Setiap pergerakan manusia ketika bergerak secara
berobjektif seperti bersenam dan sukan spesifik boleh diintepretasi
mengikut hukum gerakan Newton. Kaedah latihan fizikal adalah
berlandaskan hukum inertia, pecutan dan daya tindakbalas.
Tidak mengira apa jua bentuk pergerakan sama
ada pergerakan lurus, putaran pada paksi dan satah sagittal,
frontal serta tranverse, segalanya termasuklah lajunya dan tangkasnya
pergerakan dengan kesan graviti ke atas tubuh boleh ditafsir dengan hukum Newton.
Hukum Newton pertama menyatakan bahawa
sesuatu objek akan kekal dalam keadaan asalnya, iaitu dalam keadaan pegun atau
dalam keadaan halaju seragam jika tiada daya luar bertindak ke atas suatu objek
: Gunakan aplikasi hukum Newton pertama ini untuk tingkatkan intensiti rutin
senaman anda. Dengan mengurangkan kesan inertia (bahasa pasarnya
ialah ‘cheating’) pada setiap fasa pergerakan, secara asasnya membantu
mengurangkan risiko kecederaan dan menyebabkan penguncupan otot agonis,
antagonis dan sinergis, pada titik yang sepatutnya. Ini akan menghasilkan kesan
adaptasi otot dan tisu secara efektif dan optimum.
Hukum gerakan Newton kedua pula menyatakan
bahawa kadar perubahan momentum adalah berkadar terus dengan daya paduan yang
bertindak ke atas suatu objek pada arah yang sama dengan arah tindakan tersebut
: Bermaksud, kita boleh bermain dengan variasi halaju dalam penambahan daya.
Antara yang boleh dilakukan ialah tambahkan rintangan bendalir seperti angin
dan air sebagai daya (intensiti) tambahan dalam rutin latihan anda, contohnya
berenang melawan arus, berlari atau berjalan mendaki cerun bukit atau dengan
alat treadmill beserta ‘inclination’.
Hukum gerakan Newton ketiga menyatakan
bahawa untuk setiap daya tindakan, terdapat satu daya tindakbalas yang
mempunyai magnitud sama dan bertindak pada arah yang bertentangan : Dapatkan
intensiti dan halaju dengan sentuhan satah fizikal seperti lantai dan dinding
untuk menghasilkan daya tindakbalas satah tersebut. Dengan ini, penguncupan
otot akan berlaku dengan mantapnya. Kesan hukum Newton ketiga ini lebih
signifikan dengan rutin latihan pliometrik atau ‘explosive’. Cuba lakukan
pergerakan seperti Jump squat, anda akan terasa otot kaki lebih menguncup
kerana perlu menyerap daya tindakbalas tambahan akibat graviti pada satah
tersebut berbanding regular squat.
Pemahaman mudah mengenai hukum-hukum
gerakan Newton ini sangat penting kerana boleh membantu anda
mengelakkan plateau dan memahami fenomena yang berlaku disebalik
setiap daya biomekanikal yang berlaku pada badan anda dan seterusnya dapat
memperbaiki dan memantapkan lagi teknik yang sedia ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan