Disclaimer

SainsdanSukan does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.

Khamis, 17 Januari 2019

Konsep dan Definisi Psikologi Sukan



Psikologi sukan meliputi aspek psikologi yang berkaitan dengan pelbagai faktor. Antaranya ialah pengaruh dan kesan penglibatan dalam sukan, senaman, kecergasan, rekreasi, perkembangan dan kemahiran motor secara langsung dan tidak langsung. Menurut Weinberg dan Gould (1999), psikologi merupakan satu bidang kajian saintifik tentang manusia dan perlakuan mereka dalam konteks sukan dan pergerakan. Manakala menurut Cox (1998), psikologi sukan merupakan satu bidang kajian yang melibatkann kajian prinsip psikologi yang diaplikasikan dalam bidang sukan dan Wann (1957), psikologi sukan adalah satu bentuk kajian saintifik tentang reaksi serta perlakuan fizikal, afektif dan kognitif ke atas mereka yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dengan aktiviti tersebut. 

Psikologi sukan juga merupakan proses memilih dan memotivasikan seseorang individu supaya boleh bersaing atas usaha dan keupayaannya sendiri. Seterusnya, psikologi sukan juga menjurus kepada Psych-out lawan, proses ini dapat menurangkan atau menangani tekanan yang dihadapi oleh seseorang individu. Psikologi sukan juga dapat mencegah penggunaan dadah di kalangan atlet serta membina strategi berpasukan dan menerapkan pembelajaran kemahiran dalam atlet. Kajian dalam psikologi sukan membolehkan kita menyatakan satu tingkah laku, menerangkan tingkah laku tersebut dan membuat andaian tentag tigkah laku tersebut. Psikologi sukan banyak menyumbang ke arah peningkatan potensi dan prestasi atlet dalam bidang sukan, meningkatkan pembentukan sahsiah dan semangat kesukanan. Kesimpulannya, psikologi sukan merupakan satu bidang kajian saintifik tentang perlakuan dan tingkahlaku manusia dalam sukan.

Hubungan antara Prestasi Sukan dengan Psikologi Individu
Ahli psikologi sukan memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan prestasi individu. Selain itu, ahli psikologi sukan juga memainkan peranan dalam membimbing dan mendidik seorang individu untuk menghadapi ujian, cabaran dan menangani kebimbangan serta tekanan. Pengetahuan dalam psikologi sukan juga membantu dalam persediaan fizikal dan mental. Persediaan ini membantu meningkatkan keyakinan diri, motivasi, konsentrasi terhadap tugasan dan kebolehan mengawal tekanan serta kemampuan memfokus kepada peningkatan prestasi.

Peranan dan Tanggungjawab Ahli Psikologi 
Pada tahun 1983, Majlis Olimpik Amerika Syarikat (USOC) menerbitkan satu artikel yang menggariskan peranan serta klasifikasi ahli psikologi sukan. Menurut USOC, ahli psikologi sukan boleh dibahagikan kepada dua iaitu psikologi sukan gunaan (applied sport psychologist) (Martens, 1987) dan penyelidik psikologi sukan (experimental sport physhologist) (Singer, 1984). USOC seterusnya membahagikan ahli psikologi sukan gunaan kepada dua kategori iaitu ahli psikologi sukan klinikal dan pendidik psikologi sukan.

Psikologi sukan gunaan terbahagi kepada dua kategori iaitu ahli psikologi sukan klinikan dan pendidik psikologi sukan. Kategori pertama ahli psikologi sukan gunaan adalah ahli psikologi sukan klinikal. Mereka terlatih dalam bidang psikologi klinikal serta berkelayakan menjadi seorang pakar psikologi. Umumnya, tugas ahli psikologi sukan klinikal untuk membantu atlet yang menghadapi masalah personaliti serta mental yang serius dan melibatkan tempoh masa yang panjang. Mereka merupakan orang yang berkelayakan dalam bidang psikologi klinikal serta mempunyai lesen untuk menjalankan perkhidmatan membantu atlet menangani masalah mereka.

Katergori kedua ahli psikologi sukan gunaan adalah pendidik psikologi sukan. Kebanyakan ahli psikologi sukan yang tergolong dalam kumpulan ini lazimnya mendapat latihan dalam bidang pendidikan jasmani dan sains sukan. Kebanyakkannya bertugas sebagai tenaga pengajar di pusat pengajian tinggi yang terlibat dalam pengajaran kursus psikologi sukan, memberikan ceramah serta kursus jurulatih serta bertindak sebagai konsultan kepada pasukan serta atlet tertentu.

Tugas mereka lebih mirip kepasa “jurulatih mental” iaitu membantu individu yang terbabit dengan sukan tentang cara untuk mengenali serta memaksimumkan potensi diri masing-masing. Justeru itu bagi mereka yang terlibat sebagai pendidik psikologi sukan, kelayakan peringkat sarjana dalam dalam psikologi sukan diutamakan kerana mereka perlu sentiasa peka terhadap perubahan ilmu serta teknik terkini yang membabitkan latihan mental.

Manakala ahli psikologi sukan yang seterusnya ialah penyelidik psikologi sukan. Berkembang atau tidaknya sesuatu cabang ilmu itu bergantung kepada hasil kajian yang dijalankan oleh mereka yang terlibat dalam bidang hasil kajian yang dijalankan oleh mereka yang terlibat dalam bidang tersebut. Justeru itu, tugas seorang penyelidik psikologi sukan amat penting bagi memastikan bidang ini mampu berdiri dengan sendirinya serta mendapat perhatian yang wajar di kalangan ahli akademik serta mampu memberikan sumbangan kepada mereka yang terlibat (Anshel, 1997: Wann, 1997).

Sumbangan ahli psikologi sukan gunaan banyak bergantung kepada hasil kajian penyelidik psikologi sukan. Kedua-duanya saling bantu-membantu dalam menegakkan bidang ini. Lazimnya, kelayakan di peringkat sarjana dan doktor falsafah diperlukan kerana kedua-dua kelayakan ini bersifat menyelidik serta mengkaji isu-isu seperti motivasi, konsentrasi, keagresifan serta isu-isu lain yang berkaitan dengan psikologi sukan.

Etika Psikologi Sukan
Kebelakangan ini, ramai orang melibatkan diri secara langsung sebagai ahl psikologi sukan ataupun sebagai “jurulatih mental” untuk atlet ataupun pasukan sukan tertentu di negara kita. Bagi memastikan khidmat yang diberi mendatangkan kebaikan kepada mereka yang memerlukan khidmat tersebut maka etika psikologi sukan perlu diwujudkan serta diterimapakai oleh mereka yang terlibat. Seterusnya topik perbincangan ini akan membantu kita mengenali kemampuan, kemahiran serta bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada para atlet serta jurulatih yang memerlukan khidmat ahli psikologi sukan.
Kebelakangan ini, ramai di antara mereka yang bergiat dalam sukan mengakui tentang keberkesanan teori-teori serta teknik-teknik psikologi sukan mampu membantu mereka meningkatkan prestasi serta mencapai kejayaan dalam sesuatu pertandingan sukan (Anshel, 1997; Cox,1998; Wann, 1997). Pendedahan kepada beberapa konsep dan teori serta teknik psikologi sukan yang dapat membantu anda menjadi seorang guru pendidikan jasmani dan/atau jurulatih yang efektif.

Bagaimanapun dengan hanya menamatkan satu kursus psikologi sukan ataupun menamatkan satu kursus di peringkat diploma, anda masih belum boleh menganggap diri anda sebagai seorang ahli psikologi sukan serta berkelayakan untuk memberikan khidmat nasihat kepada mereka yang memerlukan kepakaran dalam bidang ini.

 Walaupun di Malaysia masih belum wujud satu badan akreditasi khusus untuk ahli psikologi sukan seperti mana bidang profesional yang lain seperti kaunseling, doktor perubatan dan psikologi ia tidak bermakna bahawa anda bebas menggelarkan diri sebagai seorang pakar psikologi sukan. Ini menyalahi etika profesion kerana anda tidak mempunyai kelayakan minimum untuk melayakkan diri menjadi seorang ahli psikologi sukan.

Oleh itu masih banyak yang perlu dipelajari untuk melayakkan diri menjadi seorang yang berkelayakan dalam bidang ini. Pakar psikologi sukan khuatir tentang risiko yang mungkin timbul dari kesilapan penggunaan teori serta teknik psikologi sukan sekiranya ia dipraktikkan oleh mereka yang kurang mahir dalam bidang ini (Silva, 1989). Kesannya mungkin akan menyebabkan ramai orang meragui peranan serta kepentingan bidang ini dalam proses penyediaan atlet atau pasukan sukan.

Seperti mana yang dijelaskan pada awal bab ini, tugas seorang ahli psikologi sukan boleh diklasifikasikan kepada dua tugas utama. Pertamanya tugas yang bersifat memberikan tunjuk ajar (pendidikan) kepada atlet serta jurulatih tentang cara melakukan teknik latiham mental dengan cara yang lebih berkesan (Cox, 1998). Dalam konteks ini, guru serta jurulatih yang benar-benar terlatih dalam bidang ini boleh melaksanakan tugas ini (Smith,1992).

Keduanya, tugas yang bersifat klinikal di mana seorang ahli psikologi sukan diminta untuk memberikan bantuan yang bercorak klinikal seperti memberikan kaunseling, psikoterapi serta membuat pemeriksaan psikologi/mental atlet terbabit. Justeru itu, adalah penting bagi seorang ahli psikologi sukan mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang berkaitan untuk melaksanakan tugas tersebut.

Bagi memudahkan untuk memahami isu-isu yang berkaitan dengan etika, satu garis panduan tentang kajian dan tugas klinikal dalam bidang psikologi sukan yang digariskan oleh Persatuan Psikologi Sukan dan Aktiviti Fizikal Amerika Utara (North American Society for the Psychology of sport and Physical Activity). Garis panduan ini menjelaskan tentang tatacara seorang ahli psikologi sukan (Wann, 1977).

Ahli psikologi sukan bertanggungjawab di atas segala perlakuan, nasihat serta saranan yang diberikan dan bertanggungjawab ke atas kesan dan akibat berkaitan dengan saranan tersebut serta memastikan tindakan yang diambil itu bertepatan dengan keadaan, ahli psikologi sukan memberikan bantuan dan latihan yang mana ia berkelayakan serta berpengalaman melakukannya, ahli psikologi sukan tidak membabitkan diri dengan kegiatan yang berlawanan dengan peraturan, etika serta moral yang ditetapkan, ahli psikologi sukan menyatakan kelayakan ikhtisas serta penglibatan mereka dengan persatuan profesional dengan jelas, ahli psikologi menghormati serta menjaga rahsia atau maklumat yang diberikan oleh klien atau subjek kajian mereka, ahli psikologi sukan menjaga kebajikan serta integriti klien serta kumpulan yang mendapatkan khidmat mereka dan ahli psikologi sukan mesti peka terhadap keperluan serta pendapat rakan-rakan dalam bidang lain yang berkaitan dengan sukan.

Dalam usaha untuk membentuk, menerbit serta menggunakan sesuatu alat atau teknik penilaian dan pengukuran, kebajikan klien perlu diutamakan dan dalam melaksanakan kejian psikologi, kebajikan mereka yang terbabit dengan kajian tersebut perlu diutamakan agar ia selaras dengan peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak yang berkuasa di peringkat persekutuan, negeri serta badan profesional terbabit.




Rujukan
Shaharudin Abd. Aziz. (2001). Mengaplikasi Teori Psikologi dalam Sukan. Selangor: Yeohprinco SDN. BHD.

Collie Looi. (2014). Psikologi Sukan. Retrieved March 20, 2018, from https://prezi.com/m/ffzmm-jm91pp/psikologi-sukan/

Sing Lin Tiong. (2014). Psikologi Sukan. Retrieved March 20, 2018, from https://www.slideshare.net/mobile/tiongsinglin/51-psikologi-sukan







Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...