Disclaimer

SainsdanSukan does not give any warranty on accuracy, completeness, functionality, usefulness or other assurances as to the content appearing in this blog. MatriXwoo2 disclaims all responsibility for any losses, damage to property or personal injury suffered directly or indirectly from reliance on such information.

Isnin, 30 Oktober 2017

Rawatan Panas dan Rawatan Sejuk

 

Rawatan menggunakan elemen panas dan sejuk sudah sekian lama diamalkan pengamal perubatan bagi mengatasi masalah kecederaan malah ia juga boleh dipraktikkan di rumah juga.

Cukup dengan sehelai tuala lembap yang panas atau sebungkus ais, ia dikatakan mampu menyelesaikan masalah kecederaan seperti kesakitan dan bengkak.

Namun dari perspektif perubatan dan sains sukan, penggunaan elemen panas dan sejuk dilihat lebih spesifik dan khusus kepada jenis dan tahap kecederaan.

Rawatan panas digunakan untuk atlet yang mengalami kecederaan kronik manakala rawatan sejuk bagi atlet dengan kecederaan akut.

Kecederaan kronik adalah kecederaan yang berlaku secara berpanjangan manakala kecederaan akut pula membabitkan kecederaan yang berlaku secara tiba-tiba.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu terkehel atau terseliuh, kecederaan pada peringkat awal yang menyebabkan bengkak atau radang dikenali sebagai kecederaan akut namun apabila kecederaan sama berlaku selepas itu tanpa kesan bengkak ia dikategorikan sebagai kecederaan kronik.

Rawatan sejuk membantu untuk mengurang atau mengelakkan kecederaan daripada terus bengkak dan mengalami keradangan malah boleh menghentikan kecederaan tisu di sekeliling kawasan yang cedera.

Bagi rawatan panas, sekiranya kita letakkan haba pada kawasan yang mengalami kecederaan kronik, ia akan membantu otot menjadi lebih fleksibel selain melegakan kecederaan, kekejangan dan kesakitan berpanjangan di kawasan yang cedera.

Mengenai kesan fisologi terhadap rawatan sejuk ialah, ianya akan mengecutkan otot di kawasan tercedera.

Sama ada rawatan sejuk itu membabitkan rendaman di dalam air sejuk atau meletakkan pek ais pada kawasan yang cedera, ia akan mengecutkan dan menyempitkan salur darah di kawasan terbabit.

Sebaik salur darah menjadi sempit, darah akan kurang mengalir ke tempat cedera seterusnya mengelakkan kecederaan tisu, bengkak dan keradangan yang berpanjangan.

Rawatan panas pula memberi kesan sebaliknya di mana ia mengembangkan saluran darah dan oleh itu pengaliran darah akan lebih pantas ke kawasan yang mengalami kesakitan berpanjangan.

Pada masa sama oksigen dan nutrien yang diangkut menerusi darah akan dibawa ke kawasan terbabit bagi membantu pemulihan otot yang mengalami kecederaan.

Apa yang pasti, kesan yang dibawa kedua-dua rawatan terbabit adalah berbeza kerana rawatan sejuk bertujuan untuk mengelak bengkak sementara rawatan panas memastikan otot yang keras akibat kecederaan lama menjadi lebih fleksibel.

Memandangkan rawatan panas dan sejuk boleh dibuat menggunakan air, pasti ramai membayangkan ia boleh dibuat sendiri di rumah, namun bagi atlet, apa saja yang mereka lakukan perlu dipantau supaya kecederaan lanjutan tidak berlaku sekiranya suhu terlalu panas atau terlalu sejuk.

Rawatan sejuk boleh dilakukan dengan meletak air yang ditambah ais di dalam tab mandi dan termometer diperlukan untuk mengukur suhu di antara 10 hingga 15 darjah celcius dengan rendaman dalam tempoh lima hingga 15 minit.

Bagaimanapun untuk rawatan panas, kita galakkan ia dibuat bersama-sama rawatan sejuk. Mengikut penyelidikan, sekiranya rawatan panas saja dilakukan ia tidak akan membawa manfaat. Perlu diingatkan rawatan panas hanya untuk kecederaan kronik sahaja.

Ada atlet menyangka rawatan panas yang diberi sewaktu mula cedera atau sakit akan membuat mereka berasa lebih lega tetapi selepas rawatan dialihkan dan kesan panas hilang, mereka akan rasa lebih sakit kerana kecederaan menjadi semakin teruk dan keradangan sudah pun berlaku dan bengkak.

Justeru kita tidak galakkan mereka yang mengalami kecederaan dalam tempoh 72 jam untuk menggunakan rawatan panas.

Ia bertepatan dengan pendekatan PRICES (Protect, Rest, Ice, Compression, Elevation, Support/Lindung, Rehat, Ais, Tekanan, Angkat, Sokong) di mana rawatan menggunakan ais penting sebagai langkah awal menangani masalah kecederaan sejurus ia berlaku.

Rawatan panas dan sejuk dapat mengurangkan kesakitan tetapi atlet bertemu pegawai perubatan untuk mendapatkan maklumat selanjutnya apa yang sebenarnya berlaku di dalam sama ada otot atau ligamen terkoyak.

Pada masa sama kita perlu kenalpasti sama ada mereka pernah mengalami kecederaan sebelum ini sebelum memberi rawatan panas atau sejuk.

Tiada ulasan:

Featured post

Metos Makan Waktu Malam

  Makan malam buat anda gemuk? Tiada bukti secara saintifik  membuktikan kerap makan di waktu malam akan mengakibatkan seseorang itu mengala...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...