MAKANAN kegemaran rakyat Malaysia, nasi lemak kini diiktiraf
sebagai salah satu daripada 10 sarapan antarabangsa yang paling sihat oleh
majalah antarabangsa terkenal, TIME.
Menurut majalah berprestij itu, walaupun
nasi lemak sering dilabel sebagai makanan berlemak, namun nasi yang dimasak
menggunakan santan kelapa tetap mengandungi lemak yang baik untuk kesihatan
badan.
“Memang ia mengandungi kandungan lemak lebih daripada apa yang kita perlukan
(kurangkan pengambilan nasi) tetapi makanan itu adalah sarapan yang seimbang.
“Ini kerana ia mengandungi pelbagai nutrisi termasuk manganese, protein dan
karbohidrat. Kandungan cili dalam sambal (nasi lemak) boleh membantu
meningkatkan metabolisme,” lapor majalah TIME.
Artikel bertajuk 10 Healthy International itu turut
menyenaraikan beberapa lagi menu sarapan pagi yang didapati berkhasiat dari
pelbagai negara lain.
Selain nasi lemak, makanan sarapan dari Turki yang kaya
dengan zaiton, tomato, keju dan telur turut mendapat perhatian majalah
berkenaan.
Turut tersenarai ialah sarapan dari Israel yang mengandungi sumber nutrisi
berkhasiat. Juadah Mesir pula adalah kacang ful dengan rempah ratus yang
dimasak semalaman.
Sementara gallo pinto, iaitu kacang hitam yang dihidangkan dengan nasi, dan
berasal dari Costa Rica juga dipilih. Di benua Eropah pula, bijirin menjadi
sarapan pilihan.
Antaranya ialah hafragrautur dari Iceland dan kasha dari Rusia yang mengandungi
pelbagai jenis bijirin dan dimasak dengan susu haiwan ternakan.
Upma dari India turut disenaraikan TIME sebagai sarapan sihat dan ia disifatkan
sebagai campuran yang dibuat daripada suji yang sudah dipanggang.
Bukan itu sahaja, sarapan dari Jepun yang kaya dengan hidangan sampingan dan
dinikmati dengan nasi manakala sup tulang dari Vietnam turut dipilih sebagai
sarapan paling sihat oleh majalah itu.-