1. PENGENALAN
1.1 Konsep Kecergasan atau Kesejahteraan Keseluruhan
Kecergasan keseluruhan adalah integrasi komponen-komponen
mental, sosial, emosi, dan rohani. Kecergasan ini membolehkan individu memberi
sumbangan yang bermakna kepada masyarakat. Kecergasan keseluruhan mencerminkan
perasaan seseorang individu tentang kehidupan serta keupayaan diri berfungsi
dengan lebih cekap.
(i) Kecergasan Fizikal
Kecergasan fizikal adalah keupayaan individu untuk berfungsi
secara berkesan untuk menghadapi cabaran dalam kerja kerja fizikal harian dan
menggunakan masa lapang dengan lebih efektif di samping mempunyai lebihan
tenaga untuk tujuan kecemasan.
(ii) Kecergasan Mental
Kecergasan mental adalah keupayaan individu untuk berfikir
dan menggunakan maklumat untuk meningkatkan kualiti hidup seharian dan
berfungsi secara optimal.
(iii) Kecergasan Sosial
Kecergasan sosial adalah keupayaan individu untuk
berinteraksi dengan orang lain bagi mewujudkan kualiti hidup semua pihak yang
terlibat dalam hubungan ini.
(iv) Kecergasan Emosi
Kecergasan emosi adalah keupayaan individu menangani
kehidupan harian serta perasaan kendiri secara membina, proaktif, dan
optimistik.
(v) Kecergasan Rohani
Kecergasan rohani adalah keupayaan individu untuk membentuk
satu sistem nilai dan bertindak berlandaskan kepercayaan serta menetapkan dan
melaksanakan matlamat kehidupan yang bermakna dan konstruktif.