Disclaimer

SainsdanSukan does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.

Ahad, 24 Januari 2016

Kebimbangan ( Anxiety)


Mohammed (1992), kebimbangan boleh didefinasikan sebagai satu keadaan negatif yang dialami oleh manusia dan merupakan gabungan antara perasaan takut, seram, gentar, runsing, cemas, bimbang, risau, gelisah, khuatir dan pelbagai emosi lain. Perasaan cemas dan bimbang ini akan terus berlaku apabila seseorang itu merasa khuatir akan kebolehan dan kepakarannya. Seseorang itu merasa ragu-ragu sama ada ia boleh atau mungkin ia tidak berupaya melakukan tugasan dengan baik.


Mahoney dan Meyers (1989), kebimbangan adalah pengalaman dan dilaporkan berlaku kepada semua atlet tanpa mengira usia dan tahap kemahiran. Pengalaman dan kemahiran atlet dilaporkan dari sikap yang berbeza dan banyak menghala kepada bagaimana pengalaman mereka menghadapi kebimbangan. Kesungguhan dan kesan kepada prestasi kebimbangan kemungkinan berkaitan kepada tafsiran seseorang individu.

Scanlan, T.K., Stein, G.L. dan Ravizza, K., (1991), tekanan dari pertandingan boleh didefinisikan sebagai emosi negatif, perasaan dan pemikiran yang mungkin memberikan pengalaman kepada atlit tentang perasaan tidak yakin pada diri sendiri, bimbang, otot terasa tertekan, takut, reaksi fizikal, hanya memikirkan kebimbangan dan perkara-perkara negatif. Kebimbangan boleh ditakrifkan sebagai kesan kognitif atau emosi yang terhasil dari persepsi terhadap situasi yang dihadapi, yang dilahirkan dalam bentuk ancaman yang bakal diterima oleh seseorang individu seperti kekalahan, ugutan fizikal, rasa malu dan sebagainya.
Conger (1973) menakrifkan kebimbangan sebagai satu penentuan yang amat penting di dalam mengkaji tingkah laku manusia. Beliau juga menyatakan bahawa kebimbangan yang wujud dalam diri seseorang itu adalah hasil daripada pengalaman kesakitan masa lampau, contohnya sakit yang dirasai semasa kanak-kanak akan mewujudkan perasaan bimbang apabila mereka dewasa kelak.

Dollard dan Miller (1950) pula menyatakan kebimbangan berlaku disebabkan kanak-kanak mempunyai pelbagai perasaan kecewa.

Tingkah laku kebimbangan boleh menimbulkan gerak balas dalaman terhadap perasaan, pemikiran, tindakan psikologi dan juga konflik tingkah laku.

Kelly (1955) menyatakan bahawa manusia menggunakan sistem konstruk untuk menjangkakan apa yang akan berlaku dalam hidupnya dan kebimbangan wujud apabila kita berhadapan dengan peristiwa-peristiwa di luar kawasan keselesaan.

Frued, S (1977) menyatakan bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada tingkah laku berbanding dengan perasaan kerana tingkah laku boleh diubah, tetapi realiti juga berpendapat bahawa manusia tidak boleh mengarahkan dirinya untuk merasa lebih baik tetapi manusia boleh mengarahkan dirinya untuk melakukan sesuatu yang lebih baik.


Kebimbangan Dalam Sukan



Kebimbangan merupakan salah satu elemen yang boleh mengugat prestasi individu dalam sukan.

Terdapat punca-punca khusus yang akan membuatkan seseorang itu merasa tertekan dan menjadi bimbang.

Kegagalan melakukan tindakan yang sepatutnya di saat-saat genting sering kali menjadi penyebab kepada kekalahan pemain atau pasukan.

Kegagalan melakukan tindakan yang tepat pada masanya berpunca dari tekanan serta peningkatan tahap kebimbangan sehingga menyebabkan individu yang berkenaan tidak mampu memberikan tumpuan serta dapat berfikir secara optimum sebelum membuat sesuatu keputusan.

Kesannya, tindakan yang dibuat di bawah tekanan sering kali mengakibatkan kegagalan.

Levitt (1980), kebimbangan berpunca dari kebangkitan fisiologikal dan stres yang dihasilkan berdasarkan kepada interpretasi negatif yang telah dibuat oleh individu tersebut.

Levitt telah mengkategorikan kebimbingan kepada dua:
  1. kebimbingan tret (trait anxiety) yang merujuk kepada ciri-ciri personaliti individu.
  2. kebimbangan seketika (state anxiety) yang merujuk kepada tahap kebimbangan semasa yang terhasil dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitarannya pada waktu itu.

Teori-Teori Kebimbangan (Psikoanalitik)


Freud (1977) apabila tenaga libido dipendamkan, ia bertukar menjadi kebimbangan dan akan muncul sebagai kebimbangan bebas atau sebagai satu simptom kebimbangan. Misalnya kanak-kanak menjadi bimbang apabila ibunya tidak ada bersamanya kerana kanak-kanak itu tidak dapat menyalurkan libido (perasaan) kepada ibunya dan libido itu wujud sebagai satu kebimbangan. 

Jika kebimbangan objektif adalah tindak balas dari ancaman luar, maka kebimbangan neurotik adalah pelarian daripada desakan libido itu sendiri (Azizi et. al, 2006).

Menurutnya lagi pengalaman kebimbangan neurotik membuatkan ego yang berperanan memproses ancaman ini akan cuba lari daripada desakan libido ini, dan menjadikan ancaman dalaman ini sebagai yang datang dari luar, dan dengan sendirinya tidak melibatkan ego untuk berbuat sesuatu.

Teori kebimbangan yang berpusatkan kepada peranan libido, tidak dapat menghuraikan kebimbangan jenis fobia (Azizi et. al, 2006).

Freud (1977) mendapati bagi jenis-jenis kebimbangan yang lain, ego lebih berperanan jika dibandingkan dengan id yang bertukar menjadi libido. Ego mengamati bahaya dan dengan sendirinya akan meninggalkan kesan kebimbangan.

Azizi et. al (2006) mengulas lagi, ini bererti, bukan pemendaman libido yang menjadi punca kebimbangan tetapi kebimbangan telah wujud sedia ada apabila telah diamati oleh ego tadi dan ini bermakna kebimbangan adalah punca pemendaman.

Freud (1977) menjelaskan, fenomena kebimbangan adalah ciri semula jadi suatu organisma itu. Ia adalah sebahagian daripada naluri semula jadi untuk keselamatan kendiri dan diwarisi secara genetik. Kebimbangan objektif dialami secara semula jadi tetapi kebimbangan yang spesifik adalah dipelajari. Beliau menyatakan kebimbangan adalah punca daripada renjatan emosi dan takutkan kembiri (fear of castration).

Hakikatnya, superego merupakan identiti sebenar individu normal kerana superego beroperasi mengikut prinsip kesempurnaan dan berfungsi menghalang kehendak-kehendak id dan menyebabkan seseorang akan merasa tidak patut apabila takutkan sesuatu yang tidak perlu ditakutkan. Oleh itu, egolah yang patut menyeimbangkan kehendak-kehendak id supaya perasaan takut itu tidak terlalu diikutkan.



Jenis-jenis Kebimbangan

Menurut Wann (1997) kebimbangan ialah sesuatu yang negatif dan boleh mempengaruhi pencapaian atlet dalam sukan. Apabila memperkatakan kebimbangan di kalangan atlet maka perlu dijelaskan mengenai kebimbangan tret dan kebimbangan seketika.

Berdasarkan kepada Silva dan Stevens (2002) kebimbangan tret adalah merujuk kepada personaliti seseorang individu di mana ia bersifat stabil dan mereka sering mentafsirkan situasi persekitaran dengan perasaan risau atau bimbang yang boleh meningkatkan tahap kebangkitan (arousal). Ini menunjukkan kebanyakan masyarakat mempunyai tahap kebimbangan tret yang sederhana dan sedikit sahaja yang tinggi atau rendah tahap kebimbangan tret.

Manakala kebimbangan seketika merujuk kepada tahap kebimbangan semasa yang terhasil dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitaran pada waktu itu (Shaharudin 2001). Beliau menyatakan kebimbangan terbahagi kepada dua jenis iaitu:
  1. Kebimbangan kognitif seketika - merupakan komponen mental kebimbangan seketika yang merujuk kepada proses mental yang bersifat kognitif yang berlaku akibat dari tafsiran terhadap situasi semasa seperti perasan risau, takut, kecewa, gementar dan lain-lain.
  2. Kebimbangan somatik seketika - merujuk kepada aspek fisiologikal dan afektif individu yang terbabit kesan dari kebimbangan kognitif yang wujud dari dalam individu tersebut yang menyebabkan peningkatan denyutan jantung, kadar nadi, peredaran darah, perpeluhan, pernafasan, kerap buang air kecil dan lain-lain. Bagi individu yang dikategorikan sebagai A-trait, sekiranya beliau mentafsirkan bahawa tekanan yang wujud dipersekitarannya cukup menekan, maka individu tersebut akan bertindak atau memberikan respons yang akan meningkatkan lagi tahap kebimbangan serta kebangkitan fisiologikalnya. Kebimbangan itu dimanifestasikan oleh rasa tertekan , takut, peningkatan kadar nadi serta tangan atau badan mengeletar. Kesannya individu tersebut rasa semakin tertekan dan takut serta aksinya pula tidak menentu.
Terdapat hubungan di antara kebimbangan tret dan kebimbangan seketika yang dijelaskan oleh Marten et al. di dalam Wann (1997) mengenai Teori Kebimbangan Seketika. Teori ini menjelaskan mengenai respons objektif dan jangkaan situasi yang akan dihadapi. Di mana ianya merangkumi persepsi jangkaan yang tidak pasti dan keutamaan hasil. Seperti yang telah dibincangkan di atas, perasaan bimbang berupaya meningkatkan situasi yang tidak menentu contohnya semakin penting sesuatu pertandingan maka semakin meningkat perasaan bimbang.



Punca Kebimbangan Dalam Sukan
  • Berdasar kepada Marchant, Morris, Anderson (1998) di dalam Journal of Sport Behavior punca-punca kebimbangan seketika di kalangan atlit ialah.
  • Takut kepada kegagalan (Gould, Horn & Spreeman, 1983: Kroll, 1979; Passer, 1983; Reiney & Cunningham, 1988; Scanlan & Lethwaite 1984).
  • Perasaan ego atau takut dinilai (Fisher & Zwart, 1982; Gould & Weinberg, 1985; Pierce & Stretton, 1981; Rainey & Cunningham).
  • Tahap kemahiran pemain (Heckhausen, 1990; Hembree,1988; Kroll, 1979).
  • Kurangnya persediaan fizikal (Cohn, 1990. Jones, Swain & Cale, 1990)
  • Hilang kawalan (Kroll, 1979), pencapaian lepas (Jones, Swain & Cale, 1990; Martens & Gill 1976; Scanlan, 1978)
  • Gangguan luaran dan konsentrasi (Krane, Joyce & Rafeld, 1994),
  • Umur (Hammermeister & Burton, 1995).

Cara Mengatasi 
  • Pengalaman bertanding dalam sukan (Fenz & Jones, 1972; Gould, Petlichkoff & Weinberg 1984),
  • Fasiliti sosial (Cohn, 1990; Flood & Endler, 1980)
  • Pre-disposition (A trait) (Cooley, 1987; Martens, Vealey & Burton, 1990; Poteet & Weinberg 1980; Scanlan & Passer 1979; Weinberg & Genuchi, 1980; Williams &Krane 1992),
  • Ancaman yang dijangka (Lox, 1992; Martens et al., 1990),
  • Keutamaan hasil /perceived important (Lox, 1992; Martens et al., 1990),
  • Pencapaian semasa (Highlen & Bennet, 1979; McAuley, 1985),
  • Matlamat pertandingan ( contoh tahap kesukaran tugasan) (Jones, Swain, & Cale, 1990),
  • Tahap pertandingan (Dowthaite & Amstrong, 1984; Gruber & Beuchamp, 1979), 

Penyebab
  • Situasi kritikal semasa bertanding.
  • Bertanding dalam situasi yang serba kekurangan ( Cohn, 1990; Marchant, 1992),
  • Persekitaran ( Martens et al.,1990),
  • Jenis sukan (sukan contact, sukan buka contact, individu, berkumpulan, skor objektif, skor subjektif) (Krane & Williams, 1987; Simons & Martens, 1979),
  • Tekanan ibu bapa (Pierce & Stratton, 1981)
  • Stres dalam kehidupan seharian (Scanlan, Stein & Ravizza, 1988) serta jantina (Krane dan Williams, 1994).  
Beberapa kajian yang telah dijalankan sebelum ini telah menunjukkan permasalahan kebimbangan banyak memberikan kesan yang negatif kepada individu. 

Antaranya adalah dengan tahap kebimbangan yang tinggi akan menurunkan pencapaian, mengubah perangai dan sikap. 

Permasalahan ini amat berat jika difikirkan kerana ia akan memberikan kesan berat kepada pencapaian individu itu dan yang lebih berat lagi akan menjejaskan peluang untuk berjaya.

Kebimbangan adalah pengalaman dan dilaporkan berlaku kepada semua atlit tanpa mengira usia dan tahap kemahiran. 

Pengalaman dan kemahiran atlit dilaporkan dari sikap yang berbeza dan banyak menghala kepada bagaimana pengalaman mereka menghadapi kebimbangan. 

Kesungguhan dan kesan kepada prestasi kebimbangan kemungkinan berkaitan kepada tafsiran seseorang individu.

Natijahnya kebimbangan boleh ditakrifkan sebagai kesan kognitif atau emosi yang terhasil dari persepsi terhadap situasi yang dihadapi, yang dilahirkan dalam bentuk ancaman yang bakal diterima oleh seseorang individu seperti kekalahan, ugutan fizikal, rasa malu dan sebagainya.

Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...