Bahan antioksidan dan antikeradangan yang terkandung di dalam
kunyit dipercayai mampu mencegah serangan jantung di kalangan individu yang
baru menjalani pembedahan pemintasan jantung meenurut kajian terkini yang
disiarkan dalam American Journal
Cardiology. Penyelidikan tersebut telah diketuai oleh Wanwarang Wongcharoen
dari Chiang Mai University.
Menurut kajian yang
dijalankan, ketika pembedahan pemintasan dilakukan, otot jantung boleh rosak
akibat kekurangan aliran darah di dalam jangka masa yang panjang. Ini kerana, didapati
pigmen kuning atau curcumin yang terkandung di dalam kunyit berupaya
mengurangkan risiko berlakunya keadaan tersebut.
Kajian tersebut dijalankan di kalangan 121 pesakit yang
menjalani pembedahan pemintasan jantung bukan kecemasan antara 2009 dan 2011.
Separuh pesakit diberi satu gram kapsul curcumin empat kali sehari, bermula
tiga hari sebelum menjalani pembedahan dan berterusan untuk lima hari
berikutnya, manakala separuh lagi tidak diberi herba tersebut.
Penyelidik mendapati, selepas pembedahan tersebut, hanya 13%
pesakit yang mengambil curcumin diserang sakit jantung, berbanding 30% pesakit
yang tidak diberikan bahan tersebut. Dari keputusan tersebut, pasukan penyelidik
telah menyimpulkan bahawa pesakit yang diberikan curcumin mempunyai 65% risiko
kurang diserang sakit jantung.
Bahan antioksidan dan antikeradangan yang terkandung di dalam
curcumin dipercayai membantu mengurangkan kerosakan jantung pesakit. Namun
menurut penyelidik, kesimpulan tersebut dibuat berdasarkan satu kajian kecil
dan penyelidikan mendalam perlu dilakukan bagi membuktikannya.