Disclaimer

SainsdanSukan does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.

Sabtu, 27 Ogos 2016

Isu Vaksin


Isu vaksin hangat diperkatakan di media sosial selepas kematian kanak-kanak di Kedah, Melaka dan Sabah akibat jangkitan difteria baru-baru ini. Seperti biasa, ramailah yang memberi pandangan; ada yang sokong vaksin, ada pula yang menolak vaksin. Antara mereka yang bersuara ialah salah seorang personaliti program realiti TV Imam Muda.

Apa itu vaksin? 

Vaksin adalah satu sediaan yang bertujuan untuk menghasilkan keimunan badan terhadap sesuatu penyakit dengan merangsang penghasilan antibodi. Ia merupakan virus atau bakteria yang lemah, dimasukkan ke dalam tubuh dalam bentuk vaksin, agar sistem antibodi tubuh mengenali mereka dan bersedia untuk melawan infeksi.

Vaksin pertama dihasilkan oleh Dr Edward Jenner, seorang doktor Inggeris, pada tahun 1796. Perkataan vaksin diambil daripada bahasa Latin yang bermaksud lembu, kerana beliau menemui cara menghadapi penyakit cacar lembu ketika itu. Teknologi vaksin telah berkembang lebih 200 tahun dan vaksin ternyata selamat dan efektif dalam menghalang penyakit daripada merebak.

Menurut Hays yang menulis dalam buku Epidemics and Pandemics – Their Impacts on Human History pada tahun 2005, penyakit cacar merupakan wabak yang serius di Eropah pada penghujung abad ke-18. Ia menyebabkan kematian lebih 400,000 orang setahun. Lebih 80 peratus yang mati ialah kanak-kanak. Cacar diakibatkan oleh virus variola yang boleh berjangkit melalui bawaan udara, menyebabkan ia senang merebak.

Laporan WHO yang dikeluarkan pada 21 September 2007 menyatakan, pada tahun 1967, kira-kira 20 juta penduduk dunia dijangkiti cacar dan 2 juta meninggal pada tahun tersebut. Mereka yang selamat pula menjadi buta atau berparut. Kempen vaksinasi telah menghapuskan sama sekali penyakit cacar pada tahun 1979.

Begitu juga vaksin lain. Laporan WHO pada tahun 2015 menyatakan  bahawa kes polio yang boleh menyebabkan lumpuh telah menurun dari 350,000 pada tahun 1988 ke 359 pada tahun 2014. Ia tidak dapat dihapuskan sepenuhnya kerana masih terdapat pihak yang menentang vaksin ini, terutama di kawasan yang dikuasai Taliban di Afghanistan dan Pakistan (laporan Eltaf Najafizada, 16 Disember 2015). Ini berikutan salah faham bahawa vaksin ini mengandungi bahan haram dan boleh menyebabkan kemandulan.

Salah faham ini jugalah yang menjadi punca wujudnya golongan menolak vaksin di Malaysia. Mereka melihat vaksin ini sebagai satu “toksin” yang memudaratkan anak-anak mereka, mungkin kerana mendapat sumber rujukan yang tidak sahih seperti FB, media sosial dan enjin carian Google. Ada pula yang menolak vaksin kerana takut ia mengandungi DNA khinzir walaupun Kementerian Kesihatan dan Jakim sudah mengesahkan vaksin ini halal dan selamat.

Terdapat gerakan menolak vaksin di Barat yang berpendapat vaksin menyebabkan autisme. Ia lanjutan kajian penyelidik British bernama Andrew Wakefield yang mengaitkan vaksin MMR (campak, begum & rubela) dengan autisme. Ini memberi kesan bukan sahaja ke atas ibu bapa di Barat tetapi juga di Malaysia. Kajian tersebut adalah palsu dan lesen perubatan Wakefield telah ditarik balik oleh Majlis Perubatan UK.

Sejak tahun 1988 lagi, mereka yang ingin menunaikan ibadah umrah atau haji juga diwajibkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan suntikan vaksin meningitis untuk mencegah penyakit radang pada selaput otak dan saraf tunjang. Tiada suntikan, tiada visa.

Penting untuk kita faham bahawa vaksin adalah langkah pencegahan. Ia menyebabkan penerima vaksin imun terhadap virus-virus yang masih wujud hingga kini. Dengan pembangunan, meningkatnya juga kemudahan penerbangan murah yang merancakkan pergerakan manusia. Ia termasuk kemasukan berjuta-juta pekerja asing ke Malaysia. Keadaan ini sebenarnya meningkatkan juga risiko jangkitan.

Sekiranya kita tidak mendapat imunisasi yang telah diwajibkan, kita berisiko tinggi untuk mendapat penyakit disebabkan jangkitan, terutamanya ketika berada berhampiran mereka yang sakit di tempat-tempat awam. Apatah lagi bagi kanak-kanak atau bayi yang sistem imun mereka masih lemah.

Dalam apa jua situasi, kita seharusnya membuat keputusan berlandaskan maklumat yang benar dan tepat (informed decisions). Telah banyak ulasan mufti-mufti yang menerangkan hukum berkenaan pengambilan vaksin yang telah disahkan kehalalannya. Buatlah pilihan yang terbaik dalam usaha menjaga kesihatan diri dan orang tersayang, juga demi kemaslahatan umum.



Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...