Keselamatan Sukan
Penglibatan dalam sukan mempunyai
banyak aspek positif ke atas kehidupan seseorang. Namun demikian seseorang itu
harus mengetahui dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan
diri dari mengalami kemalangan semasa melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang
diminati.
Pakaian dan peralatan sukan
- Pakaian - Pakaian sukan harus
selesa, sesuai dengan saiz tubuh badan dan membenarkan penyejatan peluh
berlaku. Pakaian yang dibuat daripada kapas adalah yang paling sesuai digunakan
dalam cuaca negara kita kerana ia membenarkan peluh diserap dan disejatkan. Ini
mengelakkan peningkatan suhu tubuh. Pakaian yang terlalu ketat akan menjerutkan
peredaran darah dan akan membawa kesan yang buruk kepada atlet.
- Peralatan - Peralatan yang sesuai
dengan umur, ketinggian dan keupayaan fizikal individu itu bukan sahaja dapat
membolehkan individu itu menikmati aktiviti sukan yang diceburi malah dapat
mengurangkan risiko kecederaan. Kayu hoki, kasut bola, reket tenis yang dibuat
khas mengikut saiz badan dan keupayaan fizikal harus digunakan terutamanya oleh
kanak-kanak dan remaja. Selain itu, peralatan perlu sentiasa berada dalam
keadaan baik dan selamat digunakan.
- Peralatan keselamatan - Semua
pemain harus memakai peralatan keselamatan semasa bersukan. Sebagai
contoh,shin pad, abdominal guard, mouth guard, helmet dan sarung
tangan yang dapat melindungi mereka daripada kecederaan.
- Peraturan pertandingan - Penganjur
pertandingan peringkat umur harus mengutamakan keselamatan terutamanya dalam
peraturan pertandingan sesuatu sukan. Sebagai contoh, sukan ragbi sentuh tidak
membenarkan seorang pemain membuat tackle dan sukan kancil kriket
hanya menggunakan bola getah yang lembut, sukan gimnastik tidak melibatkan
gerakan kuang hadapan dan belakang untuk mereka yang muda (6-10 tahun). Peraturan
pertandingan sesuatu permainan boleh diubah suai mengikut keadaan dengan
memberi keutamaan kepada aspek-aspek keselamatan.
- Padang dan gelanggang - Tempat
permainan seperti padang dan gelanggang harus mempunyai ciri-ciri keselamatan
dan tidak bahaya kepada pengguna. Contohnya, padang harus rata dan tidak
berlubang yang boleh mengakibatkan pemain terseliuh. Tiang gol dalam keadaan
baik dan tidak berkarat. Gelanggang sukan tidak mempunyai objek-objek asing
atas permukaan dan di sekeliling yang boleh mencederakan penggunanya.
Memanaskan badan
Aktiviti memanaskan badan adalah
penting sebelum memulakan sesuatu aktiviti fizikal atau pertandingan kerana ia
membawa faedah kepada fizikal dan mental seseorang itu.
Tujuan memanaskan badan
- meningkat
suhu dalam badan (core body temperature) dan suhu dalam otot.
- ketegangan
dalam otot juga akan berkurangan dan ini menyebabkan otot itu menjadi
‘releks’. Kelebihan membolehkan pergerakan eksplosif seperti menendang
bola atau berlari pecut di mana aksi-aksi tersebut melibatkan penguncupan
sekumpulan otot besar dan disusuli dengan regangan maksimum otot-otot
tersebut.
- aktiviti memanaskan badan dengan peningkatan intensiti
pergerakan juga membolehkan jantung, paru-paru dan saluran darah menyesuaikan
diri terhadap peningkatan kadar kerja mereka. Ini akan mengurangkan tekanan
(stress) dan risiko kecederaan kepada jantung.
- Pemain yang melakukan
aktiviti memanaskan badan yang cukup juga akan berasa lebih yakin terhadap diri
sendiri dan membolehkannya memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap permainan
atau objektif yang ditetapkan untuk dicapai pada sesi latihan. (v) Otot
menerima darah yang mencukupi.
- Risiko kecederaan kuran
- Raptai
pergerakan sebelum lakuan sebenar
- Fisiologi - (a) reaksi enzim lebih
cepat daripada suhu badan tinggi, (b) kurangkan asid laktik. (c) mental set. (d) tindak
balas jantung.
Menyejukkan badan
Fisiologi menyejukkan badan
bertujuan untuk mengembalikan fungsi kepada keadaan rehat secara progresif.
Fungsi fisiologi yang dimaksudkan
ialah:
- Fungsi denyutan jantung.
- Fungsi pernafasan.
- Fungsi peredaran
darah.
- Fungsi otot-otot
rangka.
Salah satu faktor fisiologi dalam
melakukan aktiviti secara progresif penyejukan badan ialah asid laktik yang
terkumpul semasa aktiviti fizikal akan dapat diuraikan dalam otot dan
organ-organ lain.
Aktiviti menyejukkan badan
melibatkan dua aktiviti utama iaitu regangan dan aktiviti berintensiti yang
rendah. Aktiviti regangan semasa menyejukkan badan dapat mengurangkan kelesuan
otot dan juga meningkatkan keanjalan otot, tendon dan ligamen kerana suhu
dalaman mereka adalah tinggi sebaik sahaja aktiviti fizikal utama.
Aktiviti gerakan badan dapat
mempercepatkan kembalian darah ke jantung dan mengembalikan darah yang telah
dipamkan oleh jantung ke hujung anggota badan seperti kaki dan tangan semasa
aktiviti sukan utama. Sekiranya seseorang itu berhenti serta merta setelah satu
sesi aktiviti sukan yang lama dan berintensiti tinggi, pengumpulan darah (blood
pooling) akan terbentuk di kaki atlit tersebut. Ini akan menurunkan tekanan
darah dalam badan kerana kekurangan darah. Akibatnya atlit itu akan rasa pening,
loya atau mungkin pengsan.
Keperluan cecair
Aktiviti sukan yang berpanjangan
dan berintensiti tinggi boleh mengakibatkan kehilangan cecair badan melalui
peluh sebanyak 2-3 liter setiap jam. Kehilangan ini mewakili kehilangan
sebanyak 6-10% daripada berat badan.
Rasa kedahagaan atau kekeringan
tekak bukan satu indikator baik bagi menunjukkan badan kehilangan air.
Seseorang atlit harus minum air yang banyak sebelum, semasa dan selepas sesuatu
sesi aktiviti fizikal. Air sejuk merupakan cecair yang paling sesuai
untuk diminum.
Suhu badan individu yang normal
ialah 37°C. Semasa aktiviti fizikal yang lama dan berintensiti tinggi, badan
akan menghasilkan kuantiti haba yang banyak. Haba dihasilkan daripada
metabolism karbohidrat dan lemak otot untuk menghasilkan tenaga. Haba juga diserap
dari bahang cahaya matahari, udara panas dan sentuhan antara kaki dengan
permukaan tanah.
Imbangan cecair dan elektrolit
Pengeluaran peluh yang banyak
mengakibatkan kehilangan air dan elektrolit daripada badan. Kehilangan
air adalah lebih kritikal sekiranya tidak digantikan. Kebanyakan atlit hilang
8-12% daripada berat badan mereka apabila melakukan aktiviti fizikal
dalam keadaan cuaca panas dan lembap (humid).
Kehilangan air ini mengakibatkan
penurunan isipadu plasma darah. Elektrolit (ion Na+ dan Cl) yang mengawal
kandungan air dalam badan apabila hilang melalui perpeluhan, tidak akan dapat
mengawal keseimbangan air dan elektrolit.
Penurunan kandungan air dalam
plasma darah mengakibatkan penurunan tekanan darah. Jantung terpaksa
mengepam dengan lebih kerap dan laju untuk mengekalkan keluaran kardiak
agar darah dapat dihantar ke otot yang sedang bekerja. Ini akan
mengakibatkan penurunan kadar peredaran darah di bawah permukaan kulit kerana
lebih darah diperlukan untuk membekalkan nutrien dan oksigen ke otot. Kesan
pengalihan peredaran darah ini menunjukkan peningkatan suhu badan dan
mengakibatkan stress haba.
Strok haba
Pendedahan kepada bahang matahari
dan cuaca lembap (humid) yang keterlaluan semasa menjalankan aktiviti bersukan
boleh mengakibatkan stres haba. Kehilangan haba badan melalui proses perpeluhan
boleh terjejas sekiranya kelembapan udara persekitaran adalah tinggi
(65-75%). Oleh kerana udara persekitaran lembap peluh tidak dapat
disejatkan.
Kekejangan otot (muscle cramp) - Kekejangan
otot yang sering berlaku di otot betis dan abdomen akibat stres haba.
Kekejangan otot ini berkaitan dengan ketidakseimbangan antara air dan
elektrolit dalam badan. Ketidakseimbangan ini berlaku kerana kehilangan air dan
elektrolit melalui perpeluhan. Elektrolit seperti natrium (Na+) dan klorida
(Cl-) diperlukan untuk mekanisme penguncupan otot. Kekurangan elektrolit
ini mengakibatkan kekejangan dalam otot.Kehilangan air berlebihan (heat
exhaustion) - Kehilangan air melalui perpeluhan dan tidak diganti boleh
mengakibatkan seseorang itu rebah, peluh tidak berhenti, pucat, pening dan loya
serta denyutan nadi yang laju. Rawatan yang diperlukan ialah meminum air yang
banyak dan berehat di kawasan yang sejuk. Sekiranya tidak dirawat boleh
mengakibatkan strok haba.
Strok haba (heat stroke) - Strok
haba adalah keadaan yang lebih teruk daripada kekejangan otot dan kehilangan
air badan berlebihan. Strok haba boleh mendatangkan maut jika tidak
dirawat segera. Punca spesifik strok haba tidak diketahui tetapi simptomnya seperti
pengsan, kulit yang kering dan suhu badan yang meningkat hingga 41°C dan badan
tidak dapat mengeluarkan peluh. Kesan yang serius ialah gangguan pada sistem
saraf pusat. Strok haba boleh bertukar secara tiba-tiba tanpa amaran. Rawatan
harus dilakukan dalam masa 45 minit selepas mengalami strok haba.
Keutamaan di sini ialah menurunkan suhu badan mangsa. Tanggalkan semua
pakaian daripada mangsa, curahkan air sejuk ke atas badannya dan kipaskan nmangsa tersebut. Hantarkan mangsa
secepat mungkin ke hospital. Pesakit tidak boleh diberi minuman langsung.
Pemberian cecair ke dalam badan hanya melalui ‘intravenous drip’ yang segera.
Cara mengelak strok haba
- Menyesuaikan diri dengan keadaan
cuaca dan suhu yang panas sekurang-kurangnya seminggu sebelum hari
pertandingan.
- Minum air sebelum, semasa
dan selepas sesuatu sesi latihan atau pertandingan dapat mengelakkan stres
haba. Walaupun minuman isotonik mengandungi elektrolit yang boleh
menggantikan elektrolit yang hilang namun air sejuk adalah cecair yang paling
baik untuk diminum.
- Pakaian yang diperbuat dari 100%
kapas adalah yang paling sesuai dalam cuaca yang panas sebab kapas membenarkan
penyejatan peluh yang maksimum. Lebih 40% daripada kehilangan haba berlaku di
bahagian kepala. Oleh itu topi yang dipakai hendaklah diperbuat daripada
kapas.
- Elak daripada berlatih dalam
cuaca panas. Masa antara 11.00 pagi – 4.00 petang adalah masa yang paling panas
dan jika boleh jangan berlatih atas permukaan panas seperti simen dan bitumen.
Kecederaan Sukan
Jenis-jenis:
Kecederaan tisu lembut - Tisu
lembut dalam badan merangkumi kulit, salur darah, saraf, otot, tendon, ligamen,
kelenjar dan lapisan yang melindungi organ-organ tubuh.
Kekejangan otot - kekejangan otot
adalah kesakitan yang dialami di otot-otot besar di badan hasil penguncupan
amat laju dan dalam jangka masa yang lama. Faktor-faktor yang menyebabkan
kekejangan ialah; Dehidrasi (kehilangan cecair dalam badan); Kelesuan; Hentakan
atau pukulan ke atas otot-otot. Kekejangan otot boleh di atasi dengan meregang
otot tersebut secara statik. Contoh otot yang selalu mengalami kekejangan
ialah otot betis bagi atlit lumba lari dan pemain bola sepak. Sekiranya
kesakitan masih berterusan setelah aktiviti meregangkan otot tersebut, hentikan
rengangan kerana otot tersebut mungkin mengalami kecederaan yang lain.
Ketegangan otot (strain) - Ketegangan
otot berlaku apabila fiber-fiber sesuatu otot mengalami kecederaan.
Tempat yang selalu berlakunya ketegangan otot ialah otot hamstring selepas
sesuatu aktiviti larian pecut. Ketegangan otot adalah hasil daripada mekanisme
badan melindungi otot-otot tersebut daripada kecederaan yang lebih teruk.Ketegangan
otot biasanya melibatkan fiber otot terkoyak. Seseorang yang mengalami
ketegangan ringan akan mengalami kesakitan dalam pergerakan aktif.
Ketegangan yang lebih serius akan mengakibatkan pengumpulan darah sehingga
seseorang itu tidak dapat menggerakkan anggota badan yang mengalami ketegangan
otot.
Sengal-sengal otot - Kita sering
mengalami sengal-sengal otot setelah melakukan aktiviti fizikal yang tidak
biasa atau sudah lama tidak aktif dalam sukan. Kecenderungan mengalami sengal
otot berhubungkait dengan umur. Terdapat dua jenis sengal otot: Kesakitan yang
keterlaluan dan diikuti dengan kelesuan. Ia berlaku sebaik sahaja tamat sesuatu
aktiviti fizikal; Kesakitan yang tertangguh selepas 12 jam melakukan aktiviti
fizikal. Terdapat beberapa sebab kesengalan otot ini berlaku. Salah satu sebab ialah
terdapat kekoyakan kecil pada fiber otot dan juga kekejangan otot akibat
daripada kekurangan bekalan oksigen ke otot. Sengal otot boleh dielakkan dengan
melakukan aktiviti pada kadar yang rendah dan tingkatkan intensiti aktiviti
tersebut secara berperingkat.
Luka - Luka boleh melibatkan
kecederaan dari luar kulit dan juga dari dalam (dihiris atau dipotong oleh
tulang yang patah). Jenis-jenis luka terdiri daripada: (a) Abrasi - cakaran pada
permukaan kulit. (b) Potongan – terkena objek yang tajam. (c) Tebukan
– ditebuk oleh objek yang tajam seperti spike’ kasut, paku. L uka ini adalah
dalam dan mengakibatkan kerosakan salur darah.
Lebam akibat kontusi - Kontusi
ialah hentakan terus objek ke atas permukaan luas atau tisu lembut. Sekiranya
hentakan itu adalah kuat, kapilari darah akan pecah dan darah terkumpul di
tempat hentakan itu. Warna biru-gelap akan terbentuk di bawah kulit. Sekiranya
tempat yang sama terkena hentakan berulang kali, mendakan kalsium akan
terbentuk di kawasan tersebut mengakibatkan tempat itu mengalami kesukaran
untuk bergerak. Cara mencegah hentakan berulang ialah melindungi kawasan itu
dengan ‘pad’ seperti pada siku dan lutut.
Kecederaan tisu keras - Tisu
keras melibatkan semua tulang dan sendi badan. Tulang patah akibat stress yang
tinggi ke atas tulang. Tulang panjang seperti femur atau humerus mengambil
masa lebih kurang 6 minggu untuk sembuh. Sementara tulang-tulang kecil lain
memerlukan 3-4 minggu. Sebaik sahaja simen atau plaster dibuka, tulang itu
hendaklah dikenakan tekanan dan latihan beban untuk mengembalikan kekuatan
tulang itu.
Dislokasi - Dislokasi berlaku
apabila hujung tulang yang membentuk sendi itu tercabut atau terkeluar dari
tempat lekatannya. Tisu-tisu lembut seperti otot, ligamen, tendon dan salur
darah akan mengalami kecederaan apabila dislokasi berlaku. Dislokasi
sering berlaku di bahagian sendi bahu. Dislokasi biasanya mengakibatkan kehilangan
(deformiti) bentuk sesuatu sendi itu.
Kecederaan kepala - Konkusi ialah
hentakan ke atas kepala yang biasanya trauma otak. Konkusi biasanya berlaku
dalam sukan kontek seperti bola sepak, ragbi, hoki, tinju dan sukan mempertahankan
diri. Kerap kali atlit yang mengalami konkusi akan merasa loya dan hilang imbangan
seketika walaupun kes amnesia jarang berlaku. Simptom konkusi tidak jelas
kelihatan dan mangsa harus dirujuk kepada pakar perubatan secepat mungkin.
Pengurusan kecederaan/bantu mula
Semua kecederaan sukan yang
dialami semasa bertanding atau latihan mestilah diuruskan dan diperiksa untuk
menentukan sama ada mangsa itu dibenarkan meneruskan latihan atau beraksi atau
dirujuk dengan segera kepada pakar perubatan.
Terdapat beberapa kaedah pengurusan
menilai kecederaan sukan:
TOTAPS
- Talk - bolehkah mangsa itu
bercakap, bertanya kepadanya peringkat kesakitan dan tempat kecederaan.
- Observe - perhatikan dan periksa
tempat kecederaan dan keadaan mangsa terutamanya kecederaan yang dialami ke
atas kepala mangsa.
- Touch - rasakan tempat
kecederaan, periksa sebarang bengkak atau deformiti anggota badan
tersebut.
- Active Movement - suruh mangsa
gerakkan anggota badan yang cedera, sekiranya mangsa rasa sakit rujuk kepada
pakar perubatan dengan segera.
- Passive Movement - gerak perlahan
bahagian yang tercedera untuk periksa tahap kecederaan. Rengangkan otot dan
benarkan mangsa kembali beraksi setelah pasti dengan sepenuhnya kecederaan
tidak serius.
- Stand - suruh mangsa itu berdiri,
jalan, lari dan lompat untuk mempastikan tahap kecederaan. Benarkan mangsa
sambung bermain bila tiada tanda kecederaan yang khusus.
DRABC
Kaedah ini digunakan untuk
memberi bantu mula kepada mangsa yang tidak sedarkan diri atau mengalami
kejutan.
- Danger - pastikan mangsa bebas
dari bahaya sekitarnya contohnya jika mangsa tersepit, singkirkan bendasing
yang menyepitnya.
- Response - cuba gerakkan atau
perhatikan sebarang gerakbalas mangsa untuk mengetahui keadaan sebenar. Panggil
nama, tanyakan keadaan, sentuh dan rasa bahagian badan untuk melihat
sebarang respons.
- Airway - pastikan salur
pernafasan tidak tersekat. Periksa hidung dan mulut mangsa agar tiada bendasing
menghalang salur pernafasan.
- Breathing - periksa sama ada
mangsa masih bernafas melalui hidung atau mulut. Sekiranya tiada berikan
bantuan pemulihan pernafasan dengan segera.
- Circulation - maksud peredaran
darah. Periksa kadar denyutan nadi yang rendah menunjukkan denyutan jantung
yang lemah. Jika terdapat punca kehilangan darah seperti luka, balut dan tutup luka
tersebut.
RICE
Tindakan awal ini diberikan untuk
tujuan berikut:
- Mencegah tisu-tisu lembut lain
daripada mengalami kecederaan.
- Mengurangkan kesakitan yang
dialami.
- Mengurangkan dan menurunkan
bengkak.
- Mengekalkan kecergasan sementara
bahagian kecederaan yang cedera.
- Mengembalikan keyakinan mangsa
terhadap bahagian yang cedera.
- Mencegah berlaku semula
kecederaan yang sama.
Pengurusan RICE ini adalah sesuai
untuk kecederaan tertentu seperti terseliuh, dislokasi, hentakan, sengal, retak
dan kontusi, ketegangan dan kekejangan otot.
- Rest - setelah mendapat
kecederaan, mangsa harus direhatkan. Sebarang pergerakan yang diteruskan
ditempat yang cedera akan mengakibatkan pengaliran darah meningkat atau
berterusan dan ini memburukkan lagi kecederaan.
- Ice - ais yang dibalut dengan
kain atau plastik didemah ke atas tempat yang cedera. Kecederaan yang tidak
melibatkan luka terbuka sesuai diberi rawatan ini. Jangan benarkan ais
secara langsung ke atas tempat cedera kerana akan mengakibatkan ‘ice-burn’ dan
mematikan sel-sel di sekeliling tempat yang cedera. Demahan ais ini menurunkan
suhu tisu dan sel yang telah mengalami kecederaan dan dapat memulihkan sel yang
rosak dengan lebih cepat.
- Compression - bahagian yang
cedera harus dibalutkan untuk mengelakkan bengkak yang keterlaluan.
- Elevation - meninggikan bahagian
yang cedera memudahkan dan mempercepatkan pengembalian darah masuk ke jantung.
Ini mengurangkan pendarahan terhadap tempat yang cedera. Bahagian yang luka
harus lebih tinggi daripada paras jantung.
Rawatan kaedah ini perlu
dilakukan untuk 48 jam yang pertama. Walau bagaimanapun, rujukan pakar
perubatan harus dijalankan secepat mungkin. Dalam tempoh masa tersebut atlet
tidak digalakkan menjalani urutan sukan kerana boleh menimbulkan banyak
komplikasi.
Terapi kecederaan sukan
Rehabilitasi atau pemulihan
seorang atlit yang cedera biasanya dirancang dan diuruskan oleh fisioterapis
atas arahan pakar perubatan.
Kecederaan ke atas sendi dan otot
mungkin tidak dipulihkan melalui rehat sahaja melainkan keadaan yang ringan.
Seorang atlit perlu menjalani rawatan pemuliharaan atau rehabilitasi untuk
mengembalikan bahagian yang cedera itu ke keadaan asal. Antara faktor yang
diambilkira semasa rehabilitasi ialah:
- Menguatkan otot, ligamen dan
tendon yang telah pulih dari kecederaan.
- Memulihkan tahap kecergasan atlit
ke keadaan asal.
- Meningkatkan julat pergerakan dan
kestabilan sendi atau otot.
- Mengembalikan keyakinan atlit
terhadap keupayaannya.
Fisioterapi - Fisioterapi ialah
kaedah perawatan yang dijalankan oleh ahli fisioterapi yang terlatih di atas
arahan doktor perubatan. Objektif utama fisioterapi sukan ialah membantu
mempercepatkan kadar penyembuhan sesuatu kecederaan sukan. Matlamatnya ialah
mengembalikan atlit yang cedera itu kepada keadaan asal dan bersedia untuk
beraksi atau berlatih. Antara teknik-teknik rawatan oleh ahli fisioterapi ialah
seperti berikut:
Elektroterapi - Penggunaan
beberapa alatan elektronik yang sesuai ke atas otot atau sendi yang cedera. Ini
bertujuan supaya dapat merangsang peredaran darah ketempat yang cedera. Contoh
alat fisioterapi yang sering digunakan ialah mesin ultrasound, shortwave
diathermy, laser therapy dan interferential.
Hidroterapi - Hidroterapi ialah
rehabilitasi yang menggunakan air untuk memulihkan kecederaan. Atlit boleh
menjalankan latihan kecergasan dalam permulaan dengan bantuan daya apungan air.
Air dapat mengapungkan atau menyokong berat badan seseorang itu semasa beliau
menjalankan latihan kecergasan. Ini mengurangkan daya hentakan yang
dikenakan ke atas anggota badan atlit tersebut.
Terapi Haba (Heat Therapy) - Terapi
haba digunakan ke atas kecederaan yang tidak melibatkan luka terbuka. Terapi
jenis ini harus diawasi dan dipantau agar darjah kepanasan terapi tidak menjadi
terlalu tinggi hingga membakar tisu-tisu atau sel-sel tempat rawatan terapi
itu. Terapi haba meningkatkan relaksasi otot dan mengurangkan kesakitan tempat
yang mengalami kecederaan. Terapi haba meningkatkan peredara darah ke
kawasan yang cedera dengan itu membolehkan lebih banyak nutrien dan
oksigen dihantar untuk membaiki kerosakan tisu dan sel sementara
mengangkut hasil buangan seperti karbon dioksida dari tempat tersebut.
Alatan dan cara yang digunakan dalam terapi haba:
- Rendam bahagian yang cedera dalam
air yang suhu antara 40-41°C selama 10-20 minit.
- Pundi gel yang dipanaskan juga
boleh diletakkan ke atas tempat yang cedera. Perhatian harus diambil ke atas
kulit atau tempat meletak pek ini agar ia tidak melecur akibat terlalu panas
atau terlalu lama.
Urutan Sukan - Satu daripada
bentuk rawatan kecederaan sukan termasuk urutan yang diberi kepada
otot-otot tertentu. Setelah mengenalpasti tiada terdapat faktor-faktor
kontradiksi seperti kecederaan akut, luka, patah dan demam panas.