Rasa letih
lesu, sakit kepala dan bibir yang kering, ini semua adalah simptom dehidrasi
biasa yang akan hilang sebaik sahaja kandungan cecair dalam badan anda sudah
kembali stabil.
Tetapi apabila
bercakap mengenai senaman, dehidrasi ringan pun sudah cukup memberikan impak
negatif.
Bagaimanakah
dehidrasi mempengaruhi kualiti senaman anda?
Sel tubuh
memerlukan air untuk menghasilkan tenaga.
Adenosina
trifosfat (ATP) merupakan sumber tenaga asas yang penting bagi membolehkan otot
tubuh berfungsi dengan sempurna.
Ketika sesi workout, tubuh akan
menukarkan nutrien seperti karbohidrat dan lemak kepada ATP melalui proses
anarobik (tanpa oksigen) dan aerobik (dengan oksigen).
Walau bagaimanapun, sel
tubuh hanya boleh menyimpan ATP dalam jumlah yang sedikit sahaja.
Jadi, proses
ini akan sentiasa berterusan kerana tubuh kita sentiasa bergerak.
Walaupun apa
sahaja yang kita makan akan diuraikan dan ditukarkan kepada ATP, proses ini
tidak boleh berlaku tanpa kehadiran air.
Salah satu sistem penting yang
menghasilkan ATP ialah citric acid cycle atau Kreb’s cycle.
Apabila
tubuh ternyahhidrat, Kreb’s cycle tidak dapat berfungsi dengan baik bagi
menghasilkan tenaga.
Sebab itulah kita akan rasa letih dan lesu dengan cepat
apabila kekurangan air.
Kandungan
cecair dalam tubuh yang tidak mencukupi menyebabkan jantung terpaksa berkerja
lebih keras untuk mengepam darah.
Jantung
mengepam sejumlah isipadu darah ke seluruh tubuh pada satu-satu masa.
Oleh itu,
kita memerlukan kandungan cecair yang cukup bagi mengekalkan isipadu darah yang
mencukupi.
Jadi, apabila kandungan cecair tidak cukup, maka isipadu darah juga akan
berkurangan.
Akibatnya, jantung terpaksa mengepam darah dengan lebih laju agar
dapat menyalurkan jumlah isipadu darah yang sama ke seluruh tubuh.
Apabila hal
ini berlaku, pergerakan yang ringan pun sudah cukup membuatkan anda
termengah-mengah.
Dehidrasi
juga akan mengganggu pengawalan suhu badan.
Ketika
bersenam, kulit, otot dan jantung akan ‘berebut’ untuk mendapatkan cecair yang
mencukupi bagi mengekalkan fungsi tubuh yang baik.
Apabila anda ternyahidrat
dan isipadu darah berkurangan, ia tidak dapat memenuhi kesemua keperluan
tersebut dan hal ini bermakna mekanisme penyejukan badan juga akan terganggu.
Sekiranya
anda bersenam di dalam persekitaran yang dingin, hal ini mungkin tidak membawa
masalah.
Tetapi apabila melakukan senaman berintensiti tinggi, lebih-lebih lagi
dalam persekitaran yang panas, impak dehidrasi akan menjadi lebih ketara.
Bayangkan keadaan di mana tubuh kita perlu menghasilkan peluh yang lebih banyak
tetapi kandungan air tidak cukup?
Apabila keperluan air semakin mendesak, tubuh
kita secara automatiknya akan mengutamakan keperluan jantung terlebih dahulu.
Jadi penghasilan peluh akan berkurangan. Namun apakah yang akan terjadi
sekiranya sesi senaman tetap diteruskan dalam keadaan sedemikian?
Tubuh akan
mengalami overheating dan seterusnya terdedah kepada risiko strok
haba.
Justeru itu,
sebaik-baiknya minum air secukupnya sebelum memulakan sesi senaman dan pastikan
anda membawa bekalan air juga.
Hal ini kerana tubuh akan sentiasa kehilangan
air melalui proses pernafasan, berpeluh dan penghadaman.
Oleh itu, mengekalkan
tahap hidrasi adalah sangat penting bagi memastikan kelancaran sistem tubuh
yang sempurna.