- Kecederaan adalah kecederaan ligamen lutut ACL.
- Berbeza dengan kecederaan lain,
umpamanya seperti kederaan ligamen buku lali (ankle) yang biasanya boleh
sembuh dengan sendiri, ligamen ACL yang tercedera akan terkoyak dan terputus
seperti tali guni dan tidak dapat sembuh dengan sendiri.
- Tanpa ACL lutut akan mudah
terkehel atau terpelecok dengan sendiri dan anda mungkin akan terjatuh secara
tiba-tiba disebabkan ketidakstabilan sendi lutut. Tanpa ligamen ini aktiviti
harian biasa yang tidak lasak seperti berjalan dan menaiki tangga atau
sembahyang masih boleh dilakukan.
- Sebaliknya aktiviti seperti
bermain bolasepak, bola keranjang, sepak takraw, bola jaring, berjalan di
atas permukaan licin dan berlopak menjadi lebih sukar. Ini kerana pesakit
perlu lebih berhati – hati agar lutut tidak beralih secara tiba – tiba.
- Ia
diibaratkan membawa kereta dengan tali keledar yang telah putus
atau rosak, sungguhpun kereta masih boleh dipandu tetapi risiko kecederaan
jika berlakunya kemalangan amat tinggi.
Kenapa Berlaku?
- Terpijak di dalam
lopak.
- Melakukan larian pintasan
(berlari dengan laju sambil menukar arah dengan tiba – tiba cutting).
- Memusingkan badan sambil kaki
terpasak ke tanah, lutut akan terpusing dan terpelecok.
- Jatuh dan kaki terlipat mengakibatkan seluruh beban badan akan
tertumpu pada ligamen sehingga menyebabkan koyak sehingga pesakit merasakan
lutut terkeluar ketika kecederaan berlaku.
Tanda-tanda
- Selalunya akan kedengaran
bunyi seperti letupan atau meletus pada lutut atau bunyi ‘pop’ dari lutut
yang berkenaan. Seterusnya akan terasa
kesakitan yang amat sangat dan lutut akan membengkak dengan agak mendadak.
- Tidak dapat meneruskan
permainannya walaupun cuba memaksa dirinya untuk bermain semula pada waktu
itu.
- Berasa kesakitan dan ia
mungkin akan berkurangan dan bila digunakan semula kaki untuk berjalan atau
berlari akan terasa lutut dalam keadaan longgar seolah-olah seperti
akan tercabut.
- Kelihatan otot di kawasan
atas lutut dan paha mengecil berbanding lutut yang normal dan ini dianggarkan
berlaku dalam tempoh seminggu selepas kecederaan.
- Tanda – tanda yang memerlukan
pembedahan segera adalah lutut terkunci yang mana lutut tidak dapat
digerakkan sama ada untuk diluruskan atau dibengkokkan, terasa seolah-olah
tersangkut.Tanda – tanda lain
termasuklah lutut terasa longgar seperti akan tercabut, kesukaran membengkok
atau meluruskan lutut sepenuhnya.
Simptom
- Kesakitan yang berkala dan
ketidakselesaan pada lutut.
Cara Mengurangkan Kecederaan ACLC
- Secara asasnya mengurangkan diri
dari tercedera dalam aktiviti sukan melibatkan disiplin sebelum, semasa,
dan, selepas permainan.
- Keadaan otot yang kuat dan sesi
meregangkan otot sebelum bermain adalah sangat penting bagi menjamin kekuatan
otot sepanjang permainan.
- Ketika bersukan, tackle keras haruslah dielakkan sama sekali.
- Latihan rapi sangat penting untuk mempelajari teknik – teknik yang betul untuk
melompat dan mendarat untuk mengelakkan daripada mengalami kecederaan
ligamen krusiat.
- Cooling down penting bagi memastikan perjalanan darah dan oksigen mengalir ke otot – otot serta keregangan dan penguncupan otot dapat berlaku secara beransur-ansur.
Jika Tidak Dirawat
- Setelah beberapa tahun,
kekerapan dan kesenangan lutut terpelecok berlaku dengan bertambah kerap
menyebabkan ia bengkak dan kesakitan menjadi kronik. Pada waktu ini, pemain
tidak dapat bermain lagi, tidak dapat berjalan jauh, berdiri lama, menaiki
tangga, dan sembahyang dalam keadaan yang normal kerana lutut sakit, bengkak,
dan pergerakan terjejas.
- Berat badan mula meningkat
kerana susah hendak bersenam. Ini menimbul kesan pada lutut kerana terpaksa
memikul beban yang lebih serta masalah kesihatan yang lain akibat kegemukan
yang mungkin timbul.
Rawatan
- Bagi pemain yang disyaki
mengalami kecederaan ACL, ianya hendaklah dikeluarkan segera dari permainan
dan tuamkan ais ke atas lutut yang tercedera dan bahagian kaki ditinggikan
untuk mengurangkan bengkak yang berterusan.
- Balutan sementara boleh
digunakan dan tidak terlalu ketat dan anduh atau tongkat boleh digunakan bagi
memudahkan pesakit berjalan semula.
- Sekiranya bengkak keterlaluan,
pembedahan kecil mengeluarkan cecair atau darah dari lutut adalah perlu untuk
mengurangkan kesakitan dan kerosakan berterusan kepada lutut berkenaan selain
perbaiki pergerakan lutut.
- Penggunaan ais boleh diteruskan
dalam selam masa yang sesuai dan pendakap lutut boleh digunakan bagi
memberikan kestabilan sementara kepada lutut. Penggunaan ais dan pendakap
adalah sekurang – kurangnya selama enam minggu.
- Dalam masa yang sama otot –
otot paha hendaklah dikuatkan melalui fisioterapi dan julat pergerakan lutut
diperbaiki untuk mengelakkan ketegangan pada lutut.
- Pembedahan rekonstruksi ligamen
ACL secara artroskopik menggunakan ligamen autocantuman atau autograft (Arthroscopic
ACL Reconstruction). Pembedahan ini lazimnya akan memakan masa satu hingga
satu setengah jam melibatkan rekonstruksi atau pembinaan semula gantian
kepada ACL menggunakan ligamen autograft atau ligamen lain sekitar lutut
pesakit.
- Ligamen-ligamen yang paling
lazim digunakan adalah ligamen patela (tempurung lutut) bersama – sama tulang
atau ligamen hamstring (otot belakang paha) tanpa tulang. Rekonstruksi boleh
dilakukan secara satu urat atau dua urat dan kesesuaiannya adalah bergantung
kepada tahap kecederaan pesakit dan faktor – faktor tertentu.
Pemulihan Preioperatif Rekonstruksi ACL
- Pesakit perlu memahami bahawa
dalam pemulihan kecederaan lutut, pesakit memerlukan bukan sahaja pembedahan
yang berjaya malah program pemulihan juga adalah penting dalam memberikan
keputusan yang baik.
- Dalam program pemulihan,
interaksi pesakit, doktor dan ahli fisioterapi adalah penting untuk
mendapatkan hasil yang sempurna.
- Program pemulihan yang
dijelaskan di bawah adalah yang dilakukan bagi kecederaan ACL, melibatkan
empat fasa.
- Program pemulihan mungkin
berbeza di hospital – hospital lain dan turut bergantung kepada teknik
pembedahan yang digunakan oleh doktor merawat.
- Kerjasama pesakit dalam
menjalani rawatan intensif fisioterapi semasa pemulihan adalah penting dan
ini akan mempengaruhi pemulihan pesakit.
- Sebelum pembedahan pembinaan
semula ACL, selalunya doktor pakar yang merawat akan mengenal pasti tahap
kerjasama yang ditunjukkan oleh pesakit dalam menjalani pemulihan awal.
- Pesakit yang menunjukkan
komitmen yang tinggi semasa program rehabilitasi akan dipilih untuk menjalani
pembedahan.
- Ini adalah kerana kejayaan
pembedahan ini untuk memulihkan kembali lutut yang tercedera bukan hanya
bergantung kepada teknik pembedahan malah turut bergantung kepada komitmen
pesakit semasa menjalani rehabilitasi selepas pembedahan.
4 Fasa Pemulihan
- Kaedah pembedahan pembinaan
semula ACL, BTB teknik single bundle atau hamstring teknik double bundle
digunakan untuk merawat pesakit.
- Program yang dijelaskan di
bawah adalah untuk pesakit yang menjalani kaedah pembedahan seperti di atas.
- Sebelum Pembedahan
- Program pemulihan bertujuan
untuk mengurangkan bengkak, mendapatkan pergerakan penuh sendi lutut dan
menguatkan otot yang berada di sekitar sendi lutut terutama otot paha
(kuadriseps).
- Bagi pesakit yang mengalami
kecederaan ACL kali pertama, pembedahan pembinaan semula ACL hanya akan
dilakukan selepas enam minggu untuk mengelakkan lutut daripada mengalami
artrofibrosis (lutut mengeras dan tidak dapat membengkok) jika dilakukan
terlalu awal.
2. Minggu Pertama Selepas
Pembedahan
- Program bertujuan mengurangkan
kesakitan dan bengkak lutut selepas pembedahan disebabkan oleh pendarahan.
Pesakit akan dilatih untuk meluruskan lutut dengan senaman yang sesuai.
- Senaman seperti mengangkat kaki
secara lurus dan kuadriseps statik adalah penting dimulakan awal supaya lutut
tidak akan mengeras dalam keadaan bengkok.
- Senaman tersebut juga membantu
merangsangkan kuadriseps untuk menjadi kuat dan mengembalikan saiz dan
kekuatan asal otot tersebut.
- Dalam fasa ini juga pesakit
akan dilatih untuk membengkokkan lutut secara berperingkat menggunakan
senaman yang sesuai dan peralatan seperti pergerakan pasif berterusan
(continuos passive motion / CPM).
3. Pemulihan Bertumpu
- Fasa ini melibatkan latihan
lutut untuk berada dalam kedudukan lurus, mengawal bengkak lutut,
meningkatkan kedudukan lutut semasa membengkok kepada 130 darjah,
meningkatkan kekuatan kuadriseps kepada 65 peratus kekuatan otot paha sebelah
yang normal dan memulakan aktiviti sukan yang spesifik.
- Pelbagai kaedah senaman dan
peralatan akan diajar dan digunakan oleh ahli fisioterapi bagi mencapai
matlamat di atas.
- Kedua – dua fasa di atas adalah
penting untuk mengelakkan otot paha daripada mengecut dan mendapatkan kembali
pergerakan lutut untuk membengkok.
- Pesakit perlu memberikan
kerjasama yang baik dan mempunyai keazaman yang kuat untuk kembali aktif.
- Sesi fisioterapi adalah penting
supaya sebarang masalah dapat dikenal pasti oleh doktor dengan awal dan
fisioterapi boleh menggunakan kaedah peralatan dan senaman yang sesuai untuk
mengatasi masalah tersebut.
- Pesakit akan dibimbing oleh
fisioterapi supaya melakukan senaman dengan teknik yang betul dan sesuai.
- Selepas rawatan fisioterapi di
hospital, pesakit juga perlu melakukan senaman di rumah mengikut kaedah dan
bilangan ulangan senaman yang diajar.
- Jika teknik yang betul dan
bilangan yang diarahkan dibuat oleh pesakit, peralatan seperti perangsang
otot-otot elektronik tidak diperlukan untuk menguatkan otot.
- Pesakit perlu berbincang dengan
doktor jika masih sukar untuk membengkokkan atau meluruskan lutut walaupun
telah menjalani program pemulihan yang lengkap.
|