kebiasaannya sukar untuk dikenal
pasti kerana ia tidak bersifat spesifik, walaupun realitinya seseorang
jurulatih itu menghabiskan separuh daripada masanya memainkan peranan global
ini. Antara peranan global itu ialah:
1. Konsultan
Dalam sesebuah organisasi,
jurulatih bukanlah jawatan utama. Bagaimanapun, seseorang jurulatih perlu
melakukan analisis prestasi organisasi untuk mengetahui keperluan latihan
semasa, dalam rangkanya menyediakan pelan latihan organisasi berkenaan.
Analisis yang dilakukannya itu lebih luas manfaatnya jika melepasi sempadan
kepentingan latihan dan pembangunan, malah boleh mengeluarkan cadangan-cadangan
penyelesaian yang bersifat bukan latihan, seperti pengambilan tenaga kerja
tambahan dan sebagainya. Di sinilah sebenarnya seseorang jurulatih itu
memainkan peranan konsultan, yang akan melihat dan menganalisis situasi
organisasi dari pelbagai sudut, serta mencari jalan terbaik untuk memperbaiki
pencapaian. Seseorang jurulatih yang mengambil perspektif konsultan dalam
menilai prestasi organisasi akan memberikannya kelebihan dalam membuat cadangan
penyelesaian yang tepat terhadap permasalahan yang dihadapi oleh organisasi.
2. Pengurus
Walaupun jawatannya tidak
dinamakan sebagai pengurus, seseorang jurulatih tetap berperanan sebagai
pengurus kerana definisi global yang menamakan pengurus sebagai “person who
leads or directs all or part of an organisation, through the deployment and
manipulation of resources (human, financial, material, intelectual or
intangible)”. Kerja-kerja mengurus dan menyelaras individu, kemudahan,
bahan-bahan terbitan, membuat jadual kerja untuk mencapai sasaran yang telah
ditetapkan, semuanya adalah kerja mengurus yang dilakukan oleh seseorang
jurulatih.
3. Pembimbing Cara
Antara cara terbaik untuk
membangunkan sumber manusia ialah melalui cara bimbingan di tempat kerja.
Seseorang jurulatih bertindak sebagai pembimbing yang membantu
individu-individu dalam organisasi untuk mengenal pasti sasaran dan objektif
yang perlu mereka capai, membantu mereka mencari jalan membaiki kemahiran
teknik, memberikan sokongan dan galakan berterusan.
4. Pakar Pembangunan Prestasi
Peranan ini menggabungkan antara
tiga peranan di atas. Seperti konsultan, pakar pembangunan prestasi seharusnya
mempunyai gambaran menyeluruh tentang organisasi untuk mengenal pasti
punca-punca kelemahan dan mencadangkan jalan yang sesuai untuk mengatasi
masalah yang ada. Ia tidak hanya melihat sudut latihan sebagai pendekatan
penyelesaian masalah. Dalam masa yang sama ia mampu mencadangkan latihan, jika
perlu, untuk meningkatkan lagi prestasi pekerja.
5. Pakar Teknologi
Ia tidak bermaksud mempunyai
kepakaran mengendalikan semua jenis peralatan teknologi canggih masa kini.
Sebaliknya seseorang jurulatih harus tahu menilai kaedah penyampaian berasaskan
teknologi yang sesuai untuk sesuatu situasi. Dalam masa yang sama, ia
seharusnya mampu menilai kemampuan teknologi sesebuah organisasi, sama ada dari
sudut kemampuan individu atau peralatan yang dimiliki. Peranan ini memudahkan
seseorang jurulatih untuk membantu organisasi dengan lebih berkesan.
6. Pendidik
Peranan seorang jurulatih juga
tidak ubah seperti peranan seorang guru atau pendidik. Jurulatih berperanan
besar dalam mengajar anak-anak buahnya mengembangkan bakat yang mereka memiliki
sekaligus menguasai sesuatu sukan itu dengan sebaiknya. Teknik latihan,
strategi permainan, cara pemakanan adalah antara didikan yang sering para
jurulatih turunkan kepada anak-anak buahnya. Peranan jurulatih sebagai pendidik
memainkan peranan yang amat penting dalam karier sukan seseorang atlet.
Selain daripada peranan global
ini, terdapat beberapa peranan yang bersifat spesifik, berdasarkan
tanggungjawab yang biasa dijalankan oleh seseorang jurulatih berkaitan sesuatu
latihan yang diadakan. Peranan-peranan ini mudah dilihat dan dikenal pasti,
yang biasanya dijadikan jawapan apabila ditanya : “Apakah peranan jurulatih?”.
7. Pereka Latihan
Reka bentuk latihan semestinya
menepati kesesuaian sesebuah organisasi dan keperluan yang bersifat relatif. Di
sinilah letaknya peranan jurulatih untuk membuat analisis dan menyediakan reka
bentuk latihan yang dapat membantu secara langsung memajukan prestasi
organisasi.
8. Pembangun Latihan
Pembangun latihan menyediakan prasarana
untuk sesuatu latihan berdasarkan reka bentuk yang telah ditetapkan dan
dipersetujui. Pra sarana itu seperti nota peserta, panduan kepada penyampai,
bahan-bahan penyampaian yang berbentuk audio visual dan sebagainya.
9. Penyampai
Kebiasaannya jurulatih akan
menyampaikan latihan dan ceramah. Ia menuntut kemahiran pengucapan awam,
mengendalikan sesi latihan dalam kumpulan, teknik-teknik soal jawab dan
perbincangan.
10. Pemasar
Secara umumnya, tujuan latihan
ialah untuk melakukan perubahan. Kebanyakan manusia tidak suka kepada
perubahan. Di sinilah perlunya seseorang jurulatih mempunyai kemahiran untuk
menjual idea dan memasarkan kepentingan latihan dan pembangunan kepada kumpulan
sasaran, sama ada pihak pengurusan mahu pun para pekerja.
11. Pengurus Kemudahan Latihan
Tanggungjawab ini biasa diberikan
kepada jurulatih kerana kemudahan bilik seminar atau bengkel perlu dipastikan
sentiasa berada dalam keadaan sedia digunakan, dengan segala peralatannya
seperti pen marker, papan putih, pemadam, flip chart dan sebagainya.
12. Penilai
Oleh kerana sesebuah organisasi
akan membelanjakan wang dan masa untuk memenuhi keperluan latihan, maka persoalan
mengenai nilai pulangan yang diberikan oleh latihan tersebut perlu dijawab
dengan mantap. Selepas sesuatu latihan, jurulatih perlu melakukan penilaian
menyeluruh bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh pihak atasan atau
pelanggan. Kemahiran menilai ini amat perlu agar jurulatih dapat mengemukakan
hujah dan bukti nyata akan nilai pulangan sesuatu latihan itu.
Tanggungjawab Jurulatih
Jurulatih memikul tanggungjawab
yang besar dalam sesebuah organisasi sukan. Mereka berusaha untuk memastikan
para atlet dapat memaksimumkan segala bakat yang mereka miliki sekaligus
mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi. Antara tanggungjawab
jurulatih ialah seperti berikut:
1. Menyediakan program latihan
Latihan yang berkualiti dan
efektif amatlah penting bagi seseorang atlet untuk memperbaiki mutu
permainannya. Oleh itu, adalah menjadi
tanggungjawab jurulatih untuk mencari, memilih dan memperkenalkan teknik
latihan yang terbaik kepada para atlet agar mereka dapat beraksi dengan
cemerlang dalam mana-mana pertandingan.
2. Memilih pemain
Dalam sesebuah kelompok atlet,
tidak semua mereka akan dihantar untuk bermain atau bertanding dalam sesuatu
acara. Oleh itu, jurulatih bertanggungjawab untuk memilih pemain yang
berpotensi untuk dihantar mewakili pasukan dalam sesebuah acara. Jurulatih
bertanggungjawab untuk memastikan pemain yang dipilih tersebut berpotensi besar
untuk menyerlah dan menumpaskan pihak lawan. Dalam sesebuah sukan yang
berpasukan, seperti bola sepak, bola jaring atau hoki misalnya jurulatih
hendaklah memilih pemain-pemain yang mempunyai semangat kerjasama dan
keserasian yang tinggi agar mereka dapat beraksi dengan cemerlang.
3. Mencari bakat baru
Jurulatih bukan sahaja
bertanggungjawab menyelia para atlet yang sedia ada bahkan mereka juga perlu
untuk mencari bakat-bakat baru dalam sukan kendalian mereka. Ini bagi
memastikan sukan tersebut mempunyai pelapis dalam kalangan generasi muda agar
Negara kita tidak kekurangan atlet dalam sukan-sukan tertentu. Jurulatih
bertanggungjawab melaksanakan projek-projek sukan yang membuka peluang kepada
orang ramai bagi mencungkil bakat yang ada pada generasi cilik kita.
4. Merangka program pembangunan
sukan
Jurulatih-jurulatih di negara
kita menggalas tanggungjawab besar dalam proses pembangunan industri sukan
tanah air. Perancangan di peringkat akar umbi amat penting demi masa depan
sukan negara agar dapat melahirkan lebih ramai lagi atlet bertaraf dunia pada
jangka masa yang panjang. Oleh itu, para jurulatih di negara kita
bertanggungjawab merangka dan mengatur strategi program untuk membangunkan
sukan negara seterusnya menyelia keberkesanan program-program tersebut.
1 ulasan:
terima kasih, sangat membantu. salam dari upsi
Catat Ulasan