Disclaimer

MatriXwoo2 does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.
Memaparkan catatan dengan label Psikologi Sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Psikologi Sukan. Papar semua catatan

Ahad, 1 Disember 2019

Keagresifan Di Dalam Sukan




Kita sering menonton dan membaca daripada media massa tentang insiden pergaduhan dan tindakan kasar yang berlaku dalam pertandingan sukan. Fenomena tindakan kasar yang dilakukan oleh pemain atau atlet sering dikaitkan sebagai tingkah laku negatif. Tingkah laku ini dikenali sebagai keagresifan. Menurut Baron dan Richardson (1994), keagresifan adalah apa jua bentuk perlakuan atau tindakan yang berobjektif untuk mencederakan benda hidup dan bermotivasi untuk mengelakkan diri daipada mengalami kecederaan. Wann (1997), pula menyatakan keagresifan sebagai satu tindakan yang bermatlamat untuk mencederakan secara fizikal, verbal atau psikologikal orang lain sebagai langkah untuk mengelakkan diri sendiri daripada dicederakan.

Keagresifan dalam sukan boleh diklasifikasikan kepada tiga iaitu;

KEAGRESIFAN KETARA
Silva (1984), menyatakan keagresifan ketara merujuk kepada tindakan agresif yang berpunca daripada rasa marah dengan matlamat untuk mencederakan individu lain (ataupun objek) serta dengan niat untuk melihat individu tersebut mengalami kesakitan dan ganjarannya pula (kepuasan) apabila melihat individu tersebut terseksa dengan kesakitan yang dialaminya. Jenis keagresifan ini merupakan perlakuan secara sengaja mengasari pihak lawan. Keagresifan ini selalunya didorong oleh rasa marah dan kecewa. Sebagai contoh, seorang pemain bola keranjang telah dikasari oleh pihak lawan tetapi tidak dihukum oleh pengadil. Oleh sebab terlalu marah, pemain tadi telah menyiku dada pemain lawan dengan niat membalas dendam. Tindakan ini dikategorikan sebagai keagresifan ketara kerana mempunyai niat mencederakan akibat daripada perasaan marah. Niatnya pula untuk mengakibatkan kesakitan kepada pemain tersebut dan ganjarannya (kepuasan) pula adalah melihat pemain tersebut menanggung derita kesakitan akibat tindakannya.

KEAGRESIFAN INSTRUMENTAL
Keagresifan instrumental merujuk kepada tindakan mencederakan pihak lawan yang bermatlamat untuk mendapatkan faedah atau ganjaran luaran seperti kemenangan, hadiah atau prestij. Individu yang bertindak agresif tadi melihat tindakan tersebut sebagai ”instrumental” (perlu dilakukan) untuk mencapai matlamatnya.. Sebagai contoh, tindakan agresif seorang pemain pertahanan keatas pemain penyerang pasukan lawan dengan niat untuk mencederakan pemain tersebut agar beliau tidak dapat beraksi dengan baik seperti menjaringkan gol atau membuat hantaran kepada rakannya yang lain. Matlamat utama pemain pertahanan ini ialah untuk memastikan pasukannya memenangi perlawanan tersebut. Dalam contoh ini, niat untuk mencederakan (penyerang pasukan lawan) masih ada, tetapi matlamat utama pemain pertahanan tersebut ialah untuk memenangi perlawanan. Perlu ditegaskan di sini bahawa kedua-dua jenis tindakan agresif di atas sebenarnya salah serta tidak boleh diterima dalam konteks sukan. Ini kerana niat untuk mencederakan pemain pasukan lawan masih ada sedangkan tindakan ini bersalahan dengan peraturan mana-mana jenis sukan. Penggunaan strategi ini khususnya di peringkat profesional perlu dibenteras kerana tindakan pemain profesional ini lazimnya akan menjadi ikutan pemain muda.

KEAGRESIFAN ASERTIF
Keagresifan asertif merujuk kepada penggunaan fizikal atau verbal dengan cara yang dibenarkan mengikut peraturan permainan. Dalam hal ini, mereka yang melakukannya tiada niat langsung untuk mendatangkan kecederaan kepada pihak lawan bagi mencapai kemenangan. Sebagai contoh, dalam permainan bola tampar, seorang pemain melakukan aksi merejam sekuat mungkin ke dalam gelanggang pihak lawan untuk mendapatkan mata sehingga menyebabkan pemain pihak lawan cedera akibat terkena bola. Jika kecederaan berlaku akibat daripada tindakan asertif, ia tidak boleh dikira sebagai satu tindakan yang agresif kerana tindakan tersebut dibenarkan mengikut peraturan-peraturan permainan dan tiadanya niat untuk mengakibatkan kecederaan kepada pemain lawan. Sebagai contoh, penggunaan “tackle” untuk menghadkan pergerakan atau merampas bola dari pemain lawan dalam permainan ragbi dibenarkan serta termaktub dalam peraturan permainan selagi “tackle” tadi dilakukan tidak menyalahi peraturan. Bagaimanapun, jika berlaku kecederaan kepada pemain lawan akibat “tackle” bersih yang dilakukan, ia tidak dianggap sebagai tindakan yang agresif kerana ia dilakukan dengan “bersih” serta mengikut peraturan tanpa ada niat untuk mencederakan pemain lawan. Dalam situasi pertandingan, tugas untuk memastikan sama ada perlakuan itu dianggap sebagai perlakuan yang agresif atau asertif terletak di tangan pengadil. Adalah amat sukar untuk menentukan dan menilai niat seseorang pemain apabila mereka melakukan sesuatu dalam konteks permainan kerana ia berlaku dengan pantas khususnya dalam sukan yang bercorak dinamik serta kemahiran terbuka (open skills).

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEAGRESIFAN
Keagresifan dalam sukan berpunca daripada faktor psikofosiologi dan faktor-faktor semasa.

FAKTOR PSIKOLOGI
Sekiranya seorang atlet atau pemain berasa pihak lawan berniat untuk mencederakannya, atlet tersebut akan menunjukkan respon agresif apabila berhadapan dengan pemain tersebut. Hal ini didorong oleh persepsi atlet tersebut terhadap atlet pasukan lawan yang mempunyai kecenderungan untuk mencederakannya. Unsur-unsur negatif seperti kekecewaan, kemarahan, kemuraman dan perasaan dukacita juga merupakan rangsangan negatif yang boleh mencetuskan perlakuan agresif. Pengaruh lain seperti ganjaran yang ditawarkan dalam sesuatu permainan juga akan menyebabkan atlet untuk cenderung melakukan lakuan agresif bagi menjamin kejayaan pasukannya.

FAKTOR SEMASA
Perlakuan keagresifan juga dipengaruhi oleh faktor-faktor semasa. Antaranya ialah, kebangkitan fisiologi. Kebangkitan fisiologi biasanya berkait rapat dengan suasana persekitaran seperti suhu dan penonton. Keadaan ini akan menyebabkan atlet atau pemain untuk melakukan tindakan agresif kerana suasana yang kurang menyelesakan serta merimaskan yang menyebabkan atlet mudah marah. Menurut Donnerstein dan Watson (1976), suasana yang teramat bising akan merangsang reaksi agresif atlet. Suhu persekitaran juga boleh menyebabkan atlet berasa tidak selesa. Keadaan ini menjadi pencetus kepada tindakan agresif walaupun berlaku kesilapan yang kecil. Tindakan yang diambil oleh atlet tersebut dianggap keterlaluan dan melampau oleh orang lain.

Selain itu, persepsi individu juga salah satu factor keagresifan dalam sukan berlaku. Hal ini berlaku apabila pemain merasakan diri mereka diasak secara kasar oleh pemain lawan yang sekaligus meningkat keagresifan dalam permainan tersebut.

Di samping itu, perbezaan mata atau jaringan. Menurut Cox (1999), semakin besar perbezaan mata atau jaringan, semakin banyak kekasaran atau tindakan agresif yang akan dilakukan oleh pasukan yang ketinggalan. Keadaan ini berbeza jika kedudukan seri atau perbezaan mata atau jaringan yang kecil.Keadaan ini akan mengurangkan perlakuan agresif kerana bimbangkan risiko yang akan dihadapi jika melakukan kekasaran.

Seterusnya, lokasi perlawanan. Hal ini berlaku dimana tindakan atau permainan yang lebih agresif akan ditunjukkan oleh pemain tuan rumah jika mendapat sokongan daripada penonton. Bagaimanapun, menurut Russell (1981), ia juga bergantung kepada corak keagresifan yang ditonjolkan serta jenis sukan yang dipertandingkan. Bagi sukan bola sepak, pasukan yang bermain di tempat lawan biasanya lebih agresif kerana merekan ingin mempertahankan kedudukan mereka. Manakala, bagi hoki ais, ia adalah sama jika bermain di tempat sendiri atau di tempat lawan (Cullen & Cullen, 1975)

Keputusan permainan juga memainkan peranan dalam tingkah laku agresif pemain. Pasukan atau pemain yang merasakan diri mereka akan tewas atau tidak berpeluang untuk memenangi perlawanan akan bertindak lebih agresif mengikut Teori Frustrasi Agresif (Cullen & Cullen, 1975)

Akhir sekali, penggunaan dadah seperti steroid yang mempengaruhi perlakuan agresif seseorang pemain dalam sukan. Hal ini disebabkan oleh tindakan bawah sedar mereka akibat daripada pengaruh dadah tersebut.

KESAN PENDEKATAN AGRESIF TERHADAP INDIVIDU DALAM SUKAN

Menggalakkan sikap agresif dalam sukan atau menjadi “role model” yang negative terhadap orang lain.
Menjadikan sikap agresif sebagai taktikal dalam pasukan bagi setiap kali menghadapi perlawanan.
Akan wujud jurulatih yang menggalakkan sikap agresif diterapkan dalam taktikal permainan.
Liputan media buruk dan berat sebelah.

CARA-CARA UNTUK MENGATASI KEGANASAN DALAM SUKAN

Mendisiplinkan atlet dengan sikap yang betul

Jurulatih perlu mendisiplinkan pemain mereka dan sentiasa mengingat mereka untuk mengawal tingkah laku serta baran dalam setipa perlawanan. Jurulatih juga perlu menerapkan nilai kesukanan seperti adil, hormat terhadap pasukan lawan dan pengwalan tekanan. Jurulatih juga harus menilai perwatakan atlet seperti mendapatkan biodata atlet yang merangkumi latar belakan keluarga, masalah disiplin, rekod kesihatan dan sebagainya.

Ceramah motivasi

Penyampaian ceramah-ceramah motivasi oleh pakar-pakar sukan (psikologi) sebelum dan selepas perlawanan dengan menekankan unsur-unsur “fairplay”. Selain itu, ia juga bertujuan untuk member kata-kata semangat, dorongan dan motivasi kepada pasukan yang bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri atlet.

Membuat pemeriksaan terhadap penonton sebelum memasuki lokasi perlwanan

Hal ini bertujuan untuk mengwal keganasan dari pihak penonton dan penyokong.
Ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan strategi sperti mengharamkan pengambilan alcohol oleh penonton sebelum dan semasa perlawanan. Pemeriksaan boleh dilakukan di pintu-pintu masuk lokasi perlawanan untuk memastikan penonton tidak membawa masuk sebarang objek berbahaya seperti mercun, kayu, senjata api dan benda-benda tajam.

Memisahkan penyokong pasukan

Hal ini adalah untuk mengelakkan sebarang pergaduhan antara penyokong pasukan yang berbeza yang boleh mendatangkan kecederaan dan kematian.

RUMUSAN

Keagresifan dalam sukan merupakan perlakuan yang bertentangan dengan peraturan dan norma permainan. Bagi mengawal keagresifan atlet, disiplin diri dan tahap motivasi yang tinggi harus diterapkan semasa latihan dan permainan. Kesedaran terhadap pentingnya semangat kesukanan di kalangan pemain dan atlet perlu dipupuk. Pemain juga harus disemaikan dengan sikap agar dapat menerima sesuatu keputusan secara rasional. Mereka perlu sentiasa menyedari keupayaan diri sendiri dan menghargai orang lain Kemahiran mengawal kebimbangan dapat dilakukan antaranya melalui terapi, pendekatan kaunseling dan bersenam. Semasa pertandingan, pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung hendaklah mengikut norma dan mematuhi peraturan pertandingan.Hal ini akan mengawal tingkah laku agresif pemain, jurulatih dan penonton.

Sabtu, 19 Januari 2019

Kebangkitan dan Kebimbangan Dalam Sukan


Kebangkitan (Resurrection) 
Apakah yang dimaksudkan dengan kebangkitan? Banyak definisi yang diutarakan oleh pakar psikologi sukan untuk menjelaskan tentang kebangkitan. Menurut Cox (1998), kebangkitan dapat didefinisikan sebagai tahap kesediaan fisiologi yang berada dalam satu kontinum dari tidur yang lena sehingga kepada keseronokan yang terlampau. Cratty (1989), mendefinisikan kebangkitan sebagai kesediaan untuk beraksi secara fizikal, intelektual atau perseptual. LeUnes dan Nation (1989) mentakrifkan kebangkitan pula, merujuk kepada aktivasi psikologi individu. Manakala Wann (1997), mendefinisikan kebangkitan sebagai tahap kesediaan fisiologi untuk beraksi secara fizikal, intelektual atau perseptual yang tidak dipengaruhi oleh emosi.

Berdasarkan definisi yang diutarakan di atas, terdapat persamaan yang nyata tentang kebangkitan. Ia merujuk kepada tahap kesediaan seseorang individu dalam menghadapi stimulus yang terdapat di persekitaran. Menurut Wann (1997), kebangkitan sebenarnya bersifat neutral, sementara kesannya sama ada positof atau negatif bergantung kepada tafsiran individu terbabit. Untuk memudahkan pemahaman kita tentang kebangkitan, ia didefinisikan sebagai tahap kesediaan fisiologi individu untuk bertindak secara fizikal mahupun mental.

Kebimbangan (Anxiety) 
Apakah pula yang dimaksudkan dengan kebimbangan? Menurut Wann (1997), kebimbangan ialah sesuatu yang negatif dan boleh mempengaruhi pencapaian atlit dalam sukan. Ia merujuk kepada tafsiran kognitif yang dibuat oleh individu terhadap apa yang terdapat di persekitarannya. Jika tafsiran tesebut menjurus kepada sesuatu yang mendatangkan kesan negatif, maka ia menghasilkan kebimbangan.

Apabila memperkatakan kebimbangan di kalangan atlit maka perlu dijelaskan mengenai kebimbangan tret dan kebimbangan seketika. Berdasarkan kepada Silva dan Stevens (2002) kebimbangan tret adalah merujuk kepada personaliti seseorang individu di mana ia bersifat stabil dan mereka sering mentafsirkan situasi persekitaran dengan perasaan risau atau bimbang yang boleh meningkatkan tahap kebangkitan (arousal). Ini menunjukkan kebanyakan masyarakat mempunyai tahap kebimbangan tret yang sederhana dan sedikit sahaja yang tinggi atau rendah tahap kebimbangan tret. Manakala kebimbangan seketika merujuk kepada tahap kebimbangan semasa yang terhasil dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitaran pada waktu itu (Shaharudin 2001).

Jenis-jenis Kebimbingan (Anxiety)
Kebimbangan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya Kebimbangan Seketika (State Anxiety), Kebimbangan Tret (Trait Anxiety), Kebimbangan Kognitif ( Cognitive Anxiety) dan Kebimbangan Somatik (Somatic Anxiety).

Kebimbangan Seketika (State Anxiety) adalah tahap kebimbangan semasa yang terhasil atau berlaku dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitarannya pada waktu itu seperti perasaan khuatir/bimbang, takut, tekanan dan kebangkitan fisiologikal.

Kebimbangan Tret (Trait Anxiety) merujuk kepada ciri-ciri personaliti individu yang sering mentafsir situasi di persekitaran mereka sebagai menekan atau menggugat diri dan situasi ini akan meningkatkan lagi tahap kebimbangan mereka.

Kebimbangan Kognitif ( Cognitive Anxiety) merupakan proses mental yang bersifat kognitif yang berlaku akibat dari tafsiran terhadap situasi semasa.Sebagai contoh ketakutan terhadap penilaian sosial, takut terhadap kegagalan dan kehilangan harga diri (self esteem).

Kebimbangan Somatik (Somatic Anxiety) pula merujuk kepada aspek fisiologikal dan afektif individu yang terbabit kesan dari kebimbangan kognitif yang wujud dalam diri individu tersebut. Sebagai contoh peningkatan kadar degupan jantung, pernafasan dan ketegangan otot-otot. Ini akan mengakibatkan individu hilang, rasa marah-marah, kurang yakin serta mendatangkan kesan kepada prestasi individu.

Perbandingan kebangkitan dan kebimbangan
Ciri perbezaan antara kebangkitan dan kebimbangan telah dijelaskan dengan sebegitu rupa untuk menerangkan tentang perbezaan antara kedua-duannya, serta untuk mengelakkan salah tafsiran tentang apa yang dimaksudkan dengan kebangkitan dan kebimbangan. Bagaimanapun, untuk menjelaskan tentang teori yang berkaitan dengan kebimbangan, kedua-duanya perlu dilihat dalamm konteks yang sama kerana kebangkitan sering dilihat sebagai hampir sama dengan kebimbangan seketika (Cox, 1998). Dalam bahagian ini, akan diutamakan teori-teori yang menjelaskan tentang perkaitan antara kebangkitan dan kebimbangan dengan prestasi atlet.

Proses Kebangkitan
Secara ringkasnya, kebangkitan berpunca dari tindakan Sistem Saraf Autonomik (SSA). SSA mengawal tindakan automatik serta fungsi luar kawal badan seperti degupan jantung, pernafasan dan tekanan darah. Ia boleh dibahagikan kepada sistem simpatetik dan parasimpatetik. Sistem simpatetik boleh dianggap sebagai pusat kebangkitan, dengan menyediakan badan untuk tindakan flight or flight sementara parasimpatetik pula berfungsi sebagai penenang (menurunkan kebangkitan), Bagi manusia, proses kebangkitan berkait rapat dengan proses homeostasis iaitu proses menstabilkan tahap fisiologi manusia (Wann, 1997).

Setiap individu mempunyai tahap kebangkitannya yang tersendiri (optimum) serta berbeza dengan individu yang lain. Sekiranya aktiviti simpatetik meningkatk, maka tahap kebangkitan seseorang individu juga akan meningkat melebihi tahap optimum. Justeru itu, parasimpatetik bertanggungjawab untuk menurunkan tahap kebangkitan seseorang individu agar kembali kepada tahap asal (hemeostasis).

Tahap Optimum Kebangkitan
Kebangkitan boleh diletakkan dalam satu kontinum yang terdiri dari tidur yang lena sehinggalah kepada keseronokan yang terlampau (Cox, 1998). berdasarkan kajian, organisma hidup sebenarnya mencari satu tahap kebangkitan yang sesuai dan selamat ketika melakukan sesuatu tugasan. Tahap ini dikenali sebagai tahap kebangkitan yang optimum. Keinginan mendapatkan tahap kebangkitan yang optimum ini dikenali sebagai sensoristasis (Schultz, 1965). Menurut Duffy (1957) tahap kebangkitan yang optimum sebenarnya berada dipertengahan iaitu tahap kebangkitan yang tidak terlalu tinggi dan juga tidak terlalu rendah.

Indikator Kebangkitan
Pelbagai cara boleh digunakan untuk mengesan tahap kebangkitan seseorang individu. Antara kaedah yang biasa digunakan dengan mengunakan alat elektrofisiologikal. Bagaimanapun, tidak ada satu cara yang paling tepat untuk mengukur kebangkitan (Cox, 1998; Tenenbaum, 1984). Jesteru itu, kita perlu berhati-hati ketika mengukur dan mengesan tahap kebangkitan individu. Antara cara sesuai digunakan untuk mengesan tahap kebangkitan adalah peningkatan kadar nadi, ketengangan otot, pengeluaran peluh, peningkatan pernafasan, perlakuan yang tidak teratur, percakapan yang terlalu laju serta hilang rentak perlakuan yang biasa.

Stres
Menurut Hans Selye (1982), stres merupakan respons tubuh badan tanpa emosi terhadap bebanan atau tekanan  yang dihadapi di persekitaran. Antara bentuk tekanan yang dihadapi adalah tekana fizikal iaitu tekanan yang berpunca dari penglibatan dalam akktiviti, tekanan mental seperti rasa sedih, kecewa dan seronok serta bentuk tekanan yang lain. Apa pun bentuk tekanan yang diterima, reaksi fisiologikalnya tetap sama.

Seperti mana dengan kebangkitan, stres merupakan tindak balas fisiologikal yang neutral terhadap tekanan atau bebanan yang terdapat di persekitaran. Nilai stres sama ada positif atau negatif, sebenarnya bergantung kepada tafsiran yang dibuat oleh individu yang menghadapinya. Justeru itu, stres dn kebangkitan mempunyai persamaaan yang ketara iaitu kedua-duanya bersifat neutral serta tidak mempunyai pengaruh emosi.

Selye (1982) menjelaskan bahawa stres boleh dikategorikan kepada empat kategori utama dan dibahagikan kepada dua variasi yang berbeza iaitu eustres-distres serta hiperstres-hipostres. Ia bergantung kepada interpretasi kognitif individu itu sendiri.

Eustres
Sekiranya individu tersebut merasakan bahawa stres yang di alaminya bersifat positif, maka ia disebut eustres. Contohnya, perasaan serta debaran yang dirasai oleh seorang atlet sementara menantikan namanya di umumkan sebagai pemenang serta dikalungkan dengan pingat emas. Stres yanag di alami dalam bentuk debaran di tafsirkan sebagai positif oleh atlet tersebut.

Distres
Sekiranya individu tersebut membuat interpretasi bahawa stres yang dialaminya bersifat negatif, maka ia disebut distres. Individu merasakan bahawa beliau tidak mampu untuk menghadapi bebanan atau tekanan yang di hadapi di persekitaran. Contohnya, apabila seorang ahli gimanastik terjatuh dari balance beam. Walaupun ahli gimnastik tersebut meneurskkan semula rutin beliau rasa takut jatuh kali kedua serta kebimbingan yang dirasai kerana kehilangan mata sebelumnya memberikan kesan kepada beliau.

Hiperstres
Hiperstres berlaku di mana keaaan tahap serta jumlah yang dialami melampaui kemampuan kita menanggani stres tersebut. Contohnya dalam keadaan tertekan yang teramat sangat seseorang individu menjadi kaku serta tidak dapat memberikan sebarang reaksi.

Hipostres
Hipostres pula ialah jumlah atau bentuk stres yang dialami tidak langsung merangsang atau membimbangkan individu tersebut. Hasilnya kebosanan berlaku. Seseorang yang mengalami hipostres tidak memiliki motivasi untuk melakukan apa-apa pun. Hipostres boleh mendorong seseorang menghadapi masalah kemurungan (depression).

Gejala Psikologi Akibat Daripada Kebangkitan Dan Kebimbangan
Menurut Endler, 1978 (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001) kebimbangan dan tekanan terhasil daripada gabungan lima faktor iaitu tekanan terhadap ego, tekanan terhadap fizikal individu, ketidaktentuan, perubahan, dan penilaian atau perbandingan sosial.

Tekanan terhadap ego
Tekanan berlaku khususnya apabila seseorang atlet tewas sesuatu    perlawanan khususnya kepada lawan yang lebih rendah rankingnya. Ego atlet ini akan tercabar serta tertekan. Beliau juga merasa kurang yakin untuk menghadapi perlawanan seterusnya. Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan tahap kebimbangan seketika atlet ini.

Tekanan terhadap fizikal individu
Seseorang atlet akan berasa bimbang sekiranya beliau tahu bahawa ada usaha oleh pihak lawan untuk menewaskan beliau secara fizikal.

Ketidaktentuan
Keputusan yang belum pasti, perlawanan yang berlarutan ‘sudden death’ serta saat-saat mencemaskan yang menentukan menang-kalah sesebuah pasukan mempunyai elemen ketidaktentuan ini. Kita tidak akan berasa bimbang sekiranya kita tahu kita akan menang atau tidak mempunyai harapan lagi untuk menang.

Perubahan
Sebarang bentuk perubahan sebenarnya akan menyebabkan kita menjadi kurang selesa dengan persekitaran kerana ia bukan rutin harian. Contohnya seorang pemain yang biasa dengan kaedah latihan seorang jurulatih akan merasa tertekan dengan kehadiran seorang jurulatih baru yang membawa pendekatan serta corak latihan dan matlamat yang baru.

Penilaian atau perbandingan sosial
Kita akan merasa tertekan sekiranya kita tahu bahawa prestasi kita akan dinilai atau dibandingkan dengan orang lain. Debaran yang dirasakan di garisan permulaan sebelum masuk ke padang atau gelanggang mahupun ketika mengambil peperiksaan merupakan ciri-ciri kebimbangan seketika yang dihasilkan menerusi penilaian. Justeru itu, kemampuan mengubah tafsiran merupakan elemen untuk menangani masalah itu.

Bagaimana Kebangkitan dan Kebimbangan Mempengaruhi Prestasi 
Pengaruh kebangkitan dan kebimbangan terhadap prestasi dapat dilihat dengan jelas menerusi teori dorongan, teori U-terbalik dan model bencana Hazey dan Hardy.
Teori Dorongan (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001). Teori dorongan ini telah diperkenalkan oleh Hull (1943, 1951) dan Spence (1956). Teori ini menjelaskan tentang persaingan di antara respons yang terdapat dalam sesuatu proses pembelajaran. Teori ini boleh dijelaskan dengan formula berikut:

Prestasi = Kebangkitan x Tahap Kemahiran 
Teori Dorongan ini beroperasi berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
  1. Peningkatan kebangkitan (dorongan) akan menghasilkan respons yang dominan.
  2. Respons atau tindak balas yang dikaitkan dengan keinginan yang kuat merupakan respons yang paling dominan.
  3. Pada tahap awal pembelajaran atau untuk kemahiran yang kompleks, respons yang dominan lazimnya kurang tepat atau salah.
  4. Ditahap akhir pembelajaran atau untuk kemahiran yang mudah, respons yang dominan lazimnya tepat atau betul.

Teori ini menyimpulkan bahawa kebangkitan yang tinggi diperlukan oleh  atlet yang berpengalaman untuk membantu mereka mencapai kejayaan.  Manakala kebangkitan yang rendah sesuai untuk meningkatkan peluang  kejayaan untuk atlet baru. Ini seterusnya akan meningkatkan keyakinan diri mereka.

Teori U-Terbalik. Teori ini diperkenalkan oleh Yerkes dan Dondon, 1908 (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001) yang menggunakan tikus untuk menguji perkaitan di antara kebangkitan dan tahap kesukaran tugasan serta kesannya ke atas prestasi.

Berdasarkan teori ini tahap kebangkitan yang tinggi diperlukan untuk mendapatkan prestasi yang baik apabila melakukan aktiviti yang melibatkan penggunaan otot besar (gross motor skill) atau yang menggunakan tenaga yang tinggi. Namun begitu prestasi tersebut akan menurun secara berkadar selepas atlet tersebut mencapai tahap kebangkitan yang optimum. Ini mungkin berlaku kerana fisiologikal kebangkitan atlet tersebut sudah tidak boleh lagi ditinggikan atau atlet tersebut sudah bosan dengan pertandingan tersebut.

Model Bencana Gagasan yang diutarakan oleh Fazey dan Hardy 1988 (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001) mencabar gagasan teori U-Terbalik yang mengandaikan bahawa:
  1. Peningkatan tahap kebangkitan yang sedikit akan meningkatkan atau menurunkan sedikit prestasi atlet.
  2. Tahap kebangkitan yang sederhana menghasilkan prestasi yang optimum. Teori ini menerangkan bahawa peningkatan kebangkitan fisiologi dan kebimbangan kognitif yang keterlaluan akan menyebabkan penurunan prestasi (bencana) kepada atlet  tersebut.
Bagaimana Mengatasi Masalah Kebangkitan dan Kebimbangan 
Untuk mendapatkan prestasi yang baik dalam sesuatu pertandingan, tahap kebangkitan, tekanan dan kebimbangan yang dialami oleh atlet perlu dikawal. Tanpa pengawalan yang betul prestasi atlet boleh merosot. Latihan mental merupakan kaedah yang berkesan untuk mengawal tahap kebangkitan. Kejayaan seseorang atlet dalam pertandingan bergantung kepada keupayaan atlet untuk mengawal mentalnya. Ini penting kerana mental yang baik dapat mengawal tubuh badan dengan baik. Latihan Relaksasi Otot Progresif merupakan satu bentuk latihan mental yang boleh dilakukan untuk mengawal tahap kebangkitan. Relaksasi merupakan suatu teknik yang digunakan bagi mengurangkan rasa tekanan terhadap diri sendiri dengan cara mengurangkan kontraksi otot-otot tubuh ke tahap paling minimum (Harrey, 1994 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2002).

Jacobson 1938, (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2002), latihan relaksasi boleh dibahagikan kepada dua iaitu relaksasi aktif dan relaksasi pasif. Relaksasi aktif adalah latihan yang menumpukan seluruh perhatian kepada tubuh badan iaitu teknik otot ke minda. Contohnya ialah yoga, tai chi dan relaksasi progresif. 

Relaksasi pasif pula merupakan teknik yang menumpukan perhatian otak ke otot. Teknik ini memerlukan otak mengenal dan menghantar segala rangsangan yang diterima kepada otot skeletal. Antara latihan yang termasuk dalam teknik relaksasi pasif ialah latihan pernafasan, latihan autogenic, hypnosis, imageri visual dan meditasi (Harrey, 1994 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2002).

Antara langkah yang dapat diambil untuk menguruskan stres ialah kawalan penafasan. Teknik ini dapat diguna pakai dengan cara tarik nafas, lepaskan. Keluarkan semua masalah dan tekanan semasa menghembus nafas setelah itu tarik nafas dalam-dalam ke diafragma dan lepaskan. Tarik nafas anda bersama tenaga dan daya hidup yang baru. Lepaskan semua ketegangan dan kepenatan dari dalam diri anda.

Latihan Autogenik juga merupakan salah satu konsep pengurusan stres, hampir sama dengan relaksasi progresif. Ia merupakan satu bentuk latihan mental yang dirancang untuk melahirkan sensasi hangat dan berat sebagai respon kepada relaksasi. Anggota badan berasa berat kerana tidak wujud sebarang tekanan mahupun ketegangan pada otot badan sementara kehangatan yang dirasai berpunca dari pengembangan saluran darah pada otot berkenaan (kesan tindakan parasimpetatik).

Imageri dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menggunakan visualisasi untuk membayangkan situasi (Block,1981). Wann (1997) pula berpendapat bahawa imageri adalah proses yang merangkumi visualisasi mental tentang dasar yang dilakukan sebelum atau semasa melakukan tugasan tersebut. Ia adalah penggunaan semua deria untuk mereka atau mereka semula pengalaman dalam minda.

Penetapan matlamat adalah salah satu konsep pengurusan stres. Ia adalah satu proses untuk menetapkan matlamat di mana peningkatan motivasi dan hasil dapat dicapai dalam jangkamasa yang telah ditetapkan. Sebagai contoh tumpuan perhatian. Ia menumpukan keupayaan atlet untuk memfokus pada maklumat yang relevan semasa pertandingan. Ia juga merupakan satu bentuk latihan di mana atlet sentiasa mengingatkan dirinya sendiri akan kejayaan, teknik serta kemahiran yang terbaik pernah dicapai dan kejayaan yang boleh dicapai pada masa depan. Latihan juga membentuk kata kendiri yang positif.

Antara faedah mengamalkan teknik ini ialah ia dapat meningkatkan reflek minda badan dan juga kesedaran diri dan kesedaran kiu yang penting. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan konsentrasi dan keyakinan diri. Seterusnya, ia   dapat menurunkan kebimbangan dan mengawal kebangkitan.

Kesimpulannya, kebangkitan, tekanan dan kebimbangan adalah saling berkait antara satu sama lain dan merupakan sesuatu yang akan dialami oleh setiap atlet yang terlibat dalam pertandingan. Ketiga-tiga ini merupakan faktor utama yang menentukan prestasi atlet. Sekiranya atlet dibekalkan dengan latihan fizikal dan mental yang mencukupi mereka seharusnya dapat mengawal dan menukar setiap desakan yang berlaku menjadi faktor kejayaan. Diharapkan juga setiap atlet perlu mempunyai fokus yang baik dan sentiasa mengambil tahu mengenai teknik-teknik sebenar bagaimana untuk mengawal kebangkitan, tekanan dan kebimbangan dalam sukan.

Rujukan 
  1. http://ppgipgtawaupjk.blogspot.my/2015/06/kebangkitan-tekanan-dan- kebimbangan.html
  2. http://sakuraaa7.blogspot.my/
  3. http://kawyakinsaja.blogspot.my/2012/03/teori-kebangkitan-dalam-sukan.html
  4. http://anakjelapang10.blogspot.my/2010/03/psikologi-sukan.html
  5. https://www.slideshare.net/mobile/alfaupsi/kebangkitandankebimbangandalamsukan











  

Khamis, 17 Januari 2019

Tumpuan



Pengenalan
Menurut Cox (1998), tumpuan bermaksud kemampuan seseorang individu mengalihkan tumpuan dari satu sumber maklumat kepada satu sumber maklumat yang lain dan jumlah maklumat yang difokuskan dalam tempoh masa tertentu.

Manakala menurut Galott(1994), proses menumpukan perhatian ditakrifkan sebagai konsentrasi yang diasaskan oleh proses atau aktiviti kognitif individu.

Keadaan ini merujuk kepada aktiviti memberi tumpuan atau memfokuskan perhatian secara kognitif dengan menggunakan tumpuan fikiran kepada sesuatu topic atau tugasan yang dilakukan secara sedar dan disengajakan.

Bagi aspek konsentrasi pula, konsentrasi bermaksud kemampuan memberikan tumpuan (fokus) kepada petunjuk di persekitaran serta mengekalkan fokus tersebut dalam tempoh masa yang diperlukan. Kemampuan konsentrasi merupakan aspek penting yang menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pasukan atau atlet dalam sukan.

Kesan serta kepentingan tumpuan dalam kehidupan kita telah menarik minat ramai ahli psikologi sukan. Ahli psikologi sukan ini berpendapat bahawa tumpuan merupakan elemen penting yang berkaitan dengan sukan. Umumnya, kajian ini boleh dibhagikan kepada dua kumpulan utama iaitu kajian yang melihat perkaitan di antara tumpuan serta prestasi dalam sukan dan stail atau gaya tumpuan seseorang atlet (Wann, 1997).

Tumpuan Secara Umum
Sebelum mendalami dalam dimensi tumpuan dan gaya tumpuan, masalah yang biasanya timbul berkaitan tumpuan adalah seseorang individu terlalu memikirkan atau memberikan tumpuan kepada apa yang telah berlaku, terlalu memikirkan apa yang akan berlaku, memberikan tumpuan kepada terlalu banyak kiu dan petunjuk di persekitaran serta terlalu menumpukan kepada mekanik atau proses pergerakan sesuatu kemahiran yang telah dikuasaai dengan baik.

Beberapa faktor yang menyumbangkan kehilangan tumpuan pula adalah seseorang individu memikirkan kepentingan sesuatu pertandingan, menghadapi tekanan yang keterlaluan menyebabkan atlet hilang tumpuan. Pada saat-saat kritikal dalam sesuatu perlawanan seperti penentuan sepakan penalty. Tambahan pula, penilaian ke atas pemain sama ada oleh jurulatih, pengurusan, rakan sepasukan, penonton dan peminat.

Oleh itu, terdapat beberapa cara mengatasi nasalah hilang tumpuan. Antaranya, seseorang individu boleh bicara kendiri yang positif. Sebagai contoh, saya boleh lakukan boleh dibicara dalam diri seseorang. Selain itu, menggunakan perkataan atau kiu tertentu untuk memfokuskan tumpuan. Seterusnya, seseorang individu boleh berlatih dengan gangguan dan simulasi. Mewujudkan serta mengekalkan rutin tertentu juga merupakan salah satu cara. Tambahan pula, memberikan fokus terhadap peranan masa kini dengan melupakan perkara yang sudah berlaku dan tumpukan perhatian pada masa sekarang juga salah satu cara yang berkesan.

Dimensi Tumpuan
Menurut Hideffer(1993), terdapat dua jenis dimensi tumpuan utamayang sering digunakan dalam kehidupan seharian iaitu keluasan tumpuan(attentional width) dan arah tumpuan.

Dimensi pertama iaitu keluasan tumpuan  berkait rapat dengan bilangan stimulus yang diberikan tumpuan atau yang difokus oleh seseorang individu pada sesuatu masa dari sempit kepada luas. Sebagai contoh, penjaga gol perlu meluaskan tumpuannya dengan menilai pergerakan penyerang. Tumpuan ini biasanya berkaitan dengan jumlah rangsangan yang diterima untuk memberi tumpuan sepenuhnya. Tumpuan utama ini hanya memberikan tumpuan kepada isyarat berprestasi yang berkaitan dengan bidang focus atlet. Isyarat yang berprestasi termasuklah teknik taktik, perlawanan, skor, waktu sisa pertandingan dan sebagainya. Dengan kata lain, atlet hanya perlu memberi tumpuan pada petunjuk-petunjuk yang boleh membantu mereka melakukan yang terbaik.

Seterusnya, dimensi kedua ialah arah tumpuan. Arah tumpuan merujuk kepada tahap di mana individu mengarahkan tumpuannya sama ada ke dalam atau ke luar. Arah tumpuan dalaman berlaku apabila atlet mengarahkan tumpuannya kepada perasaan serta pemikirannya manakala arah tumpuan luaran merujuk kepada tindakan atlet memberikan tumpuannya kepada stimulus yang terdapat di persekitarannya atau luarannya. Contohnya, penjaga gol tadi perlu mengatasi perasaan takut , tidak yakin dan bimbang untuk membuat keputusan yang tepat dalam menghalang penjaringan bola penyerang. Penumpuan arahan ini adalah segala di dalam diri atlet (fikiran emosi dan tindak balas) dan segala di luar atlet (pemandangan dan bunyi).

Kehilangan tumpuan ini boleh menghalang prestasi pemain dan menjadikan ia sebagai halangan dengan menyukarkan kemenangan. Oleh itu. psikologi sukan boleh membantu atlet mempelajari kemahiran memberi tumpuan sepanjang pertandingan berlangsung.


Gaya Tumpuan (Stail Tumpuan)
Ramai ahli psikologi sukan tertarik untuk mengetahui tentang stail tumpuan seseorang ahli sukan.  Stail tumpuan boleh dimaksudkan sebagai kecenderungan seseorang individu menumpukan perhatiannya kepada maklumat serta apa yang berlaku disekelilingnya dengan selesa.  Ia boleh dikaitkan dengan ciri-ciri peribadi yang stabil serta konsisten dalam semua situasi (Nideffer, 1993) Stail Tumpuan. Kebanyakan kajian yang dilakukan dalam ruang lingkup stail tumpuan ini adalah untuk menilai fokus tumpuan (pemusatan tumpuan) atlet terbabit iaitu kemampuan menggunakan stail tumpuan yang sesuai dengan rangsangan atau tugasan yang perlu dilaksanakan.

Terdapat empat gaya tumpuan yang biasanya boleh dilihat dalam seseorang individu dalam kehidupan seharian. Gaya-gaya tumpuan ini ialah luas luaran (broad external), luas dalaman (broad internal), sempit luaran (narrow external) dan sempit dalaman (narrow internal).

Gaya tumpuan pertama ialah luas luaran. Kebiasaannya, individu yang mempunyai fokus luas luaran bertindak menilai pergerakan rakan dan pelawan semasa aktiviti sedang berlangsung. Sebagai contoh seorang posisi penjaga gol. Keadaan ini disebabkan tumpuannya luas untuk melihat posisi serta pergerakan pemain yang berada dan terlibat di padang.

Sementara itu, individu yang menggunakan fokus tumpuan yang bercorak luas dalaman biasanya menganalisis sesuatu situasi seperti memikirkan strategi serta taktik yang berkesan untuk mengatasi pihak lawan. Dengan itu, keadaan ini biasa dihadapi oleh seorang jurulatih semasa menyaksikan pasukan beraksi dalam sesuatu perlawanan.

Seterusnya bagi individu yang mempunyai tumpuan bersifat sempit luaran kebiasaanya individu yabg menggunakan fokus sempit luaran memberikan tumpuan kepada sesuatu perkara sahaja. Keadaan ini biasanya dialami oleh atlet mamanah kerana mereka bersedia melepaskan anak panah kea rah sasaran.

Sementara bagi atlet yang menggunakan fokus tumpuan yang bercorak sempit dalaman biasanya memberikan tumpuan kepada satu atau dua perkara sahaja. Keadaan ini selalu digunakan oleh atlet gimnastik yabg membayangkan pergerakannya yang akan dilakukan dalam acara senaman lantai.

Jelasnya, kemampuan menggunakan fokus tumpuan yang bersesuaian berkait dengan individu yang mengalami kesukaran untuk “meluaskan”  fokus tumpuan. Natijahnya, individu ini gagal bertindak berdasarkan maklumat yang terdapat di persekitarannya.

Berdasarkan kepada kajian yang telah dilakukan dengan menggunakan TAIS, Nideffer (1980) menggariskan beberapa profil penumpuan yang berbeza. Pertama, individu yang mendapat skor yang tinggi bagi subskala OET dan OIT serta skor rendah bagi NAR menunjukkan corak tumpuan yang kurang efektif lazimnya sukar beralih dari fokus tumpuan dalaman kepada fokus tumpuan luaran. Akibatnya, mereka lambat bertindak berdasarkan maklumat yang terdapat di persekitaran.

Sesungguhpun penggunaan TAIS menunjukkan hasil yang positif, terdapat juga beberapa penyelidik yang meragui kesahihan psikometrik TAIS. Bagaimanapun, sebagai kesimpulannya, ujian ini mengkin lebih sesuai juka digunakan sebagai alat diagnosis tumpuan jika dibandingkan sebagai alat untuk meramal prestasi atlet.

Kesimpulannya, kehilangan tumpuan wa;aupun Cuma beberapa saat sahaja boleh mengakibatkan kekalahan atau kerugian yang besar. Bahkan ia boleh menyebabkan kecedaraan serius atau kehilangan nyawa dalam acara sukan tertentu seperti lumba kereta, motosikal dan gimnastik. Lebih malang lagi, kehilangan tumpuan juga merupakan punca utama kemalangan jalan raya yang mengorbankan banyak nyawa saban tahun di negara kita. Justeru itu, kemampuan menumpukan perhatian bukan sahaja penting dalam bidang sukan malah ia penting dalam semua aspek kehidupan.

RUJUKAN
https://www.slideshare.net/mobile/tiongsinglin/57-tumpuan
Sing Lin Tiong

http://jek791102.blogspot.my/2013/11/deminsi-tumpuan-psikologi-sukan.html?m=1
Isnin, 4 November 2013 by Jekius Jek

http://sainssukanjee.blogspot.my/2011/12/psikologi-sukan.html?m=1
Wednesday, 14 December 2011 by Mohd Fauzi



Konsep dan Definisi Psikologi Sukan



Psikologi sukan meliputi aspek psikologi yang berkaitan dengan pelbagai faktor. Antaranya ialah pengaruh dan kesan penglibatan dalam sukan, senaman, kecergasan, rekreasi, perkembangan dan kemahiran motor secara langsung dan tidak langsung. Menurut Weinberg dan Gould (1999), psikologi merupakan satu bidang kajian saintifik tentang manusia dan perlakuan mereka dalam konteks sukan dan pergerakan. Manakala menurut Cox (1998), psikologi sukan merupakan satu bidang kajian yang melibatkann kajian prinsip psikologi yang diaplikasikan dalam bidang sukan dan Wann (1957), psikologi sukan adalah satu bentuk kajian saintifik tentang reaksi serta perlakuan fizikal, afektif dan kognitif ke atas mereka yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dengan aktiviti tersebut. 

Psikologi sukan juga merupakan proses memilih dan memotivasikan seseorang individu supaya boleh bersaing atas usaha dan keupayaannya sendiri. Seterusnya, psikologi sukan juga menjurus kepada Psych-out lawan, proses ini dapat menurangkan atau menangani tekanan yang dihadapi oleh seseorang individu. Psikologi sukan juga dapat mencegah penggunaan dadah di kalangan atlet serta membina strategi berpasukan dan menerapkan pembelajaran kemahiran dalam atlet. Kajian dalam psikologi sukan membolehkan kita menyatakan satu tingkah laku, menerangkan tingkah laku tersebut dan membuat andaian tentag tigkah laku tersebut. Psikologi sukan banyak menyumbang ke arah peningkatan potensi dan prestasi atlet dalam bidang sukan, meningkatkan pembentukan sahsiah dan semangat kesukanan. Kesimpulannya, psikologi sukan merupakan satu bidang kajian saintifik tentang perlakuan dan tingkahlaku manusia dalam sukan.

Hubungan antara Prestasi Sukan dengan Psikologi Individu
Ahli psikologi sukan memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan prestasi individu. Selain itu, ahli psikologi sukan juga memainkan peranan dalam membimbing dan mendidik seorang individu untuk menghadapi ujian, cabaran dan menangani kebimbangan serta tekanan. Pengetahuan dalam psikologi sukan juga membantu dalam persediaan fizikal dan mental. Persediaan ini membantu meningkatkan keyakinan diri, motivasi, konsentrasi terhadap tugasan dan kebolehan mengawal tekanan serta kemampuan memfokus kepada peningkatan prestasi.

Peranan dan Tanggungjawab Ahli Psikologi 
Pada tahun 1983, Majlis Olimpik Amerika Syarikat (USOC) menerbitkan satu artikel yang menggariskan peranan serta klasifikasi ahli psikologi sukan. Menurut USOC, ahli psikologi sukan boleh dibahagikan kepada dua iaitu psikologi sukan gunaan (applied sport psychologist) (Martens, 1987) dan penyelidik psikologi sukan (experimental sport physhologist) (Singer, 1984). USOC seterusnya membahagikan ahli psikologi sukan gunaan kepada dua kategori iaitu ahli psikologi sukan klinikal dan pendidik psikologi sukan.

Psikologi sukan gunaan terbahagi kepada dua kategori iaitu ahli psikologi sukan klinikan dan pendidik psikologi sukan. Kategori pertama ahli psikologi sukan gunaan adalah ahli psikologi sukan klinikal. Mereka terlatih dalam bidang psikologi klinikal serta berkelayakan menjadi seorang pakar psikologi. Umumnya, tugas ahli psikologi sukan klinikal untuk membantu atlet yang menghadapi masalah personaliti serta mental yang serius dan melibatkan tempoh masa yang panjang. Mereka merupakan orang yang berkelayakan dalam bidang psikologi klinikal serta mempunyai lesen untuk menjalankan perkhidmatan membantu atlet menangani masalah mereka.

Katergori kedua ahli psikologi sukan gunaan adalah pendidik psikologi sukan. Kebanyakan ahli psikologi sukan yang tergolong dalam kumpulan ini lazimnya mendapat latihan dalam bidang pendidikan jasmani dan sains sukan. Kebanyakkannya bertugas sebagai tenaga pengajar di pusat pengajian tinggi yang terlibat dalam pengajaran kursus psikologi sukan, memberikan ceramah serta kursus jurulatih serta bertindak sebagai konsultan kepada pasukan serta atlet tertentu.

Tugas mereka lebih mirip kepasa “jurulatih mental” iaitu membantu individu yang terbabit dengan sukan tentang cara untuk mengenali serta memaksimumkan potensi diri masing-masing. Justeru itu bagi mereka yang terlibat sebagai pendidik psikologi sukan, kelayakan peringkat sarjana dalam dalam psikologi sukan diutamakan kerana mereka perlu sentiasa peka terhadap perubahan ilmu serta teknik terkini yang membabitkan latihan mental.

Manakala ahli psikologi sukan yang seterusnya ialah penyelidik psikologi sukan. Berkembang atau tidaknya sesuatu cabang ilmu itu bergantung kepada hasil kajian yang dijalankan oleh mereka yang terlibat dalam bidang hasil kajian yang dijalankan oleh mereka yang terlibat dalam bidang tersebut. Justeru itu, tugas seorang penyelidik psikologi sukan amat penting bagi memastikan bidang ini mampu berdiri dengan sendirinya serta mendapat perhatian yang wajar di kalangan ahli akademik serta mampu memberikan sumbangan kepada mereka yang terlibat (Anshel, 1997: Wann, 1997).

Sumbangan ahli psikologi sukan gunaan banyak bergantung kepada hasil kajian penyelidik psikologi sukan. Kedua-duanya saling bantu-membantu dalam menegakkan bidang ini. Lazimnya, kelayakan di peringkat sarjana dan doktor falsafah diperlukan kerana kedua-dua kelayakan ini bersifat menyelidik serta mengkaji isu-isu seperti motivasi, konsentrasi, keagresifan serta isu-isu lain yang berkaitan dengan psikologi sukan.

Etika Psikologi Sukan
Kebelakangan ini, ramai orang melibatkan diri secara langsung sebagai ahl psikologi sukan ataupun sebagai “jurulatih mental” untuk atlet ataupun pasukan sukan tertentu di negara kita. Bagi memastikan khidmat yang diberi mendatangkan kebaikan kepada mereka yang memerlukan khidmat tersebut maka etika psikologi sukan perlu diwujudkan serta diterimapakai oleh mereka yang terlibat. Seterusnya topik perbincangan ini akan membantu kita mengenali kemampuan, kemahiran serta bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada para atlet serta jurulatih yang memerlukan khidmat ahli psikologi sukan.
Kebelakangan ini, ramai di antara mereka yang bergiat dalam sukan mengakui tentang keberkesanan teori-teori serta teknik-teknik psikologi sukan mampu membantu mereka meningkatkan prestasi serta mencapai kejayaan dalam sesuatu pertandingan sukan (Anshel, 1997; Cox,1998; Wann, 1997). Pendedahan kepada beberapa konsep dan teori serta teknik psikologi sukan yang dapat membantu anda menjadi seorang guru pendidikan jasmani dan/atau jurulatih yang efektif.

Bagaimanapun dengan hanya menamatkan satu kursus psikologi sukan ataupun menamatkan satu kursus di peringkat diploma, anda masih belum boleh menganggap diri anda sebagai seorang ahli psikologi sukan serta berkelayakan untuk memberikan khidmat nasihat kepada mereka yang memerlukan kepakaran dalam bidang ini.

 Walaupun di Malaysia masih belum wujud satu badan akreditasi khusus untuk ahli psikologi sukan seperti mana bidang profesional yang lain seperti kaunseling, doktor perubatan dan psikologi ia tidak bermakna bahawa anda bebas menggelarkan diri sebagai seorang pakar psikologi sukan. Ini menyalahi etika profesion kerana anda tidak mempunyai kelayakan minimum untuk melayakkan diri menjadi seorang ahli psikologi sukan.

Oleh itu masih banyak yang perlu dipelajari untuk melayakkan diri menjadi seorang yang berkelayakan dalam bidang ini. Pakar psikologi sukan khuatir tentang risiko yang mungkin timbul dari kesilapan penggunaan teori serta teknik psikologi sukan sekiranya ia dipraktikkan oleh mereka yang kurang mahir dalam bidang ini (Silva, 1989). Kesannya mungkin akan menyebabkan ramai orang meragui peranan serta kepentingan bidang ini dalam proses penyediaan atlet atau pasukan sukan.

Seperti mana yang dijelaskan pada awal bab ini, tugas seorang ahli psikologi sukan boleh diklasifikasikan kepada dua tugas utama. Pertamanya tugas yang bersifat memberikan tunjuk ajar (pendidikan) kepada atlet serta jurulatih tentang cara melakukan teknik latiham mental dengan cara yang lebih berkesan (Cox, 1998). Dalam konteks ini, guru serta jurulatih yang benar-benar terlatih dalam bidang ini boleh melaksanakan tugas ini (Smith,1992).

Keduanya, tugas yang bersifat klinikal di mana seorang ahli psikologi sukan diminta untuk memberikan bantuan yang bercorak klinikal seperti memberikan kaunseling, psikoterapi serta membuat pemeriksaan psikologi/mental atlet terbabit. Justeru itu, adalah penting bagi seorang ahli psikologi sukan mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang berkaitan untuk melaksanakan tugas tersebut.

Bagi memudahkan untuk memahami isu-isu yang berkaitan dengan etika, satu garis panduan tentang kajian dan tugas klinikal dalam bidang psikologi sukan yang digariskan oleh Persatuan Psikologi Sukan dan Aktiviti Fizikal Amerika Utara (North American Society for the Psychology of sport and Physical Activity). Garis panduan ini menjelaskan tentang tatacara seorang ahli psikologi sukan (Wann, 1977).

Ahli psikologi sukan bertanggungjawab di atas segala perlakuan, nasihat serta saranan yang diberikan dan bertanggungjawab ke atas kesan dan akibat berkaitan dengan saranan tersebut serta memastikan tindakan yang diambil itu bertepatan dengan keadaan, ahli psikologi sukan memberikan bantuan dan latihan yang mana ia berkelayakan serta berpengalaman melakukannya, ahli psikologi sukan tidak membabitkan diri dengan kegiatan yang berlawanan dengan peraturan, etika serta moral yang ditetapkan, ahli psikologi sukan menyatakan kelayakan ikhtisas serta penglibatan mereka dengan persatuan profesional dengan jelas, ahli psikologi menghormati serta menjaga rahsia atau maklumat yang diberikan oleh klien atau subjek kajian mereka, ahli psikologi sukan menjaga kebajikan serta integriti klien serta kumpulan yang mendapatkan khidmat mereka dan ahli psikologi sukan mesti peka terhadap keperluan serta pendapat rakan-rakan dalam bidang lain yang berkaitan dengan sukan.

Dalam usaha untuk membentuk, menerbit serta menggunakan sesuatu alat atau teknik penilaian dan pengukuran, kebajikan klien perlu diutamakan dan dalam melaksanakan kejian psikologi, kebajikan mereka yang terbabit dengan kajian tersebut perlu diutamakan agar ia selaras dengan peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak yang berkuasa di peringkat persekutuan, negeri serta badan profesional terbabit.




Rujukan
Shaharudin Abd. Aziz. (2001). Mengaplikasi Teori Psikologi dalam Sukan. Selangor: Yeohprinco SDN. BHD.

Collie Looi. (2014). Psikologi Sukan. Retrieved March 20, 2018, from https://prezi.com/m/ffzmm-jm91pp/psikologi-sukan/

Sing Lin Tiong. (2014). Psikologi Sukan. Retrieved March 20, 2018, from https://www.slideshare.net/mobile/tiongsinglin/51-psikologi-sukan







Rabu, 16 Januari 2019

Keagriesifan Dalam Sukan


Kita sering menonton dan membaca daripada media massa tentang insiden pergaduhan dan tindakan kasar yang berlaku dalam pertandingan sukan. Fenomena tindakan kasar yang dilakukan oleh pemain atau atlet sering dikaitkan sebagai tingkah laku negatif. Tingkah laku ini dikenali sebagai keagresifan. Menurut Baron dan Richardson (1994), keagresifan adalah apa jua bentuk perlakuan atau tindakan yang berobjektif untuk mencederakan benda hidup dan bermotivasi untuk mengelakkan diri daipada mengalami kecederaan. Wann (1997), pula menyatakan keagresifan sebagai satu tindakan yang bermatlamat untuk mencederakan secara fizikal, verbal atau psikologikal orang lain sebagai langkah untuk mengelakkan diri sendiri daripada dicederakan.

Keagresifan dalam sukan boleh diklasifikasikan kepada tiga iaitu;
  1. Keagresifan ketara
  2. Keagresifan instrumental
  3. Keagresifan asertif

Keagresifan Ketara
Silva (1984), menyatakan keagresifan ketara merujuk kepada tindakan agresif yang berpunca daripada rasa marah dengan matlamat untuk mencederakan individu lain (ataupun objek) serta dengan niat untuk melihat individu tersebut mengalami kesakitan dan ganjarannya pula (kepuasan) apabila melihat individu tersebut terseksa dengan kesakitan yang dialaminya. Jenis keagresifan ini merupakan perlakuan secara sengaja mengasari pihak lawan. Keagresifan ini selalunya didorong oleh rasa marah dan kecewa. Sebagai contoh, seorang pemain bola keranjang telah dikasari oleh pihak lawan tetapi tidak dihukum oleh pengadil. Oleh sebab terlalu marah, pemain tadi telah menyiku dada pemain lawan dengan niat membalas dendam. Tindakan ini dikategorikan sebagai keagresifan ketara kerana mempunyai niat mencederakan akibat daripada perasaan marah. Niatnya pula untuk mengakibatkan kesakitan kepada pemain tersebut dan ganjarannya (kepuasan) pula adalah melihat pemain tersebut menanggung derita kesakitan akibat tindakannya.

Keagresifan Instrumental
Keagresifan instrumental merujuk kepada tindakan mencederakan pihak lawan yang bermatlamat untuk mendapatkan faedah atau ganjaran luaran seperti kemenangan, hadiah atau prestij. Individu yang bertindak agresif tadi melihat tindakan tersebut sebagai ”instrumental” (perlu dilakukan) untuk mencapai matlamatnya.. Sebagai contoh, tindakan agresif seorang pemain pertahanan keatas pemain penyerang pasukan lawan dengan niat untuk mencederakan pemain tersebut agar beliau tidak dapat beraksi dengan baik seperti menjaringkan gol atau membuat hantaran kepada rakannya yang lain. Matlamat utama pemain pertahanan ini ialah untuk memastikan pasukannya memenangi perlawanan tersebut. Dalam contoh ini, niat untuk mencederakan (penyerang pasukan lawan) masih ada, tetapi matlamat utama pemain pertahanan tersebut ialah untuk memenangi perlawanan. Perlu ditegaskan di sini bahawa kedua-dua jenis tindakan agresif di atas sebenarnya salah serta tidak boleh diterima dalam konteks sukan. Ini kerana niat untuk mencederakan pemain pasukan lawan masih ada sedangkan tindakan ini bersalahan dengan peraturan mana-mana jenis sukan. Penggunaan strategi ini khususnya di peringkat profesional perlu dibenteras kerana tindakan pemain profesional ini lazimnya akan menjadi ikutan pemain muda.

Keagresifan Asertif
Keagresifan asertif merujuk kepada penggunaan fizikal atau verbal dengan cara yang dibenarkan mengikut peraturan permainan. Dalam hal ini, mereka yang melakukannya tiada niat langsung untuk mendatangkan kecederaan kepada pihak lawan bagi mencapai kemenangan. Sebagai contoh, dalam permainan bola tampar, seorang pemain melakukan aksi merejam sekuat mungkin ke dalam gelanggang pihak lawan untuk mendapatkan mata sehingga menyebabkan pemain pihak lawan cedera akibat terkena bola. Jika kecederaan berlaku akibat daripada tindakan asertif, ia tidak boleh dikira sebagai satu tindakan yang agresif kerana tindakan tersebut dibenarkan mengikut peraturan-peraturan permainan dan tiadanya niat untuk mengakibatkan kecederaan kepada pemain lawan. Sebagai contoh, penggunaan “tackle” untuk menghadkan pergerakan atau merampas bola dari pemain lawan dalam permainan ragbi dibenarkan serta termaktub dalam peraturan permainan selagi “tackle” tadi dilakukan tidak menyalahi peraturan. Bagaimanapun, jika berlaku kecederaan kepada pemain lawan akibat “tackle” bersih yang dilakukan, ia tidak dianggap sebagai tindakan yang agresif kerana ia dilakukan dengan “bersih” serta mengikut peraturan tanpa ada niat untuk mencederakan pemain lawan. Dalam situasi pertandingan, tugas untuk memastikan sama ada perlakuan itu dianggap sebagai perlakuan yang agresif atau asertif terletak di tangan pengadil. Adalah amat sukar untuk menentukan dan menilai niat seseorang pemain apabila mereka melakukan sesuatu dalam konteks permainan kerana ia berlaku dengan pantas khususnya dalam sukan yang bercorak dinamik serta kemahiran terbuka (open skills).

Faktor-faktor Keagresifan Sukan

Psikologi 
Sekiranya seorang atlet atau pemain berasa pihak lawan berniat untuk mencederakannya, atlet tersebut akan menunjukkan respon agresif apabila berhadapan dengan pemain tersebut. Hal ini didorong oleh persepsi atlet tersebut terhadap atlet pasukan lawan yang mempunyai kecenderungan untuk mencederakannya. Unsur-unsur negatif seperti kekecewaan, kemarahan, kemuraman dan perasaan dukacita juga merupakan rangsangan negatif yang boleh mencetuskan perlakuan agresif. Pengaruh lain seperti ganjaran yang ditawarkan dalam sesuatu permainan juga akan menyebabkan atlet untuk cenderung melakukan lakuan agresif bagi menjamin kejayaan pasukannya.

Semasa
Perlakuan keagresifan juga dipengaruhi oleh faktor-faktor semasa. Antaranya ialah, kebangkitan fisiologi. Kebangkitan fisiologi biasanya berkait rapat dengan suasana persekitaran seperti suhu dan penonton. Keadaan ini akan menyebabkan atlet atau pemain untuk melakukan tindakan agresif kerana suasana yang kurang menyelesakan serta merimaskan yang menyebabkan atlet mudah marah. Menurut Donnerstein dan Watson (1976), suasana yang teramat bising akan merangsang reaksi agresif atlet. Suhu persekitaran juga boleh menyebabkan atlet berasa tidak selesa. Keadaan ini menjadi pencetus kepada tindakan agresif walaupun berlaku kesilapan yang kecil. Tindakan yang diambil oleh atlet tersebut dianggap keterlaluan dan melampau oleh orang lain.

Selain itu, persepsi individu juga salah satu factor keagresifan dalam sukan berlaku. Hal ini berlaku apabila pemain merasakan diri mereka diasak secara kasar oleh pemain lawan yang sekaligus meningkat keagresifan dalam permainan tersebut.

Di samping itu, perbezaan mata atau jaringan. Menurut Cox (1999), semakin besar perbezaan mata atau jaringan, semakin banyak kekasaran atau tindakan agresif yang akan dilakukan oleh pasukan yang ketinggalan. Keadaan ini berbeza jika kedudukan seri atau perbezaan mata atau jaringan yang kecil.Keadaan ini akan mengurangkan perlakuan agresif kerana bimbangkan risiko yang akan dihadapi jika melakukan kekasaran.

Seterusnya, lokasi perlawanan. Hal ini berlaku dimana tindakan atau permainan yang lebih agresif akan ditunjukkan oleh pemain tuan rumah jika mendapat sokongan daripada penonton. Bagaimanapun, menurut Russell (1981), ia juga bergantung kepada corak keagresifan yang ditonjolkan serta jenis sukan yang dipertandingkan. Bagi sukan bola sepak, pasukan yang bermain di tempat lawan biasanya lebih agresif kerana merekan ingin mempertahankan kedudukan mereka. Manakala, bagi hoki ais, ia adalah sama jika bermain di tempat sendiri atau di tempat lawan (Cullen & Cullen, 1975)

Keputusan permainan juga memainkan peranan dalam tingkah laku agresif pemain. Pasukan atau pemain yang merasakan diri mereka akan tewas atau tidak berpeluang untuk memenangi perlawanan akan bertindak lebih agresif mengikut Teori Frustrasi Agresif (Cullen & Cullen, 1975)
                
Akhir sekali, penggunaan dadah seperti steroid yang mempengaruhi perlakuan agresif seseorang pemain dalam sukan. Hal ini disebabkan oleh tindakan bawah sedar mereka akibat daripada pengaruh dadah tersebut.

Kesan Pendekatan Agresif Terhadap Individu Dalam Dalam Sukan
  • Menggalakkan sikap agresif dalam sukan atau menjadi “role model” yang negative terhadap orang lain.
  • Menjadikan sikap agresif sebagai taktikal dalam pasukan bagi setiap kali menghadapi perlawanan.
  • Akan wujud jurulatih yang menggalakkan sikap agresif diterapkan dalam taktikal permainan.
  • Liputan media buruk dan berat sebelah.

Cara-cara Mengatasi Keganasan Sukan
  • Mendisiplinkan atlet dengan sikap yang betul - Jurulatih perlu mendisiplinkan pemain mereka dan sentiasa mengingat mereka untuk mengawal tingkah laku serta baran dalam setipa perlawanan. Jurulatih juga perlu menerapkan nilai kesukanan seperti adil, hormat terhadap pasukan lawan dan pengwalan tekanan. Jurulatih juga harus menilai perwatakan atlet seperti mendapatkan biodata atlet yang merangkumi latar belakan keluarga, masalah disiplin, rekod kesihatan dan sebagainya.
  • Ceramah motivasi - Penyampaian ceramah-ceramah motivasi oleh pakar-pakar sukan (psikologi) sebelum dan selepas perlawanan dengan menekankan unsur-unsur “fairplay”. Selain itu, ia juga bertujuan untuk member kata-kata semangat, dorongan dan motivasi kepada pasukan yang bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri atlet.
  • Membuat pemeriksaan terhadap penonton sebelum memasuki lokasi perlwanan - Hal ini bertujuan untuk mengwal keganasan dari pihak penonton dan penyokong. Ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan strategi sperti mengharamkan pengambilan alcohol oleh penonton sebelum dan semasa perlawanan. Pemeriksaan boleh dilakukan di pintu-pintu masuk lokasi perlawanan untuk memastikan penonton tidak membawa masuk sebarang objek berbahaya seperti mercun, kayu, senjata api dan benda-benda tajam.
  • Memisahkan penyokong pasukan - Hal ini adalah untuk mengelakkan sebarang pergaduhan antara penyokong pasukan yang berbeza yang boleh mendatangkan kecederaan dan kematian.
Rumusan
Keagresifan dalam sukan merupakan perlakuan yang bertentangan dengan peraturan dan norma permainan. Bagi mengawal keagresifan atlet, disiplin diri dan tahap motivasi yang tinggi harus diterapkan semasa latihan dan permainan. Kesedaran terhadap pentingnya semangat kesukanan di kalangan pemain dan atlet perlu dipupuk. Pemain juga harus disemaikan dengan sikap agar dapat menerima sesuatu keputusan secara rasional. Mereka perlu sentiasa menyedari keupayaan diri sendiri dan menghargai orang lain Kemahiran mengawal kebimbangan dapat dilakukan antaranya melalui terapi, pendekatan kaunseling dan bersenam. Semasa pertandingan, pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung hendaklah mengikut norma dan mematuhi peraturan pertandingan.Hal ini akan mengawal tingkah laku agresif pemain, jurulatih dan penonton.

Rujukan






Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...