Pengenalan
Psikologi sukan boleh ditakrifkan sebagai satu bidang kajian
saintifik yang melihat kesan serta pengaruh sesuatu aktiviti terhadap perlakuan
fizikal, efektif serta kognitif mereka yang terbabit secara langsung mahupun
tidak langsung dengan aktiviti tersebut. Menurut pakar psikologi sukan, (Wann,
1997), bidang ini membabitkan bidang sukan dan pergerakan. Antaranya Cox (1998)
menjelaskan bahawa psikologi sukan merupakan satu bidang sains atau
prinsip-prinsip psikologi diaplikasi dalam bidang sukan. Bagi Weinberg dan
Gould (1999), Modul Pengenalan kepada psikologi sukan pula merumuskan
bahawa psikologi sukan merupakan satu bidang kajian saintifik tentang manusia
dan perlakuan mereka dalam konteks sukan dan pergerakan. Takrifan ini membuka
skop yang lebih luas dalam bidang psikologi sukan dengan mengambil kira segala
bentuk perubahan yang berlaku kepada atlit, jurulatih, pegawai serta penonton
digelanggang atau padang permainan serta melibatkan mereka yang menyaksikan
atau mengikuti perkembangan aktiviti tersebut dari jauh. Kajian dalam psikologi
sukan juga membolehkan kita menyatakan sesuatu tingkah laku, menerangkan
tingkah laku tersebut, dan membuat andaian tentang tingkah laku.
Keadaan seseorang atlit diterangkan melalui pendekatan psikologi
bagi mendapatkan kaedah yang sesuai untuk menangani masalah atlit. Ringkasnya,
seseorang ahli psikologi sukan bukan sahaja berminat untuk mengetahui apa yang
berlaku digelanggang serta kesan langsung terhadap atlit serta pegawai yang
terbabit malahan kepada mereka terlibat secara tidak langsung di luar
gelanggang permainan.
Kebangkitan dan Kebimbangan Dalam Sukan
Cuba kita selami perasaan yang sedang dirasai oleh tiga orang ahli
gimnastik Nadia, Mei Lin, Sharmila. Mereka sedang menunggu giliran untuk
menunjukkan kebolehan masing-masing dalam satu kejohanan gimnastik yang disaksikan
oleh ribuan penonton. Nadia kurang gemar beraksi di hadapan penonton kerana
kehadiran penonton memberikan tekanan kepada beliau. Tahap kebimbangan Nadia
akan bertambah bila beraksi di hadapan penonton. Kesannya, prestasi Nadia
menurun jika dibandingkan semasa sesi latihan.
Mei Lin pula berbeza dari Nadia. Beliau kelihatan relaks semasa
pertandingan. Kehadiran penonton yang ramai serta tekanan pertandingan tidak
memberi sebarang kesan kepada Mei Lin. Sikap Mei Lin yang relaks serta
bersahaja menyebabkan prestasi beliau merosot kerana tekanan pertandingan tidak
begitu dirasai. Rasa bimbang untuk memberikan persembahan yang terbaik tidak
cukup kuat untuk membolehkan Mei Lin beraksi dengan baik.
Sharmila pula melihat pertandingan sebagai satu peluang untuk beliau
meningkatkan kemampuannya. Kehadiran penonton yang ramai serta pertandingan itu
sendiri sebenarnya memberikan tekanan kepada beliau. Bagaimanapun tahap
kebimbingan yang disebabkan oleh kehadiran penonton serta tekanan pertandingan
masih lagi di tahap yang terkawal. Hasilnya, Sharmila dapat memberikan tumpuan
kepada aksi beliau serta dapat memberikan persembahan yang terbaik dalam
pertandingan tersebut.
Perkara yang ingin diutarakan dalam situasi diatas adalah kesan dan
pengaruh kebangkitan, kebimbangan, dan tekanan serta kaitannya dengan prestasi
individu dalam sukan. Fenomena ini bukan sahaja dihadapi oleh atlet di
peringkat tertinggi, malahan kita juga pernah menghadapi situasi ramai, rasa
bimbang apabila berada ditempat tinggi dan pelbagai situasi yang menekan
sebenarnya berkait rapat dengan ketiga-tiga elemen ini. Perbincangan tajuk ini
berkisar tentang kebangkitan, stres dan kebimbangan; kesan dan pengaruhnya
terhadap prestasi manusia; teori dan pendekatan yang digunakan untuk
menjelaskan tentang fenomena inin serta kajian yang berkaitan dan
langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan kebangkitan? Banyak definisi yang
diutarakan oleh pakar psikologi sukan untuk menjelaskan tentang kebangkitan. Menurut
Cox (1998), kebangkitan dapat didefinisikan sebagai tahap kesediaan.
fisiologi yang berada dalam satu kontinum dari tidur yang lena
sehingga kepada keseronokan yang terlampau. Cratty (1989), mendefinisikan
kebangkitan sebagai kesediaan untuk beraksi secara fizikal, intelektual atau
perseptual. LeUnes dan Nation (1989) mentakrifkan kebangkitan pula, merujuk
kepada aktivasi psikologi individu. Manakala Wann (1997), mendefinisikan
kebangkitan sebagai tahap kesediaan fisiologi untuk beraksi secara fizikal,
intelektual atau perseptual yang tidak dipengaruhi oleh emosi.
Berdasarkan definisi yang diutarakan di atas, terdapat persamaan
yang nyata tentang kebangkitan. Ia merujuk kepada tahap kesediaan seseorang
individu dalam menghadapi stimulus yang terdapat di persekitaran. Menurut Wann
(1997), kebangkitan sebenarnya bersifat neutral, sementara kesannya sama ada
positof atau negatif bergantung kepada tafsiran individu terbabit. Untuk
memudahkan pemahaman kita tentang kebangkitan, ia didefinisikan sebagai tahap
kesediaan fisiologi individu untuk bertindak secara fizikal mahupun mental.
Kebimbangan (Anxiety)
Apakah pula yang dimaksudkan dengan kebimbangan? Menurut Wann
(1997), kebimbangan ialah sesuatu yang negatif dan boleh mempengaruhi
pencapaian atlit dalam sukan. Ia merujuk kepada tafsiran kognitif yang dibuat
oleh individu terhadap apa yang terdapat di persekitarannya. Jika tafsiran
tesebut menjurus kepada sesuatu yang mendatangkan kesan negatif, maka ia
menghasilkan kebimbangan.
Apabila memperkatakan kebimbangan di kalangan atlit maka perlu
dijelaskan mengenai kebimbangan tret dan kebimbangan seketika. Berdasarkan
kepada Silva dan Stevens (2002) kebimbangan tret adalah merujuk kepada
personaliti seseorang individu di mana ia bersifat stabil dan mereka sering
mentafsirkan situasi persekitaran dengan perasaan risau atau bimbang yang boleh
meningkatkan tahap kebangkitan (arousal). Ini menunjukkan kebanyakan
masyarakat mempunyai tahap kebimbangan tret yang sederhana dan sedikit sahaja
yang tinggi atau rendah tahap kebimbangan tret. Manakala kebimbangan seketika
merujuk kepada tahap kebimbangan semasa yang terhasil dari persepsi individu
terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitaran pada waktu itu
(Shaharudin 2001).
Jenis-jenis Kebimbangan
Kebimbangan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya Kebimbangan
Seketika (State Anxiety), Kebimbangan Tret (Trait Anxiety), Kebimbangan
Kognitif ( Cognitive Anxiety) dan Kebimbangan Somatik (Somatic
Anxiety).
Kebimbangan Seketika (State Anxiety) adalah tahap kebimbangan
semasa yang terhasil atau berlaku dari persepsi individu terhadap bentuk
tekanan yang terdapat di persekitarannya pada waktu itu seperti perasaan
khuatir/bimbang, takut, tekanan dan kebangkitan fisiologikal.
Kebimbangan Tret (Trait Anxiety) merujuk kepada ciri-ciri
personaliti individu yang sering mentafsir situasi di persekitaran mereka
sebagai menekan atau menggugat diri dan situasi ini akan meningkatkan lagi
tahap kebimbangan mereka.
Kebimbangan Kognitif ( Cognitive Anxiety) merupakan proses
mental yang bersifat kognitif yang berlaku akibat dari tafsiran terhadap
situasi semasa.Sebagai contoh ketakutan terhadap penilaian sosial, takut
terhadap kegagalan dan kehilangan harga diri (self esteem).
Kebimbangan Somatik (Somatic Anxiety) pula merujuk kepada aspek
fisiologikal dan afektif individu yang terbabit kesan dari kebimbangan kognitif
yang wujud dalam diri individu tersebut. Sebagai contoh peningkatan kadar
degupan jantung, pernafasan dan ketegangan otot-otot. Ini akan mengakibatkan
individu hilang, rasa marah-marah, kurang yakin serta mendatangkan kesan kepada
prestasi individu.
Perbandingan kebangkitan dan kebimbangan
Ciri perbezaan antara kebangkitan dan kebimbangan telah dijelaskan
dengan sebegitu rupa untuk menerangkan tentang perbezaan antara kedua-duannya,
serta untuk mengelakkan salah tafsiran tentang apa yang dimaksudkan dengan
kebangkitan dan kebimbangan. Bagaimanapun, untuk menjelaskan tentang teori yang
berkaitan dengan kebimbangan, kedua-duanya perlu dilihat dalamm konteks yang
sama kerana kebangkitan sering dilihat sebagai hampir sama dengan kebimbangan
seketika (Cox, 1998). Dalam bahagian ini, akan diutamakan teori-teori yang
menjelaskan tentang perkaitan antara kebangkitan dan kebimbangan dengan
prestasi atlet.
Proses Kebangkitan
Secara ringkasnya, kebangkitan berpunca dari tindakan Sistem Saraf
Autonomik (SSA). SSA mengawal tindakan automatik serta fungsi luar kawal badan
seperti degupan jantung, pernafasan dan tekanan darah. Ia boleh dibahagikan
kepada sistem simpatetik dan parasimpatetik. Sistem simpatetik boleh dianggap
sebagai pusat kebangkitan, dengan menyediakan badan untuk tindakan flight or
flight sementara parasimpatetik pula berfungsi sebagai penenang (menurunkan
kebangkitan), Bagi manusia, proses kebangkitan berkait rapat dengan proses
homeostasis iaitu proses menstabilkan tahap fisiologi manusia (Wann, 1997).
Setiap individu mempunyai tahap kebangkitannya yang tersendiri
(optimum) serta berbeza dengan individu yang lain. Sekiranya aktiviti
simpatetik meningkatk, maka tahap kebangkitan seseorang individu juga akan
meningkat melebihi tahap optimum. Justeru itu, parasimpatetik bertanggungjawab
untuk menurunkan tahap kebangkitan seseorang individu agar kembali kepada tahap
asal (hemeostasis).
Tahap Optimum Kebangkitan
Kebangkitan boleh diletakkan dalam satu kontinum yang terdiri dari
tidur yang lena sehinggalah kepada keseronokan yang terlampau (Cox, 1998).
berdasarkan kajian, organisma hidup sebenarnya mencari satu tahap kebangkitan
yang sesuai dan selamat ketika melakukan sesuatu tugasan. Tahap ini dikenali
sebagai tahap kebangkitan yang optimum. Keinginan mendapatkan tahap kebangkitan
yang optimum ini dikenali sebagai sensoristasis (Schultz, 1965). Menurut Duffy
(1957) tahap kebangkitan yang optimum sebenarnya berada dipertengahan iaitu
tahap kebangkitan yang tidak terlalu tinggi dan juga tidak terlalu rendah.
Indikator Kebangkitan
Pelbagai cara boleh digunakan untuk mengesan tahap kebangkitan
seseorang individu. Antara kaedah yang biasa digunakan dengan mengunakan alat
elektrofisiologikal. Bagaimanapun, tidak ada satu cara yang paling tepat untuk
mengukur kebangkitan (Cox, 1998; Tenenbaum, 1984). Jesteru itu, kita perlu
berhati-hati ketika mengukur dan mengesan tahap kebangkitan individu. Antara
cara sesuai digunakan untuk mengesan tahap kebangkitan adalah peningkatan kadar
nadi, ketengangan otot, pengeluaran peluh, peningkatan pernafasan, perlakuan
yang tidak teratur, percakapan yang terlalu laju serta hilang rentak perlakuan
yang biasa.
Stres
Menurut Hans Selye (1982), stres merupakan respons tubuh badan tanpa
emosi terhadap bebanan atau tekanan yang
dihadapi di persekitaran. Antara bentuk tekanan yang dihadapi adalah tekana
fizikal iaitu tekanan yang berpunca dari penglibatan dalam akktiviti, tekanan
mental seperti rasa sedih, kecewa dan seronok serta bentuk tekanan yang lain.
Apa pun bentuk tekanan yang diterima, reaksi fisiologikalnya tetap sama.
Seperti mana dengan kebangkitan, stres merupakan tindak balas
fisiologikal yang neutral terhadap tekanan atau bebanan yang terdapat di
persekitaran. Nilai stres sama ada positif atau negatif, sebenarnya bergantung
kepada tafsiran yang dibuat oleh individu yang menghadapinya. Justeru itu,
stres dn kebangkitan mempunyai persamaaan yang ketara iaitu kedua-duanya
bersifat neutral serta tidak mempunyai pengaruh emosi.
Selye (1982) menjelaskan bahawa stres boleh dikategorikan kepada
empat kategori utama dan dibahagikan kepada dua variasi yang berbeza iaitu eustres-distres serta hiperstres-hipostres. Ia bergantung kepada
interpretasi kognitif individu itu sendiri.
Eustres
Sekiranya individu tersebut merasakan bahawa stres yang di alaminya
bersifat positif, maka ia disebut eustres. Contohnya, perasaan serta debaran
yang dirasai oleh seorang atlet sementara menantikan namanya di umumkan sebagai
pemenang serta dikalungkan dengan pingat emas. Stres yanag di alami dalam
bentuk debaran di tafsirkan sebagai positif oleh atlet tersebut.
Distres
Sekiranya individu tersebut membuat interpretasi bahawa stres yang
dialaminya bersifat negatif, maka ia disebut distres. Individu merasakan bahawa
beliau tidak mampu untuk menghadapi bebanan atau tekanan yang di hadapi di
persekitaran. Contohnya, apabila seorang ahli gimanastik terjatuh dari balance
beam. Walaupun ahli gimnastik tersebut meneurskkan semula rutin beliau rasa
takut jatuh kali kedua serta kebimbingan yang dirasai kerana kehilangan mata
sebelumnya memberikan kesan kepada beliau.
Hiperstres
Hiperstres berlaku di mana keaaan tahap serta jumlah yang dialami
melampaui kemampuan kita menanggani stres tersebut. Contohnya dalam keadaan
tertekan yang teramat sangat seseorang individu menjadi kaku serta tidak dapat
memberikan sebarang reaksi.
Hipostres
Hipostres pula ialah jumlah atau bentuk stres yang dialami tidak
langsung merangsang atau membimbangkan individu tersebut. Hasilnya kebosanan
berlaku. Seseorang yang mengalami hipostres tidak memiliki motivasi untuk
melakukan apa-apa pun. Hipostres boleh mendorong seseorang menghadapi masalah
kemurungan (depression).
Gejala Psikologi Akibat Daripada Kebangkitan Dan Kebimbangan
Menurut Endler, 1978 (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001)
kebimbangan dan tekanan terhasil daripada gabungan lima faktor iaitu tekanan
terhadap ego, tekanan terhadap fizikal individu, ketidaktentuan, perubahan, dan
penilaian atau perbandingan sosial.
Tekanan terhadap ego
Tekanan berlaku khususnya
apabila seseorang atlet tewas sesuatu perlawanan khususnya
kepada lawan yang lebih rendah rankingnya. Ego atlet ini akan tercabar serta
tertekan. Beliau juga merasa kurang yakin untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan tahap kebimbangan seketika atlet ini.
Tekanan terhadap fizikal individu
Seseorang atlet
akan berasa bimbang sekiranya beliau tahu bahawa ada usaha oleh pihak lawan
untuk menewaskan beliau secara fizikal.
Ketidaktentuan
Keputusan yang belum pasti, perlawanan yang berlarutan
‘sudden death’ serta saat-saat mencemaskan yang menentukan menang-kalah
sesebuah pasukan mempunyai elemen ketidaktentuan ini. Kita tidak akan berasa
bimbang sekiranya kita tahu kita akan menang atau tidak mempunyai harapan lagi
untuk menang.
Perubahan
Sebarang bentuk perubahan
sebenarnya akan menyebabkan kita menjadi kurang selesa dengan persekitaran
kerana ia bukan rutin harian. Contohnya seorang pemain yang biasa dengan kaedah
latihan seorang jurulatih akan merasa tertekan dengan kehadiran seorang
jurulatih baru yang membawa pendekatan serta corak latihan dan matlamat yang
baru.
Penilaian atau perbandingan sosial
Kita akan merasa tertekan sekiranya
kita tahu bahawa prestasi kita akan dinilai atau dibandingkan dengan orang
lain. Debaran yang dirasakan di garisan permulaan sebelum masuk ke padang atau
gelanggang mahupun ketika mengambil peperiksaan merupakan ciri-ciri kebimbangan
seketika yang dihasilkan menerusi penilaian. Justeru itu, kemampuan mengubah
tafsiran merupakan elemen untuk menangani masalah itu.
Bagaimana Kebangkitan dan Kebimbangan Mempengaruhi Prestasi
Pengaruh kebangkitan dan kebimbangan terhadap prestasi dapat dilihat dengan
jelas menerusi teori dorongan, teori U-terbalik dan model bencana Hazey dan
Hardy. Teori Dorongan (dalam buku
Shaharudin Abd Aziz, 2001). Teori dorongan ini telah diperkenalkan oleh Hull
(1943, 1951) dan Spence (1956). Teori ini menjelaskan tentang persaingan di
antara respons yang terdapat dalam sesuatu proses pembelajaran.
Teori ini boleh
dijelaskan dengan formula berikut:
Prestasi = Kebangkitan x Tahap Kemahiran
Teori Dorongan ini beroperasi berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
- Peningkatan kebangkitan (dorongan) akan menghasilkan respons yang dominan.
- Respons atau tindak balas yang dikaitkan dengan keinginan yang kuat merupakan respons yang paling dominan.
- Pada tahap awal pembelajaran atau untuk kemahiran yang kompleks, respons yang dominan lazimnya kurang tepat atau salah.
- Ditahap akhir pembelajaran atau untuk kemahiran yang mudah, respons yang dominan lazimnya tepat atau betul.
Teori ini menyimpulkan bahawa kebangkitan yang tinggi diperlukan oleh
atlet yang berpengalaman untuk membantu mereka mencapai kejayaan. Manakala
kebangkitan yang rendah sesuai untuk meningkatkan peluang kejayaan untuk
atlet baru. Ini seterusnya akan meningkatkan keyakinan diri mereka.
Teori U-Terbalik. Teori
ini diperkenalkan oleh Yerkes dan Dondon, 1908 (dalam buku Shaharudin Abd Aziz,
2001) yang menggunakan tikus untuk menguji perkaitan di antara kebangkitan dan
tahap kesukaran tugasan serta kesannya ke atas prestasi.
Berdasarkan teori ini tahap kebangkitan yang tinggi diperlukan untuk
mendapatkan prestasi yang baik apabila melakukan aktiviti yang melibatkan
penggunaan otot besar (gross motor skill) atau yang menggunakan tenaga yang
tinggi. Namun begitu prestasi tersebut akan menurun secara berkadar selepas
atlet tersebut mencapai tahap kebangkitan yang optimum. Ini mungkin berlaku
kerana fisiologikal kebangkitan atlet tersebut sudah tidak boleh lagi
ditinggikan atau atlet tersebut sudah bosan dengan pertandingan tersebut.
Model Bencana Gagasan yang
diutarakan oleh Fazey dan Hardy 1988 (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001)
mencabar gagasan teori U-Terbalik yang mengandaikan bahawa:
- Peningkatan tahap kebangkitan yang sedikit akan meningkatkan atau menurunkan sedikit prestasi atlet.
- Tahap kebangkitan yang sederhana menghasilkan prestasi yang optimum. Teori ini menerangkan bahawa peningkatan kebangkitan fisiologi dan kebimbangan kognitif yang keterlaluan akan menyebabkan penurunan prestasi (bencana) kepada atlet tersebut.
Bagaimana Mengatasi Masalah Kebangkitan dan Kebimbangan
Untuk mendapatkan prestasi yang baik dalam sesuatu pertandingan, tahap
kebangkitan, tekanan dan kebimbangan yang dialami oleh atlet perlu dikawal.
Tanpa pengawalan yang betul prestasi atlet boleh merosot. Latihan mental
merupakan kaedah yang berkesan untuk mengawal tahap kebangkitan. Kejayaan seseorang
atlet dalam pertandingan bergantung kepada keupayaan atlet untuk mengawal
mentalnya. Ini penting kerana mental yang baik dapat mengawal tubuh badan
dengan baik. Latihan Relaksasi Otot Progresif merupakan satu bentuk latihan
mental yang boleh dilakukan untuk mengawal tahap kebangkitan. Relaksasi
merupakan suatu teknik yang digunakan bagi mengurangkan rasa tekanan terhadap
diri sendiri dengan cara mengurangkan kontraksi otot-otot tubuh ke tahap paling
minimum (Harrey, 1994 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2002). Jacobson
1938, (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2002), latihan relaksasi boleh
dibahagikan kepada dua iaitu relaksasi aktif dan relaksasi pasif. Relaksasi
aktif adalah latihan yang menumpukan seluruh perhatian kepada tubuh badan iaitu
teknik otot ke minda. Contohnya ialah yoga, tai chi dan relaksasi progresif.
Relaksasi pasif pula merupakan teknik yang menumpukan perhatian otak ke otot.
Teknik ini memerlukan otak mengenal dan menghantar segala rangsangan yang
diterima kepada otot skeletal. Antara latihan yang termasuk dalam teknik
relaksasi pasif ialah latihan pernafasan, latihan autogenic, hypnosis, imageri
visual dan meditasi (Harrey, 1994 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee,
2002).
Antara langkah yang dapat diambil untuk menguruskan stres ialah kawalan
penafasan. Teknik ini dapat diguna pakai dengan cara tarik nafas, lepaskan. Keluarkan
semua masalah dan tekanan semasa menghembus nafas setelah itu tarik nafas
dalam-dalam ke diafragma dan lepaskan. Tarik nafas anda bersama tenaga dan daya
hidup yang baru. Lepaskan semua ketegangan dan kepenatan dari dalam diri anda.
Latihan Autogenik juga
merupakan salah satu konsep pengurusan stres, hampir sama dengan relaksasi
progresif. Ia merupakan satu bentuk latihan mental yang dirancang untuk melahirkan
sensasi hangat dan berat sebagai respon kepada relaksasi. Anggota badan berasa
berat kerana tidak wujud sebarang tekanan mahupun ketegangan pada otot badan
sementara kehangatan yang dirasai berpunca dari pengembangan saluran darah pada
otot berkenaan (kesan tindakan parasimpetatik).
Imageri dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menggunakan
visualisasi untuk membayangkan situasi (Block,1981). Wann (1997) pula
berpendapat bahawa imageri adalah proses yang merangkumi visualisasi mental
tentang dasar yang dilakukan sebelum atau semasa melakukan tugasan tersebut. Ia
adalah penggunaan semua deria untuk mereka atau mereka semula pengalaman dalam
minda.
Penetapan matlamat adalah
salah satu konsep pengurusan stres. Ia adalah satu proses untuk menetapkan
matlamat di mana peningkatan motivasi dan hasil dapat dicapai dalam jangkamasa
yang telah ditetapkan. Sebagai contoh tumpuan perhatian. Ia menumpukan keupayaan
atlet untuk memfokus pada maklumat yang relevan semasa pertandingan. Ia juga
merupakan satu bentuk latihan di mana atlet sentiasa mengingatkan dirinya
sendiri akan kejayaan, teknik serta kemahiran yang terbaik pernah dicapai dan
kejayaan yang boleh dicapai pada masa depan. Latihan juga membentuk kata
kendiri yang positif.
Antara faedah mengamalkan teknik ini ialah ia dapat meningkatkan
reflek minda badan dan juga kesedaran diri dan kesedaran kiu yang penting. Selain
itu, ia juga dapat meningkatkan konsentrasi dan keyakinan diri. Seterusnya,
ia dapat menurunkan kebimbangan dan mengawal
kebangkitan.
Kesimpulan
kebangkitan,
tekanan dan kebimbangan adalah saling berkait antara satu sama lain dan
merupakan sesuatu yang akan dialami oleh setiap atlet yang terlibat dalam
pertandingan. Ketiga-tiga ini merupakan faktor utama yang menentukan prestasi
atlet. Sekiranya atlet dibekalkan dengan latihan fizikal dan mental yang
mencukupi mereka seharusnya dapat mengawal dan menukar setiap desakan yang
berlaku menjadi faktor kejayaan. Diharapkan juga setiap atlet perlu mempunyai
fokus yang baik dan sentiasa mengambil tahu mengenai teknik-teknik sebenar
bagaimana untuk mengawal kebangkitan, tekanan dan kebimbangan dalam sukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan