Pengenalan
Perkhemahan
adalah salah satu aktiviti pendidikan luar yang sering dilaksanakan untuk
memenuhi masa lapang bagi merehatkan fikiran.
Di samping perkhemahan, pelbagai aktiviti yang terancang boleh dilakukan
semasa perkhemahan. Dalam menjayakan
aktiviti pendidikan luar yang efisyen, jawatankuasa perlu dibentuk bagi
menjalankan program yang dirancang.
Antara
jawatankuasa yang perlu dilantik ialah:
urusetia,
penyelaras aktiviti, alatan, pengangkutan, keselamatan dan makanan. Program
pendidikan luar yang dirancang dengan rapi boleh meberi kesan yang positif
kepada mereka yang terlibat seperti lebih yakin, berdikari, bertanggungjawab
setelah mengikutin program perkhemahan.
Hasil Pembelajaran
Pada akhir tajuk
ini anda seharusnya dapat:
- memahami kaedah pengelolaan dan pengurusan Pendidikan Luar.
- memahami dan menjelaskan perkara-perkara yang harus dilakukan sebelum, semasa dan selepas sesuatu program pendidikan luar.
Pengelolaan dan
pengurusan Pendidikan Luar di maktab /
sekolah
Pengelolaan dan
pengurusan program pendidikan luar boleh dikategorikan kepada tiga fasa iaitu :
(A) Pra-Pelaksanaan
Sebelum menjalankan sebarang aktiviti pendidikan luar yang terancang ada beberapa perkara utama yang perlu
dilaksanakan dalam proses pra pelaksanaan. Antaranya adalah :
- Perlantikan ahli jawatankuasa Induk dan ahli jawatankuasa kerja.
- Mengenalpasti personel ( jurulatih dan fasilitator ).
- Menyedia dan memeriksa alatan.
- Memeriksa dan mengenal persekitaran lokasi dan tempat.
- Pelan alternatif.
- Memaklumkan kepada pihak yang terlibat.
- Surat kebenaran.
- Mesyuarat pra-pelaksanaan.
- Pendaftaran peserta.
- Taklimat Program.
(B) Semasa Pelaksanaan
Fasa ini merupakan langkah pelaksanaan tahap kedua sebelum bermulanya
aktivti. Tahap ini perlu diambilkira kerana di fasa ini penyampaian ilmu
bermula, diperkaya, dipraktik dan diperkukuhkan. Fasa ini adalah kemuncak
pelaksanaan aktiviti. Jika sekiranya persiapan tidak mantap atau tidak
mempunyai perancangan yang terstruktur ianya akan menjejaskan pelaksanaan.
(i) Frederik Taylor telah menggariskan tiga prinsip pelaksanaan iaitu :
- Penentuan kerja, pengagihan tugas da peranan setiap ahli. Setiap individu harus tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing semasa melaksanakan aktiviti.
- Pengkhususan kerja, mengkhususkan individu mengikut kepakaran dan kebolehan. Ini boleh membantu kelancaran kerja. Bagi melancarkan tugasan adalah lebih baik jika individu diberikan tugasan dengan mengutamakan kebolehan dan minat.
- Perancangan dan penjadualan yang rapi, pelaksanaan akan menjadi lebih sistematik dan terarah.
(ii) Mengikut Thorndike, individu dipastikan sudah dalam
keadaan besedia sebelum pembelajaran
bermula.
- Persediaan mental dan fizikal memainkan peranan penting dalam proses pengajaran individu. Kecergasan fizikal untuk menghadapi kegiatan aktiviti yang dirancang akan membawa penghayatan, penglibatan optima dan pencapaian kendiri. Kecergasan juga membantu kepada pengurangan berlakunya kemalangan. Kurang kecergasan akan menyebabkan seseorang cepat lesu dan daya tumpuan akan menurun.
- Perancangan dan penjadualan yang rapi harus dibuat berasaskan kebolehan individu. Jika program yang dirancang tanpa mengambilkira kriteria dan kehendak serta keperluan individu akan mengundang kegagalan dan seterusnya menimbulkan konflik serta persoalan yang panjang.
(iii) Fayol berpendapat personel mesti melaksanakan lima
kriteria semasa pelaksanaan aktiviti iaitu :
- autoriti
- disiplin
- penghargaan
- pemusatan
- kekitaan
Autoriti adalah sebagai hak memberi arahan dan kuasa untuk menarik
seseorang menurut arahan. Ketua kumpulan dilantik dan di amanahkan membantu
personel dan memimpin kumpulan bagi menjalankan tugas. Asas disiplin ialah
menurut arahan dan prosedur serta menghomati persetujuan yang telah dibuat. Kerjasama, sokongan, ketaatan,
tindakbalas positif oleh individu
hendaklah dihargai. Penghargaan dalam bentuk pengukuhan patut dibuat. Ini akan
memberi motivasi intrinsik kepada individu yang akan memberi rangsangan kepada
perlakuan atau pencapaian yang baik. Sistem pemarkahan atau merit akan
memangkinkan penghasilan norma dan nilai kumpulan atau individu. Dendaan
bolehlah dilaksanakan tetapi haruslah berbentuk pengajaran dan bukannya
hukuman.
Walaupun personel bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kumpulan tetapi ahli
kumpulan harusnya diberikan kuasa dalam melaksanakan tugas dengan efektif.
Individu digalakkan berfkiran kreatif, menyoal dan diberikan peluang untuk
mengemukakan pendapat. Pemusatan yang sebegini akan dapat membantu perjalanan
aktiviti mengikut prosedur dan teknik yang selamat.
Potensi diri pelajar hendaklah dicungkil, diasah dan diketengahkan.
Galakkan mereka aktif, kreatif, inovatif dan proaktif semasa melakukan aktiviti
dan tugasan dikalangan ahli bertujuan boleh mewujudkan perpaduan dan keteguhan
organisasi keharmonian. Semangat kerjasama dan kerja bersama-sama akan mengukuhkan lagi semangat kekitaan dalam
pasukan.
Kesimpulannya fasa ini dapat dirumuskan sebagai fasa yang sangat panjang
dan penting. Kelancaran fasa ini melambangkan keberkesanan aktiviti untuk
mencapai objektif. Personel bertindak sebagai pembimbing, penasihat, rakan,
penyampai maklmat dan penjana kualiti diri individu. Dengan itu penggembelingan
pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kepakaran personel amat penting bagi menjayakan
sesuatu program.
(C) Pasca Pelaksanaan
Antara perkara yang perlu diambilkia dalam fasa ini adalah :
- Pemulangan dan pengumpulan peralatan yang digunakan.
Segala peralatan yang telah digunakan hendaklah dipulangkan dan dikumpulkan
ditempat yang telah ditetapkan.
- Gerakendur ( ‘cooling down’ ).
Setiap aktiviti bagi setiap kumpulan yang terlibat
haruslah menjalankan aktiviti gerak
kendur ( cooling down ) bertujuan untuk memastikan semua otot-otot besar dan
kecil yang terlibat dengan aktiviti
kembali ke keadaan relaksasi.
- Pemeriksaan ahli / bilangan.
Selepas berakhirnya sesuatu aktiviti jurulatih atau fasilitator yang
bertanggungjawab haruslah memastikan jumlah dan bilangan peserta yang
menyertainya haruslah sama jumlahnya dengan sebelum aktiviti bermula. Sebarang kecederaan samada serius ataupun
kecil haruslah dilaporkan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
- Maklumbalas keadaan dan kesihatan peserta.
Sebelum melaksanakan sesuatu aktiviti setiap peserta haruslah berkeadaan
sihat dan bersedia untuk melakukan aktiviti. Jika sekiranya tidak sihat
haruslah memaklumkan kepada Jurulatih atau fasilitator tidak kira samada ianya
kecederaan ringan atau berat.
- Pengisian oleh Jurulatih / fasilitator.
Semua jurulatih
dan fasilitator yang terlibat dalam sesuatu program haruslah mahir dan
mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang tinggi. Ini bertujuan supaya segala
pengisian yang diberikan pada setiap kumpulan adalah sama dan standard.
- Syor dan cadangan
Setelah menjalankan sesuatu aktiviti dicadangkan supaya diadakan suatu sesi
untuk mendapatkan maklumbalas tentang segala kebaikan dan kelemahan dalam
pengendalian dan pelaksanaan aktiviti oleh sesuatu kumpulan. Ianya bertujuan
supaya dapat mengolah segala kekuatan dan kelemahan dalam melakukan dan
pelaksanaan aktiviti. Syor dan cadangan
yang bernas diambilkira dan
diperbincangkan bersama. Aspek kelemahan di atasi sementara aspek kekuatan
dikekalkan atau dipertingkatkan.
- Senggaraan dan penyimpanan peralatan
Semasa sesuatu aktiviti dijalankan keperluan kemudahan, peralatan dan
lokasi perlu dikemas dan dikenalpasti. Pengemasan perlatan perlu dilaksanakan
sebaik sahaja aktiviti selesai.
Peralatan yang dikemaskan perlu diteliti supaya ianya mencukupi, bersih
dan dalam keadaan yang baik seperti sebelum digunakan.
Peralatan yang
mudah rosak atau sensitif perlu dipastikan keadaaan semasa pengemasan.
Berpandukan senarai semak, peralatan yang rosak perlu diasingkan bagi tujuan
pembaikpulihan. Semua peralatan yang dibawa dan digunakan haruslah dipastikan
supaya tidak tercicir atau tertinggal di lokasi aktiviti bertujuan untuk
meminimakan kecuaian.
Penyimpanan alat-alat dalam setor perlu diklasifikasikan dan dipastikan
tersusun mengikut kelompok dan kumpulannya atau kategori yang ditentukan dengan
merujuk sistem penstoran yang ditetapkan. Penggunaan rak-rak yang dilabelkan
adalah dicadangkan bagi tujuan pengendalian keluar masuk alatan dari aspek
pengurusan.
- Pengiktirafan
Pengiktirafan dalam setiap aktiviti dan program amat perlu kepada peserta
dan juga jurulatih. Sekiranya dalam sesuatu program itu mempunyai penilaian
tahap atau kemahiran yang tinggi dan meliputi ujian-ujian yang perlu dilalui
oleh peserta maka satu pengiktirafan perlu diberikan sebagai satu bukti
pencapaian. Ianya boleh dilaksanakan dengan penganugerahan pangkat atau sijil
sebagai media memperakui kejayaan.
Dengan pengiktirafan melalui sijil atau penganugerahan
pangkat akan dapat memberikan motivasi dan galakan untuk jurulatih menyertai
dan melaksanakan program pada masa akan datang.
(D) Penilaian.
Setelah
menjalankan aktiviti penilaian dilaksanakan bertujuan untuk memperbaiki reka
bentuk aktiviti dan program, mengetahui tahap pencapaian matlamat dan objektif
program, memperbaiki teknik dan kaedah pelaksanaan aktiviti dan program,
mempertingkatkan penggunaan ilmu dan kemahiran dikuasai oleh individu setelah
tamat program.
Penilaian boleh
dijalankan melalui beberapa bentuk seperti ujian bertulis, soalan-soalan semasa
perbincangan lisan atau menjawab soalan melalui soal-selidik. Penilaian boleh
dijalankan secara formatif atau sumatif. Antara komponen penilaian yang
difokuskan adalah:
- Kesihatan dan kecerdasan keseluruhan
Aktiviti yang
dicadangkan atau dijalankan adakah bertujuan untuk meningkatkan kesihatan yang
meliputi mental, fizikal, emosi dan sosial secara intra ataupun inter-personal.
Proses peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan keseluruhan berhubung rapat
dengan setiap aktiviti. Melalui pendedahan dan keberadaan dalam suasana sebenar
dikelilingi alam semulajadi dan persekitaran yang nyaman secara otomatis dapat
meningkatkan kesihatan dan kecergasan keseluruhan.
- Hubungkait dengan akademik
Penglibatan
secara langsung dalam setiap aktiviti memberi peluang untuk memperkembangkan
dan mengaplikasikan segala ilmu, pengetahuan dan pengalaman lampau. Ini memberi
peluang kepada individu untuk mencuba dan meneroka serta menggabungjalin semua
ilmu, pengetahuan dan pengalaman merentasi kurikulum sebagaimana aspirasi negara.
- Matlamat dan objektif
Sejauh mana
pencapaian matlamat dan objektif dapat diketahui melalui tahap pencapaiannya.
Sekiranya tidak tercapai punca dan penyebabnya akan dikenalpasti bertujuan
untuk mencari penyelesaiannya.
(E) Pos-mortem
Pos-mortem perlu
dibuat bagi tujuan mengenalpasti kelemahan, kekurangan dan kelebihan yang telah
dilaksanakan. Dua cara pengendalian pos-mortem disyorkan adalah :
- Menerusi borang penilaian peserta, maklumbalas dan soal selidik yang dibuat secara bertulis atau lisan.
- Menerusi mesyuarat yang diadakan bersama jawatankuasa pengelola, urusetia dan jurulatih terlibat.
Melalui proses pos-mortem tersebut pengelola akan dapat mengenalpasti
kelemahan yang perlu di atasi, kelebihan yang perlu dikekalkan dan kebaikan yang
perlu dipertingkatkan lagi supaya perancangan dan pelaksanaan akan dapat
diperkemaskan lagi.
(F) Dokumen Laporan.
Pelaporan sesuatu aktiviti atau program perlu dilaksanakan di semua
peringkatbagi tujuan memantau pelaksanaan pada masa yang akan datang. Pelaporan
haruslah dalam bentuk dokumentasi dan perlu dikemukakan kepada pihak-pihak
tertentu yang ada kaitan dengan program seperti pihak kementerian, jabatan,
serta penaja yang mempelopori penganjuran.
Ciri-ciri terbaik
dalam mendokumentasikan laporan ialah dengan memasukkan perkara-perkara berikut
:
- pendahuluan
- tarikh, hari , masa dan lokasi
- bilangan penyertaan
- prosedur dan jadual kerja / aktiviti
- senarai jawatankuasa
- laporan aktiviti yang dilaksanakan
- laporan kewangan
- laporan jawatankuasa kerja / jawatankuasa kecil
- laporan maklumbalas atau penilaian keseluruhan
- masalah / pandangan / cadangan mengatasi
- penutup
Rumusan
- Program pendidikan luar adalah satu aktiviti yang terancang
- Terdapat tiga peringkat utama dalam mengendalikan aktiviti program pendidikan luar iaitu perancangan sebelum, semasa dan selepas perkhemahan.
- Jawatankuasa aktiviti perkhemahan perlu menyediakan perancangan aktiviti yang sesuai.
- Untuk tujuan keselamatan, semua arahan, peraturan dan langkah-langkah keselamatan harus dipatuhi oleh peserta perkhemahan.
- Program-program pendidikan luar yang dirancang dapat memberikan kesan yang positif kepada mereka yang terlibat seperti lebih yakin, berdikari, dan bertanggungjawab setelah mengikuti program perkhemahan.
Bacaan Asas/Rujukan
Mohd Sufian Omar Fauzee, Shahrizad Yusof & Samsudin Mohd Sharif, (2002).
Pendidikan Jasmani dan Pendidikan
Kesihatan Tingkatan 4. Dewan bahasa
dan Pustaka.
Wee Eng Hoe,
(1998). Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Penerbit Fajar Bakti
Sdn Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan