Namun sejak
akhir-akhir ini perbincangan mengenainya sudah berubah. Orang ramai kini
bersungut kerana lenguh dan terasa sakit anggota badan selepas bersenam. Mereka
tidak boleh menggerakan tangan selepas latihan menguatkan lengan, mereka sukar
berjalan kerana kaki terasa sakit dan tubuh berasa lesu atau fatig keesokanya
selepas melakukan latihan.
Apakah bersenam
sudah berubah fungsi dan menyakitkan? Atau jurulatih terlalu ghairah untuk
memperolehi hasil yang segera? Sebenarnya bukan kerana kedua-dua faktor itu.
Persoalannya ialah sejauh mana latihan itu memadai dan sejauh mana ia
keterlaluan.
Sebenarnya ia adalah
sesuatu yang membabitkan gaya hidup pada masa kini. Kebanyakan penyakit
menyerang golongan pekerja di pejabat yang tidak banyak bergerak yang boleh
menjadi penyebab sakit jantung, peningkatan kolesterol dan kadar gula dalam
darah bertambah, tekanan darah tinggi dan pelbagai penyakit muskulosketal
(otot).
Latihan yang tidak
mencukupi pula merangkumi jenis senaman, tempoh bersenam, kekerapan intensity,
dan kadar senaman fizikal yang diperlukan untuk melindungi kita daripada
diserang pelbagai penyakit. Persoalannya kini di mana garis panduan
penggunaannya? Pada tahap mana jumlah senaman yang dilakukan menghasilkan
keputusan yang positif dan pada tahap mana pula ia member kesan negatif?
Banyak kajian
menunjukkan peningkatan jumlah kematian di kalangan orang lelaki yang aktif.
Secara teorinya, kemungkinan dos latihan yang keterlaluan boleh meningkatkan
risiko. Mungkin peningkatan tekanan darah semasa melakukan latihan lasak dank
eras boleh memberikan kesan sebaliknya pada arteri yang boleh menyebabkan
kematian mengejut atau kerosakan pada mekanisme lain.
Jumah optimum
aktiviti fizikal berubah mengikut usia, jentina,latar belakang, etnik dan
faktor lain yang memberi risiko seperti sejarah keluarga, keturunan, wabak
penyakit yang kronik dan keadaan persekitaran.
Adalah penting anda
membuat penilaian kecergasan terlebih dahulu sebelum anda memulakan regim latihan
yang keras dan berdisiplin. Penilaian kecergasan yang lengkap adalah meliputi
peratusan lemak dalam badan, ujian kecergasan kardiovaskular, ujian
fleksibiliti, ujian kekuatan bahagian atas badan dan ujian ketahanan abdomen.
Anda perlu melakukan ujian itu sekali lagi selepas menjalani latihan untuk
mengetahui sama ada kesihatan anda meningkat atau tidak. Simpan semua keputusan
ujian dan saring serta bandingkan untuk mengetahui sama ada apa yang anda
lakukan itu betul atau salah.
Dapatkan laporan
kesihatan daripada doktor pakar yang menyatakan anda bebas daripada sebarang
penyakit yang boleh berlaku ketika anda melakukan latihan fizikal yang kadang
kala memerlukan ketahanan. Keputusan ujian ini
membolehkan anda mengawasi dan mengawal kadar latihan yang perlu anda lakukan
dan anda perlu focus kepada latihan yang bersesuaian dengan tahap kemampuan
tubuh anda. Ramai yang melakukan rutin latihan atau mendaftar di gemenasium sebagai
aktiviti sosial atau tempat anda boleh bertemu dan bersembang bersama-sama
rakan taulan.
Ingatlah, bila anda
bersenam, pastikan kenapa anda perlu bersenam dan adakah anda melakukan senaman
dengan teknik yang betul untuk tujuan yang khusus dan sesuai? Bersenam adalah
ubat dan kaedah rawatan, tetapi lakukan dengan teknik yang betul dan berkesan
untuk memperolehi kesan kesihatan yang positif.