Disclaimer

SainsdanSukan does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.

Rabu, 13 April 2016

KESELAMATAN DAN KECEDERAAN DALAM SUKAN


Keselamatan Sukan
Penglibatan dalam sukan mempunyai banyak aspek positif ke atas kehidupan seseorang. Namun demikian seseorang itu harus mengetahui dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan diri dari mengalami kemalangan semasa melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang diminati.

Pakaian dan peralatan sukan
  • Pakaian - Pakaian sukan harus selesa, sesuai dengan saiz tubuh badan dan membenarkan penyejatan peluh berlaku. Pakaian yang dibuat daripada kapas adalah yang paling sesuai digunakan dalam cuaca negara kita kerana ia membenarkan peluh diserap dan disejatkan. Ini mengelakkan peningkatan suhu tubuh. Pakaian yang terlalu ketat akan menjerutkan peredaran darah dan akan membawa kesan yang buruk kepada atlet.
  • Peralatan - Peralatan yang sesuai dengan umur, ketinggian dan keupayaan fizikal individu itu bukan sahaja dapat membolehkan individu itu menikmati aktiviti sukan yang diceburi malah dapat mengurangkan risiko kecederaan. Kayu hoki, kasut bola, reket tenis yang dibuat khas mengikut saiz badan dan keupayaan fizikal harus digunakan terutamanya oleh kanak-kanak dan remaja. Selain itu, peralatan perlu sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
  • Peralatan keselamatan - Semua pemain harus memakai peralatan keselamatan semasa bersukan.  Sebagai contoh,shin pad, abdominal guard, mouth guard, helmet dan sarung tangan yang dapat melindungi mereka daripada kecederaan.
  • Peraturan pertandingan - Penganjur pertandingan peringkat umur harus mengutamakan keselamatan terutamanya dalam peraturan pertandingan sesuatu sukan. Sebagai contoh, sukan ragbi sentuh tidak membenarkan seorang pemain membuat tackle dan sukan kancil kriket hanya menggunakan bola getah yang lembut, sukan gimnastik tidak melibatkan gerakan kuang hadapan dan belakang untuk mereka yang muda (6-10 tahun). Peraturan pertandingan sesuatu permainan boleh diubah suai mengikut keadaan dengan memberi keutamaan kepada aspek-aspek keselamatan.
  • Padang dan gelanggang - Tempat permainan seperti padang dan gelanggang harus mempunyai ciri-ciri keselamatan dan tidak bahaya kepada pengguna. Contohnya, padang harus rata dan tidak berlubang yang boleh mengakibatkan pemain terseliuh. Tiang gol dalam keadaan baik dan tidak berkarat. Gelanggang sukan tidak mempunyai objek-objek asing atas permukaan dan di sekeliling yang boleh mencederakan penggunanya.

Memanaskan badan

Aktiviti memanaskan badan adalah penting sebelum memulakan sesuatu aktiviti fizikal atau pertandingan kerana ia membawa faedah kepada fizikal dan mental seseorang itu.

Tujuan memanaskan badan 
  1. meningkat suhu dalam badan (core body temperature) dan suhu dalam otot. 
  2. ketegangan dalam otot juga akan berkurangan dan ini menyebabkan otot itu menjadi ‘releks’.  Kelebihan membolehkan pergerakan eksplosif seperti menendang bola atau berlari pecut di mana aksi-aksi tersebut melibatkan penguncupan sekumpulan otot besar dan  disusuli dengan regangan maksimum otot-otot tersebut.
  3. aktiviti memanaskan badan dengan peningkatan intensiti pergerakan juga membolehkan jantung, paru-paru dan saluran darah menyesuaikan diri terhadap peningkatan kadar kerja mereka. Ini akan mengurangkan tekanan (stress) dan risiko kecederaan kepada jantung.
  4. Pemain yang melakukan aktiviti memanaskan badan yang cukup juga akan berasa lebih yakin terhadap diri sendiri dan membolehkannya memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap permainan atau objektif yang ditetapkan untuk dicapai pada sesi latihan. (v) Otot menerima darah yang mencukupi.
  5. Risiko kecederaan kuran
  6. Raptai pergerakan sebelum lakuan sebenar
  7. Fisiologi - (a) reaksi enzim lebih cepat daripada suhu badan tinggi, (b) kurangkan asid laktik. (c) mental set. (d) tindak balas jantung.

Menyejukkan badan

Fisiologi menyejukkan badan bertujuan untuk mengembalikan fungsi kepada keadaan rehat secara progresif.

Fungsi fisiologi yang dimaksudkan ialah:
  1. Fungsi denyutan jantung.
  2. Fungsi pernafasan.
  3. Fungsi peredaran darah.
  4. Fungsi otot-otot rangka.
Salah satu faktor fisiologi dalam melakukan aktiviti secara progresif penyejukan badan ialah asid laktik yang terkumpul semasa aktiviti fizikal akan dapat diuraikan dalam otot dan organ-organ lain.

Aktiviti menyejukkan badan melibatkan dua aktiviti utama iaitu regangan dan aktiviti berintensiti yang rendah. Aktiviti regangan semasa menyejukkan badan dapat mengurangkan kelesuan otot dan juga meningkatkan keanjalan otot, tendon dan ligamen kerana suhu dalaman mereka adalah tinggi sebaik sahaja aktiviti fizikal utama.

Aktiviti gerakan badan dapat mempercepatkan kembalian darah ke jantung dan mengembalikan darah yang telah dipamkan oleh jantung ke hujung anggota badan seperti kaki dan tangan semasa aktiviti sukan utama. Sekiranya seseorang itu berhenti serta merta setelah satu sesi aktiviti sukan yang lama dan berintensiti tinggi, pengumpulan darah (blood pooling) akan terbentuk di kaki atlit tersebut. Ini akan menurunkan tekanan darah dalam badan kerana kekurangan darah. Akibatnya atlit itu akan rasa pening, loya atau mungkin pengsan.


Keperluan cecair

Aktiviti sukan yang berpanjangan dan berintensiti tinggi boleh mengakibatkan kehilangan cecair badan melalui peluh sebanyak 2-3 liter setiap jam. Kehilangan ini mewakili kehilangan sebanyak 6-10% daripada berat badan.

Rasa kedahagaan atau kekeringan tekak bukan satu indikator baik bagi menunjukkan badan kehilangan air.  Seseorang atlit harus minum air yang banyak sebelum, semasa dan selepas sesuatu sesi aktiviti fizikal.  Air sejuk merupakan cecair yang paling sesuai untuk diminum.
Suhu badan individu yang normal ialah 37°C. Semasa aktiviti fizikal yang lama dan berintensiti tinggi, badan akan menghasilkan kuantiti haba yang banyak. Haba dihasilkan daripada metabolism karbohidrat dan lemak otot untuk menghasilkan tenaga. Haba juga diserap dari bahang cahaya matahari, udara panas dan sentuhan antara kaki dengan permukaan tanah.


Imbangan cecair dan elektrolit

Pengeluaran peluh yang banyak mengakibatkan kehilangan air dan elektrolit daripada badan.  Kehilangan air adalah lebih kritikal sekiranya tidak digantikan. Kebanyakan atlit hilang 8-12% daripada berat badan mereka  apabila melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan cuaca panas dan lembap (humid).

Kehilangan air ini mengakibatkan penurunan isipadu plasma darah. Elektrolit (ion Na+ dan Cl) yang mengawal kandungan air dalam badan apabila hilang melalui perpeluhan, tidak akan dapat mengawal keseimbangan air dan elektrolit.

Penurunan kandungan air dalam plasma darah mengakibatkan penurunan tekanan darah.  Jantung terpaksa  mengepam dengan lebih kerap dan laju untuk mengekalkan keluaran kardiak agar darah dapat dihantar ke otot yang sedang bekerja.  Ini akan mengakibatkan penurunan kadar peredaran darah di bawah permukaan kulit kerana lebih darah diperlukan untuk membekalkan nutrien dan oksigen ke otot. Kesan pengalihan peredaran darah ini menunjukkan peningkatan suhu badan dan mengakibatkan stress haba.


Strok haba 

Pendedahan kepada bahang matahari dan cuaca lembap (humid) yang keterlaluan semasa menjalankan aktiviti bersukan boleh mengakibatkan stres haba. Kehilangan haba badan melalui proses perpeluhan boleh terjejas sekiranya kelembapan udara persekitaran adalah tinggi (65-75%).  Oleh kerana udara persekitaran lembap peluh tidak dapat disejatkan.

Kekejangan otot (muscle cramp) - Kekejangan otot yang sering berlaku di otot betis dan abdomen akibat stres haba.  Kekejangan otot ini berkaitan dengan ketidakseimbangan antara air dan elektrolit dalam badan. Ketidakseimbangan ini berlaku kerana kehilangan air dan elektrolit melalui perpeluhan. Elektrolit seperti natrium (Na+) dan klorida (Cl-) diperlukan untuk mekanisme penguncupan otot.  Kekurangan elektrolit ini mengakibatkan kekejangan dalam otot.Kehilangan air berlebihan (heat exhaustion) - Kehilangan air melalui perpeluhan dan tidak diganti  boleh mengakibatkan seseorang itu rebah, peluh tidak berhenti, pucat, pening dan loya serta denyutan nadi yang laju. Rawatan yang diperlukan ialah meminum air yang banyak dan berehat di kawasan yang sejuk. Sekiranya tidak dirawat boleh mengakibatkan strok haba.

Strok haba (heat stroke) - Strok haba adalah keadaan yang lebih teruk daripada kekejangan otot dan kehilangan air badan berlebihan. Strok haba  boleh mendatangkan maut jika tidak dirawat segera. Punca spesifik strok haba tidak diketahui tetapi simptomnya seperti pengsan, kulit yang kering dan suhu badan yang meningkat hingga 41°C dan badan tidak dapat mengeluarkan peluh. Kesan yang serius ialah gangguan pada sistem saraf pusat. Strok haba boleh bertukar secara tiba-tiba tanpa amaran. Rawatan harus dilakukan dalam masa 45 minit selepas mengalami strok haba.  Keutamaan di sini ialah menurunkan suhu badan mangsa.  Tanggalkan semua pakaian daripada mangsa, curahkan air sejuk ke atas badannya dan kipaskan nmangsa tersebut. Hantarkan mangsa secepat mungkin ke hospital. Pesakit tidak boleh diberi minuman langsung. Pemberian cecair ke dalam badan hanya melalui ‘intravenous drip’ yang segera.

Cara mengelak strok haba
  • Menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan suhu yang panas sekurang-kurangnya seminggu sebelum hari pertandingan.
  • Minum air  sebelum, semasa dan selepas sesuatu sesi latihan atau pertandingan dapat mengelakkan stres haba.  Walaupun minuman isotonik mengandungi elektrolit yang boleh menggantikan elektrolit yang hilang namun air sejuk adalah cecair yang paling baik untuk diminum.
  • Pakaian yang diperbuat dari 100% kapas adalah yang paling sesuai dalam cuaca yang panas sebab kapas membenarkan penyejatan peluh yang maksimum. Lebih 40% daripada kehilangan haba berlaku di bahagian kepala. Oleh itu topi yang dipakai hendaklah diperbuat daripada kapas.
  • Elak daripada berlatih dalam cuaca panas. Masa antara 11.00 pagi – 4.00 petang adalah masa yang paling panas dan jika boleh jangan berlatih atas permukaan panas seperti simen dan bitumen.

Kecederaan Sukan

Jenis-jenis:
Kecederaan tisu lembut - Tisu lembut dalam badan merangkumi kulit, salur darah, saraf, otot, tendon, ligamen, kelenjar dan lapisan yang melindungi organ-organ tubuh.

Kekejangan otot - kekejangan otot adalah kesakitan yang dialami di otot-otot besar di badan hasil penguncupan amat laju dan dalam jangka masa yang lama. Faktor-faktor yang menyebabkan kekejangan ialah; Dehidrasi (kehilangan cecair dalam badan); Kelesuan; Hentakan atau pukulan ke atas otot-otot. Kekejangan otot boleh di atasi dengan meregang otot tersebut secara statik.  Contoh otot yang selalu mengalami kekejangan ialah otot betis bagi atlit lumba lari dan pemain bola sepak. Sekiranya kesakitan masih berterusan setelah aktiviti meregangkan otot tersebut, hentikan rengangan kerana otot tersebut mungkin mengalami kecederaan yang lain.

Ketegangan otot (strain) - Ketegangan otot berlaku apabila fiber-fiber sesuatu otot mengalami kecederaan.  Tempat yang selalu berlakunya ketegangan otot ialah otot hamstring selepas sesuatu aktiviti larian pecut. Ketegangan otot adalah hasil daripada mekanisme badan melindungi otot-otot tersebut daripada kecederaan yang lebih teruk.Ketegangan otot biasanya melibatkan fiber otot terkoyak. Seseorang yang mengalami ketegangan ringan akan mengalami kesakitan dalam pergerakan aktif.  Ketegangan yang lebih serius akan mengakibatkan pengumpulan darah sehingga seseorang itu tidak dapat menggerakkan anggota badan yang mengalami ketegangan otot.

Sengal-sengal otot - Kita sering mengalami sengal-sengal otot setelah melakukan aktiviti fizikal yang tidak biasa atau sudah lama tidak aktif dalam sukan. Kecenderungan mengalami sengal otot berhubungkait dengan umur. Terdapat dua jenis sengal otot: Kesakitan yang keterlaluan dan diikuti dengan kelesuan. Ia berlaku sebaik sahaja tamat sesuatu aktiviti fizikal; Kesakitan yang tertangguh selepas 12 jam melakukan aktiviti fizikal. Terdapat beberapa sebab kesengalan otot ini berlaku. Salah satu sebab ialah terdapat kekoyakan kecil pada fiber otot dan juga kekejangan otot akibat daripada kekurangan bekalan oksigen ke otot. Sengal otot boleh dielakkan dengan melakukan aktiviti pada kadar yang rendah dan tingkatkan intensiti aktiviti tersebut secara berperingkat.

Luka - Luka boleh melibatkan kecederaan dari luar kulit dan juga dari dalam (dihiris atau dipotong oleh tulang yang patah). Jenis-jenis luka terdiri daripada: (a) Abrasi - cakaran pada permukaan kulit. (b) Potongan – terkena objek yang tajam. (c) Tebukan  – ditebuk oleh objek yang tajam seperti spike’ kasut, paku. L uka ini adalah dalam dan mengakibatkan kerosakan salur darah.

Lebam akibat kontusi - Kontusi ialah hentakan terus objek ke atas permukaan luas atau tisu lembut. Sekiranya hentakan itu adalah kuat, kapilari darah akan pecah dan darah terkumpul di tempat hentakan itu.  Warna biru-gelap akan terbentuk di bawah kulit. Sekiranya tempat yang sama terkena hentakan berulang kali, mendakan  kalsium akan terbentuk di kawasan tersebut mengakibatkan tempat itu mengalami kesukaran untuk bergerak. Cara mencegah hentakan berulang ialah melindungi kawasan itu dengan ‘pad’ seperti pada siku dan lutut.

Kecederaan tisu keras - Tisu keras melibatkan semua tulang dan sendi badan. Tulang patah akibat stress yang tinggi ke atas tulang. Tulang panjang seperti femur atau humerus mengambil masa lebih kurang 6 minggu untuk sembuh. Sementara tulang-tulang kecil lain memerlukan 3-4 minggu. Sebaik sahaja simen atau plaster dibuka, tulang itu hendaklah dikenakan tekanan dan latihan beban untuk mengembalikan kekuatan tulang itu.
                                                 
Dislokasi - Dislokasi berlaku apabila hujung tulang yang membentuk sendi itu tercabut atau terkeluar dari tempat lekatannya. Tisu-tisu lembut seperti otot, ligamen, tendon dan salur darah akan mengalami kecederaan apabila dislokasi  berlaku. Dislokasi sering berlaku di bahagian sendi bahu. Dislokasi biasanya mengakibatkan kehilangan (deformiti) bentuk sesuatu sendi itu.

Kecederaan kepala - Konkusi ialah hentakan ke atas kepala yang biasanya trauma otak. Konkusi biasanya berlaku dalam sukan kontek seperti bola sepak, ragbi, hoki, tinju dan sukan mempertahankan diri. Kerap kali atlit yang mengalami konkusi akan merasa loya dan hilang imbangan seketika walaupun kes amnesia jarang berlaku. Simptom konkusi tidak jelas kelihatan dan mangsa harus dirujuk kepada pakar perubatan secepat mungkin.


Pengurusan kecederaan/bantu mula

Semua kecederaan sukan yang dialami semasa bertanding atau latihan mestilah diuruskan dan diperiksa untuk menentukan sama ada mangsa itu dibenarkan meneruskan latihan atau beraksi atau dirujuk dengan segera kepada pakar perubatan.

Terdapat beberapa kaedah pengurusan menilai kecederaan sukan:

TOTAPS
  • Talk - bolehkah mangsa itu bercakap, bertanya kepadanya peringkat kesakitan dan tempat kecederaan.
  • Observe - perhatikan dan periksa tempat kecederaan dan keadaan mangsa terutamanya kecederaan yang dialami ke atas kepala mangsa.
  • Touch - rasakan tempat kecederaan, periksa  sebarang bengkak atau deformiti anggota badan tersebut.
  • Active Movement - suruh mangsa gerakkan anggota badan yang cedera, sekiranya mangsa rasa sakit rujuk kepada pakar perubatan dengan segera.
  • Passive Movement - gerak perlahan bahagian yang tercedera untuk periksa tahap kecederaan. Rengangkan otot dan benarkan mangsa kembali beraksi setelah pasti dengan sepenuhnya kecederaan tidak serius.
  • Stand - suruh mangsa itu berdiri, jalan, lari dan lompat untuk mempastikan tahap kecederaan. Benarkan mangsa sambung bermain bila tiada tanda kecederaan yang khusus.

DRABC

Kaedah ini digunakan untuk memberi bantu mula kepada mangsa yang tidak sedarkan diri atau mengalami kejutan.

  • Danger - pastikan mangsa bebas dari bahaya sekitarnya contohnya jika mangsa tersepit, singkirkan bendasing yang menyepitnya.
  • Response - cuba gerakkan atau perhatikan sebarang gerakbalas mangsa untuk mengetahui keadaan sebenar. Panggil nama, tanyakan keadaan, sentuh dan rasa bahagian badan untuk melihat sebarang respons.
  • Airway - pastikan salur pernafasan tidak tersekat. Periksa hidung dan mulut mangsa agar tiada bendasing menghalang salur pernafasan.
  • Breathing - periksa sama ada mangsa masih bernafas melalui hidung atau mulut. Sekiranya tiada berikan bantuan pemulihan pernafasan dengan segera.
  • Circulation - maksud peredaran darah. Periksa kadar denyutan nadi yang rendah menunjukkan denyutan jantung yang lemah. Jika terdapat punca kehilangan darah seperti luka, balut dan tutup luka tersebut.

RICE

Tindakan awal ini diberikan untuk tujuan berikut:
  • Mencegah tisu-tisu lembut lain daripada mengalami kecederaan.
  • Mengurangkan kesakitan yang dialami.
  • Mengurangkan dan menurunkan bengkak.
  • Mengekalkan kecergasan sementara bahagian kecederaan yang cedera.
  • Mengembalikan keyakinan mangsa terhadap bahagian yang cedera.
  • Mencegah berlaku semula kecederaan yang sama.

Pengurusan RICE ini adalah sesuai untuk kecederaan tertentu seperti terseliuh, dislokasi, hentakan, sengal, retak dan kontusi, ketegangan dan kekejangan otot.

  • Rest - setelah mendapat kecederaan, mangsa harus direhatkan. Sebarang pergerakan yang diteruskan ditempat yang cedera akan mengakibatkan pengaliran darah meningkat atau berterusan dan ini memburukkan lagi kecederaan.
  • Ice - ais yang dibalut dengan kain atau plastik didemah ke atas tempat yang cedera. Kecederaan yang tidak melibatkan luka terbuka sesuai diberi rawatan ini.  Jangan benarkan ais secara langsung ke atas tempat cedera kerana akan mengakibatkan ‘ice-burn’ dan mematikan sel-sel di sekeliling tempat yang cedera. Demahan ais ini menurunkan suhu tisu dan sel yang telah mengalami kecederaan dan dapat memulihkan sel yang rosak dengan lebih cepat.
  • Compression - bahagian yang cedera harus dibalutkan untuk mengelakkan bengkak yang keterlaluan.
  • Elevation - meninggikan bahagian yang cedera memudahkan dan mempercepatkan pengembalian darah masuk ke jantung. Ini mengurangkan pendarahan terhadap tempat yang cedera. Bahagian yang luka harus lebih tinggi daripada paras jantung.

Rawatan kaedah ini perlu dilakukan untuk 48 jam yang pertama. Walau bagaimanapun, rujukan pakar perubatan harus dijalankan secepat mungkin. Dalam tempoh masa tersebut atlet tidak digalakkan menjalani urutan sukan kerana boleh menimbulkan banyak komplikasi.


Terapi kecederaan sukan

Rehabilitasi atau pemulihan seorang atlit yang cedera biasanya dirancang dan diuruskan oleh fisioterapis atas arahan pakar perubatan.

Kecederaan ke atas sendi dan otot mungkin tidak dipulihkan melalui rehat sahaja melainkan keadaan yang ringan. Seorang atlit perlu menjalani rawatan pemuliharaan atau rehabilitasi untuk mengembalikan bahagian yang cedera itu ke keadaan asal. Antara faktor yang diambilkira semasa rehabilitasi ialah:
  • Menguatkan otot, ligamen dan tendon yang telah pulih dari kecederaan.
  • Memulihkan tahap kecergasan atlit ke keadaan asal.
  • Meningkatkan julat pergerakan dan kestabilan sendi atau otot.
  • Mengembalikan keyakinan atlit terhadap keupayaannya.

Fisioterapi - Fisioterapi ialah kaedah perawatan yang dijalankan oleh ahli fisioterapi yang terlatih di atas arahan doktor perubatan. Objektif utama fisioterapi sukan ialah membantu mempercepatkan kadar penyembuhan sesuatu kecederaan sukan. Matlamatnya ialah mengembalikan atlit yang cedera itu kepada keadaan asal dan bersedia untuk beraksi atau berlatih. Antara teknik-teknik rawatan oleh ahli fisioterapi ialah seperti berikut:

Elektroterapi - Penggunaan beberapa alatan elektronik yang sesuai ke atas otot atau sendi yang cedera. Ini bertujuan supaya dapat merangsang peredaran darah ketempat yang cedera. Contoh alat fisioterapi yang sering digunakan ialah mesin ultrasound, shortwave diathermy, laser therapy dan interferential.

Hidroterapi - Hidroterapi ialah rehabilitasi yang menggunakan air untuk memulihkan kecederaan. Atlit boleh menjalankan latihan kecergasan dalam permulaan dengan bantuan daya apungan air. Air dapat mengapungkan atau menyokong berat badan seseorang itu semasa beliau menjalankan latihan kecergasan. Ini mengurangkan daya hentakan yang dikenakan ke atas anggota badan atlit tersebut.

Terapi Haba (Heat Therapy) - Terapi haba digunakan ke atas kecederaan yang tidak melibatkan luka terbuka. Terapi jenis ini harus diawasi dan dipantau agar darjah kepanasan terapi tidak menjadi terlalu tinggi hingga membakar tisu-tisu atau sel-sel tempat rawatan terapi itu. Terapi haba meningkatkan relaksasi otot dan mengurangkan kesakitan tempat yang mengalami kecederaan. Terapi haba meningkatkan peredara darah ke kawasan yang cedera dengan itu membolehkan lebih banyak nutrien dan oksigen dihantar untuk membaiki kerosakan tisu dan sel sementara mengangkut hasil buangan seperti karbon dioksida dari tempat tersebut.  

Alatan dan cara yang digunakan dalam terapi haba:
  • Rendam bahagian yang cedera dalam air yang suhu antara 40-41°C selama 10-20 minit.
  • Pundi gel yang dipanaskan juga boleh diletakkan ke atas tempat yang cedera. Perhatian harus diambil ke atas kulit atau tempat meletak pek ini agar ia tidak melecur akibat terlalu panas atau terlalu lama.
Urutan Sukan - Satu daripada bentuk rawatan kecederaan sukan termasuk urutan yang diberi kepada otot-otot tertentu. Setelah mengenalpasti tiada terdapat faktor-faktor kontradiksi seperti kecederaan akut, luka,  patah dan demam panas.


Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...