Disclaimer

SainsdanSukan does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.

Sabtu, 19 Januari 2019

Sosiolgi Sukan


Pengenalan
Mungkin tidak ramai yang tahu apakah yang dimaksudkan dengan bidang Sosiologi Sukan ini.  Kebanyakkan pengkaji dalam bidang  ini bersetuju bahawa bidang ini merupakan subdisiplin dari tunjang utama sosiologi yang mengkaji mengenai sukan dan perananya dalam perkembangan sosial dan budaya manusia. Penekanan utama bagi kajian dalam bidang ini banyak tertumpu kepada aktiviti sukan yang berbentuk "Organized, Competitive Sports". 

Pengkaji dalam bidang ini juga mengaplikasikan teori sosiologi. Kajian dijalankan bagi menjawab persoalan seperti:
  • Mengapa aktiviti sukan tertentu cenderung dipilih dan dikuasai kemahirannya oleh kumpulan atau bangsa tertentu.
  • Bagaimanakah aktiviti sukan dan penglibatan masyarakat melibatkan kehidupan manusia dan apakah kesan dan pengaruhnya kepada manusia dan bagaimana kita menafsirkan perkaitannya.
  • Bagaimana kita melihat penglibatan dalam aktiviti sukan  memberi kesan kepada pemikiran dan kefahaman kepada tubuh badan dan juga perkaitan dengan isu-isu femininity, status, bangsa, kemampuan dan kurang upaya.
  • Bagaimana organisasi sukan berkait rapat dengan hubungan sosial, keperluan sokongan dan dinamik kuasa dalam sukan.
  • Bagaimana sukan berkait rapat dengan kehidupan manusia seperti kehidupan sosial seperti keluarga pendidikan, politik, ekonomi, media dan agama.
  • Bagaimana manusia menggunakan pengetahuan dan ilmu bidang sukan dalam mewujud dan membentuk suasana dan persekitaran yang lebih baik dan demokratik.
Perkataan ‘sosiologi’ adalah berasal dari bahasa Latin; iaitu ‘socius’ bermaksud kawan atau rakan. Manakala perkataan ‘logos’ pula bermaksud ilmu pengetahuan. 

Coakley (2009) –Sosiologi Sukan merupakan subdisiplin dalam sosiologi yang dikenali sebagai fenomena sosial . 

Pengetahuan dalam bidang sukan dan sosiologi ini membolehkan pelajar dapat berinteraksi dengan baik dengan atlet jagaan, guru dan masyarakat.

Sosiologi merupakan kajian saintifik tenteang struktur dan proses sosial dalam kalangan masyarakat. Perkataan ‘saintifik’ didefinisikan sebagai sesuatu yang teratur, empirikal, sistematik serta mengambil kira isu berkaitan validiti (kesahan) dan reliabiliti (kebolehpercayaan) kaedah kajian yang digunakan.

Perkataan ‘struktur’ pula didefinisikan sebagai suatu organisasi yang wujud dalam masyarakat mikro dan makro seperti individu, seorang pelajar, seorang atlit dan seorang guru. Contoh masyarakat makro pula adalah seperti kumpulan pelajar, satu pasukan, serta suatu unit beruniform.

Perkataan ‘proses’ pula merupakan interaksi yang berlaku antara indivudu dan kumpulan dalam masyarakat dari segi komunikasi, konflik, komersialisasi, biokratik, sosialisasi, proses menginstutusikan serta proses lain yang berkaitan.

Sosiologi sukan merupakan bidang kajian yang mengaplikasikan konsep sosiologi untuk melihat dan memahami apa yang berlaku dalam suatu aktiviti sukan.

Ini termasuklah usaha untuk memahami interaksi yang wujud antara individu dalam pasukan dan mereka yang berkaitan dengannya seperti penonton, pengurusan dan media.

Isu sosiologi yang signifikan dalam sukan termasuklah corak organisasi sosial yang terlibat, sifat formal sukan seperti pasukan, jurulatih, pemain, penganjur, undang-undang dan peraturan, tahap keseriusan menghadapi pertandingan seperti menang-kalah tidak ditentukan lebih awal dan penekanan terhadap kemahiran fizikal yang tinggi.

Proses sosialisasi sukan berlaku menerusi dua cara:
  1. Sosialisasi ke dalam sukan -  Individu memilih untuk melibatkan diri ke dalam sukan kesan dari pengaruh, dorongan serta impak agen-agen sosialisasi sukan. Pengaruh agen-agen sosialisasi ini membantu membentuk sikap, nilai dan perlakuan yang diperlukan dalam sukan yang diceburi.
  2. Sosialisasi menerusi sukan - Sukan menjadi alat kepada proses sosialisasi. Elemen-elemen dalam sukan seperti sikap bekerjasama, tolak ansur, berdisiplin serta menghormati individu lain dan peraturan membantu dalam proses pembentukan sikap, nilai dan perlakuan  individu tersebut.

Terdapat beberapa ciri institusi sukan yang perlu dititikberatkan untuk membolehkan sukan diinstitusikan sebagai satu institusi sosial dalam masyarakat, beberapa kriteria tertentu perlu dipenuhi bagi membolehkan ianya diterima sebagai satu institusi sosial. Antaranya adalah undang-undang dan peraturan. 

Undang-undang dan peraturan yang mengawal perjalanan sesuatu sukan tersebut perlu diwujudkan. Selain itu, sosioemosi juga perlu ada bagi meransang individu untuk saling mengenali antara satu sama lain merentasi warna kulit, kepercayaan dan sebagainya. Integrasi juga tidak ketinggalan pentingnya bagi menyatupadukan individu daripada pelbagai latar belakang seperti menjadi satu pasukan. 

Politik juga perlu ada dalam sesebuah institusi sukan kerana politik merupakan alat untuk menunjukkan kuasa. Tamsilnya, pengurusan pasukan atau persatuan, hierarki dalam persatuan. 

Mobiliti sukan juga merupakan salah satu ciri yang perlu ada dalam sesebuah institusi sukan. Hal ini demikian kerana, mobiliti sukan adalah satu proses yang bersifat dinamik dan sentiasa berubah untuk memberi peluang kepada individu bagi menaik taraf kebolehan mereka ke peringkat yang lebih tinggi contohnya peringkat daerah, negeri dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.

Sukan dan Sosiologi
Sosiologi adalah kajian saintifik yang berkaitan dengan aspek sosiol dan budaya individu dalam komuniti dan masyarakat. Sosiologi adalah bidang saintifik yang menjelas dan menerangkan  berkaitan organisasi sosial manusia.

Konsep asas kesukanan terdiri dripada:
  • Main
  • Permainan
  • Sukan
Konsep ‘main’ adalah individu yang bermain secara sedar dan sukarela. Konsep mian tidak mempunyai peraturan tertentu serta tidak melibatkan kerja atau rutin harian individu terbabit. Tambahan pula, konsep ini juga tidak mempunyai had masa serta ruang untuk menyekat mereka. Konsep main membawa hasil bukan berbentuk material atau kebendaan.

Konsep permainan pula adalah individu yang menyertai permainan kerana ada matlamat tertentu seperti prestej, status atau pengiktirafan tertentu. Konsep permainan ini mempunyai unsur organisasi dan pertandingan serta mempunyai struktur tertentu berdasarkan undang-undang formal atau tidak formal. Konsep permainan ini khusus kepada sesuatu budaya sukan yang disertai oleh individu tersebut.

Akhir sekali, konsep sukan pula tersusun dari segi struktur organisasinya. Konsep ini mempunyai unsur pertandingan untuk menghasilkan pemenang serta memerlukan kemahiran perancangan, kemahiran motor atau lakuan motor strategi dan nasib yang tak tentu. Selain itu, konsep sukan juga melihat keupayaan fizikal yang tinggi dan mental yang tinggi bagi atlet yang mengambil bahagian dalam acara sukan yang disertai mereka.

Terdapat pelbagai kesan penglibatan dalam sukan. Individu yang melibatkan diri dalam sukan merupakan organisasi yang menerima impak paling besar dalam penglibatan sukan. Hal in kerana, jika seseorang melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sukan, sudah pasti individu tersebut dapat membentuk perwatakan dalaman mahupun luaran yang positif seperti tenang, cekal dan sebagainya. Selain itu, individu terbabit juga sudah pasti mampu meningkatkan imej kendiri yang positif seperti yakin, berani dan sebagainya. Penglibatan diri dalam sukan juga mampu mengasah kualiti kepimpinan seseorang dengan membentuk sikap dan daya kepimpinan individu khususnya dalam sukan berpasukan.

Seteusnya, masyarakat turut mendapat kesan yang besar terhadap penglibatan sukan. Penglibatan sukan akan memberi kesan kepada masyarakat dari segi sosial. Hal ini sedemikian kerana, aktiviti sukan dapat membantu  proses integrasi kaum menerusi perlaksanaan aktiviti sukan merentasi batasan kaum seperti pembentukan sebuah pasukan yang terdiri daripada pelbagai kaum, gabungan penonton pelbagai kaum yang menyokong sebuah pasukan yang sama dan lain-lain. Selain itu, penglibatan sukan juga akan memberi kesan kepada masyarakat dari segi ekonomi. Hal ini bermaksud, peningkatan sumber kewangan dari segi penajaan pertandingan, hak penyiaran, penganjuran pertandingan, kutipan cukai serta kehadiran penyokong pasukan luar dan pelancongan sukan akan memberi impak positif kepada seluruh lapisan masyarakat. Akhir sekali, masyarakat juga akan terkesan dari segi politik atas penglibatan masyarakat dalam bidang sukan. Ini kerana, semangat setia kawan dapat dipupuk melalui penyertaan dalam kejohanan sukan seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.

Di samping itu, semangat patriotisme juga merupakan kesan penglibatan sukan. Hal ini kerana, kita akan merasa bangga apabila terpilih mewakili pasukan dan berazam menaikkan nama pasukan diwakili. Tambahan pula, semangat setia kawan kita mudah dipupuk. Hubungan terbentuk menerusi proses sosialisasi dalam sukan. Akhir sekali, seluruh masyarakat Malaysia juga dapat menaik taraf kesihatan masing-masing menerusi pengetahuan yang dimiliki dan aktiviti sukan yang dilakukan dengan betul.

Sukan dan sosiologi bukan sahaja memberi impak-impak yang positif malahan, sukan dan sosiologi turut membawa pelbagai kepentingan yang sepatutnya diketahui oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia. Sukan dan sosiologi membawa kepentingan yang amat besar dari sudut sosial. Jika ditelitikan dengan lebih mendalam, sukan merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Dengan itu, penglibatan penonton adalah penting dalam kepentingan sosial  bidang sosial ini.  Kepuasan penonton diperoleh apabila menonton atlit yang diminati beraksi. Sorakan dan sokongan padu mencerminkan sikap penonton yang beretika. Tambahan pula, sorakan penonton akan memotivasikan pasukan terbabit dan dapat meningkatkan keyakinan diri pemain. Keadaan sebegini sekaligus memberi imej yang baik kepada negara. Penonton yang beretika akan merasa puas ketika menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan kesungguhan aksi dan berupaya mengawal diri. Walaubagaimanapun, penonton seharusnya berfikran rasional dan berlapang dada dalam menerima apa jua keputusan perlawanan.

Rentetan daripada penglibatan penonton, impak ekonomi juga tidak ketinggalan pentingnya. Lazimnya, sukan dapat meningkatkan ekonomi negara melalui penajaan, pelancongan sukan, kajian dan penghasilan serta penjualan produk sukan. Bidang sukan adalah satu cabang sumber kewangan melalui kutipan cukai, hak penyiaran dan penganjuran sukan.

Di samping itu, penyertaan individu juga merupakan kepentingan dalam sukan dan sosiologi. Individu atau kumpulan atlet yang terlibat secara langsung dalam sukan yang di pertandingkan.bertujuan mendapat kepuasan beraksi atau bertanding, prestij dan hadiah yang ditawarkan (wang dan pingat). Mereka menyertai pelbagai kejohanan sukan dan menyertai acara-acara yang di pertandingkan dalam kejohanan dianjurkan. Jumlah penyertaan mempengaruhi kemeriahan kejohanan dan jumlah kehadiran penonton.

Seterusnya, budaya juga merupakan salah satu daripada kepentingan sukan dan sosiologi. Hal ini disebabkan oleh manusia yang berbeza dari segi kepercayaan, nilai dan gaya hidup. Melalui bidang sukan, maka kita sebagai masyarakat yang berbilang kaum sudah tentu dapat merangsang individu untuk saling mengenali antara satu sama lain merentasi warna kulit, kepercayaan dan sebagainya. Sukan juga dapat menerapkan sikap saling menghormati. Dalam kata lain, penglibatan dalam sukan membuka ruang terutamanya untuk kita bersosial, berinteraksi dengan orang lain dan mempelajari budaya serta mengenali masyarakat lain dengan lebih seronok dan efektif.

Akhir sekali, integrasi kaum juga merupakan kepentingan dalam bidang sukan. Hal ini membuktikan bahawa, proses integrasi kaum (integrasi nasional) dapat dilaksanakan kerana aktiviti sukan merentasi batasan kaum. Selain itu, sukan dapat menyatu padukan individu daripada pelbagai kaum menjadi satu pasukan mewakili sekolah, daerah, negeri dan negara. Individu yang terdiri daripada pelbagai kaum bersatu padu dan bekerjasama sebagai satu pasukan menggalas cabaran negara. Perbezaan agama, bangsa dan lain-lain diketepikan demi kejayaan pasukan. Bagi menjelaskan lagi konteks di atas, perkenalan dan persahabatan yang terjalin semasa mewakili pasukan menyumbang kepada proses integrasi kaum.

Tedapat dua elemen utama dalam bidang sukan dan sosiologi sukan. Yang pertama adalah, sosialisasi dalam sukan dan yang kedua ialah sosialisasi menerusi sukan. Sosialisasi dalam sukan merupakan ‘Individu tersebut memilih untuk melibatkan diridan bergiat aktif dalam sukan tersebut’. Hal ini disokong lagi dengan kesan pengaruh, dorongan serta kesan agen-agen yang terlibat dengan sukan. Manakala, kesan tehadap individu tersebut adalah; pembentukkan sikap positif, menerapan nilai-nilai murni serta meningkatkan pertasi dalam sukan yang diceburi dalam kata lain, mereka dapat mengasah bakat mereka dalam bidang sukan seterusnya menjadi kebanggaan negara.

Agen sosialisasi merupakan individu, kumpulan atau institusi yang memperkenalkan aktiviti sukan tersebut. Seseorang atlit memilih satu jenis sukan melalui agen sosialisasi. Kesan agen sosialisasi termasuklah mengajar nilai,mengubah sikap serta kemahiran dalam sukan tersebut. Proses memperkenalkan aktiviti sukan kepadaseseorang dikenali sebagaiproses sosialisasi. Contoh-contoh agen sosialisasi adalah seperti kelurga yang terdiri daripada ibu bapa, abang atau kakak, adik, dan sebagainya, masyarakat yang terdiri daripada jiran, suatu persatuan setempat seperti Institusi Keagamaan dan sebagainya, sekolah yang terdiri daripada warga guru, jurulatih, rakan sekolah, rakan sepasukan dan sebagainya serta media massa seperti sukan popular dalam Media Elektronik, Media cetak dan sebagainya.

Sukan menjadi alat kepada proses sosialisasi.Proses sosialisasi ialah proses memperkenalkan aktiviti sukan kepada seseorang. Elemen-elemen dalam sukan seperti sikap bekerjasama,toleransi,berdisplin serta menghormati individu lain dan menghormati peraturan, membantu dalam membentuk sikap, nilai dan perlakuan seseorang individu tersebut.

Sukan dan Intergrasi Kaum 
Perbezaan warna kulit dan warisan budaya mempengaruhi penglibatan individu dalam sukan yang diceburinya. Kaum adalah kumpulan manusia yang mempunyai fahaman idea yang dipercayai bersama masyarakat tersebut. Etnik pula adalah berasaskan kepada warisan budaya dalam sekumpulan manusia yang berkait rapat dengan budaya dan latar belakang budayanya. Kumpulan etnik adalah kategori manusia yang mempunyai sifat yang jelas di mana mereka berkongsi hidup yang digabungkan dengan latar belakang budaya yang sama

Integrasi kaum dalam bidang sukan adalah bertujuan untuk menyatupadukan individu daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan satus menjadi satu pasukan pada pelbagai peringkat penyertaan seperti rumah sukan pelajar, peringkat sekolah, peringkat daerah, peringkat negeri dan seterusnya peringkat antarabangsa. Demi merealisasikan hasrat dan matlamat bersama iaitu kejayaan utuk pasukan, kita sebagai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum, bangsa dan agam seharusnya sentiasa bekerjasama dan melupakan segala perbezaan. Kita tidak seharusnya mementingkan diri sendiri dalam mengaut kejayaan sebaliknya, kita semua patutlah mewujudkan hubungan yang harmoni, persefahaman, kesepaduan dan tolak ansur yang sangat kuat dalam pasukan. Perhubungan berterusan di luar waktu sukan dan mempengaruhi masyarakat umum. Dengan ini, kita juga dapat menjadi contoh terbaik di mata masyarakat Malaysia. Sukan yang diwakili pelbagai kaum juga mengundang kehadiran lebih ramai penyokong tanpa mengira bangsa yang akan bersatu menyokong satu pasukan yang sama. Dengan menjayakan integrasi kaum, rakyat Malaysia akan dapat mengelakkan sejarah hitam daripada berulang iaitu peristiwa 13 Mei 1969.

Tedapat beberapa punca utama kepada polarisasi kaum yang krtara berlaku di negara Malaysia. Pertama sekali, isu sosial merupakan salah satu contoh ketara bagi punca polarisasi kaum. Ini termasuklah, masalah komunikasi dan interaksi , perbezaan agama dan kepercayaan serta latar belakang kehidupan dan latar belakang pendidikan seseorang. Seterusnya, taraf ekonomi dan status pekerjaan juga menjadi salah satu tulang belakang dalam punca polarisasi kaum. Kita sebagai masyarakat berbilang kaum semestinya menyanyangi dan memahami satu sama lain tanpa mengira agama, kepercayaan apatah lagi taraf ekonomi orang lain. Ini kerana, semua manusia adalah sama, tidak ada manusia yang sempurna kerana kita semua tidak dapat lari daripada berdosa dan membuat kesilapan. Punca yang terakhir merupakan isu yang agak sensitif iaitu isu politik. Hal ini demikian kerana, ahli-ahli politik mempunyai perbezaan dalam ideologi politik serta semangat perkauman mereka amat kuat sehinggakan, mereka akan mementingkan kaum mereka sahaja tanpa menghiraukan kaum lain. Perkara ini tidaklah selalu berlaku namun, peristiwa demikian adalah amat ketara pada ahli politik di negara Malaysia. Terdapat pelbagai kesan daripada polarasi kaum yang berlaku dalam sesuatu negara berbilang bangsa iaitu, kemajuan negara dalam bidang sukan akan terhalang serta kegagalan mewujudkan pasukan terbaik. Tambahan pula, atlet-atlet berbakat dalam suatu negara akan tersisih dan sukan akan didominasikan oleh kaum tertentu sahaja. Hal ini akan mengakibatkan, sokongan daripada penonton berkuranga.

Justeru, bagaimanakah sukan dapat membantu proses integrasi kaum? Dalam semua jenis acara, sama ada dalam sukan mahupun aktiviti kokurikulum, usaha yang praktikal dan maksimum harus diambil bagi mengeratkan serta menyatupadukan belia negara agar mereka dapat berinteraksi di antara satu sama lain. Hali ini kerana, sekolah adalah tempat terbaik untuk mempromosikan integrasi kaum. Guru dan ibu bapa harus memainkan peranan masing-masing dalam membantu proses itu. Ibu bapa harus menggalakkan anak mereka untuk bergaul dengan mereka yang berlainan kaum bagi mewujudkan lebih persefahaman di antara agama, budaya dan cara hidup.

Sukan dominan berdasarkan kaum merupakan sukan yang dimonopoli atau dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja. Maka, disini, saya ingin mengutarakan punca dan kesan sukan dominan. Terdapat empat punca yang amat ketara daripada sukan dominan yang berlaku di Malaysia. Pertama, budaya sesuatu kaum merupakan suatu punca yang sukar untuk dielakkan. Hal ini demikian kerana, sukan adalah menjadi suatu permainan dan budaya warisan sesuatu kaum. Lebih-lebih lagi, orang-orang tua sering beranggapan bahawa penglibatan kaum lain dikhuatiri akan menjejaskan keaslian sukan tersebut. Seterusnya, isu agama turut menjadi salah satu batu penghalang yang besar kepada pengeratan hubungan antara kaum. Bagi menjelaskan lagi konteks di atas, agama tertentu mempunyai pantang larangnya yang tersendiri. Maka, agama tertentu sudah pasti melarang penyertaan dalam sukan tertentu terutamanya sukan yang melibatkan pendedahan seperti sukan renang, sukan gymrama dan sebagainya. Selain itu, semangat perkauman juga tidak ketinggalan dalam menjadi salah satu punca sukan dominan di Malaysia. Ini kerana, kaum tertentu tidak akan membenarkan kaum lain terlibat dan memecahkan monopoli kaum. Punca yang terakhir merupakan, masalah komunikasi. Disebabkan oleh bahasa yang pelbagai oleh kaum dan bangsa yang pelbagai, maka jika kita tidak menguasai satu bahasa tetap yang sesuai dan boleh digunakan oleh semua orang masalah komunikasi antara kaum sememangnya tidak boleh dielakkan daripada berlaku.

Sukan dominan membawa kepada beberapa kesan negatif kepada rakyat yang berbilang bangsa seperti negara kita, Malaysia. Salah satu kesan sukan dominan ialah, sukan akan dimonopoli oleh kaum tertentu sahaja dan tidak berkembang secara keseluruhannya. Selain itu, kaum lain juga tidak berpeluang untuk mengambil bahagian. Ini bermaksud, mereka yang tidak berpeluang mengambil bahagian tidak akan dapat mengasah bakat mereka dalam bidang sukan malahan, mereka tidak akan tahu mereka sebenarnya berpotensi tinggi dan berbakat dalam bidang sukan. Seterusnya, sukan dominan juga menghalang kemajuan sukan tersebut ke peringkat yang lebih baik atas dasaar pemain berkebolehan dari kaum lain tidak berpeluang untuk mewakili pasukan. Tambahan pula, jika kita hanya fokus kepada perbezaan dari segi mutu permainan antara kaum, hal ini hanya akan menguatkan lagi jurang perbezaan dan sifat perkauman.

Maka dengan ini, saya ingin menekankan langkah-langkah mengatasi sukan dominan. Kita sebagai rakyat yang berbilang kaum seharusnya membuka peluang kepada kaum lain untuk menceburi bidang sukan yang mereka minati. Kita semua juga sepatutnya memperkenalkan sukan tersebut kepada kaum lain tanpa mengira agama dan bangsa demi kemajuan negara dalam bidang sukan. Mengadakan kempen secara berterusan bagi menarik minat kaum lain menyertainya turut merupakan salah satu cara efektif bagi membanteras sukan dominan yang hanya mengasah semangat perkauman kita itu. Selain itu, kita semua juga mestilah bekerjasama dengan persatuan sukan berkenaan bagi perkembangannya kepada semua kaum serta mendedahkan sukan tersebut kepada semua kaum bermula seawal peringkat sekolah rendah lagi. Di samping itu,mewujudkan Sekolah Wawasan serta melaksakan PLKN turut membantu dalam membanteras sukan dominan dalam negara kita. Kita jugaseharusnya menggalakkan penglibatan semua kaum dalamsetiap jenis sukan dan permainan dan Melaksanakan dasar 1Murid 1Sukan diperingkat sekolah serta memperkasakan fungsi MSSM untuk integrasi kaumpada peringkat awal / sekolah bagi menghapuskan situasi sukan dominan ini. kLangkah terakhir yang saya ingin utarakan adalah memperbanyakkan lagi kemudahan sukan tersebut untuk menarik minat penglibatan seluruh masyarakat.

Contoh sukan dominan adalah seperti, silat dan sepak takraw yang sebahagian besarnya didominasi oleh bangsa melayu. Sukan seperti bola keranjang, ping pong dan sukan renang pula didominasi oleh bangsa cina, dan contoh yang terakhir adalah sukan silambam dan kabbadi yang secara keseluruhannya hanya dimainkan oleh bangsa india. Inilah contoh-contoh sukan dominan yang sering berlaku di negara kita, Malaysia sejak dari dulu lagi.

Selain sukan dominan, sikap diri kita sendiri turut menjadi salah satu batu penghalang bagi mencapai integrasi kaum dalam bidang sukan. Hal ini demikian kerana, kita mengutarakan pelbagai jenis alasan agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti sukan. Contoh yang paling ketara pada masa kini, adalah kita semua mengemukakan alasan bahawa kita tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan, menghadapi masalah pengangkutan, bimbang untuk berada diluar rumah pada waktu malam serta kekurangan duit bagi menjalani aktiviti sukan yang dingini. Tambahan pula, golongan warga yang bekerjaya mengemukakan halangan mereka melibatkan diri daripada aktiviti sukan kerana jadual kerja yang sangat padat. Masyarakat masa kini juga mempunyai kepercayaan negatif terhadap diri sendiri sebagai contoh kurang yakin pada diri sendiri kerana mengkhuatiri imej diri mereka dan sebagainya. Sesungguhnya, setiap rakyat memerlukan sokongan dan dorongan daripada masyarakat sekeliling mereka bagi menguatkan semangat untuk meneruskan perjuangan dalam bidang sukan yang mereka ceburi. Justeru, hal ini adalah menjadi salah satu masalah bagi kebanyakkan rakyat kerana mereka tidak mendapat sokongan dan dorongan positif daripada masyarakat sekeliling, bahkan ada kes yang lebih teruk iaitu mereka bukan sahaja tidak disokong malah, mereka serbu dengan komen-komen negatif daripada masyarakat sekeliling. Di samping itu, pakaian dan peralatan yang diperlukan turut menjadi suatu perkara yang wajib jika seseorang itu ingin bersukan. 

Terdapat tiga dasar sukan negara yang utama iaitu sukan untuk semua, sukan Massa, dan sukan untuk kecemerlangan. Contoh implementasi bagi dasar sukan negara adalah seperti orgnisasi, perancangan, personal, kewangan, insentif dan kemudahan.

Dasar sukan untuk semua adalah dasar dimana kerajaan menggalakkan penyertaan secara menyeluruh dalam aktiviti sukan. Sukan ini diperkenalkan dengan hasrat untuk menjana semangat perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Manakala dasar sukan Massa pula merupakan sukan yang melibatkan penyertaan beramai-ramai dalam satu acara sukan seperti jogathon dan senamrobik. Dengan ini, peserta dapat menunjukkan semangat kesukanan dan membawa imej perpaduan dalam suasana yang meriah. Dasar sukan untuk kecemerlangan pula dasar dimana kerajaan negara Malaysia memberi tumpuan kepada pembangunan sukan dari peringkat akar umbi hinggalah ke tahap kecemerlangan. Sebagai contoh, Majlis Sukan Negara (MSN) diberi tanggungjawab untuk melaksanakan program-program pembangunan sukan ke arah mencapai kecemerlangan sukan diperingkat kebangsaan danantarabangsa. Selain mempertingkatkan prestasi atlet negara, kualiti pengetahuan dan kemahiran jurulatih, pegawai teknikal dan pegawai pentadbir sukan juga dititikberatkan. Dek, dengan wujudnya Dasar Sukan Negara, prestasi sukan di Malaysia telah dapat dipertingkatkan tahun demi tahun. Malaysia telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh sukan yang bertaraf dunia dalam beberapa sukan berprestij. 

Rasional daripada dasar-dasar sukan negara ini adalah dikaji dari aspek sumbangan sukan kepada  individu, masyarakat dan negara. Dasar-dasar sukan negara ini membantu bukan sahaja membantu dalam pembentukkan sahsiah, kesedaran dalam diri individu dan membangkitkan semangat pertandingan, malah, dasar sukan negara turut meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal seseorang yang melibatkan dirinya dalam bidang sukan terbabit. Selain itu, rakyat juga dapat memanfaatkan masa senggang mereka dengan melakukan sesuatu yang amat berguna. Dasar sukan juga dapat mengurangkan tekanan hidup melalui aktiviti sukan yang sememangnya menyihatkan tubuh badan serta minda manusia. Sesungguhnya, dasar sukan negara yang telah dibuat ini akan mewujudkan interaksi sosial yang bermakna kepada setiap insan yang mengambil bahagian dalam bidang sukan. Akhir sekali, seseorang yang terlibat dalam aktiviti sukan juga mampu merkembangkan kemahiran-kemahiran asas mereka dengan cara yang sangat efisien.

Bidang sukan bukan sahaja medan melahirkan ahli sukan semata-mata, tetapi sebenarnya juga berperanan menjadi landasan memupuk perpaduan antara kaum.Ini kerana sukan tidak  pernah mengira latar belakang agama, keturunan, kepercayaan dan batasan yang boleh menghalang interaksi antara pemain, penyokong, pengurusan dan masa. Sukan mampu memecah tradisi dominasi oleh sesuatu etnik terutama dengan penampilan 'kemajmukan' bukan sahaja darisegi penyertaan tetapi lebih dari itu, menghargai dan mencipta 'semangat satu negara, satumatlamat'. Bermula di peringkat sekolah, setiap sekolah pastinya akan mengadakan Kejohanan Olahraga Tahunan pada setiap tahun. Pada kejohanan ini, semua pelajar akan dibahagikan kepada empat atau lima kumpulan besar atau dipanggil “rumah sukan” secara rawak di mana setiap rumah sukan itu bukan sahaja akan terdiri daripada pelajar-pelajar yang berlainan umur (daripada Darjah 1 hingga Darjah 6) atau (daripada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5) malah terdiri daripada para pelajar yang berlainan kaum. Setiap ahli rumah sukan diberikan peluang untuk mengambil bahagian dan mewakili rumah sukan masing-masing dalam mana-mana acara sukan yang dipertandingkan mengikut kategori umur contohnya, acara bawah 15 tahun atau acara bawah 17tahun. Tiada acara sukan yang dipertandingkan mengikut kaum atau agama masing-masing.Begitu juga dengan rakan-rakan penyokong serta guru-guru penasihat rumah sukan yang akan menyorak memberi sokongan kepada atlet-atlet rumah sukan masing-masing tanpa mengira bangsa mereka.

Pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan di semua sekolah di Malaysia menjadi penggerak utama perpaduan pelajar berbilang kaum di negara ini.. Dasar tersebut dibuat setelah terbukti bahawa sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Menurut kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Asariah Meor Shaharuddin, dengan menceburi bidang sukan, akan dapat memupuk semangat setiakawan dan berpasukan terutamanya dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita di samping mampu melahirkan atlit yang berkaliber daan nerwibawa sehingga ke peringkat antarabangsa. Seterusnya, melalui Kejohanan Peringkat MSSM yang dianjurkan juga mampu memperlihatkan peranan sukan sebagai medium dalam membentuk perpaduan kaum. Kejohanan ini hanya terbuka kepada pelajar-pelajar sekolah bantuan kerajaan bawah umur 18 tahun. Selain itu, kejohanan ini selalunya disertai oleh berpuluh-puluh sekolah termasuklah Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina serta Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)Tamil. Ketika kejohanan ini berlangsung, bukan sahaja kita dapat melihat atlet-atlet yang berlatarbelakangkan daripada pelbagai kaum beraksi untuk sekolah mereka malah kita juga dapat melihat kedudukan khemah-khemah setiap sekolah yang disusun sebelah menyebelah yang disusun secara rawak atau secara cabutan undi tanpa mengira jenis sekolah. Keadaan ini membuka peluang kepada para atlet sekolah serta guru pengiring untuk berkenalan dan menambah kenalan dengan atlet-atlet daripada sekolah-sekolah lain terutamanya atlet daripada Sekolah Jenis Kebangsaan.

Bukan itu sahaja, kita juga dapat melihat kerjasama antara pegawai- pegawai kejohanan dalam memastikan kejohanan tersebut berjalan dengan lancar di mana mereka ini telah dilantik berdasarkan ilmu serta kemahiran mereka dan bukannya berdasarkan bangsa mahupun agama mereka. Selain kejohanan di peringkat sekolah, kita juga mempunyai Sukan Malaysia atau secara ringkasnya SUKMA. SUKMA adalah satu acara sukan peringkat kebangsaan di bawah anjuran Majlis Sukan Negara Malaysia, Majlis-Majlis Sukan Negeri, Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Universiti Malaysia, dan Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia.SUKMA adalah merupakan kejohanan 'beraneka sukan' (multi-sports competition) dan berkonsepkan 'Mini Sukan Olimpik' di Malaysia yang melibatkan atlet remaja. SUKMA diadakan secara dwi-tahunan dan berselang-seli mencungkil bakat atlet-atlet remaja di peringkat negeri dan daerah bagi menggalakkan penglibatan secara mendalam dalam sukan yang dipertandingkan.

Peranan sukan dalam membentuk perpaduan kaum juga boleh dilihat melalui acarasukan berkumpulan seperti bola sepak, badminton beregu, kapal layar dan sebagainya. Tidak kiralah wakil bagi peringkat sekolah hinggalah ke peringkat antarabangsa, pemilihan ahlikumpulan pastinya berdasarkan bakat, kebolehan dan potensi seseorang atlet itu dalam acara terbabit. Acara berkumpulan memerlukan semangat kerjasama yang tinggi di antara ahli kumpulan tanpa mengira warna kulit mahupun kepercayaan masing-masing. Sekiranya masing-masing membuang sifat perkauman serta sikap prejudis di kalangan ahli kumpulan yang berlainan bangsa, sudah pasti kumpulan sukan itu mampu mencapai kemenangan serta melangkah lebih jauh. Sebagai contoh, kebolehan bekas penjaga gol pasukan Malaysia, Datuk Ho Koh Chye yang menggunakan tangan untuk makan nasi tanpa kekok kerana percampurannya dengan rakan-rakan pemain hoki keturunan Melayu dan India yang memang menggunakan tangan ketika makan. Datuk Ho Koh Chye tinggal di dalam bandar Seremban bukan di kampung. Pergaulan beliau dengan rakan-rakan Melayu dan India diperoleh banyak melalui aktiviti sukan khususnya ketika berada dalam pasukan kebangsaan. Kemampuan beliau makan nasi menggunakan tangan bukan diperolehi kerana beliau duduk di kampung tetapi kerana percampuran beliau dalam sukan. Contoh lain yang boleh diambil ialah semangat kerjasama antara ahli pasukan bola sepak Malaysia sebelum terbentuknya Malaysia yang lebih dikenali sebagai “pasukan bola sepak Malaya”. Pasukan ini amat digeruni dan antara pasukan terkuat di Asia pada awal 1950 -an sehingga 1960-an bersama-sama dengan pasukan bola sepak kebangsaan Korea Selatan. Pencapaian terbaik Malaya ialah berjaya memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1962 di Jakarta,Indonesia setelah menewaskan Vietnam Selatan dengan catatan perlawanan (4-1). Pasukan ini dianggotai pemain-pemain yang berlainan bangsa seperti Abdul Ghani Minhat, Arthur Koh, G. Govindaraju, Robert Choe, Edwin Dutton dan Stanley Gabriel. Pada hari ini, pasukan bola sepak Malaysia lebih dikenali sebagai “Harimau Malaya” dan diletakkan di bawah jagaan Datuk Rajagopal a/l Krishnasamy, bekas pemain kebangsaan pada era 80-an walaupun majoriti anak didikannya ialah orang Melayu. Di sini kita boleh lihat bahawa perbezaan agama dan bangsa bukanlah satu penghalang atau gangguan dalam sukan. Sebaliknya, sukan merupakan alat yang sesuai dalam membentuk dan memperkukuhkan perpaduan kaum di negara kita.

Rujukan
  1. www.sainsukanblog.wordpress.com
  2. www.sainsukanblog.wordpress.com
  3. http://yopbesar.blogspot.my/2013/10/sosiologi-sukan-konsep.html
  4. https://www.scribd.com/doc/77344806/sosiologi-sukan
  5. http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/702780-sukan-wadah-perpaduan-masyarakat-berbil   ang-kaum-pm.html
  6. https://www.scribd.com/doc/134835659/Sukan-Alat-Perpaduan

Tiada ulasan:

Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...