Pengenalan
Motivasi adalah salah satu daripada aspek yang penting dalam
sukan. Ia akan mempengaruhi penglibatan atlet dalam aktiviti sukan, latihan,
pertandingan dan sebagainya. Ia juga mungkin mempengaruhi minat dan kepuasaan
seseorang atlit terhadap sukan yang diceburinya. Oleh itu, tajuk motivasi
perlulah dikaji dengan terperinci.
Beberapa minit sebelum pertandingan akir bola tampar
peringkat kebansaan bermula, jurulatih pasukan A memanggil semua pemainnya
berkumpul dalam bulatan di tepi gelanggang. Jurulatih tersebut memberikan
kata-kata perangsang untuk menaikkan semangat pemainnya sebelum mereka
melangkah masuk ke gelanggang. Senario yang sama kerap kali kita lihat dalam
pertandingan yang melibatkansukan berpasukan. Beberapa ,imit sebelum permainan
dimulakan, para pemain akan berkumpul dalam bulatan serta memberikan kata-kata
perangsang sesama sendiri serta menjerit untuk menaikkan semangat
masing-masing.
Apakah yang dilakukan oleh pemain serta jurulatih tersebut?
Adakah tindakan yang dilakukan merupakan rutin atau syarat khusussukan
berpasukan? Berdasarkan pengalaman, tindakan tersebut merupakan usaha terakhir
untuk meningkatkan lagi motivasi atlet mereka.
Definisi Motivasi
Motivasi merujuk kearah dan intensiti usaha seseorang
individu. Arah merujuk kepada tindakan individu sama ada untuk menghampiri atau
menjauhi sesuatu keadaan, manakala intensiti usaha pula merujuk kepada tahap
kekuatan usaha individu itu untuk menghampiri atau menjauhi keadaan
ini.Motivasi ini juga sebagai proses kebangkitan dalam diri individu yang
membantu usaha mengarah serta mengekalkan perlakuan yang diingini. Motivasi
juga boleh didefinisikan sebagai satu daya yang membantu peningkatan serta
pengekalan perlakuan individu. Pengukuhan diri adalah lebih penting kerana ia
datang dari bahagian dalaman individu berbanding dengan pengukuhan luaran
kerana pengukuhan luaran datangnya daripada jurulatih.
Bagi seseorang jurulatih, motivasi bererti usaha untuk
memotivasikan atletnya supaya dapat melakukan sesuatu tugasan dengan baik dan
sempurna. Manakala motivasi bagi seseorang atlet pula ialah berusaha untuk
persembahan terbaik. Seseorang atlet yang bermotivasi untuk meningkatkan
prestasinya akan turun ke padang untuk membuat latihan tanpa diarahkan oleh
orang lain kerana motivasinya untuk merealisasikan matlamat adalah tinggi.
Motivasi boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu
motivasi intrinsik (dalaman) dan motivasi ekstrinsik (luaran).
(a) Motivasi Intrinsik
Menurut Singer (1984), motivasi instrinsik ialah motivasi
yang timbul dari dalam hati seseorang itu sendiri. Motivasi ini timbul daripada
keinginan dirinya sendiri untuk mencapai matlamat-matlamat seperti kesedaran
tentang potensi dirinya, kejayaan, kepuasan dan keseronokan. Lazimnya,
seseorang atlet yang bermotivasi intrinsik akan terus terlibat dalam sesuatu
aktiviti. Ia lahir dalam diri seseorang atlet disebabkan oleh faktor-faktor
dalaman dan minatnya tanpa dipaksa orang lain.
Atlet yang mempunyai motivasi intrinsik akan mengikuti
latihan peningkatan kemampuan atau pertandingan bukan kerana dorongan dari luar
seperti hadiah, pujian, penghargaan dan publisiti, melainkan kerana kepuasaan
dalam dirinya. Tambahan lagi, atlet yang mempunyai motivasi intrinsik biasanya
tekun, bekerja keras, teratur dan berdisiplin dalam menjalani latihan serta tidak
bergantung kepada orang lain.
(b) Motivasi Ekstrinsik
Motivasi ekstrinsik ialah motivasi yang dirangsang oleh
elemen luar seperti ganjaran untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu pertandingan
sukan. Ganjaran itu adalah dalam pelbagai bentuk seperti hadiah, hukuman,
ugutan, penghargaan dan pengiktirafan (Mohd. Sofian, 2002). Motivasi ini hanya
akan kekal seketika kerana atlet akan berusaha bersungguh-sungguh apabila
ganjaran disediakan. Ganjaran kebendaan lebih cepat hilang jika dibandingkan
dengan ganjaran kepuasan atau motivasi dalaman.Motivasi berbentuk hukuman
digunakan oleh jurulatih sukan sebagai dorongan atau rangsangan untuk mencapai
sesuatu kejayaan. Keadaan ini tidak begitu baik kerana pemain lain akan turut
berada dalam keadaan tertekan dan ketakutan malahan tidak menyeronokkan.
Hukuman boleh meningkatkan motivasi atlet untuk memperbaiki diri dan
prestasinya. Namun, hukuman dan dendaan yang keterlaluan akan menjejaskan dan
mendatangkan kesan negatif untuk jangka masa panjang.
Tiga Model Motivasi
(a) Model Motivasi Keperluan-tujuan
Model motivasi keperluan-tujuan dimulai dengan perasaan
keperluan individu. Keperluan ini kemudian ditransformasikan menjadi perilaku
yang diarahkan untuk mendukung pelaksanaan perilaku tujuan. Tujuan dari
perilaku adalah untuk mengurangkan keperluan yang dirasakan. Secara teori,
perilaku mendukung tujuan dan perilaku tujuan berkelanjutan sampai keperluan
yang dirasakan telah berkurangan atau dipenuhi.
(b)Model Ekspektasi Motivasi Vroom
Sebenarnya, proses motivasi adalah lebih rumit daripada yang
digambarkan oleh model motivasi keperluan-tujuan. Model Ekspektasi Motivasi
Vroom mengatasi beberapa kerumitan tambahan. Sama seperti model
keperluan-tujuan, Model Ekspektasi Motivasi Vroom adalah berdasarkan pada
premis bahawa keperluan yang dirasakan menyebabkan perilaku kemanusiaan. Akan
tetapi, model ini telah menangani isu kekuatan motivasi. Kekuatan motivasi
adalah peningkatan keinginan individu untuk menjalankan sesuatu perilaku.
Ketika keinginan meningkat atau menurun, kekuatan motivasi dikatakan berfluktuasi.
(c) Model Motivasi Porter-Lawler
Porter dan Lawler telah mengembangkan suatu model motivasi
yang menggambarkan huraian proses motivasi yang lebih lengkap dibandingkan
model motivasi keperluan-tujuan atau Model Ekspektasi Motivasi Vroom. Model
Motivasi Porter-Lawler ini konsisten dengan dua model sebelumnya di mana model
ini menerima premis bahawa keperluan yang dirasakan akan menyebabkan perilaku
kemanusiaan dan usaha yang dilakukan untuk mencapai suatu tugas ditentukan oleh
nilai balas jasa yang dirasakan.
Lima Panduan Untuk Membina Motivasi Kepentingan Motivasi
Pencapaian dan Kegigihan Bertanding
Untuk mengatasi masalah dalam sukan, seseorang yang telah
hilang minat dalam sukan mestilah digalakkan supaya aktif semula, terus
berusaha dan mencapai kepuasan daripadanya. Sumber yang penting ialah motivasi.
Garis panduan bagi memotivasikan atlet supaya mempertingkatkan persembahannya
yang dicadangkan Vincent dan Mohd. Sofian (dalam Mohd. Sofian, 2002) adalah
seperti berikut:
(a) Sifat Motivasi dalam Dua Keadaan
Penyertaan yang kurang bermotivasi biasanya berpunca
daripada gabungan faktor peribadi dan situasi. Faktor peribadi boleh
menyebabkan seseorang atlet kurang bermotivasi tetapi situasi atlet perlu turut
diambil kira. Selalunya, adalah lebih mudah bagi seseorang jurulatih itu
menukarkan keadaan daripada mengubah personaliti atletnya. Jurulatih seharusnya
tidak hanya menfokuskan perhatian kepada sifat peribadi atau situasi sahaja
tetapi pertimbangkan interaksi antara kedua-duanya.
(b) Memahami Dan Mengenali Tujuan Penglibatan Atlet
Jurulatih perlu memahami dan mengenali motivasi atau tujuan
seseorang melibatkan diri dalam sukan. Gould dan Petlichkoff (1988) menunjukkan
tujuan penyertaan atlet dalam sukan ialah memperbaiki kemahiran, mendapatkan
keseronokan, mendampingi kawan-kawan, inginkan pengalaman, mendapat kejayaan
dan memperbaiki kesihatan.
Untuk membina motivasi dalam diri atlet, jurulatih
haruslah:
- mengkaji setiap individu tentang apa yang mereka suka dan tidak suka mengenai sesuatu aktiviti. Dengan cara ini, jurulatih dapat menyelaraskan kegemaran mereka dalam latihan untuk mempertingkatkan motivasi mereka.
- mengetahui serba sedikit maklumat tentang individu yang terlibat. Jurulatih akan lebih memahami individu tersebut dan boleh menerapkan teknik-teknik motivasi yang sesuai dengan peribadinya. meminta setiap peserta menulis sebab mereka terlibat dalam sukan atau latihan.
- Sebab-sebab ini boleh dijadikan panduan dalam perancangan sesuatu latihan.
(c) Perubahan Persekitaran Mengubah Motivasi
Kita perlu menggunakan pengalaman peserta atau pemain untuk
menyediakan satu persekitaran yang sesuai untuk bersukan bersesuaian dengan
kehendak mereka. Misalnya, seorang pengurus taman sesuatu daerah mengetahui
bahawa setengah atlet dewasa lebih berminat kepada pertandingan dan setengah
lagi tidak. Oleh itu, pengurus taman itu harus menjadikan permainan sofbol
bukan sahaja sebagai pertandingan tetapi juga sebagai rekreasi. Perubahan ini
akan menambah jumlah peserta dengan memberi apa yang dikehendaki mereka. Oleh
itu, seseorang jurulatih hendaklah merangka keadaan untuk merealisasikan
motivasi bermaksud merangka keadaan dengan mengkaji pelbagai kehendak.
(d) Pengaruh Motivasi Seorang Jurulatih
Seseorang jurulatih mempunyai peranan yang kritikal untuk
mempengaruhi motivasi atlet. Contohnya, seorang jurulatih yang cergas dan
periang akan memberikan pertimbangan yang teguh dan waras. Dalam beberapa tahun
atlet akan mengenali sikap seseorang jurulatih itu secara lebih mendalam. Walau
bagaimana pun, jurulatih mungkin akan mengalami hari yang kurang baik dan
bersikap kurang ceria dan seterusnya boleh mempengaruhi altet menyebabkan
mereka tidak puas hati atau keciwa. Tingkah laku jurulatih pada hari-hari
tersebut akan mempengaruhi suasana motivasi atlet. Sebagai seorang yang profesional,
jurulatih seharusnya bertungkus-lumus mengatasi hari-hari yang kurang baik
tersebut.
(e) Penggunaan Perubahan Tingkah Laku untuk Mengubah Motif
Atlet yang Tidak Disenangi
Atlet-atlet adalah manusia biasa yang melibatkan diri dalam
sukan dengan motif yang berlainan.
Jurulatih perlu cuba mengubah motif atlet
yang tidak disenangi. Sebagai contoh, seorang pemain bola sepak telah
mencederakan pemain utama pasukan lawan demi kemenangan. Jurulatih harus
menggunakan teknik perubahan sikap untuk mengubah motif yang tidak diingini
iaitu, jurulatih harus menekankan sikap permainan bersih, menegur pemain yang
agresif sambil membincangkan kelakuan yang sepatutnya bersama atlet. Dengan
ini, perubahan sikap dapat mengubah motivasi seseorang atlet.
Atlet-atlet adalah manusia biasa yang melibatkan diri dalam
sukan dengan motif yang berlainan. Jurulatih perlu cuba mengubah motif atlet
yang tidak disenangi. Sebagai contoh, seorang pemain bola sepak telah
mencederakan pemain utama pasukan lawan demi kemenangan. Jurulatih harus
menggunakan teknik perubahan sikap untuk mengubah motif yang tidak diingini
iaitu, jurulatih harus menekankan sikap permainan bersih, menegur pemain yang
agresif sambil membincangkan kelakuan yang sepatutnya bersama atlet. Dengan
ini, perubahan sikap dapat mengubah motivasi seseorang atlet.
Teori Motivasi Pencapaian
Motivasi pencapaian bermaksud kecederungan seseorang atlet
sama ada mendekati atau mengelakkan diri dari situasi yang kompetitif atau
berasaskan pencapaian (Shaharudin, 2002). Seseorang individu menyertai sukan
bergantung kepada dua motif utama iaitu motif intrinsik dan motif ekstrinsik.
Motif intrinsik adalah secara dalamam seperti keinginan memperbaiki pencapaian
sendiri, meningkatkan tahap kesihatan dan keseronokan. Motif ekstrinsik adalah
secara luaran seperti keinginan mendapatkan ganjaran, penghormatan atau
lain-lain perkara yang bersifat kebendaan. Antara teori yang mengupas
pendekatan motivasi pencapaian ini adalah model motivasi pencapaian McClelland
dan Atkinson. Menurut model ini, motivasi itu terbentuk berdasarkan motif untuk
mencapai kejayaan dan takut kepada kegagalan. Keinginan seseorang atlet
melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti bergantung kepada motif untuk mencapai
kejayaan atau takut kepada kegagalan. sekiranya atlet tersebut yakin akan
berjaya, maka dia akan melibatkan diri. Sebaliknya, sekiranya dia merasa tidak
yakin, dia tidak akan menyertai aktiviti berkenaan. Dengan kata lain,
penyertaan seseorang atlet dalam sebarang aktiviti boleh dilihat berdasarkan formula
berikut: Motivasi Pencapaian = Motivasi Intrinsik – Kebimbangan Kognitif
Seketika
Situasi berikut menerangkan penggunaan model ini. Lim ialah
seorang wakil sekolah yang handal dalam bola keranjang. Dia ditukarkan ke
sekolah baru kerana pemindahan rumah. Di suasana baru itu, dia mencuba nasib
untuk mewakili pasukan bola keranjang sekolah. Walau bagaimana pun, dia
memerhatikan ramai calon lain lebih tinggi dan lebih handal daripadanya.
Sekiranya dia masih memegang pada persepsi asalnya, dia tidak akan mencuba
nasibnya ( takut kepada kegagalan). Sebaliknya, sekiranya dia merasakan dirinya
mempunyai kebolehan yang setara dengan calon-calon lain, maka dia akan memilih
untuk menyertai ujian pemilihan tersebut (motif untuk mencapai kejayaan).
Elemen motivasi ekstrinsik membantu menjelaskan mengapa
seseorang individu terus menyertai sesuatu aktiviti walaupun motif untuk
mencapai kejayaan individu tersebut rendah. Ini mungkin disebabkan oleh
pengaruh motivasi ekstrinsik seperti ganjaran wang, piala, pujian atau anugerah.
Dengan elemen luaran ini, Atkinson mengakui bahawa terdapat kesan pengaruh
luaran dalam motivasi individu.
Pembentukan Motivasi Pencapaian dan Kegigihan Bertanding
Atlet yang bermotivasi dalaman akan sentiasa mengekalkan
penglibatannya dalam aktiviti fizikal atau sukan. Namun, seseorang jurulatih
perlu membentuk lagi motivasi atletnya dengan pelbagai strategi.
(a) Mewujudkan Pengalaman Kejayaan
Kejayaan atlet boleh dipastikan dengan menstrukturkan
aktiviti di setiap peringkat latihan. Misalnya, dalam latihan jaringan, saiz
gol boleh dibesarkan atau dikecilkan mengikut kebolehan atlet sehingga dia
mencapai kejayaan. Dengan bertambahnya kejayaan dalam penguasaan kemahiran dan
persembahan dalam latihan, atlet akan ditingkatkan keyakinan kejayaan dalam sesuatu
pertandingan. Pengalaman kejayaan itu dapat menguatkan lagi keinginan bersaing
(b) Meningkatkan Keyakinan Diri Atlet
Keyakinan diri penting untuk persembahan yang baik dan perlu
dibina. Aktiviti yang boleh meningkatkan keyakinan diri atlet adalah memberi
maklum balas positif kepada atlet terhadap perlakuan yag betul dan tepat,
berfikiran positif, berlatih dengan pemain yang berkebolehan dan sebagainya.
(c) Latihan Berperingkat
Proses latihan berperingkat akan membina keyakinan diri
atlet dengan menilai keupayaan kendiri. Atlet akan berlatih menguasai kemahiran
dengan latih tubi. Setelah kemahiran dikuasai, atlet itu boleh menilai diri
sendiri berbanding dengan orang lain untuk memperbaiki kelemahan. Proses
terakhir ialah atlet telah dapat mengintegrasikan penguasaan kemahiran dan
telah bersedia untuk membuat perbandingan dengan orang lain.
(d) Pelbagaian Kandungan Latihan
Perasaan bosan ialah musuh utama bagi setiap pemain yang
terlibat dalam sebarang kegiatan sukan. Perasaan kurang seronok merupakan sebab
asas seseorang atlet keluar daripada kegiatan sukan ( Sofian, 2002). Oleh itu,
jurulatih haruslah merancang program latihan yang mempunyai kandungan dan
turutan latih tubi yang dapat dipelbagaikan bagi setiap sesi latihan. Sesi
latihan boleh menjadi menarik dan menyeronokkan dengan pengisian
peluang-peluang untuk belajar, menunjukkan kemahiran baru dan melibatkan diri
dalam simulasi pertandingan.
(e) Penetapan Matlamat Diri yang Realistik
Seseorang atlet perlu mempunyai matlamat kendiri untuk
meningkatkan motivasi dalaman. Matlamat-matlamat ini tidak semestinya hasil
pencapaian prestasi tetapi ia boleh dalam bentuk peningkatan prestasi kendiri
atau kawalan emosi kendiri. Atlet juga perlu menetapkan objektif khusus yang
boleh diukur. Misalnya, dalam latihan jaringan, atlet boleh menetapkan bilangan
gol yang perlu dijaringkan dalam setiap sesi latihan.
(f) Penglibatkan Pemain Dalam Membuat Keputusan
Jurulatih harus memberi atlet-atletnya tanggungjawab untuk
membuat sesuatu keputusan dan peraturan. Dengan ini, kawalan persepsi akan
ditingkatan dan pencapaian peribadi dapat dirasai. Misalnya, pemain-pemain
diberi peluang merancang atau membuat perubahan terhadap aktiviti-aktiviti
latih tubi.
(g)Latihan Simulasi
Latihan simulasi dijalankan dalam keadaan yang hampir sama
dengan pertandingan sebenarnya. Atlet akan dapat membiasakan diri dengan
pertandingan sebenar yang akan dihadapinya. Kelemahan penguasaan kemahiran dan
strategi dapat dikesan dan dibaiki dalam latihan simulasi. Atlet akan bersedia
untuk menghadapi pertandingan dengan penuh keyakinan.
Penggunaan Motivasi Pencapaian dan Kegigihan Bertanding
dalam Latihan
Seseorang jurulatih yang baik dan berkesan akan cuba
meningkatkan dan mengekalkan motivasi atletnya. Motivasi intrinsik harus
dipupuk dan dikembangkan dalam diri setiap atlet. Peranan jurulatih adalah
berusaha memastikan atlet mereka memilih motivasi intrinsik. Sebaliknya, atlet
yang mempunyai motivasi ekstrinsik biasanya bermain untuk ganjaran yang berupa
kebendaan, penghargaan dan publisiti. Ganjaran kebendaan akan hilang lebih
cepat jika dibanding dengan ganjaran kepuasan atau motivasi intrinsik.
Tahap motivasi intrinsik meningkat bila atlet merasakan dia
telah mempamerkan prestasi yang baik berbanding dengan mereka yang mempunyai
persepsi kejayaan yang rendah. Menang atau kalah adalah tidak penting dalam
penentuan motivasi intrinsik. Apa yang perlu dilakukan oleh jurulatih atau guru
ialah memberikan maklum balas yang subjektif terhadap perlakuan yang baik walau
pun objektifnya tidak tercapai. Justeru itu, jurulatih harus menstruktur dan
menggunakan ganjaran (dan strategi-strategi lain) untuk meningkatkan persepsi
kejayaan melalui motivasi intrinsik atlet mereka.
Kesimpulan
Tajuk ini telah merangkumi beberapa aspek motivasi
pencapaian dan kegigihan bertanding. Pengetahuan motivasi dalam latihan ini
akan membantu jurulatih, guru dan pihak-pihak lain yang berkaitan untuk
meningkatkan motivasi atlet mereka. Dan diharapkan atlet-atlet ini akan
mengekalkan motivasi mereka dalam latihan dan pertandingan.