Disclaimer

MatriXwoo2 does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.

Khamis, 10 Oktober 2013

Pengurusan Pendidikan Luar




Pendidikan Luar merangkumi pelbagai tujuan dan amalan yang dapat memperkayakan  dan memperkukuhkan pengalaman pendidikan formal dengan melihat alam semulajadi sebagai ‘makmal hidup’. Pemanfaatan persekitaran dan alam semulajadi sebagai tempat pembelajaran secara terus akan menajamkan kepekaan individu apabila pengetahuan yang diperolehi melibatkan deria. Dalam hal ini Pendidikan Luar mengutamakan aspek penaakulan oleh individu dan perlakuan motor yang melibatkan semua deria umpamanya dalam mengenal alam flora dan fauna.  Pendekatan pendidikan luar banyak tertumpu kepada kaedah penemuan, eksperimen dan kajian lapangan. Penekanan pembelajaran dalam pendidikan luar menggalakkan pelajar memperolehi pengalaman melalui sesuatu yang dilakukan sendiri.

Pendidikan Luar merupakan salah satu daripada pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang amat menarik dan berkesan dilaksanakan elektif dan bijaksana. Pendekatan, pemeringkatan, pengolahan dan pengisian aktiviti secara teori dan praktikal akan membantu pelajar meneroka pengetahuan dan pengalaman baru.



Knap (1981) menyatakan “Pendidikan Luar sebagai alat untuk mencapai matlamat dan objektif organisasi” Apa yang dimaksudkan dari pernyataan tersebut adalah pendidikan luar boleh dijadikan satu kaedah untuk mengorientasikan individu atau kumpulan berdasarkan falsafah, pelaziman dan pengukuhan pembelajaran.


Hammerman ( 1985 ), pula menyatakan “ Pendidikan Luar sebagai landasan untuk mengenalpasti pengalaman yang boleh dipraktikkan dalam situasi harian” Pendidikan luar adalah sebagai salah satu sub disiplin ilmu dalam pendidikan. Kemahiran-kemahiran ikhtiar hidup seperti berenang, memanjat, mendaki, menyelesaikan masalah dan tekanan banyak dipelajari dalam pendidikan luar.



Ford ( 1981 ), menegaskan “Pendidikan Luar sebagai program yang meliputi penggunaan persekitaran semulajadi bagi tujuan mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran dalam kurikulum yang sedia ada” Ini merangkumi perkembangan penegetahuan, kematangan san sikap. Khususnya dalam penggunaan waktu senggang.


Falsafah Pendidikan Kebangsaan menegaskan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Oleh yang demikian Program Pendidikan Luar dapat dijadikan media untuk memurnikan hasrat berkenaan.



Pendidikan Luar merangkumi pelbagai tujuan dan amalan yang dapat memperkayakan  dan memperkukuhkan pengalaman pendidikan formal dengan melihat alam semulajadi sebagai ‘makmal hidup’. Pemanfaatan persekitaran dan alam semulajadi sebagai tempat pembelajaran secara terus akan menajamkan kepekaan individu apabila pengetahuan yang diperolehi melibatkan deria. Dalam hal ini Pendidikan Luar mengutamakan aspek penaakulan oleh individu dan perlakuan motor yang melibatkan semua deria umpamanya dalam mengenal alam flora dan fauna.



Pendekatan pendidikan luar banyak tertumpu kepada kaedah penemuan, eksperimen dan kajian lapangan. Penekanan pembelajaran dalam pendidikan luar menggalakkan pelajar memperolehi pengalaman melalui sesuatu yang dilakukan sendiri. Konsep pendekatan yang sedemikian diamalkan kerana pegangan falsafah pendidikan luar yang mempercayai bahawa adalah sukar mengajar seseorang itu belajar tetapi lebih mudah menolong seseorang itu belajar.


Disamping itu  ianya juga adalah satu proses pembelajaran secara langsung (learning by doing so). Ilmu, pengetahuan dan pengalaman diperolehi dengan konsep ‘hands on’ / ‘first hand experience’. Pendedahan kepada kedua-dua konsep ini secara tidak langsung akan melahirkan seorang individu yang sempurna dimana segala aspek yang diberi penekanan iaitu fizikal, mental, emosi, sosial dan rohani dapat dimantapkan.


Dengan melibatkan diri kepada corak pendidikan seperti ini potensi individu akan dapat dikembangkan secara menyeluruh. Individu dapat meningkatkan tahap kreativitinya dengan menggabungjalin dan menggembelingkan segala ilmu pengetahuan dan fakta-fakta yang diperolehinya bagi mencetuskana satu corak pemikiran kreatif.


Jenis-jenis pendidikan luar boleh dikategorikan kepada aktiviti yang  berorientasikan:
  1. Aktiviti air  :  jenis-jenis aktiviti yang dilaksanakan di atas air yang merupakan sungai, tasik dan laut seperti aktiviti keselamatan di air, snorkeling, berkayak, berakit dll.
  2. Aktiviti darat  : jenis-jenis aktiviti yang dilaksanakan di hutan dan di gunung seperti perkhemahan, abseiling, treking, mendaki, ‘orienteering’ dan lain-lain..



Alam semulajadi merupakan sebuah makmal hidup yang kaya dengan sumber pendidikan. Pendekatan pendidikan luar banyak tertumpu kepada kaedah penemuan, eksperimen dan kajian lapangan. Alam luar digunakan bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran kurikulum untuk mengembangkan pengetahuan, kemahiran dan sikap. Pendidikan Luar sebagai landasan untuk mengenalpasti pengalaman yang boleh dipraktikkan dalam situasi harian. Pendidikan Luar sebagai program yang meliputi penggunaan persekitaran semulajadi bagi tujuan mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran dalam kurikulum yang sedia ada.




Pengelolaan dan Pengurusan 
Perkhemahan adalah salah satu aktiviti pendidikan luar yang sering dilaksanakan untuk memenuhi masa lapang bagi merehatkan fikiran.  Di samping perkhemahan, pelbagai aktiviti yang terancang boleh dilakukan semasa perkhemahan.  Dalam menjayakan aktiviti pendidikan luar yang efisyen, jawatankuasa perlu dibentuk bagi menjalankan program yang dirancang. 


Antara jawatankuasa yang perlu dilantik ialah urusetia, penyelaras aktiviti, alatan, pengangkutan, keselamatan dan makanan. Program pendidikan luar yang dirancang dengan rapi boleh meberi kesan yang positif kepada mereka yang terlibat seperti lebih yakin, berdikari, bertanggungjawab setelah mengikuti program perkhemahan.


  
Pengelolaan dan pengurusan Pendidikan Luar di matrikulasi/IPG/sekolah 
Pengelolaan dan pengurusan program pendidikan luar boleh dikategorikan kepada tiga fasa iaitu :
  • Pra-Pelaksanaan 

Sebelum menjalankan sebarang aktiviti pendidikan luar yang terancang  ada beberapa perkara utama yang perlu dilaksanakan dalam proses pra pelaksanaan. Antaranya adalah :
  1. Perlantikan ahli jawatankuasa Induk dan ahli jawatankuasa kerja.Mengenalpasti personel ( jurulatih dan fasilitator ).
  2. Menyedia dan memeriksa alatan.
  3. Memeriksa dan mengenal persekitaran lokasi dan tempat.
  4. Pelan alternatif.
  5. Memaklumkan kepada pihak yang terlibat.
  6. Surat kebenaran.
  7. Mesyuarat pra-pelaksanaan.
  8. Pendaftaran peserta.
  9. Taklimat Program.



  • Semasa Pelaksanaan 

Fasa ini merupakan langkah pelaksanaan tahap kedua sebelum bermulanya aktivti. Tahap ini perlu diambilkira kerana di fasa ini penyampaian ilmu bermula, diperkaya, dipraktik dan diperkukuhkan. Fasa ini adalah kemuncak pelaksanaan aktiviti. Jika sekiranya persiapan tidak mantap atau tidak mempunyai perancangan yang terstruktur ianya akan menjejaskan pelaksanaan.



Frederik Taylor telah menggariskan tiga prinsip pelaksanaan iaitu :
  1. Penentuan kerja, pengagihan tugas da peranan setiap ahli. Setiap individu harus tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing semasa melaksanakan aktiviti.
  2. Pengkhususan kerja, mengkhususkan individu mengikut kepakaran dan kebolehan. Ini oleh membantu kelancaran kerja. Bagi melancarkan tugasan adalah lebih baik jika individu  diberikan tugasan dengan mengutamakan kebolehan dan minat.
  3. Perancangan dan penjadualan yang rapi, pelaksanaan akan menjadi lebih sistematik dan terarah.



       Mengikut Thorndike, individu dipastikan sudah dalam keadaan besedia sebelum pembelajaran bermula. Persediaan mental dan fizikal memainkan peranan penting dalam proses pengajaran individu. Kecergasan fizikal untuk menghadapi kegiatan  aktiviti yang dirancang akan membawa penghayatan, penglibatan optima dan pencapaian kendiri. Kecergasan juga membantu kepada pengurangan berlakunya kemalangan. Kurang kecergasan akan menyebabkan seseorang cepat lesu dan daya tumpuan akan menurun.


Perancangan dan penjadualan yang rapi harus dibuat berasaskan kebolehan individu. Jika program yang dirancang tanpa mengambilkira kriteria dan kehendak serta keperluan individu akan mengundang kegagalan dan seterusnya menimbulkan konflik serta persoalan yang panjang.


             Fayol berpendapat personel mesti melaksanakan lima kriteria semasa pelaksanaan aktiviti iaitu : 
  1. autoriti
  2. disiplin
  3. penghargaan
  4. pemusatan
  5. kekitaan


Autoriti adalah sebagai hak memberi arahan dan kuasa untuk menarik seseorang menurut arahan. Ketua kumpulan dilantik dan di amanahkan membantu personel dan memimpin kumpulan bagi menjalankan tugas. Asas disiplin ialah menurut arahan dan prosedur serta menghomati persetujuan yang telah dibuat. Kerjasama, sokongan, ketaatan, tindakbalas  positif oleh individu hendaklah dihargai. Penghargaan dalam bentuk pengukuhan patut dibuat. Ini akan memberi motivasi intrinsik kepada individu yang akan memberi rangsangan kepada perlakuan atau pencapaian yang baik. Sistem pemarkahan atau merit akan memangkinkan penghasilan norma dan nilai kumpulan atau individu. Dendaan bolehlah dilaksanakan tetapi haruslah berbentuk pengajaran dan bukannya hukuman.


Walaupun personel bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kumpulan tetapi ahli kumpulan harusnya diberikan kuasa dalam melaksanakan tugas dengan efektif. Individu digalakkan berfkiran kreatif, menyoal dan diberikan peluang untuk mengemukakan pendapat. Pemusatan yang sebegini akan dapat membantu perjalanan aktiviti mengikut prosedur dan teknik yang selamat.

Potensi diri pelajar hendaklah dicungkil, diasah dan diketengahkan. Galakkan mereka aktif, kreatif, inovatif dan proaktif semasa melakukan aktiviti dan tugasan dikalangan ahli bertujuan boleh mewujudkan perpaduan dan keteguhan organisasi keharmonian. Semangat kerjasama dan kerja bersama-sama  akan mengukuhkan lagi semangat kekitaan dalam pasukan.


Kesimpulannya fasa ini dapat dirumuskan sebagai fasa yang sangat panjang dan penting. Kelancaran fasa ini melambangkan keberkesanan aktiviti untuk mencapai objektif. Personel bertindak sebagai pembimbing, penasihat, rakan, penyampai maklmat dan penjana kualiti diri individu. Dengan itu penggembelingan pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kepakaran personel amat penting bagi menjayakan sesuatu program.


  •  Pasca Pelaksanaan 


Antara perkara yang perlu diambilkia dalam fasa ini adalah :

- Pemulangan dan pengumpulan peralatan yang digunakan
Segala peralatan yang telah digunakan hendaklah dipulangkan dan dikumpulkan ditempat yang telah ditetapkan.


- Gerakendur ( ‘cooling down’ )
Setiap aktiviti bagi setiap kumpulan yang terlibat haruslah menjalankan      aktiviti gerak kendur ( cooling down ) bertujuan untuk memastikan semua otot-otot besar dan kecil yang terlibat  dengan aktiviti kembali ke keadaan relaksasi.

- Pemeriksaan ahli / bilangan
Selepas berakhirnya sesuatu aktiviti jurulatih atau fasilitator yang bertanggungjawab haruslah memastikan jumlah dan bilangan peserta yang menyertainya haruslah sama jumlahnya dengan sebelum aktiviti bermula.  Sebarang kecederaan samada serius ataupun kecil haruslah dilaporkan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

  
- Maklumbalas keadaan dan kesihatan peserta
Sebelum melaksanakan sesuatu aktiviti setiap peserta haruslah berkeadaan sihat dan bersedia untuk melakukan aktiviti. Jika sekiranya tidak sihat haruslah memaklumkan kepada Jurulatih atau fasilitator tidak kira samada ianya kecederaan ringan atau berat.


- Pengisian oleh Jurulatih / fasilitator
Semua jurulatih dan fasilitator yang terlibat dalam sesuatu program haruslah mahir dan mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang tinggi. Ini bertujuan supaya segala pengisian yang diberikan pada setiap kumpulan adalah sama dan standard.


- Syor dan cadangan
Setelah menjalankan sesuatu aktiviti dicadangkan supaya diadakan suatu sesi untuk mendapatkan maklumbalas tentang segala kebaikan dan kelemahan dalam pengendalian dan pelaksanaan aktiviti oleh sesuatu kumpulan. Ianya bertujuan supaya dapat mengolah segala kekuatan dan kelemahan dalam melakukan dan pelaksanaan aktiviti.  Syor dan cadangan yang bernas diambilkira  dan diperbincangkan bersama. Aspek kelemahan di atasi sementara aspek kekuatan dikekalkan atau dipertingkatkan.


- Senggaraan dan penyimpanan peralatan             
Semasa sesuatu aktiviti dijalankan keperluan kemudahan, peralatan dan lokasi perlu dikemas dan dikenalpasti. Pengemasan perlatan perlu dilaksanakan sebaik sahaja aktiviti selesai.  Peralatan yang dikemaskan perlu diteliti supaya ianya mencukupi, bersih dan dalam keadaan yang baik seperti sebelum digunakan.



Peralatan yang mudah rosak atau sensitif perlu dipastikan keadaaan semasa pengemasan. Berpandukan senarai semak, peralatan yang rosak perlu diasingkan bagi tujuan pembaikpulihan. Semua peralatan yang dibawa dan digunakan haruslah dipastikan supaya tidak tercicir atau tertinggal di lokasi aktiviti bertujuan untuk meminimakan kecuaian.



Penyimpanan alat-alat dalam setor perlu diklasifikasikan dan dipastikan tersusun mengikut kelompok dan kumpulannya atau kategori yang ditentukan dengan merujuk sistem penstoran yang ditetapkan. Penggunaan rak-rak yang dilabelkan adalah dicadangkan bagi tujuan pengendalian keluar masuk alatan dari aspek pengurusan.



- Pengiktirafan
Pengiktirafan dalam setiap aktiviti dan program amat perlu kepada peserta dan juga jurulatih. Sekiranya dalam sesuatu program itu mempunyai penilaian tahap atau kemahiran yang tinggi dan meliputi ujian-ujian yang perlu dilalui oleh peserta maka satu pengiktirafan perlu diberikan sebagai satu bukti pencapaian. Ianya boleh dilaksanakan dengan penganugerahan pangkat atau sijil sebagai media memperakui kejayaan.



Dengan pengiktirafan melalui sijil atau penganugerahan pangkat akan dapat memberikan motivasi dan galakan untuk jurulatih menyertai dan melaksanakan program pada masa akan datang.



Penilaian 
Setelah menjalankan aktiviti penilaian dilaksanakan bertujuan untuk memperbaiki reka bentuk aktiviti dan program, mengetahui tahap pencapaian matlamat dan objektif program, memperbaiki teknik dan kaedah pelaksanaan aktiviti dan program, mempertingkatkan penggunaan ilmu dan kemahiran dikuasai oleh individu setelah tamat program.



Penilaian boleh dijalankan melalui beberapa bentuk seperti ujian bertulis, soalan-soalan semasa perbincangan lisan atau menjawab soalan melalui soal-selidik. Penilaian boleh dijalankan secara formatif atau sumatif. Antara komponen penilaian yang difokuskan adalah:

Kesihatan dan kecerdasan keseluruhan
Aktiviti yang dicadangkan atau dijalankan adakah bertujuan untuk meningkatkan kesihatan yang meliputi mental, fizikal, emosi dan sosial secara intra ataupun inter-personal. Proses peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan keseluruhan berhubung rapat dengan setiap aktiviti. Melalui pendedahan dan keberadaan dalam suasana sebenar dikelilingi alam semulajadi dan persekitaran yang nyaman secara otomatis dapat meningkatkan kesihatan dan kecergasan keseluruhan.



Hubungkait dengan akademik
Penglibatan secara langsung dalam setiap aktiviti memberi peluang untuk memperkembangkan dan mengaplikasikan segala ilmu, pengetahuan dan pengalaman lampau. Ini memberi peluang kepada individu untuk mencuba dan meneroka serta menggabungjalin semua ilmu, pengetahuan dan pengalaman merentasi kurikulum sebagaimana aspirasi negara.


           
Matlamat dan objektif
Sejauh mana pencapaian matlamat dan objektif dapat diketahui melalui tahap pencapaiannya. Sekiranya tidak tercapai punca dan penyebabnya akan dikenalpasti bertujuan untuk mencari penyelesaiannya.


Pos-mortem 
Pos-mortem perlu dibuat bagi tujuan mengenalpasti kelemahan, kekurangan dan kelebihan yang telah dilaksanakan. Dua cara pengendalian pos-mortem disyorkan adalah :

  1. Menerusi borang penilaian peserta, maklumbalas dan soal selidik yang dibuat secara bertulis atau lisan. 
  2. Menerusi mesyuarat yang diadakan bersama jawatankuasa pengelola, urusetia dan jurulatih terlibat.

Melalui proses pos-mortem tersebut pengelola akan dapat mengenalpasti kelemahan yang perlu di atasi, kelebihan yang perlu dikekalkan dan kebaikan yang perlu dipertingkatkan lagi supaya perancangan dan pelaksanaan akan dapat diperkemaskan lagi.



Dokumen Laporan. 
Pelaporan sesuatu aktiviti atau program perlu dilaksanakan di semua peringkatbagi tujuan memantau pelaksanaan pada masa yang akan datang. Pelaporan haruslah dalam bentuk dokumentasi dan perlu dikemukakan kepada pihak-pihak tertentu yang ada kaitan dengan program seperti pihak kementerian, jabatan, serta penaja yang mempelopori penganjuran.



Ciri-ciri terbaik dalam mendokumentasikan laporan ialah dengan memasukkan perkara-perkara berikut : 
  1. pendahuluan
  2. tarikh, hari , masa dan  lokasi
  3. bilangan penyertaan
  4. prosedur dan jadual kerja / aktiviti
  5. senarai jawatankuasa
  6. laporan  aktiviti yang dilaksanakan
  7. laporan kewangan
  8. laporan jawatankuasa kerja / jawatankuasa kecil
  9. laporan maklumbalas atau penilaian keseluruhan
  10. masalah / pandangan / cadangan mengatasi
  11. penutup

  


Rumusan         
  1.  Program pendidikan luar adalah satu aktiviti yang terancang
  2.  Terdapat tiga peringkat utama dalam mengendalikan aktiviti program pendidikan luar iaitu perancangan sebelum, semasa dan selepas perkhemahan. 
  3.  Jawatankuasa aktiviti perkhemahan perlu menyediakan perancangan aktiviti yang sesuai.
  4.  Untuk tujuan keselamatan, semua arahan, peraturan dan langkah-langkah keselamatan harus dipatuhi oleh peserta perkhemahan.
  5.  Program-program pendidikan luar yang dirancang dapat memberikan kesan yang positif kepada mereka yang terlibat seperti lebih yakin, berdikari, dan bertanggungjawab setelah mengikuti program perkhemahan.




Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...