Pengenalan
Perkhemahan adalah salah satu aktiviti pendidikan luar yang
sering dilaksanakan untuk memenuhi masa lapang bagi merehatkan fikiran. Di samping perkhemahan, pelbagai aktiviti
yang terancang boleh dilakukan semasa perkhemahan. Dalam menjayakan aktiviti pendidikan luar
yang efisyen, jawatankuasa perlu dibentuk bagi menjalankan program yang
dirancang.
jawatankuasa yang
perlu dilantik ialah urusetia, penyelaras aktiviti, alatan, pengangkutan,
keselamatan dan makanan. Program pendidikan luar yang dirancang dengan rapi
boleh meberi kesan yang positif kepada mereka yang terlibat seperti lebih
yakin, berdikari, bertanggungjawab setelah mengikutin program perkhemahan.
Hasil Pembelajaran
Pada akhir tajuk ini anda seharusnya dapat:
- memahami kaedah pengelolaan dan pengurusan Pendidikan Luar.
- memahami dan menjelaskan perkara-perkara yang harus dilakukan sebelum, semasa dan selepas sesuatu program pendidikan luar.
Pengelolaan dan pengurusan Pendidikan Luar di kolej matrikulasi
Pengelolaan dan pengurusan program pendidikan luar boleh
dikategorikan kepada tiga fasa iaitu :
(1) Pra-Pelaksanaan
Sebelum menjalankan sebarang aktiviti pendidikan luar yang
terancang ada beberapa perkara utama
yang perlu dilaksanakan dalam proses pra pelaksanaan. Antaranya adalah :
- Perlantikan ahli jawatankuasa Induk dan ahli jawatankuasa kerja.
- Mengenalpasti personel ( jurulatih dan fasilitator ).
- Menyedia dan memeriksa alatan.
- Memeriksa dan mengenal persekitaran lokasi dan tempat.
- Pelan alternatif.
- Memaklumkan kepada pihak yang terlibat.
- Surat kebenaran.
- Mesyuarat pra-pelaksanaan.
- Pendaftaran peserta.
- Taklimat Program.
(2) Semasa Pelaksanaan
Fasa ini merupakan langkah pelaksanaan tahap kedua sebelum
bermulanya aktivti. Tahap ini perlu diambilkira kerana di fasa ini penyampaian
ilmu bermula, diperkaya, dipraktik dan diperkukuhkan. Fasa ini adalah kemuncak
pelaksanaan aktiviti. Jika sekiranya persiapan tidak mantap atau tidak
mempunyai perancangan yang terstruktur ianya akan menjejaskan pelaksanaan.
Frederik
Taylor telah menggariskan tiga prinsip pelaksanaan iaitu :
Penentuan kerja, pengagihan tugas da peranan setiap ahli.
Setiap individu harus tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing semasa
melaksanakan aktiviti. Pengkhususan kerja, mengkhususkan individu mengikut
kepakaran dan kebolehan. Ini boleh membantu kelancaran kerja. Bagi melancarkan
tugasan adalah lebih baik jika individu diberikan tugasan dengan mengutamakan
kebolehan dan minat. Perancangan dan penjadualan yang rapi, pelaksanaan akan
menjadi lebih sistematik dan terarah.
Mengikut Thorndike, individu dipastikan sudah dalam keadaan
besedia sebelum pembelajaran bermula. Persediaan mental dan fizikal memainkan
peranan penting dalam proses pengajaran individu. Kecergasan fizikal untuk
menghadapi kegiatan aktiviti yang
dirancang akan membawa penghayatan, penglibatan optima dan pencapaian kendiri.
Kecergasan juga membantu kepada pengurangan berlakunya kemalangan. Kurang kecergasan
akan menyebabkan seseorang cepat lesu dan daya tumpuan akan menurun.
Perancangan dan penjadualan yang rapi harus dibuat
berasaskan kebolehan individu. Jika program yang dirancang tanpa mengambilkira
kriteria dan kehendak serta keperluan individu akan mengundang kegagalan dan
seterusnya menimbulkan konflik serta persoalan yang panjang.
Fayol berpendapat personal mesti
melaksanakan lima kriteria semasa pelaksanaan aktiviti iaitu :
- autoriti
- disiplin
- penghargaan
- pemusatan
- kekitaan
Autoriti adalah sebagai hak memberi arahan dan kuasa untuk
menarik seseorang menurut arahan. Ketua kumpulan dilantik dan di amanahkan
membantu personel dan memimpin kumpulan bagi menjalankan tugas. Asas disiplin
ialah menurut arahan dan prosedur serta menghomati persetujuan yang telah
dibuat. Kerjasama, sokongan, ketaatan,
tindakbalas positif oleh individu
hendaklah dihargai. Penghargaan dalam bentuk pengukuhan patut dibuat. Ini akan
memberi motivasi intrinsik kepada individu yang akan memberi rangsangan kepada
perlakuan atau pencapaian yang baik. Sistem pemarkahan atau merit akan
memangkinkan penghasilan norma dan nilai kumpulan atau individu. Dendaan
bolehlah dilaksanakan tetapi haruslah berbentuk pengajaran dan bukannya
hukuman.
Walaupun personel bertanggungjawab sepenuhnya ke atas
kumpulan tetapi ahli kumpulan harusnya diberikan kuasa dalam melaksanakan tugas
dengan efektif. Individu digalakkan berfkiran kreatif, menyoal dan diberikan
peluang untuk mengemukakan pendapat. Pemusatan yang sebegini akan dapat
membantu perjalanan aktiviti mengikut prosedur dan teknik yang selamat.
Potensi diri pelajar hendaklah dicungkil, diasah dan
diketengahkan. Galakkan mereka aktif, kreatif, inovatif dan proaktif semasa
melakukan aktiviti dan tugasan dikalangan ahli bertujuan boleh mewujudkan
perpaduan dan keteguhan organisasi keharmonian. Semangat kerjasama dan kerja
bersama-sama akan mengukuhkan lagi
semangat kekitaan dalam pasukan.
Kesimpulannya fasa ini dapat dirumuskan sebagai fasa yang
sangat panjang dan penting. Kelancaran fasa ini melambangkan keberkesanan
aktiviti untuk mencapai objektif. Personel bertindak sebagai pembimbing,
penasihat, rakan, penyampai maklmat dan penjana kualiti diri individu. Dengan
itu penggembelingan pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kepakaran personel
amat penting bagi menjayakan sesuatu program.
(3) Pasca Pelaksanaan
Antara perkara yang perlu diambilkia dalam fasa ini adalah :
- Pemulangan dan pengumpulan peralatan yang digunakan - Segala peralatan yang telah digunakan hendaklah dipulangkan dan dikumpulkan ditempat yang telah ditetapkan.
- Gerakendur ( ‘cooling down’ ) - Setiap aktiviti bagi setiap kumpulan yang terlibat haruslah menjalankan aktiviti gerak kendur ( cooling down ) bertujuan untuk memastikan semua otot-otot besar dan kecil yang terlibat dengan aktiviti kembali ke keadaan relaksasi.
- Pemeriksaan ahli / bilangan - Selepas berakhirnya sesuatu aktiviti jurulatih atau fasilitator yang bertanggungjawab haruslah memastikan jumlah dan bilangan peserta yang menyertainya haruslah sama jumlahnya dengan sebelum aktiviti bermula. Sebarang kecederaan samada serius ataupun kecil haruslah dilaporkan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
- Maklumbalas keadaan dan kesihatan peserta - Sebelum melaksanakan sesuatu aktiviti setiap peserta haruslah berkeadaan sihat dan bersedia untuk melakukan aktiviti. Jika sekiranya tidak sihat haruslah memaklumkan kepada Jurulatih atau fasilitator tidak kira samada ianya kecederaan ringan atau berat.
- Pengisian oleh Jurulatih / fasilitator - Semua jurulatih dan fasilitator yang terlibat dalam sesuatu program haruslah mahir dan mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang tinggi. Ini bertujuan supaya segala pengisian yang diberikan pada setiap kumpulan adalah sama dan standard.
- Syor dan cadangan - Setelah menjalankan sesuatu aktiviti dicadangkan supaya diadakan suatu sesi untuk mendapatkan maklumbalas tentang segala kebaikan dan kelemahan dalam pengendalian dan pelaksanaan aktiviti oleh sesuatu kumpulan. Ianya bertujuan supaya dapat mengolah segala kekuatan dan kelemahan dalam melakukan dan pelaksanaan aktiviti. Syor dan cadangan yang bernas diambilkira dan diperbincangkan bersama. Aspek kelemahan di atasi sementara aspek kekuatan dikekalkan atau dipertingkatkan.
- Senggaraan dan penyimpanan peralatan - semasa sesuatu aktiviti dijalankan keperluan kemudahan, peralatan dan lokasi perlu dikemas dan dikenalpasti. Pengemasan perlatan perlu dilaksanakan sebaik sahaja aktiviti selesai. Peralatan yang dikemaskan perlu diteliti supaya ianya mencukupi, bersih dan dalam keadaan yang baik seperti sebelum digunakan. Peralatan yang mudah rosak atau sensitif perlu dipastikan keadaaan semasa pengemasan. Berpandukan senarai semak, peralatan yang rosak perlu diasingkan bagi tujuan pembaikpulihan. Semua peralatan yang dibawa dan digunakan haruslah dipastikan supaya tidak tercicir atau tertinggal di lokasi aktiviti bertujuan untuk meminimakan kecuaian.Penyimpanan alat-alat dalam setor perlu diklasifikasikan dan dipastikan tersusun mengikut kelompok dan kumpulannya atau kategori yang ditentukan dengan merujuk sistem penstoran yang ditetapkan. Penggunaan rak-rak yang dilabelkan adalah dicadangkan bagi tujuan pengendalian keluar masuk alatan dari aspek pengurusan.
- Pengiktirafan - Pengiktirafan dalam setiap aktiviti dan program amat perlu kepada peserta dan juga jurulatih. Sekiranya dalam sesuatu program itu mempunyai penilaian tahap atau kemahiran yang tinggi dan meliputi ujian-ujian yang perlu dilalui oleh peserta maka satu pengiktirafan perlu diberikan sebagai satu bukti pencapaian. Ianya boleh dilaksanakan dengan penganugerahan pangkat atau sijil sebagai media memperakui kejayaan. Dengan pengiktirafan melalui sijil atau penganugerahan pangkat akan dapat memberikan motivasi dan galakan untuk jurulatih menyertai dan melaksanakan program pada masa akan datang.
(4) Penilaian.
Setelah menjalankan aktiviti penilaian dilaksanakan
bertujuan untuk memperbaiki reka bentuk aktiviti dan program, mengetahui tahap
pencapaian matlamat dan objektif program, memperbaiki teknik dan kaedah
pelaksanaan aktiviti dan program, mempertingkatkan penggunaan ilmu dan
kemahiran dikuasai oleh individu setelah tamat program.
Penilaian boleh dijalankan melalui beberapa bentuk seperti
ujian bertulis, soalan-soalan semasa perbincangan lisan atau menjawab soalan
melalui soal-selidik. Penilaian boleh dijalankan secara formatif atau sumatif.
Antara komponen penilaian yang difokuskan adalah:
- Kesihatan dan kecerdasan keseluruhan - Aktiviti yang dicadangkan atau dijalankan adakah bertujuan untuk meningkatkan kesihatan yang meliputi mental, fizikal, emosi dan sosial secara intra ataupun inter-personal. Proses peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan keseluruhan berhubung rapat dengan setiap aktiviti. Melalui pendedahan dan keberadaan dalam suasana sebenar dikelilingi alam semulajadi dan persekitaran yang nyaman secara otomatis dapat meningkatkan kesihatan dan kecergasan keseluruhan.
- Hubungkait dengan akademik - Penglibatan secara langsung dalam setiap aktiviti memberi peluang untuk memperkembangkan dan mengaplikasikan segala ilmu, pengetahuan dan pengalaman lampau. Ini memberi peluang kepada individu untuk mencuba dan meneroka serta menggabungjalin semua ilmu, pengetahuan dan pengalaman merentasi kurikulum sebagaimana aspirasi negara.
- Matlamat dan objektif - Sejauh mana pencapaian matlamat dan objektif dapat diketahui melalui tahap pencapaiannya. Sekiranya tidak tercapai punca dan penyebabnya akan dikenalpasti bertujuan untuk mencari penyelesaiannya.
Pos-mortem perlu dibuat bagi tujuan mengenalpasti kelemahan,
kekurangan dan kelebihan yang telah dilaksanakan. Dua cara pengendalian
pos-mortem disyorkan adalah :
- Menerusi borang penilaian peserta, maklumbalas dan soal selidik yang dibuat secara bertulis atau lisan.
- Menerusi mesyuarat yang diadakan bersama jawatankuasa pengelola, urusetia dan jurulatih terlibat.
- Melalui proses pos-mortem tersebut pengelola akan dapat mengenalpasti kelemahan yang perlu di atasi, kelebihan yang perlu dikekalkan dan kebaikan yang perlu dipertingkatkan lagi supaya perancangan dan pelaksanaan akan dapat diperkemaskan lagi.
(6) Dokumen Laporan
Pelaporan sesuatu aktiviti atau program perlu dilaksanakan
di semua peringkatbagi tujuan memantau pelaksanaan pada masa yang akan datang.
Pelaporan haruslah dalam bentuk dokumentasi dan perlu dikemukakan kepada
pihak-pihak tertentu yang ada kaitan dengan program seperti pihak kementerian,
jabatan, serta penaja yang mempelopori penganjuran.
Ciri-ciri terbaik dalam mendokumentasikan laporan ialah
dengan memasukkan perkara-perkara berikut :
- pendahuluan
- tarikh, hari , masa dan lokasi
- bilangan penyertaan
- prosedur dan jadual kerja / aktiviti
- senarai jawatankuasa
- laporan aktiviti yang dilaksanakan
- laporan kewangan
- laporan jawatankuasa kerja / jawatankuasa kecil
- laporan maklumbalas atau penilaian keseluruhan
- masalah / pandangan / cadangan mengatasi
- penutup
Rumusan
- Program pendidikan luar adalah satu aktiviti yang terancang
- Terdapat tiga peringkat utama dalam mengendalikan aktiviti program pendidikan luar iaitu perancangan sebelum, semasa dan selepas perkhemahan.
- Jawatankuasa aktiviti perkhemahan perlu menyediakan perancangan aktiviti yang sesuai.
- Untuk tujuan keselamatan, semua arahan, peraturan dan langkah-langkah keselamatan harus dipatuhi oleh peserta perkhemahan.
- Program-program pendidikan luar yang dirancang dapat memberikan kesan yang positif kepada mereka yang terlibat seperti lebih yakin, berdikari, dan bertanggungjawab setelah mengikuti program perkhemahan.
Bacaan Asas/Rujukan
Sufian Omar
Fauzee, Shahrizad Yusof & Samsudin
Mohd Sharif, (2002). Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan
Tingkatan 4. Dewan bahasa dan Pustaka.
Wee Eng Hoe,
(1998). Pengajaran Pendidikan Jasmani
dan Kesihatan. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan