Disclaimer

SainsdanSukan does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.

Isnin, 9 Disember 2019

Peranan dan tanggungjawab jurulatih


Apabila bercakap mengenai jurulatih dan tanggungjawabnya, pandangan ramai kebiasaannya akan tertumpu pada sesi-sesi latihan yang dikendalikan oleh jurulatih berkenaan. Bagaimanapun, kajian dan pemerhatian lebih mendalam akan memberikan gambaran yang lebih besar dan menyeluruh tentang perkara ini.

Berikut adalah antara gambar jurulatih-jurulatih kebangsaan negara dalam pelbagai sukan:
Terdapat perbezaan antara peranan dan tanggungjawab. Peranan jurulatih bermakna tugasnya secara umum sama ada dalam konteks sesebuah organisasi atau secara bersendirian. Manakala tanggungjawab pula memperkatakan tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh seseorang jurulatih. 

Peranan jurulatih
Dr Nanette Miner, seorang pengarang dan perunding yang terkenal dalam bidang pembelajaran di tempat kerja berpendapat, peranan jurulatih terbahagi kepada dua bahagian iaitu peranan global dan peranan berkaitan tugasan. . Peranan global kebiasaannya sukar untuk dikenal pasti kerana ia tidak bersifat spesifik, walaupun realitinya seseorang jurulatih itu menghabiskan separuh daripada masanya memainkan peranan global ini. Antara peranan global itu ialah:

1. Konsultan
Dalam sesebuah organisasi, jurulatih bukanlah jawatan utama. Bagaimanapun, seseorang jurulatih perlu melakukan analisis prestasi organisasi untuk mengetahui keperluan latihan semasa, dalam rangkanya menyediakan pelan latihan organisasi berkenaan. Analisis yang dilakukannya itu lebih luas manfaatnya jika melepasi sempadan kepentingan latihan dan pembangunan, malah boleh mengeluarkan cadangan-cadangan penyelesaian yang bersifat bukan latihan, seperti pengambilan tenaga kerja tambahan dan sebagainya. Di sinilah sebenarnya seseorang jurulatih itu memainkan peranan konsultan, yang akan melihat dan menganalisis situasi organisasi dari pelbagai sudut, serta mencari jalan terbaik untuk memperbaiki pencapaian. Seseorang jurulatih yang mengambil perspektif konsultan dalam menilai prestasi organisasi akan memberikannya kelebihan dalam membuat cadangan penyelesaian yang tepat terhadap permasalahan yang dihadapi oleh organisasi.

2. Pengurus
Walaupun jawatannya tidak dinamakan sebagai pengurus, seseorang jurulatih tetap berperanan sebagai pengurus kerana definisi global yang menamakan pengurus sebagai “person who leads or directs all or part of an organisation, through the deployment and manipulation of resources (human, financial, material, intelectual or intangible)”. Kerja-kerja mengurus dan menyelaras individu, kemudahan, bahan-bahan terbitan, membuat jadual kerja untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan, semuanya adalah kerja mengurus yang dilakukan oleh seseorang jurulatih.

3. Pembimbing Cara
Antara cara terbaik untuk membangunkan sumber manusia ialah melalui cara bimbingan di tempat kerja. Seseorang jurulatih bertindak sebagai pembimbing yang membantu individu-individu dalam organisasi untuk mengenal pasti sasaran dan objektif yang perlu mereka capai, membantu mereka mencari jalan membaiki kemahiran teknik, memberikan sokongan dan galakan berterusan.

4. Pakar Pembangunan Prestasi
Peranan ini menggabungkan antara tiga peranan di atas. Seperti konsultan, pakar pembangunan prestasi seharusnya mempunyai gambaran menyeluruh tentang organisasi untuk mengenal pasti punca-punca kelemahan dan mencadangkan jalan yang sesuai untuk mengatasi masalah yang ada. Ia tidak hanya melihat sudut latihan sebagai pendekatan penyelesaian masalah. Dalam masa yang sama ia mampu mencadangkan latihan, jika perlu, untuk meningkatkan lagi prestasi pekerja.

5. Pakar Teknologi
Ia tidak bermaksud mempunyai kepakaran mengendalikan semua jenis peralatan teknologi canggih masa kini. Sebaliknya seseorang jurulatih harus tahu menilai kaedah penyampaian berasaskan teknologi yang sesuai untuk sesuatu situasi. Dalam masa yang sama, ia seharusnya mampu menilai kemampuan teknologi sesebuah organisasi, sama ada dari sudut kemampuan individu atau peralatan yang dimiliki. Peranan ini memudahkan seseorang jurulatih untuk membantu organisasi dengan lebih berkesan.

6. Pendidik
Peranan seorang jurulatih juga tidak ubah seperti peranan seorang guru atau pendidik. Jurulatih berperanan besar dalam mengajar anak-anak buahnya mengembangkan bakat yang mereka memiliki sekaligus menguasai sesuatu sukan itu dengan sebaiknya. Teknik latihan, strategi permainan, cara pemakanan adalah antara didikan yang sering para jurulatih turunkan kepada anak-anak buahnya. Peranan jurulatih sebagai pendidik memainkan peranan yang amat penting dalam karier sukan seseorang atlet.

Selain daripada peranan global ini, terdapat beberapa peranan yang bersifat spesifik, berdasarkan tanggungjawab yang biasa dijalankan oleh seseorang jurulatih berkaitan sesuatu latihan yang diadakan. Peranan-peranan ini mudah dilihat dan dikenal pasti, yang biasanya dijadikan jawapan apabila ditanya : “Apakah peranan jurulatih?”.

7. Pereka Latihan
Reka bentuk latihan semestinya menepati kesesuaian sesebuah organisasi dan keperluan yang bersifat relatif. Di sinilah letaknya peranan jurulatih untuk membuat analisis dan menyediakan reka bentuk latihan yang dapat membantu secara langsung memajukan prestasi organisasi.

8. Pembangun Latihan
Pembangun latihan menyediakan prasarana untuk sesuatu latihan berdasarkan reka bentuk yang telah ditetapkan dan dipersetujui. Pra sarana itu seperti nota peserta, panduan kepada penyampai, bahan-bahan penyampaian yang berbentuk audio visual dan sebagainya.

9. Penyampai
Kebiasaannya jurulatih akan menyampaikan latihan dan ceramah. Ia menuntut kemahiran pengucapan awam, mengendalikan sesi latihan dalam kumpulan, teknik-teknik soal jawab dan perbincangan.

10. Pemasar
Secara umumnya, tujuan latihan ialah untuk melakukan perubahan. Kebanyakan manusia tidak suka kepada perubahan. Di sinilah perlunya seseorang jurulatih mempunyai kemahiran untuk menjual idea dan memasarkan kepentingan latihan dan pembangunan kepada kumpulan sasaran, sama ada pihak pengurusan mahu pun para pekerja.

11. Pengurus Kemudahan Latihan
Tanggungjawab ini biasa diberikan kepada jurulatih kerana kemudahan bilik seminar atau bengkel perlu dipastikan sentiasa berada dalam keadaan sedia digunakan, dengan segala peralatannya seperti pen marker, papan putih, pemadam, flip chart dan sebagainya.

12. Penilai
Oleh kerana sesebuah organisasi akan membelanjakan wang dan masa untuk memenuhi keperluan latihan, maka persoalan mengenai nilai pulangan yang diberikan oleh latihan tersebut perlu dijawab dengan mantap. Selepas sesuatu latihan, jurulatih perlu melakukan penilaian menyeluruh bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh pihak atasan atau pelanggan. Kemahiran menilai ini amat perlu agar jurulatih dapat mengemukakan hujah dan bukti nyata akan nilai pulangan sesuatu latihan itu.


Tanggungjawab Jurulatih
Jurulatih memikul tanggungjawab yang besar dalam sesebuah organisasi sukan. Mereka berusaha untuk memastikan para atlet dapat memaksimumkan segala bakat yang mereka miliki sekaligus mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi. Antara tanggungjawab jurulatih ialah seperti berikut:  

1. Menyediakan program latihan
Latihan yang berkualiti dan efektif amatlah penting bagi seseorang atlet untuk memperbaiki mutu permainannya. Oleh itu, adalah  menjadi tanggungjawab jurulatih untuk mencari, memilih dan memperkenalkan teknik latihan yang terbaik kepada para atlet agar mereka dapat beraksi dengan cemerlang dalam mana-mana pertandingan.

2. Memilih pemain
Dalam sesebuah kelompok atlet, tidak semua mereka akan dihantar untuk bermain atau bertanding dalam sesuatu acara. Oleh itu, jurulatih bertanggungjawab untuk memilih pemain yang berpotensi untuk dihantar mewakili pasukan dalam sesebuah acara. Jurulatih bertanggungjawab untuk memastikan pemain yang dipilih tersebut berpotensi besar untuk menyerlah dan menumpaskan pihak lawan. Dalam sesebuah sukan yang berpasukan, seperti bola sepak, bola jaring atau hoki misalnya jurulatih hendaklah memilih pemain-pemain yang mempunyai semangat kerjasama dan keserasian yang tinggi agar mereka dapat beraksi dengan cemerlang. 

3. Mencari bakat baru
Jurulatih bukan sahaja bertanggungjawab menyelia para atlet yang sedia ada bahkan mereka juga perlu untuk mencari bakat-bakat baru dalam sukan kendalian mereka. Ini bagi memastikan sukan tersebut mempunyai pelapis dalam kalangan generasi muda agar Negara kita tidak kekurangan atlet dalam sukan-sukan tertentu. Jurulatih bertanggungjawab melaksanakan projek-projek sukan yang membuka peluang kepada orang ramai bagi mencungkil bakat yang ada pada generasi cilik kita.

4. Merangka program pembangunan sukan
Jurulatih-jurulatih di negara kita menggalas tanggungjawab besar dalam proses pembangunan industri sukan tanah air. Perancangan di peringkat akar umbi amat penting demi masa depan sukan negara agar dapat melahirkan lebih ramai lagi atlet bertaraf dunia pada jangka masa yang panjang. Oleh itu, para jurulatih di negara kita bertanggungjawab merangka dan mengatur strategi program untuk membangunkan sukan negara seterusnya menyelia keberkesanan program-program tersebut. 

Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...