Apakah yang dimaksudkan dengan kebangkitan? Banyak definisi yang diutarakan oleh pakar psikologi sukan untuk menjelaskan tentang kebangkitan. Menurut Cox (1998), kebangkitan dapat didefinisikan sebagai tahap kesediaan fisiologi yang berada dalam satu kontinum dari tidur yang lena sehingga kepada keseronokan yang terlampau. Cratty (1989), mendefinisikan kebangkitan sebagai kesediaan untuk beraksi secara fizikal, intelektual atau perseptual. LeUnes dan Nation (1989) mentakrifkan kebangkitan pula, merujuk kepada aktivasi psikologi individu. Manakala Wann (1997), mendefinisikan kebangkitan sebagai tahap kesediaan fisiologi untuk beraksi secara fizikal, intelektual atau perseptual yang tidak dipengaruhi oleh emosi.
Berdasarkan definisi yang diutarakan di atas, terdapat persamaan yang nyata tentang kebangkitan. Ia merujuk kepada tahap kesediaan seseorang individu dalam menghadapi stimulus yang terdapat di persekitaran. Menurut Wann (1997), kebangkitan sebenarnya bersifat neutral, sementara kesannya sama ada positof atau negatif bergantung kepada tafsiran individu terbabit. Untuk memudahkan pemahaman kita tentang kebangkitan, ia didefinisikan sebagai tahap kesediaan fisiologi individu untuk bertindak secara fizikal mahupun mental.
Kebimbangan (Anxiety)
Apakah pula yang dimaksudkan dengan kebimbangan? Menurut Wann (1997), kebimbangan ialah sesuatu yang negatif dan boleh mempengaruhi pencapaian atlit dalam sukan. Ia merujuk kepada tafsiran kognitif yang dibuat oleh individu terhadap apa yang terdapat di persekitarannya. Jika tafsiran tesebut menjurus kepada sesuatu yang mendatangkan kesan negatif, maka ia menghasilkan kebimbangan.
Apabila memperkatakan kebimbangan di kalangan atlit maka perlu dijelaskan mengenai kebimbangan tret dan kebimbangan seketika. Berdasarkan kepada Silva dan Stevens (2002) kebimbangan tret adalah merujuk kepada personaliti seseorang individu di mana ia bersifat stabil dan mereka sering mentafsirkan situasi persekitaran dengan perasaan risau atau bimbang yang boleh meningkatkan tahap kebangkitan (arousal). Ini menunjukkan kebanyakan masyarakat mempunyai tahap kebimbangan tret yang sederhana dan sedikit sahaja yang tinggi atau rendah tahap kebimbangan tret. Manakala kebimbangan seketika merujuk kepada tahap kebimbangan semasa yang terhasil dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitaran pada waktu itu (Shaharudin 2001).
Jenis-jenis Kebimbingan (Anxiety)
Kebimbangan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya Kebimbangan Seketika (State Anxiety), Kebimbangan Tret (Trait Anxiety), Kebimbangan Kognitif ( Cognitive Anxiety) dan Kebimbangan Somatik (Somatic Anxiety).
Kebimbangan Seketika (State Anxiety) adalah tahap kebimbangan semasa yang terhasil atau berlaku dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitarannya pada waktu itu seperti perasaan khuatir/bimbang, takut, tekanan dan kebangkitan fisiologikal.
Kebimbangan Tret (Trait Anxiety) merujuk kepada ciri-ciri personaliti individu yang sering mentafsir situasi di persekitaran mereka sebagai menekan atau menggugat diri dan situasi ini akan meningkatkan lagi tahap kebimbangan mereka.
Kebimbangan Kognitif ( Cognitive Anxiety) merupakan proses mental yang bersifat kognitif yang berlaku akibat dari tafsiran terhadap situasi semasa.Sebagai contoh ketakutan terhadap penilaian sosial, takut terhadap kegagalan dan kehilangan harga diri (self esteem).
Kebimbangan Somatik (Somatic Anxiety) pula merujuk kepada aspek fisiologikal dan afektif individu yang terbabit kesan dari kebimbangan kognitif yang wujud dalam diri individu tersebut. Sebagai contoh peningkatan kadar degupan jantung, pernafasan dan ketegangan otot-otot. Ini akan mengakibatkan individu hilang, rasa marah-marah, kurang yakin serta mendatangkan kesan kepada prestasi individu.
Perbandingan kebangkitan dan kebimbangan
Ciri perbezaan antara kebangkitan dan kebimbangan telah dijelaskan dengan sebegitu rupa untuk menerangkan tentang perbezaan antara kedua-duannya, serta untuk mengelakkan salah tafsiran tentang apa yang dimaksudkan dengan kebangkitan dan kebimbangan. Bagaimanapun, untuk menjelaskan tentang teori yang berkaitan dengan kebimbangan, kedua-duanya perlu dilihat dalamm konteks yang sama kerana kebangkitan sering dilihat sebagai hampir sama dengan kebimbangan seketika (Cox, 1998). Dalam bahagian ini, akan diutamakan teori-teori yang menjelaskan tentang perkaitan antara kebangkitan dan kebimbangan dengan prestasi atlet.
Proses Kebangkitan
Secara ringkasnya, kebangkitan berpunca dari tindakan Sistem Saraf Autonomik (SSA). SSA mengawal tindakan automatik serta fungsi luar kawal badan seperti degupan jantung, pernafasan dan tekanan darah. Ia boleh dibahagikan kepada sistem simpatetik dan parasimpatetik. Sistem simpatetik boleh dianggap sebagai pusat kebangkitan, dengan menyediakan badan untuk tindakan flight or flight sementara parasimpatetik pula berfungsi sebagai penenang (menurunkan kebangkitan), Bagi manusia, proses kebangkitan berkait rapat dengan proses homeostasis iaitu proses menstabilkan tahap fisiologi manusia (Wann, 1997).
Setiap individu mempunyai tahap kebangkitannya yang tersendiri (optimum) serta berbeza dengan individu yang lain. Sekiranya aktiviti simpatetik meningkatk, maka tahap kebangkitan seseorang individu juga akan meningkat melebihi tahap optimum. Justeru itu, parasimpatetik bertanggungjawab untuk menurunkan tahap kebangkitan seseorang individu agar kembali kepada tahap asal (hemeostasis).
Tahap Optimum Kebangkitan
Kebangkitan boleh diletakkan dalam satu kontinum yang terdiri dari tidur yang lena sehinggalah kepada keseronokan yang terlampau (Cox, 1998). berdasarkan kajian, organisma hidup sebenarnya mencari satu tahap kebangkitan yang sesuai dan selamat ketika melakukan sesuatu tugasan. Tahap ini dikenali sebagai tahap kebangkitan yang optimum. Keinginan mendapatkan tahap kebangkitan yang optimum ini dikenali sebagai sensoristasis (Schultz, 1965). Menurut Duffy (1957) tahap kebangkitan yang optimum sebenarnya berada dipertengahan iaitu tahap kebangkitan yang tidak terlalu tinggi dan juga tidak terlalu rendah.
Indikator Kebangkitan
Pelbagai cara boleh digunakan untuk mengesan tahap kebangkitan seseorang individu. Antara kaedah yang biasa digunakan dengan mengunakan alat elektrofisiologikal. Bagaimanapun, tidak ada satu cara yang paling tepat untuk mengukur kebangkitan (Cox, 1998; Tenenbaum, 1984). Jesteru itu, kita perlu berhati-hati ketika mengukur dan mengesan tahap kebangkitan individu. Antara cara sesuai digunakan untuk mengesan tahap kebangkitan adalah peningkatan kadar nadi, ketengangan otot, pengeluaran peluh, peningkatan pernafasan, perlakuan yang tidak teratur, percakapan yang terlalu laju serta hilang rentak perlakuan yang biasa.
Stres
Menurut Hans Selye (1982), stres merupakan respons tubuh badan tanpa emosi terhadap bebanan atau tekanan yang dihadapi di persekitaran. Antara bentuk tekanan yang dihadapi adalah tekana fizikal iaitu tekanan yang berpunca dari penglibatan dalam akktiviti, tekanan mental seperti rasa sedih, kecewa dan seronok serta bentuk tekanan yang lain. Apa pun bentuk tekanan yang diterima, reaksi fisiologikalnya tetap sama.
Seperti mana dengan kebangkitan, stres merupakan tindak balas fisiologikal yang neutral terhadap tekanan atau bebanan yang terdapat di persekitaran. Nilai stres sama ada positif atau negatif, sebenarnya bergantung kepada tafsiran yang dibuat oleh individu yang menghadapinya. Justeru itu, stres dn kebangkitan mempunyai persamaaan yang ketara iaitu kedua-duanya bersifat neutral serta tidak mempunyai pengaruh emosi.
Selye (1982) menjelaskan bahawa stres boleh dikategorikan kepada empat kategori utama dan dibahagikan kepada dua variasi yang berbeza iaitu eustres-distres serta hiperstres-hipostres. Ia bergantung kepada interpretasi kognitif individu itu sendiri.
Eustres
Sekiranya individu tersebut merasakan bahawa stres yang di alaminya bersifat positif, maka ia disebut eustres. Contohnya, perasaan serta debaran yang dirasai oleh seorang atlet sementara menantikan namanya di umumkan sebagai pemenang serta dikalungkan dengan pingat emas. Stres yanag di alami dalam bentuk debaran di tafsirkan sebagai positif oleh atlet tersebut.
Distres
Sekiranya individu tersebut membuat interpretasi bahawa stres yang dialaminya bersifat negatif, maka ia disebut distres. Individu merasakan bahawa beliau tidak mampu untuk menghadapi bebanan atau tekanan yang di hadapi di persekitaran. Contohnya, apabila seorang ahli gimanastik terjatuh dari balance beam. Walaupun ahli gimnastik tersebut meneurskkan semula rutin beliau rasa takut jatuh kali kedua serta kebimbingan yang dirasai kerana kehilangan mata sebelumnya memberikan kesan kepada beliau.
Hiperstres
Hiperstres berlaku di mana keaaan tahap serta jumlah yang dialami melampaui kemampuan kita menanggani stres tersebut. Contohnya dalam keadaan tertekan yang teramat sangat seseorang individu menjadi kaku serta tidak dapat memberikan sebarang reaksi.
Hipostres
Hipostres pula ialah jumlah atau bentuk stres yang dialami tidak langsung merangsang atau membimbangkan individu tersebut. Hasilnya kebosanan berlaku. Seseorang yang mengalami hipostres tidak memiliki motivasi untuk melakukan apa-apa pun. Hipostres boleh mendorong seseorang menghadapi masalah kemurungan (depression).
Gejala Psikologi Akibat Daripada Kebangkitan Dan Kebimbangan
Menurut Endler, 1978 (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001) kebimbangan dan tekanan terhasil daripada gabungan lima faktor iaitu tekanan terhadap ego, tekanan terhadap fizikal individu, ketidaktentuan, perubahan, dan penilaian atau perbandingan sosial.
Tekanan terhadap ego
Tekanan berlaku khususnya apabila seseorang atlet tewas sesuatu perlawanan khususnya kepada lawan yang lebih rendah rankingnya. Ego atlet ini akan tercabar serta tertekan. Beliau juga merasa kurang yakin untuk menghadapi perlawanan seterusnya. Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan tahap kebimbangan seketika atlet ini.
Tekanan terhadap fizikal individu
Seseorang atlet akan berasa bimbang sekiranya beliau tahu bahawa ada usaha oleh pihak lawan untuk menewaskan beliau secara fizikal.
Ketidaktentuan
Keputusan yang belum pasti, perlawanan yang berlarutan ‘sudden death’ serta saat-saat mencemaskan yang menentukan menang-kalah sesebuah pasukan mempunyai elemen ketidaktentuan ini. Kita tidak akan berasa bimbang sekiranya kita tahu kita akan menang atau tidak mempunyai harapan lagi untuk menang.
Perubahan
Sebarang bentuk perubahan sebenarnya akan menyebabkan kita menjadi kurang selesa dengan persekitaran kerana ia bukan rutin harian. Contohnya seorang pemain yang biasa dengan kaedah latihan seorang jurulatih akan merasa tertekan dengan kehadiran seorang jurulatih baru yang membawa pendekatan serta corak latihan dan matlamat yang baru.
Penilaian atau perbandingan sosial
Kita akan merasa tertekan sekiranya kita tahu bahawa prestasi kita akan dinilai atau dibandingkan dengan orang lain. Debaran yang dirasakan di garisan permulaan sebelum masuk ke padang atau gelanggang mahupun ketika mengambil peperiksaan merupakan ciri-ciri kebimbangan seketika yang dihasilkan menerusi penilaian. Justeru itu, kemampuan mengubah tafsiran merupakan elemen untuk menangani masalah itu.
Bagaimana Kebangkitan dan Kebimbangan Mempengaruhi Prestasi
Pengaruh kebangkitan dan kebimbangan terhadap prestasi dapat dilihat dengan jelas menerusi teori dorongan, teori U-terbalik dan model bencana Hazey dan Hardy.
Teori Dorongan (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001). Teori dorongan ini telah diperkenalkan oleh Hull (1943, 1951) dan Spence (1956). Teori ini menjelaskan tentang persaingan di antara respons yang terdapat dalam sesuatu proses pembelajaran. Teori ini boleh dijelaskan dengan formula berikut:
Prestasi = Kebangkitan x Tahap Kemahiran
Teori Dorongan ini beroperasi berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
- Peningkatan kebangkitan (dorongan) akan menghasilkan respons yang dominan.
- Respons atau tindak balas yang dikaitkan dengan keinginan yang kuat merupakan respons yang paling dominan.
- Pada tahap awal pembelajaran atau untuk kemahiran yang kompleks, respons yang dominan lazimnya kurang tepat atau salah.
- Ditahap akhir pembelajaran atau untuk kemahiran yang mudah, respons yang dominan lazimnya tepat atau betul.
Teori ini menyimpulkan bahawa kebangkitan yang tinggi diperlukan oleh atlet yang berpengalaman untuk membantu mereka mencapai kejayaan. Manakala kebangkitan yang rendah sesuai untuk meningkatkan peluang kejayaan untuk atlet baru. Ini seterusnya akan meningkatkan keyakinan diri mereka.
Teori U-Terbalik. Teori ini diperkenalkan oleh Yerkes dan Dondon, 1908 (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001) yang menggunakan tikus untuk menguji perkaitan di antara kebangkitan dan tahap kesukaran tugasan serta kesannya ke atas prestasi.
Berdasarkan teori ini tahap kebangkitan yang tinggi diperlukan untuk mendapatkan prestasi yang baik apabila melakukan aktiviti yang melibatkan penggunaan otot besar (gross motor skill) atau yang menggunakan tenaga yang tinggi. Namun begitu prestasi tersebut akan menurun secara berkadar selepas atlet tersebut mencapai tahap kebangkitan yang optimum. Ini mungkin berlaku kerana fisiologikal kebangkitan atlet tersebut sudah tidak boleh lagi ditinggikan atau atlet tersebut sudah bosan dengan pertandingan tersebut.
Model Bencana Gagasan yang diutarakan oleh Fazey dan Hardy 1988 (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001) mencabar gagasan teori U-Terbalik yang mengandaikan bahawa:
- Peningkatan tahap kebangkitan yang sedikit akan meningkatkan atau menurunkan sedikit prestasi atlet.
- Tahap kebangkitan yang sederhana menghasilkan prestasi yang optimum. Teori ini menerangkan bahawa peningkatan kebangkitan fisiologi dan kebimbangan kognitif yang keterlaluan akan menyebabkan penurunan prestasi (bencana) kepada atlet tersebut.
Untuk mendapatkan prestasi yang baik dalam sesuatu pertandingan, tahap kebangkitan, tekanan dan kebimbangan yang dialami oleh atlet perlu dikawal. Tanpa pengawalan yang betul prestasi atlet boleh merosot. Latihan mental merupakan kaedah yang berkesan untuk mengawal tahap kebangkitan. Kejayaan seseorang atlet dalam pertandingan bergantung kepada keupayaan atlet untuk mengawal mentalnya. Ini penting kerana mental yang baik dapat mengawal tubuh badan dengan baik. Latihan Relaksasi Otot Progresif merupakan satu bentuk latihan mental yang boleh dilakukan untuk mengawal tahap kebangkitan. Relaksasi merupakan suatu teknik yang digunakan bagi mengurangkan rasa tekanan terhadap diri sendiri dengan cara mengurangkan kontraksi otot-otot tubuh ke tahap paling minimum (Harrey, 1994 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2002).
Jacobson 1938, (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2002), latihan relaksasi boleh dibahagikan kepada dua iaitu relaksasi aktif dan relaksasi pasif. Relaksasi aktif adalah latihan yang menumpukan seluruh perhatian kepada tubuh badan iaitu teknik otot ke minda. Contohnya ialah yoga, tai chi dan relaksasi progresif.
Relaksasi pasif pula merupakan teknik yang menumpukan perhatian otak ke otot. Teknik ini memerlukan otak mengenal dan menghantar segala rangsangan yang diterima kepada otot skeletal. Antara latihan yang termasuk dalam teknik relaksasi pasif ialah latihan pernafasan, latihan autogenic, hypnosis, imageri visual dan meditasi (Harrey, 1994 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2002).
Antara langkah yang dapat diambil untuk menguruskan stres ialah kawalan penafasan. Teknik ini dapat diguna pakai dengan cara tarik nafas, lepaskan. Keluarkan semua masalah dan tekanan semasa menghembus nafas setelah itu tarik nafas dalam-dalam ke diafragma dan lepaskan. Tarik nafas anda bersama tenaga dan daya hidup yang baru. Lepaskan semua ketegangan dan kepenatan dari dalam diri anda.
Latihan Autogenik juga merupakan salah satu konsep pengurusan stres, hampir sama dengan relaksasi progresif. Ia merupakan satu bentuk latihan mental yang dirancang untuk melahirkan sensasi hangat dan berat sebagai respon kepada relaksasi. Anggota badan berasa berat kerana tidak wujud sebarang tekanan mahupun ketegangan pada otot badan sementara kehangatan yang dirasai berpunca dari pengembangan saluran darah pada otot berkenaan (kesan tindakan parasimpetatik).
Imageri dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menggunakan visualisasi untuk membayangkan situasi (Block,1981). Wann (1997) pula berpendapat bahawa imageri adalah proses yang merangkumi visualisasi mental tentang dasar yang dilakukan sebelum atau semasa melakukan tugasan tersebut. Ia adalah penggunaan semua deria untuk mereka atau mereka semula pengalaman dalam minda.
Penetapan matlamat adalah salah satu konsep pengurusan stres. Ia adalah satu proses untuk menetapkan matlamat di mana peningkatan motivasi dan hasil dapat dicapai dalam jangkamasa yang telah ditetapkan. Sebagai contoh tumpuan perhatian. Ia menumpukan keupayaan atlet untuk memfokus pada maklumat yang relevan semasa pertandingan. Ia juga merupakan satu bentuk latihan di mana atlet sentiasa mengingatkan dirinya sendiri akan kejayaan, teknik serta kemahiran yang terbaik pernah dicapai dan kejayaan yang boleh dicapai pada masa depan. Latihan juga membentuk kata kendiri yang positif.
Antara faedah mengamalkan teknik ini ialah ia dapat meningkatkan reflek minda badan dan juga kesedaran diri dan kesedaran kiu yang penting. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan konsentrasi dan keyakinan diri. Seterusnya, ia dapat menurunkan kebimbangan dan mengawal kebangkitan.
Kesimpulannya, kebangkitan, tekanan dan kebimbangan adalah saling berkait antara satu sama lain dan merupakan sesuatu yang akan dialami oleh setiap atlet yang terlibat dalam pertandingan. Ketiga-tiga ini merupakan faktor utama yang menentukan prestasi atlet. Sekiranya atlet dibekalkan dengan latihan fizikal dan mental yang mencukupi mereka seharusnya dapat mengawal dan menukar setiap desakan yang berlaku menjadi faktor kejayaan. Diharapkan juga setiap atlet perlu mempunyai fokus yang baik dan sentiasa mengambil tahu mengenai teknik-teknik sebenar bagaimana untuk mengawal kebangkitan, tekanan dan kebimbangan dalam sukan.
Rujukan
- http://ppgipgtawaupjk.blogspot.my/2015/06/kebangkitan-tekanan-dan- kebimbangan.html
- http://sakuraaa7.blogspot.my/
- http://kawyakinsaja.blogspot.my/2012/03/teori-kebangkitan-dalam-sukan.html
- http://anakjelapang10.blogspot.my/2010/03/psikologi-sukan.html
- https://www.slideshare.net/mobile/alfaupsi/kebangkitandankebimbangandalamsukan