Disclaimer

MatriXwoo2 does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.
Memaparkan catatan dengan label Pendidikan Luar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendidikan Luar. Papar semua catatan

Khamis, 16 Oktober 2014

REKREASI DAN KESENGGAGAN

REKREASI
  • Banyak berkait dengan penggunaan masa
  • Masa yang dimaksudkan ini boleh didefinasikan sebagai waktu lapang, iaitu waktu yang wujud untuk manusia bebas melakukan apa sahaja dengan kemahuan mereka sendiri.
  • Aktiviti rekreasi adalah merupakan komponen pelbagai bentuk aktiviti ruang yang dipilih oleh manusia untuk mengisi masa lapang mereka.
  • Sebagai satu aktiviti yang terancang dan mampu memenuhi masa lapang.
  • Aktiviti yang dipilih secara sukarela bertujuan untuk mendapat keseronokan, ketenangan minda dan merehatkan badan.
  • Tiada peraturan tertentu yang piawai digunakan.
  • Boleh dijalankan dan diberhentikan bila-bila masa dan dalam bentuk sejagat.
  • Kehidupan diluar rutin harian dan memberi kesan yang positif terhadap aspek jasmani,emosi, rohani dan intelektual.
  • Merupakan aktiviti fizikal dan bukan fizikal yang melibatkan darat, air dan udara samada menggunakan tenaga manusia, kuasa alam(air dan angin) atau menggunakan motor.

Dua Tahap Rekreasi
  • Tahap aktif – pendidikan luar, bersukan, berlakon, bermain alat muzik, berkebun dan berkhemah.
  • Tahap pasif – membaca, menonton televisyen, mendengar radio atau menjadi penonton aktiviti sukan dan lain-lain.

Faedah Berekreasi
         Kegembiraan dan keseronokan.
         Kepuasan
         Keseimbangan
         Pembinaan sikap
         Pembelajaran
         Kebebasan
         Kesegaran Fizikal
         Interaksi Sosial

KESENGGANGAN
Satu bentuk aktiviti yang telah digunakan oleh manusia untuk bermain, melepaskan tekanan atau keletihan daripada aktiviti kerja.
  • Dari segi istilah leisure itu berasal dari kata latin licere, yang membawa maksud ‘untuk menjadi bebas’.
  • Bahasa Perancis loisir yang bermaksud ‘membenarkan’.
  • Bahasa Inggeris pula license bermakna bebas untuk menyeleweng dari peraturan, amalan dan sebagainya.
  • Berdasarkan istilah Greek Tua leisure adalah “schole” yang bermakna aktiviti yang serius tanpa keperluan.
  • Kata school dalam bahasa Inggeris adalah berasal dari kata Greek untuk leisure tersebut.
  • Ini membawa implikasi bahawa ada hubungan yang rapat dia antara leisure atau kesenggangan dengan pendidikan.
Konsep Kesenggangan
Satu bentuk aktiviti yang mempunyai perkaitan rapat di antara rekreasi dan konsep bermain.
Ciri Kesenggangan
         Berkait masa
         Masa terluang
         Sebagai satu aktiviti
         Satu aktiviti yang menyenangkan
         Memiliki konsep yang menyeluruh “holistic”.
         Sebagai satu cara hidup
         Simbol taraf sosial.


AKTIVITI REKREASI

Aktiviti Rekreasi Luar
  • Berkhemah
  • Berbasikal Bukit (Mountain Biking)
  • Kayak
  • Mendaki Tembok Tiruan dan semulajadi
  • Mendaki Gunung ( Mountaineering )
  • Trekking
  • Paintball
  • Whitewater Rafting
  • Selam Scuba
  • Orienteering
  • Snorkeling
Aktiviti Rekreasi Dalaman
  • Sukan Siber ( Cyber Sports )
  • Permainan Catur
  • Snooker/Billiard

AKTIVITI KESENGGANGAN
  • Kebanyakan dari aktivitinya terdiri daripada aktiviti yang sama seperti aktiviti rekreasi.
  • Bebas memilih jenis aktiviti yang mempunyai tujuan tertentu.
  • Melibatkan masa yang membantu untuk melepaskan tekanan dari rutin kehidupan biasa tanpa unsur paksaan.

PENGURUSAN AKTIVITI REKREASI
         Maklumat aktiviti
         Objektif aktiviti
         Organisasi
         Persiapan
         Logistik
         Kewangan
         Pelaksanaan
         keselamatan

Maklumat Aktiviti
  • Penerangan mengenai aktiviti
  • Bagaimana untuk terlibat dalam aktiviti
  • Jika ingin mendaki sebagai contoh anda perlu mendapatkan maklumat mengenai cuaca, jarak dan bentuk muka bumi kawasan pendakian.
  • Potensi bahaya yang bakal dihadapi.
  • Peralatan asas yang diperlukan untuk aktiviti.
  • Kemudahan yang disediakan untuk pelbagai tujuan termasuk ketika berlaku kecemasan.
  • Kadar harga yang akan dikenakan.
  • Mendapat kebenaran bertulis dari pihak berwajib seperti Majlis Kerajaan Tempatan, Jabatan Perhutanan, Polis, Hospital, Bomba dan Penyelamat dan lain-lain.


Objektif Program
  • Apakah tujuan utama pelaksanaan aktiviti dan “output” yang anda inginkan.
  • Apakah tujuan keseronokan ataupun tujuan pembangunan kendiri yang perlu ditentukan.
  • Perlu boleh diukur dengan membuat perbandingan berdasarkan objektif yang telah digariskan bagi satu-satu aktiviti.

Organisasi
  • Penubuhan satu organisasi bagi merealisasikan aktiviti.
  • Memilih ahli jawatankuasa.
  • Melalui pengorganisasian semua tugasan dilakukan melalui anggota yang ada bagi mencapai objektif.

  

Ahad, 13 April 2014

ORIENTEERING : Pengenalan


PENGENALAN
            Orienteering merupakan sejenis sukan rekreasi di mana peserta akan menggunakan pengiraan yang tepat dan panduan-panduan di atas peta dengan bantuan kompas untuk mengesan sesuatu kedudukan. Peserta adalah bebas untuk memilih laluannya sendiri dengan berpandukan peta dan kompas.

            Orienteering juga yang memerlukan peserta untuk mengemudi dirinya sendiri, berjalan atau berlari semasa mengesan sesuatu kedudukan. Selain itu, peserta juga harus dapat berfikir dengan pantas semasa melakukan aktiviti orienteering ini.

Orienteering merupakan sukan yang mana memerlukan anda berfikir sambil berlari. Walau bagaimanapun anda tidak boleh mengambil masa yang lama untuk berfikir bagi mengatasi masalah pergerakan anda.

Orienteering bukanlah bergantung sepenuhnya kepada keupayaan fizikal seperti aktiviti larian yang lain. Kemahiran membaca peta merupakan elemen yang penting di dalam orienteering memandangkan anda perlu menentukan laluan yang terbaik. 

Aktiviti ini merupakan sesuatu yang memerlukan imbangan fizikal dan mental yang baik terhadap laluannya dengan mudah dapat ditewaskan oleh seseorang peserta yang perlahan lariannya tetapi memberikan tumpuan yang lebih kepada pembacaan peta dan pemilihan laluan.

JENIS-JENIS ORIENTEERING
Terdapat beberapa jenis aktiviti dalam Orienteering :-
1.      Orienteering Merentas Desa (Cross Conutry Orienteering)
Orienteering Merentas Desa ini juga dikenali sebagai Acara Klasik. Di dalam acara ini, peserta dimestikan melawat kesemua titik kawalan menurut aturan yang telah ditetapkan.

2.      . Orienteeing Bermarkah (Score Orienteering)
Dalam Orienteering jenis ini, banyak titik kawalan yang disediakan di mana setiap titik kawalan mempunyai mata yang tertentu berghantung kepada jarak dan kesukaran teknikal. Matlamat Orienteering Bermarkah adalah untuk mengumpul mata yang terbanyak dengan melawati seberapa banyak titik kawalan dalam tempoh masa yang ditetapkan

3.       Orienteering Jalanraya (Street Orienteering)
Walaupun dikenali sebagai Orienteering Jalanraya tetapi aktiviti ini tidak dijalankan di jalanraya yang sibuk. Acara ini dijalankan di kawasan perumahan. Penanda kawalan tidak digunakan sebaliknya peserta perlu mencatiti butiran atau maklumat yang terdapat di sesuatu titik kawalan seperti nombor pili bomba dan sebagainya.

4.       Orienteering Bukit (Mountain Orienteering)
Orienteering ini dijalankan di kawasan berbukit-bukau di samping jarak yang agak jauh. Acara ini juga boleh dijalankan melebihi dari satu hari dan peserta dikehendaki membawa bersama-sama peralatan bermalam.

5.       Orienteering Malam (Night Orienteering)
Orienteering Malam dijalankan di kawasan yang terbuka seperti di taman-taman tasik dengan jarak yang agak pendek demi keselamatan para peserta serta masa yang terhad. Peserta perlu membawa lampu untuk membaca peta dan mencari penanda kawalan.

6.       Orientering Berganti-ganti (Relay Orienteering)
Acara Orienteering Berganti-ganti ini dijalankan secara berpasukan 3 atau 4 orang. Setiap ahli dalam kumpulan akan menamatkan landasan sebelum digantikan oleh rakan sepasukan di satu tempat penggantian yang telah ditetapkan. Setiap peserta dalam pasukan akan melalui landasan yang berbeza.
  
7.       Norweigian Event
Acara Norwegian adalah satu acara yang diguanakan bagi menyediakan satu landasan yang panjang dalan kawasan yang kecil atau sempit.. Apabila tiba di titik kawalan pertama, peserta akan menyalin kedudukan titik kawalan yang kedua pula dari satu peta yang disediakan. Proses ini akan berterusan sehingga peserta tiba di tiik penamat.

PERALATAN-PERALATAN ORIENTEERING
Antara peralatan-peralatan yang diperlukan bagi aktiviti orienteering adalah:
-          Kompas orienteering/primastik
-          Peta
-          Parang
-          Peralatan pertolongan cemas
-          Botol air
-          Kasut yang sesuai
-          Wisel (bagi setiap peserta)
-          Alat tulis dan buku nota kecil
-          Pakaian yang sesuai

Matlamat Orienteering
-          Mendedahkan peserta tentang alam semula jadi.
-          Membolehkan mereka memperolehi pengalaman, pengetahuan dan keseronokan.

Objektif Orienteering
-     Membina sikap kerjasama, kepimpinan dan kecekapan berfikir dalam setiap peserta.
-     Memperolehi pengetahuan membaca peta dan kompas.
-     Untuk menguji tahap kemahiran berfikir peserta.
-      Membina dan meningkatkan kecergasan mental, fizikal dan daya tumpuan.
-       Membina keyakinan diri dan sikap positif.
-       Memupuk sikap keberanian dan ketenangan di dalam keadaan cemas.

Lokasi Aktiviti Orienteering
Aktiviti orienteering lazimnya dibuat di kawasan hutan yang dapat membolehkan pesertanya untuk berlari dan hutan tebal bagi aktiviti seperti latihan pandu arah. Di negara kita, kawasan atau lokasi yang sesuai untuk menjalankan aktiviti orienteering adalah di kawasan seperti ladang kelapa sawit dan ladang getah. Kawasan-kawasan membolehkan peserta berlari dengan baik serta memberi anda pelbagai pilihan laluan. Taman-taman rekreasi yang terbuka seperti taman tasik terbuka juga sesuai terutamanya bagi mereka yang baru untuk mencuba sukan orienteering.

Cabaran-cabaran Orienteering
Cabaran-cabaran dalam aktiviti orienteering ini merangkumi cabaran fizikal dan mental.
-    Cabaran fizikal. Dalam aktiviti ini, peserta memerlukan keseimbangan dan kekuatan fizikal baik, kerana peserta akan menempuh pelbagai bentuk muka bumi semasa menjalankan aktiviti orienteering ini.

-  Cabaran mental. Peserta haruslah tenang dan dapat berfikir dengan cepat dan rasional semasa menghadapi keadaan-keadaan cemas. Di samping itu, peserta juga haruslah dapat emosi mereka sepanjang menjalani aktiviti ini.


Ahad, 6 April 2014

PENDIDIKAN LUAR : Pengelolaan dan Pengurusan


Pengenalan
Perkhemahan adalah salah satu aktiviti pendidikan luar yang sering dilaksanakan untuk memenuhi masa lapang bagi merehatkan fikiran.  Di samping perkhemahan, pelbagai aktiviti yang terancang boleh dilakukan semasa perkhemahan.  Dalam menjayakan aktiviti pendidikan luar yang efisyen, jawatankuasa perlu dibentuk bagi menjalankan program yang dirancang. 

Antara jawatankuasa yang perlu dilantik ialah:
urusetia, penyelaras aktiviti, alatan, pengangkutan, keselamatan dan makanan. Program pendidikan luar yang dirancang dengan rapi boleh meberi kesan yang positif kepada mereka yang terlibat seperti lebih yakin, berdikari, bertanggungjawab setelah mengikutin program perkhemahan.

Hasil Pembelajaran
           
Pada akhir tajuk ini anda seharusnya dapat:           
  1. memahami kaedah pengelolaan dan pengurusan Pendidikan Luar.
  2. memahami dan menjelaskan perkara-perkara yang harus dilakukan sebelum, semasa dan selepas sesuatu program pendidikan luar.          



Pengelolaan dan pengurusan Pendidikan Luar di maktab /  sekolah

Pengelolaan dan pengurusan program pendidikan luar boleh dikategorikan kepada tiga fasa iaitu :

(A) Pra-Pelaksanaan

Sebelum menjalankan sebarang aktiviti pendidikan luar yang terancang  ada beberapa perkara utama yang perlu dilaksanakan dalam proses pra pelaksanaan. Antaranya adalah : 
  1. Perlantikan ahli jawatankuasa Induk dan ahli jawatankuasa kerja.
  2. Mengenalpasti personel ( jurulatih dan fasilitator ).
  3. Menyedia dan memeriksa alatan.
  4. Memeriksa dan mengenal persekitaran lokasi dan tempat.
  5. Pelan alternatif.
  6. Memaklumkan kepada pihak yang terlibat.
  7. Surat kebenaran.
  8. Mesyuarat pra-pelaksanaan.
  9. Pendaftaran peserta.
  10. Taklimat Program.


(B) Semasa Pelaksanaan

Fasa ini merupakan langkah pelaksanaan tahap kedua sebelum bermulanya aktivti. Tahap ini perlu diambilkira kerana di fasa ini penyampaian ilmu bermula, diperkaya, dipraktik dan diperkukuhkan. Fasa ini adalah kemuncak pelaksanaan aktiviti. Jika sekiranya persiapan tidak mantap atau tidak mempunyai perancangan yang terstruktur ianya akan menjejaskan pelaksanaan.

(i) Frederik Taylor telah menggariskan tiga prinsip pelaksanaan iaitu : 
  • Penentuan kerja, pengagihan tugas da peranan setiap ahli. Setiap individu harus tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing semasa melaksanakan aktiviti. 

  • Pengkhususan kerja, mengkhususkan individu mengikut kepakaran dan kebolehan. Ini boleh membantu kelancaran kerja. Bagi melancarkan tugasan adalah lebih baik jika individu diberikan tugasan dengan mengutamakan kebolehan dan minat.
  •  Perancangan dan penjadualan yang rapi, pelaksanaan akan menjadi lebih sistematik dan terarah.


(ii) Mengikut Thorndike, individu dipastikan sudah dalam keadaan besedia sebelum pembelajaran 
     bermula. 
  • Persediaan mental dan fizikal memainkan peranan penting dalam proses pengajaran individu. Kecergasan fizikal untuk menghadapi kegiatan  aktiviti yang dirancang akan membawa penghayatan, penglibatan optima dan pencapaian kendiri. Kecergasan juga membantu kepada pengurangan berlakunya kemalangan. Kurang kecergasan akan menyebabkan seseorang cepat lesu dan daya tumpuan akan menurun. 

  • Perancangan dan penjadualan yang rapi harus dibuat berasaskan kebolehan individu. Jika program yang dirancang tanpa mengambilkira kriteria dan kehendak serta keperluan individu akan mengundang kegagalan dan seterusnya menimbulkan konflik serta persoalan yang panjang.


(iii) Fayol berpendapat personel mesti melaksanakan lima kriteria semasa pelaksanaan aktiviti iaitu :
  • autoriti
  • disiplin
  • penghargaan
  • pemusatan
  • kekitaan


Autoriti adalah sebagai hak memberi arahan dan kuasa untuk menarik seseorang menurut arahan. Ketua kumpulan dilantik dan di amanahkan membantu personel dan memimpin kumpulan bagi menjalankan tugas. Asas disiplin ialah menurut arahan dan prosedur serta menghomati persetujuan yang telah dibuat.  Kerjasama, sokongan, ketaatan, tindakbalas  positif oleh individu hendaklah dihargai. Penghargaan dalam bentuk pengukuhan patut dibuat. Ini akan memberi motivasi intrinsik kepada individu yang akan memberi rangsangan kepada perlakuan atau pencapaian yang baik. Sistem pemarkahan atau merit akan memangkinkan penghasilan norma dan nilai kumpulan atau individu. Dendaan bolehlah dilaksanakan tetapi haruslah berbentuk pengajaran dan bukannya hukuman.

Walaupun personel bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kumpulan tetapi ahli kumpulan harusnya diberikan kuasa dalam melaksanakan tugas dengan efektif. Individu digalakkan berfkiran kreatif, menyoal dan diberikan peluang untuk mengemukakan pendapat. Pemusatan yang sebegini akan dapat membantu perjalanan aktiviti mengikut prosedur dan teknik yang selamat.

Potensi diri pelajar hendaklah dicungkil, diasah dan diketengahkan. Galakkan mereka aktif, kreatif, inovatif dan proaktif semasa melakukan aktiviti dan tugasan dikalangan ahli bertujuan boleh mewujudkan perpaduan dan keteguhan organisasi keharmonian. Semangat kerjasama dan kerja bersama-sama  akan mengukuhkan lagi semangat kekitaan dalam pasukan.

Kesimpulannya fasa ini dapat dirumuskan sebagai fasa yang sangat panjang dan penting. Kelancaran fasa ini melambangkan keberkesanan aktiviti untuk mencapai objektif. Personel bertindak sebagai pembimbing, penasihat, rakan, penyampai maklmat dan penjana kualiti diri individu. Dengan itu penggembelingan pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kepakaran personel amat penting bagi menjayakan sesuatu program.

(C) Pasca Pelaksanaan

Antara perkara yang perlu diambilkia dalam fasa ini adalah : 
  • Pemulangan dan pengumpulan peralatan yang digunakan. 

Segala peralatan yang telah digunakan hendaklah dipulangkan dan dikumpulkan ditempat yang telah ditetapkan.
  •  Gerakendur ( ‘cooling down’ ). 


Setiap aktiviti bagi setiap kumpulan yang terlibat haruslah menjalankan      aktiviti gerak kendur ( cooling down ) bertujuan untuk memastikan semua otot-otot besar dan kecil yang terlibat  dengan aktiviti kembali ke keadaan relaksasi.
  •  Pemeriksaan ahli / bilangan. 

Selepas berakhirnya sesuatu aktiviti jurulatih atau fasilitator yang bertanggungjawab haruslah memastikan jumlah dan bilangan peserta yang menyertainya haruslah sama jumlahnya dengan sebelum aktiviti bermula.  Sebarang kecederaan samada serius ataupun kecil haruslah dilaporkan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. 
  • Maklumbalas keadaan dan kesihatan peserta. 

Sebelum melaksanakan sesuatu aktiviti setiap peserta haruslah berkeadaan sihat dan bersedia untuk melakukan aktiviti. Jika sekiranya tidak sihat haruslah memaklumkan kepada Jurulatih atau fasilitator tidak kira samada ianya kecederaan ringan atau berat. 
  • Pengisian oleh Jurulatih / fasilitator. 

Semua jurulatih dan fasilitator yang terlibat dalam sesuatu program haruslah mahir dan mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang tinggi. Ini bertujuan supaya segala pengisian yang diberikan pada setiap kumpulan adalah sama dan standard. 
  • Syor dan cadangan 

Setelah menjalankan sesuatu aktiviti dicadangkan supaya diadakan suatu sesi untuk mendapatkan maklumbalas tentang segala kebaikan dan kelemahan dalam pengendalian dan pelaksanaan aktiviti oleh sesuatu kumpulan. Ianya bertujuan supaya dapat mengolah segala kekuatan dan kelemahan dalam melakukan dan pelaksanaan aktiviti.  Syor dan cadangan yang bernas diambilkira  dan diperbincangkan bersama. Aspek kelemahan di atasi sementara aspek kekuatan dikekalkan atau dipertingkatkan.
  • Senggaraan dan penyimpanan peralatan               

Semasa sesuatu aktiviti dijalankan keperluan kemudahan, peralatan dan lokasi perlu dikemas dan dikenalpasti. Pengemasan perlatan perlu dilaksanakan sebaik sahaja aktiviti selesai.  Peralatan yang dikemaskan perlu diteliti supaya ianya mencukupi, bersih dan dalam keadaan yang baik seperti sebelum digunakan.
Peralatan yang mudah rosak atau sensitif perlu dipastikan keadaaan semasa pengemasan. Berpandukan senarai semak, peralatan yang rosak perlu diasingkan bagi tujuan pembaikpulihan. Semua peralatan yang dibawa dan digunakan haruslah dipastikan supaya tidak tercicir atau tertinggal di lokasi aktiviti bertujuan untuk meminimakan kecuaian.

Penyimpanan alat-alat dalam setor perlu diklasifikasikan dan dipastikan tersusun mengikut kelompok dan kumpulannya atau kategori yang ditentukan dengan merujuk sistem penstoran yang ditetapkan. Penggunaan rak-rak yang dilabelkan adalah dicadangkan bagi tujuan pengendalian keluar masuk alatan dari aspek pengurusan. 
  • Pengiktirafan 

Pengiktirafan dalam setiap aktiviti dan program amat perlu kepada peserta dan juga jurulatih. Sekiranya dalam sesuatu program itu mempunyai penilaian tahap atau kemahiran yang tinggi dan meliputi ujian-ujian yang perlu dilalui oleh peserta maka satu pengiktirafan perlu diberikan sebagai satu bukti pencapaian. Ianya boleh dilaksanakan dengan penganugerahan pangkat atau sijil sebagai media memperakui kejayaan.

Dengan pengiktirafan melalui sijil atau penganugerahan pangkat akan dapat memberikan motivasi dan galakan untuk jurulatih menyertai dan melaksanakan program pada masa akan datang.

(D) Penilaian.
Setelah menjalankan aktiviti penilaian dilaksanakan bertujuan untuk memperbaiki reka bentuk aktiviti dan program, mengetahui tahap pencapaian matlamat dan objektif program, memperbaiki teknik dan kaedah pelaksanaan aktiviti dan program, mempertingkatkan penggunaan ilmu dan kemahiran dikuasai oleh individu setelah tamat program.

Penilaian boleh dijalankan melalui beberapa bentuk seperti ujian bertulis, soalan-soalan semasa perbincangan lisan atau menjawab soalan melalui soal-selidik. Penilaian boleh dijalankan secara formatif atau sumatif. Antara komponen penilaian yang difokuskan adalah: 
  • Kesihatan dan kecerdasan keseluruhan 

Aktiviti yang dicadangkan atau dijalankan adakah bertujuan untuk meningkatkan kesihatan yang meliputi mental, fizikal, emosi dan sosial secara intra ataupun inter-personal. Proses peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan keseluruhan berhubung rapat dengan setiap aktiviti. Melalui pendedahan dan keberadaan dalam suasana sebenar dikelilingi alam semulajadi dan persekitaran yang nyaman secara otomatis dapat meningkatkan kesihatan dan kecergasan keseluruhan. 
  • Hubungkait dengan akademik 

Penglibatan secara langsung dalam setiap aktiviti memberi peluang untuk memperkembangkan dan mengaplikasikan segala ilmu, pengetahuan dan pengalaman lampau. Ini memberi peluang kepada individu untuk mencuba dan meneroka serta menggabungjalin semua ilmu, pengetahuan dan pengalaman merentasi kurikulum sebagaimana aspirasi negara. 
  • Matlamat dan objektif 

Sejauh mana pencapaian matlamat dan objektif dapat diketahui melalui tahap pencapaiannya. Sekiranya tidak tercapai punca dan penyebabnya akan dikenalpasti bertujuan untuk mencari penyelesaiannya.


(E) Pos-mortem

Pos-mortem perlu dibuat bagi tujuan mengenalpasti kelemahan, kekurangan dan kelebihan yang telah dilaksanakan. Dua cara pengendalian pos-mortem disyorkan adalah : 
  1. Menerusi borang penilaian peserta, maklumbalas dan soal selidik yang dibuat secara bertulis atau lisan. 
  2. Menerusi mesyuarat yang diadakan bersama jawatankuasa pengelola, urusetia dan jurulatih terlibat. 
Melalui proses pos-mortem tersebut pengelola akan dapat mengenalpasti kelemahan yang perlu di atasi, kelebihan yang perlu dikekalkan dan kebaikan yang perlu dipertingkatkan lagi supaya perancangan dan pelaksanaan akan dapat diperkemaskan lagi.


(F) Dokumen Laporan.

Pelaporan sesuatu aktiviti atau program perlu dilaksanakan di semua peringkatbagi tujuan memantau pelaksanaan pada masa yang akan datang. Pelaporan haruslah dalam bentuk dokumentasi dan perlu dikemukakan kepada pihak-pihak tertentu yang ada kaitan dengan program seperti pihak kementerian, jabatan, serta penaja yang mempelopori penganjuran. 

Ciri-ciri terbaik dalam mendokumentasikan laporan ialah dengan memasukkan perkara-perkara berikut :
  • pendahuluan
  • tarikh, hari , masa dan  lokasi
  • bilangan penyertaan
  • prosedur dan jadual kerja / aktiviti
  • senarai jawatankuasa
  • laporan  aktiviti yang dilaksanakan
  • laporan kewangan
  • laporan jawatankuasa kerja / jawatankuasa kecil
  • laporan maklumbalas atau penilaian keseluruhan
  • masalah / pandangan / cadangan mengatasi
  • penutup



Rumusan 
  1. Program pendidikan luar adalah satu aktiviti yang terancang 
  2. Terdapat tiga peringkat utama dalam mengendalikan aktiviti program pendidikan luar iaitu perancangan sebelum, semasa dan selepas perkhemahan.  
  3. Jawatankuasa aktiviti perkhemahan perlu menyediakan perancangan aktiviti yang sesuai.
  4.  Untuk tujuan keselamatan, semua arahan, peraturan dan langkah-langkah keselamatan harus dipatuhi oleh peserta perkhemahan.
  5.  Program-program pendidikan luar yang dirancang dapat memberikan kesan yang positif kepada mereka yang terlibat seperti lebih yakin, berdikari, dan bertanggungjawab setelah mengikuti program perkhemahan. 

Bacaan Asas/Rujukan

Mohd Sufian Omar Fauzee, Shahrizad Yusof  & Samsudin Mohd Sharif,   (2002).  Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Tingkatan 4.  Dewan bahasa dan Pustaka.

 Wee Eng Hoe, (1998).  Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.


PENDIDIKAN LUAR



Tajuk ini bertujuan memberi pengetahuan tentang konsep, matlamat, tujuan dan objektif pendidikan luar. Pelajar juga dibekalkan dengan kemahiran menyediakan kertas kerja yang merangkumi aspek merancang, melaksana dan melapor di samping menyertai program pendidikan luar berorientasikan aktiviti darat dan air dengan menggunakan alam sekitar sebagai media pembelajaran.

Hasil Pembelajaran

Pada akhir unit  ini anda seharusnya dapat: 
  • menjelas dan menghuraikan falsafah dan konsep Pendidikan Luar. 

  • menyatakan jenis-jenis program Pendidikan Luar yang boleh dijalankan kepada pelajar sekolah. 

  • memahami kaedah pengelolaan dan pengurusan Pendidikan Luar. 

  • memahami dan menjelaskan perkara-perkara yang harus dilakukan sebelum, semasa dan selepas sesuatu program pendidikan luar. 

  • mengalami disamping menguasai kemahiran-kemahiran  dalam aktiviti Pendidikan Luar. 

  • merancang dan menjalani semua aktiviti berlandaskan ciri-ciri keselamatan


Falsafah, Konsep Dan Definisi  Pendidikan Luar

Pengenalan

Pendidikan Luar merangkumi pelbagai tujuan dan amalan yang dapat memperkayakan  dan memperkukuhkan pengalaman pendidikan formal dengan melihat alam semulajadi sebagai ‘makmal hidup’. Pemanfaatan persekitaran dan alam semulajadi sebagai tempat pembelajaran secara terus akan menajamkan kepekaan individu apabila pengetahuan yang diperolehi melibatkan deria. Dalam hal ini Pendidikan Luar mengutamakan aspek penaakulan oleh individu dan perlakuan motor yang melibatkan semua deria umpamanya dalam mengenal alam flora dan fauna.  Pendekatan pendidikan luar banyak tertumpu kepada kaedah penemuan, eksperimen dan kajian lapangan. Penekanan pembelajaran dalam pendidikan luar menggalakkan pelajar memperolehi pengalaman melalui sesuatu yang dilakukan sendiri.

  
Hasil Pembelajaran 

Pada akhir tajuk ini anda seharusnya dapat: 
  • menjelas dan menghuraikan falsafah dan konsep Pendidikan Luar. 

  • menyatakan jenis-jenis program Pendidikan Luar yang boleh dijalankan kepada pelajar matrikulasi.


Falsafah dan konsep Pendidikan Luar

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menegaskan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Oleh yang demikian Program Pendidikan Luar dapat dijadikan media untuk memurnikan hasrat berkenaan.

Pendidikan Luar merangkumi pelbagai tujuan dan amalan yang dapat memperkayakan  dan memperkukuhkan pengalaman pendidikan formal dengan melihat alam semulajadi sebagai ‘makmal hidup’. Pemanfaatan persekitaran dan alam semulajadi sebagai tempat pembelajaran secara terus akan menajamkan kepekaan individu apabila pengetahuan yang diperolehi melibatkan deria. Dalam hal ini Pendidikan Luar mengutamakan aspek penaakulan oleh individu dan perlakuan motor yang melibatkan semua deria umpamanya dalam mengenal alam flora dan fauna.

Pendekatan pendidikan luar banyak tertumpu kepada kaedah penemuan, eksperimen dan kajian lapangan. Penekanan pembelajaran dalam pendidikan luar menggalakkan pelajar memperolehi pengalaman melalui sesuatu yang dilakukan sendiri. Konsep pendekatan yang sedemikian diamalkan kerana pegangan falsafah pendidikan luar yang mempercayai bahawa adalah sukar mengajar seseorang itu belajar tetapi lebih mudah menolong seseorang itu belajar.

Disamping itu  ianya juga adalah satu proses pembelajaran secara langsung (learning by doing so). Ilmu, pengetahuan dan pengalaman diperolehi dengan konsep ‘hands on’ / ‘first hand experience’. Pendedahan kepada kedua-dua konsep ini secara tidak langsung akan melahirkan seorang individu yang sempurna dimana segala aspek yang diberi penekanan iaitu fizikal, mental, emosi, sosial dan rohani dapat dimantapkan.

Dengan melibatkan diri kepada corak pendidikan seperti ini potensi individu akan dapat dikembangkan secara menyeluruh. Individu dapat meningkatkan tahap kreativitinya dengan menggabungjalin dan menggembelingkan segala ilmu pengetahuan dan fakta-fakta yang diperolehinya bagi mencetuskana satu corak pemikiran kreatif.


Definisi Pendidikan Luar

Pendidikan Luar merupakan salah satu daripada pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang amat menarik dan berkesan dilaksanakan elektif dan bijaksana. Pendekatan, pemeringkatan, pengolahan dan pengisian aktiviti secara teori dan praktikal akan membantu pelajar meneroka pengetahuan dan pengalaman baru.

Knap (1981) menyatakan “Pendidikan Luar sebagai alat untuk mencapai matlamat dan objektif organisasi” Apa yang dimaksudkan dari pernyataan tersebut adalah pendidikan luar boleh dijadikan satu kaedah untuk mengorientasikan individu atau kumpulan berdasarkan falsafah, pelaziman dan pengukuhan pembelajaran.

Hammerman ( 1985 ), pula menyatakan “ Pendidikan Luar sebagai landasan untuk mengenalpasti pengalaman yang boleh dipraktikkan dalam situasi harian” Pendidikan luar adalah sebagai salah satu sub disiplin ilmu dalam pendidikan. Kemahiran-kemahiran ikhtiar hidup seperti berenang, memanjat, mendaki, menyelesaikan masalah dan tekanan banyak dipelajari dalam pendidikan luar.

Ford ( 1981 ), menegaskan “Pendidikan Luar sebagai program yang meliputi penggunaan persekitaran semulajadi bagi tujuan mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran dalam kurikulum yang sedia ada” Ini merangkumi perkembangan penegetahuan, kematangan san sikap. Khususnya dalam penggunaan waktu senggang.

Jenis-jenis pendidikan luar boleh dikategorikan kepada aktiviti yang  berorientasikan: 
  • Aktiviti air  :  jenis-jenis aktiviti yang dilaksanakan di atas air yang merupakan sungai, tasik dan laut seperti aktiviti keselamatan di air, snorkeling, berkayak, berakit dll. 

  • Aktiviti darat  : jenis-jenis aktiviti yang dilaksanakan di hutan dan di gunung seperti perkhemahan, abseiling, treking, mendaki, ‘orienteering’ dll.


Rumusan      
  • Alam semulajadi merupakan sebuah makmal hidup yang kaya dengan sumber pendidikan.
  • Pendekatan pendidikan luar banyak tertumpu kepada kaedah penemuan, eksperimen dan kajian lapangan
  • Alam luar digunakan bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran kurikulum untuk mengembangkan pengetahuan, kemahiran dan sikap.
  • Pendidikan Luar sebagai landasan untuk mengenalpasti pengalaman yang boleh dipraktikkan dalam situasi harian.
  • Pendidikan Luar sebagai program yang meliputi penggunaan persekitaran semulajadi bagi tujuan mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran dalam kurikulum yang sedia ada.

Bacaan Asas/Rujukan

Mohd Sufian Omar Fauzee, Shahrizad Yusof  & Samsudin Mohd Sharif,  (2002).  Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Tingkatan 4.  Dewan bahasa dan Pustaka.

Wee Eng Hoe, (1998).  Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.


Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...