Berendam Di Dalam Ais Selepas Menjalani Latihan - Telah menjadi amalan atlet untuk terjun ke dalam air ais (12
hingga 15 darjah celsius) selepas latihan atau pertandingan sebagai satu cara
pemulihan lebih cepat dan mengurangkan kesakitan otot dan kesakitan yang mana
kini menjadi amalan di Majlis Sukan Negara juga. Terdapat juga atlet yang
menggunakan terapi sejuk dan panas atau selang seli antara air sejuk dan air
panas untuk mendapatkan kesan yang sama.
Sejauh Mana Keberkesanannya? - Secara teorinya, selepas latihan yang berat, telah berlaku
mikrotrauma atau koyak-koyak kecil pada serat otot. Kerosakan yang berlaku
bukan sahaja merangsang hipertropi otot bahkan dikaitkan dengan delay
onset muscle soreness yang mungkin mengganggu latihan seterusnya.
Mandi air ais dipercayai memaksa keluar bahan buangan
seperti asid laktik, mengurangkan aktiviti metabolisme, melambatkan proses
fisiologi dan mengurangkan bengkak dan kecederaan. Terdapat juga kekurangan
mandi ais terutama pada yang sedar menyasarkan bakar lemak kerana suhu yang
rendah boleh mengurangkan kadar metabolisme badan.
Mandi air panas selepas mandi ais meningkatkan aliran darah
dan seterusnya meningkatkan proses penyembuhan. Tidak ada protokol tertentu
dicadangkan setakat ini tetapi dicadangkan rendam di dalam air ais sekitar 5
hingga 20 minit. Buat masa ini belum ada keputusan muktamad tentang kebaikan
dan keburukan mandi air ais atau air panas atau kedua-duanya yang dipanggil
terapi sejuk dan panas.
Sejuk menyebabkan vasoconstriction (menghadkan
aliran darah) dan panas menyebabkan vasodilation (membuka aliran
darah). Sejuk dipercayai mengurangkan keradangan selepas latihan yang berat
tetapi aliran darah diperlukan kemudian untuk mengeluarkan sisa dan toksin
serta menyalurkan keperluan nutrisi untuk pemulihan.
Berdasarkan kebanyakan kajian, dicadangkan mandi air sejuk
(tidak semestinya air ais) dan kemudian disertai air panas (tidak semestinya
serta merta), yang mana boleh dilakukan serta merta atau kemudian dalam hari
itu.