Disclaimer

SainsdanSukan does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.

Isnin, 9 Disember 2019

Motivasi



Pengenalan

Motivasi adalah salah satu daripada aspek yang penting dalam sukan. Ia akan mempengaruhi penglibatan atlet dalam aktiviti sukan, latihan, pertandingan dan sebagainya. Ia juga mungkin mempengaruhi minat dan kepuasaan seseorang atlit terhadap sukan yang diceburinya. Oleh itu, tajuk motivasi perlulah dikaji dengan terperinci.

Beberapa minit sebelum pertandingan akir bola tampar peringkat kebansaan bermula, jurulatih pasukan A memanggil semua pemainnya berkumpul dalam bulatan di tepi gelanggang. Jurulatih tersebut memberikan kata-kata perangsang untuk menaikkan semangat pemainnya sebelum mereka melangkah masuk ke gelanggang. Senario yang sama kerap kali kita lihat dalam pertandingan yang melibatkansukan berpasukan. Beberapa ,imit sebelum permainan dimulakan, para pemain akan berkumpul dalam bulatan serta memberikan kata-kata perangsang sesama sendiri serta menjerit untuk menaikkan semangat masing-masing.

Apakah yang dilakukan oleh pemain serta jurulatih tersebut? Adakah tindakan yang dilakukan merupakan rutin atau syarat khusussukan berpasukan? Berdasarkan pengalaman, tindakan tersebut merupakan usaha terakhir untuk meningkatkan lagi motivasi atlet mereka.

Definisi Motivasi

Motivasi merujuk kearah dan intensiti usaha seseorang individu. Arah merujuk kepada tindakan individu sama ada untuk menghampiri atau menjauhi sesuatu keadaan, manakala intensiti usaha pula merujuk kepada tahap kekuatan usaha individu itu untuk menghampiri atau menjauhi keadaan ini.Motivasi ini juga sebagai proses kebangkitan dalam diri individu yang membantu usaha mengarah serta mengekalkan perlakuan yang diingini. Motivasi juga boleh didefinisikan sebagai satu daya yang membantu peningkatan serta pengekalan perlakuan individu. Pengukuhan diri adalah lebih penting kerana ia datang dari bahagian dalaman individu berbanding dengan pengukuhan luaran kerana pengukuhan luaran datangnya daripada jurulatih.

Bagi seseorang jurulatih, motivasi bererti usaha untuk memotivasikan atletnya supaya dapat melakukan sesuatu tugasan dengan baik dan sempurna. Manakala motivasi bagi seseorang atlet pula ialah berusaha untuk persembahan terbaik. Seseorang atlet yang bermotivasi untuk meningkatkan prestasinya akan turun ke padang untuk membuat latihan tanpa diarahkan oleh orang lain kerana motivasinya untuk merealisasikan matlamat adalah tinggi.

Motivasi boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu motivasi intrinsik (dalaman) dan motivasi ekstrinsik (luaran).

(a) Motivasi Intrinsik

Menurut Singer (1984), motivasi instrinsik ialah motivasi yang timbul dari dalam hati seseorang itu sendiri. Motivasi ini timbul daripada keinginan dirinya sendiri untuk mencapai matlamat-matlamat seperti kesedaran tentang potensi dirinya, kejayaan, kepuasan dan keseronokan. Lazimnya, seseorang atlet yang bermotivasi intrinsik akan terus terlibat dalam sesuatu aktiviti. Ia lahir dalam diri seseorang atlet disebabkan oleh faktor-faktor dalaman dan minatnya tanpa dipaksa orang lain.

Atlet yang mempunyai motivasi intrinsik akan mengikuti latihan peningkatan kemampuan atau pertandingan bukan kerana dorongan dari luar seperti hadiah, pujian, penghargaan dan publisiti, melainkan kerana kepuasaan dalam dirinya. Tambahan lagi, atlet yang mempunyai motivasi intrinsik biasanya tekun, bekerja keras, teratur dan berdisiplin dalam menjalani latihan serta tidak bergantung kepada orang lain.

(b) Motivasi Ekstrinsik

Motivasi ekstrinsik ialah motivasi yang dirangsang oleh elemen luar seperti ganjaran untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu pertandingan sukan. Ganjaran itu adalah dalam pelbagai bentuk seperti hadiah, hukuman, ugutan, penghargaan dan pengiktirafan (Mohd. Sofian, 2002). Motivasi ini hanya akan kekal seketika kerana atlet akan berusaha bersungguh-sungguh apabila ganjaran disediakan. Ganjaran kebendaan lebih cepat hilang jika dibandingkan dengan ganjaran kepuasan atau motivasi dalaman.Motivasi berbentuk hukuman digunakan oleh jurulatih sukan sebagai dorongan atau rangsangan untuk mencapai sesuatu kejayaan. Keadaan ini tidak begitu baik kerana pemain lain akan turut berada dalam keadaan tertekan dan ketakutan malahan tidak menyeronokkan. Hukuman boleh meningkatkan motivasi atlet untuk memperbaiki diri dan prestasinya. Namun, hukuman dan dendaan yang keterlaluan akan menjejaskan dan mendatangkan kesan negatif untuk jangka masa panjang.

Tiga Model Motivasi

(a) Model Motivasi Keperluan-tujuan

Model motivasi keperluan-tujuan dimulai dengan perasaan keperluan individu. Keperluan ini kemudian ditransformasikan menjadi perilaku yang diarahkan untuk mendukung pelaksanaan perilaku tujuan. Tujuan dari perilaku adalah untuk mengurangkan keperluan yang dirasakan. Secara teori, perilaku mendukung tujuan dan perilaku tujuan berkelanjutan sampai keperluan yang dirasakan telah berkurangan atau dipenuhi.

(b)Model Ekspektasi Motivasi Vroom

Sebenarnya, proses motivasi adalah lebih rumit daripada yang digambarkan oleh model motivasi keperluan-tujuan. Model Ekspektasi Motivasi Vroom mengatasi beberapa kerumitan tambahan. Sama seperti model keperluan-tujuan, Model Ekspektasi Motivasi Vroom adalah berdasarkan pada premis bahawa keperluan yang dirasakan menyebabkan perilaku kemanusiaan. Akan tetapi, model ini telah menangani isu kekuatan motivasi. Kekuatan motivasi adalah peningkatan keinginan individu untuk menjalankan sesuatu perilaku. Ketika keinginan meningkat atau menurun, kekuatan motivasi dikatakan berfluktuasi.

(c) Model Motivasi Porter-Lawler

Porter dan Lawler telah mengembangkan suatu model motivasi yang menggambarkan huraian proses motivasi yang lebih lengkap dibandingkan model motivasi keperluan-tujuan atau Model Ekspektasi Motivasi Vroom. Model Motivasi Porter-Lawler ini konsisten dengan dua model sebelumnya di mana model ini menerima premis bahawa keperluan yang dirasakan akan menyebabkan perilaku kemanusiaan dan usaha yang dilakukan untuk mencapai suatu tugas ditentukan oleh nilai balas jasa yang dirasakan.

Lima Panduan Untuk Membina Motivasi Kepentingan Motivasi Pencapaian dan Kegigihan Bertanding

Untuk mengatasi masalah dalam sukan, seseorang yang telah hilang minat dalam sukan mestilah digalakkan supaya aktif semula, terus berusaha dan mencapai kepuasan daripadanya. Sumber yang penting ialah motivasi. Garis panduan bagi memotivasikan atlet supaya mempertingkatkan persembahannya yang dicadangkan Vincent dan Mohd. Sofian (dalam Mohd. Sofian, 2002) adalah seperti berikut:

(a) Sifat Motivasi dalam Dua Keadaan

Penyertaan yang kurang bermotivasi biasanya berpunca daripada gabungan faktor peribadi dan situasi. Faktor peribadi boleh menyebabkan seseorang atlet kurang bermotivasi tetapi situasi atlet perlu turut diambil kira. Selalunya, adalah lebih mudah bagi seseorang jurulatih itu menukarkan keadaan daripada mengubah personaliti atletnya. Jurulatih seharusnya tidak hanya menfokuskan perhatian kepada sifat peribadi atau situasi sahaja tetapi pertimbangkan interaksi antara kedua-duanya.

(b) Memahami Dan Mengenali Tujuan Penglibatan Atlet

Jurulatih perlu memahami dan mengenali motivasi atau tujuan seseorang melibatkan diri dalam sukan. Gould dan Petlichkoff (1988) menunjukkan tujuan penyertaan atlet dalam sukan ialah memperbaiki kemahiran, mendapatkan keseronokan, mendampingi kawan-kawan, inginkan pengalaman, mendapat kejayaan dan memperbaiki kesihatan. 

Untuk membina motivasi dalam diri atlet, jurulatih haruslah:
  • mengkaji setiap individu tentang apa yang mereka suka dan tidak suka mengenai sesuatu aktiviti. Dengan cara ini, jurulatih dapat menyelaraskan kegemaran mereka dalam latihan untuk mempertingkatkan motivasi mereka.
  • mengetahui serba sedikit maklumat tentang individu yang terlibat. Jurulatih akan lebih memahami individu tersebut dan boleh menerapkan teknik-teknik motivasi yang sesuai dengan peribadinya. meminta setiap peserta menulis sebab mereka terlibat dalam sukan atau latihan.
  • Sebab-sebab ini boleh dijadikan panduan dalam perancangan sesuatu latihan.

(c) Perubahan Persekitaran Mengubah Motivasi

Kita perlu menggunakan pengalaman peserta atau pemain untuk menyediakan satu persekitaran yang sesuai untuk bersukan bersesuaian dengan kehendak mereka. Misalnya, seorang pengurus taman sesuatu daerah mengetahui bahawa setengah atlet dewasa lebih berminat kepada pertandingan dan setengah lagi tidak. Oleh itu, pengurus taman itu harus menjadikan permainan sofbol bukan sahaja sebagai pertandingan tetapi juga sebagai rekreasi. Perubahan ini akan menambah jumlah peserta dengan memberi apa yang dikehendaki mereka. Oleh itu, seseorang jurulatih hendaklah merangka keadaan untuk merealisasikan motivasi bermaksud merangka keadaan dengan mengkaji pelbagai kehendak.

(d) Pengaruh Motivasi Seorang Jurulatih

Seseorang jurulatih mempunyai peranan yang kritikal untuk mempengaruhi motivasi atlet. Contohnya, seorang jurulatih yang cergas dan periang akan memberikan pertimbangan yang teguh dan waras. Dalam beberapa tahun atlet akan mengenali sikap seseorang jurulatih itu secara lebih mendalam. Walau bagaimana pun, jurulatih mungkin akan mengalami hari yang kurang baik dan bersikap kurang ceria dan seterusnya boleh mempengaruhi altet menyebabkan mereka tidak puas hati atau keciwa. Tingkah laku jurulatih pada hari-hari tersebut akan mempengaruhi suasana motivasi atlet. Sebagai seorang yang profesional, jurulatih seharusnya bertungkus-lumus mengatasi hari-hari yang kurang baik tersebut.

(e) Penggunaan Perubahan Tingkah Laku untuk Mengubah Motif Atlet yang Tidak Disenangi
Atlet-atlet adalah manusia biasa yang melibatkan diri dalam sukan dengan motif yang berlainan. 

Jurulatih perlu cuba mengubah motif atlet yang tidak disenangi. Sebagai contoh, seorang pemain bola sepak telah mencederakan pemain utama pasukan lawan demi kemenangan. Jurulatih harus menggunakan teknik perubahan sikap untuk mengubah motif yang tidak diingini iaitu, jurulatih harus menekankan sikap permainan bersih, menegur pemain yang agresif sambil membincangkan kelakuan yang sepatutnya bersama atlet. Dengan ini, perubahan sikap dapat mengubah motivasi seseorang atlet.

Atlet-atlet adalah manusia biasa yang melibatkan diri dalam sukan dengan motif yang berlainan. Jurulatih perlu cuba mengubah motif atlet yang tidak disenangi. Sebagai contoh, seorang pemain bola sepak telah mencederakan pemain utama pasukan lawan demi kemenangan. Jurulatih harus menggunakan teknik perubahan sikap untuk mengubah motif yang tidak diingini iaitu, jurulatih harus menekankan sikap permainan bersih, menegur pemain yang agresif sambil membincangkan kelakuan yang sepatutnya bersama atlet. Dengan ini, perubahan sikap dapat mengubah motivasi seseorang atlet.

Teori Motivasi Pencapaian

Motivasi pencapaian bermaksud kecederungan seseorang atlet sama ada mendekati atau mengelakkan diri dari situasi yang kompetitif atau berasaskan pencapaian (Shaharudin, 2002). Seseorang individu menyertai sukan bergantung kepada dua motif utama iaitu motif intrinsik dan motif ekstrinsik. Motif intrinsik adalah secara dalamam seperti keinginan memperbaiki pencapaian sendiri, meningkatkan tahap kesihatan dan keseronokan. Motif ekstrinsik adalah secara luaran seperti keinginan mendapatkan ganjaran, penghormatan atau lain-lain perkara yang bersifat kebendaan. Antara teori yang mengupas pendekatan motivasi pencapaian ini adalah model motivasi pencapaian McClelland dan Atkinson. Menurut model ini, motivasi itu terbentuk berdasarkan motif untuk mencapai kejayaan dan takut kepada kegagalan. Keinginan seseorang atlet melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti bergantung kepada motif untuk mencapai kejayaan atau takut kepada kegagalan. sekiranya atlet tersebut yakin akan berjaya, maka dia akan melibatkan diri. Sebaliknya, sekiranya dia merasa tidak yakin, dia tidak akan menyertai aktiviti berkenaan. Dengan kata lain, penyertaan seseorang atlet dalam sebarang aktiviti boleh dilihat berdasarkan formula berikut: Motivasi Pencapaian = Motivasi Intrinsik – Kebimbangan Kognitif Seketika

Situasi berikut menerangkan penggunaan model ini. Lim ialah seorang wakil sekolah yang handal dalam bola keranjang. Dia ditukarkan ke sekolah baru kerana pemindahan rumah. Di suasana baru itu, dia mencuba nasib untuk mewakili pasukan bola keranjang sekolah. Walau bagaimana pun, dia memerhatikan ramai calon lain lebih tinggi dan lebih handal daripadanya. Sekiranya dia masih memegang pada persepsi asalnya, dia tidak akan mencuba nasibnya ( takut kepada kegagalan). Sebaliknya, sekiranya dia merasakan dirinya mempunyai kebolehan yang setara dengan calon-calon lain, maka dia akan memilih untuk menyertai ujian pemilihan tersebut (motif untuk mencapai kejayaan).

Elemen motivasi ekstrinsik membantu menjelaskan mengapa seseorang individu terus menyertai sesuatu aktiviti walaupun motif untuk mencapai kejayaan individu tersebut rendah. Ini mungkin disebabkan oleh pengaruh motivasi ekstrinsik seperti ganjaran wang, piala, pujian atau anugerah. Dengan elemen luaran ini, Atkinson mengakui bahawa terdapat kesan pengaruh luaran dalam motivasi individu.

Pembentukan Motivasi Pencapaian dan Kegigihan Bertanding

Atlet yang bermotivasi dalaman akan sentiasa mengekalkan penglibatannya dalam aktiviti fizikal atau sukan. Namun, seseorang jurulatih perlu membentuk lagi motivasi atletnya dengan pelbagai strategi.

(a) Mewujudkan Pengalaman Kejayaan

Kejayaan atlet boleh dipastikan dengan menstrukturkan aktiviti di setiap peringkat latihan. Misalnya, dalam latihan jaringan, saiz gol boleh dibesarkan atau dikecilkan mengikut kebolehan atlet sehingga dia mencapai kejayaan. Dengan bertambahnya kejayaan dalam penguasaan kemahiran dan persembahan dalam latihan, atlet akan ditingkatkan keyakinan kejayaan dalam sesuatu pertandingan. Pengalaman kejayaan itu dapat menguatkan lagi keinginan bersaing

(b) Meningkatkan Keyakinan Diri Atlet

Keyakinan diri penting untuk persembahan yang baik dan perlu dibina. Aktiviti yang boleh meningkatkan keyakinan diri atlet adalah memberi maklum balas positif kepada atlet terhadap perlakuan yag betul dan tepat, berfikiran positif, berlatih dengan pemain yang berkebolehan dan sebagainya.

(c) Latihan Berperingkat

Proses latihan berperingkat akan membina keyakinan diri atlet dengan menilai keupayaan kendiri. Atlet akan berlatih menguasai kemahiran dengan latih tubi. Setelah kemahiran dikuasai, atlet itu boleh menilai diri sendiri berbanding dengan orang lain untuk memperbaiki kelemahan. Proses terakhir ialah atlet telah dapat mengintegrasikan penguasaan kemahiran dan telah bersedia untuk membuat perbandingan dengan orang lain.

(d) Pelbagaian Kandungan Latihan

Perasaan bosan ialah musuh utama bagi setiap pemain yang terlibat dalam sebarang kegiatan sukan. Perasaan kurang seronok merupakan sebab asas seseorang atlet keluar daripada kegiatan sukan ( Sofian, 2002). Oleh itu, jurulatih haruslah merancang program latihan yang mempunyai kandungan dan turutan latih tubi yang dapat dipelbagaikan bagi setiap sesi latihan. Sesi latihan boleh menjadi menarik dan menyeronokkan dengan pengisian peluang-peluang untuk belajar, menunjukkan kemahiran baru dan melibatkan diri dalam simulasi pertandingan.

(e) Penetapan Matlamat Diri yang Realistik

Seseorang atlet perlu mempunyai matlamat kendiri untuk meningkatkan motivasi dalaman. Matlamat-matlamat ini tidak semestinya hasil pencapaian prestasi tetapi ia boleh dalam bentuk peningkatan prestasi kendiri atau kawalan emosi kendiri. Atlet juga perlu menetapkan objektif khusus yang boleh diukur. Misalnya, dalam latihan jaringan, atlet boleh menetapkan bilangan gol yang perlu dijaringkan dalam setiap sesi latihan.

(f) Penglibatkan Pemain Dalam Membuat Keputusan

Jurulatih harus memberi atlet-atletnya tanggungjawab untuk membuat sesuatu keputusan dan peraturan. Dengan ini, kawalan persepsi akan ditingkatan dan pencapaian peribadi dapat dirasai. Misalnya, pemain-pemain diberi peluang merancang atau membuat perubahan terhadap aktiviti-aktiviti latih tubi.

(g)Latihan Simulasi

Latihan simulasi dijalankan dalam keadaan yang hampir sama dengan pertandingan sebenarnya. Atlet akan dapat membiasakan diri dengan pertandingan sebenar yang akan dihadapinya. Kelemahan penguasaan kemahiran dan strategi dapat dikesan dan dibaiki dalam latihan simulasi. Atlet akan bersedia untuk menghadapi pertandingan dengan penuh keyakinan.

Penggunaan Motivasi Pencapaian dan Kegigihan Bertanding dalam Latihan

Seseorang jurulatih yang baik dan berkesan akan cuba meningkatkan dan mengekalkan motivasi atletnya. Motivasi intrinsik harus dipupuk dan dikembangkan dalam diri setiap atlet. Peranan jurulatih adalah berusaha memastikan atlet mereka memilih motivasi intrinsik. Sebaliknya, atlet yang mempunyai motivasi ekstrinsik biasanya bermain untuk ganjaran yang berupa kebendaan, penghargaan dan publisiti. Ganjaran kebendaan akan hilang lebih cepat jika dibanding dengan ganjaran kepuasan atau motivasi intrinsik.

Tahap motivasi intrinsik meningkat bila atlet merasakan dia telah mempamerkan prestasi yang baik berbanding dengan mereka yang mempunyai persepsi kejayaan yang rendah. Menang atau kalah adalah tidak penting dalam penentuan motivasi intrinsik. Apa yang perlu dilakukan oleh jurulatih atau guru ialah memberikan maklum balas yang subjektif terhadap perlakuan yang baik walau pun objektifnya tidak tercapai. Justeru itu, jurulatih harus menstruktur dan menggunakan ganjaran (dan strategi-strategi lain) untuk meningkatkan persepsi kejayaan melalui motivasi intrinsik atlet mereka.

Kesimpulan
Tajuk ini telah merangkumi beberapa aspek motivasi pencapaian dan kegigihan bertanding. Pengetahuan motivasi dalam latihan ini akan membantu jurulatih, guru dan pihak-pihak lain yang berkaitan untuk meningkatkan motivasi atlet mereka. Dan diharapkan atlet-atlet ini akan mengekalkan motivasi mereka dalam latihan dan pertandingan.


Tiada ulasan:

Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...